Catatan umrah - backdated.
Umrah dengan membawa 2 orang anak adalah pilihan saya sendiri, keputusan yang saya buat sendiri. Anak bongsu akan saya bawa bila dia berumur 13 tahun (sekarang baru berumur 7 tahun). Kak Ros selalu berpesan, bawa anak-anak kena banyak bersabar, pimpin anak-anak dengan kasih sayang. Di Malaysia, saya yakin saya boleh...bersabar, berkasih sayang, prihatin...saya rasa saya boleh buat semua tu...taklah susah sangat.
Rupa-rupanya...saya tidak cukup mengenali diri sendiri...sebenarnya belum cukup mengenali Allah SWT...saya tewas dalam cubaan yang saya sendiri menempahnya!
Satu hari Nisha terkena penyakit mudah terbatal wudhu'. Kami sampai awal untuk solat subuh, dan dapat tempat di depan multazam (di ruang jamaah wanita). Bersusah payah menyelit akhirnya dapat ruang. Baru hendak mengangkat takbir untuk solat sunat, Nisha memberitahu dia terbatal. Di bahagian tersebut, untuk ke tempat paip air zam-zam agak jauh. Pastinya kalau pergi berwudhu', kami akan hilang tempat yang sudah strategik itu. Saya tidak jadi solat, hati sudah rasa kecewa...
Kami keluar menuju ke arah tingkat satu melalui pintu Abdul Aziz 2. Saya menemankan Nisha berwudhu'. Baru hendak memakai telekung, dia batal lagi. Jadi, dia wudhu' semula. Tidak lama kemudian qomat, dan kami berjaya menyelit ke saf depan untuk solat, masih lagi nampak Ka'abah. Sempatlah kami solat sunat sebelum Subuh.
Baru saja nak mengangkat takbir memulakan solat subuh, Nisha batal sekali lagi. Ketika ini hati yang kecewa sudah tidak dapat dibendung. Perasaan marah, geram memuncak bersama kekecewaan...bayangkan, saya sudah di depan multazam, tak jadi solat di situ...kemudian sudah di saf depan....terpaksa ke belakang semula....saya merungut-rungut memarahinya kerana gagal menahan angin. Perasaan marah yang saya rasa, naik dari tahap 1 ke tahap 5. Pagi itu saya memang gagal habis...emosi sangat menguasai diri... Setiap kali batal, saya menemankan Nisha berwudhu' kerana dia perlukan saya untuk menekan paip zam-zam untuknya. Proses buka telekung, pakai telekung, memakan masa, membuatkan kami terus tertinggal solat berjamaah. Akhirnya kami solat berjamaah berdua, kerana gagal mengikut imam Masjidil Haram.
Saya solat dalam keadaan hati yang marah, bengang dan kecewa....rakaat 1...sememangnya tak khusyu' kerana hati yang marah....saya tahu saya tidak sepatutnya berperasaan begitu...memejamkan mata dan cuba menghayati Al-Fatihah....tidak hilang rasa kecewa itu....
Rakaat kedua, saya mencuba lagi mencari khusyu'...menghayati makna Al-Fatihah setiap ayat...tiba-tiba ketika sampai pada ayat, "Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya pada Mu kami mohon pertolongan...", saya tiba-tiba jadi sedih....Ya Allah, mudahkan urusan ku, kasihanilah aku dan anakku..ampunkan aku jika semua ini kerana dosaku... Hati teringat semula kisah saya dan Nisha di Raudah...kemanisan saat-saat itu... Hati yang marah bertukar kasihan yang amat sangat pada Nisha.
Airmata saya terus berlinang hinggalah ketika memberi salam. Ketika saya menoleh ke Nisha, dia juga sedang menangis...mungkin kerana sedih dimarahi saya tadi...
Selepas berdoa, Nisha bersalam dan mencium tangan saya. Saya ketika itu sudah berasa sangat bersalah pada Allah dan pada Nisha....niat, misi, azam dan objektif saya ke Tanah Suci dengan anak-anak dan suami jelas kembali ke dalam hati dan minda. Hati saya berbisik, "Aku yang nak bawa mereka, kenapa sekarang aku pulak yang tak boleh bersabar. Mungkin inilah cara untuk aku mendapat lebih pahala sekiranya aku menolong anakku dengan sabar dan ikhlas, inilah yang lebih afdhal...."
Memohon maaf memang mudah, tetapi mengucapkannya dengan rasa rendah hati dan ikhlas...itu yang susah. Melakukannya dengan anak...lebih susah...saya berdepan dengan 'moment of truth'. Saya telah melukakan hati Nisha, dia sendiri tidak mahu 'terkentut-kentut'...kenapa pula saya marahkannya...
Saya buang rasa malu mengakui kesilapan sendiri dan berhadapan dengan ego. Saya tidak mahu memohon sekadar maaf yang biasa, saya mahu memohon maaf dengan ikhlas dan rasa rendah hati memohon keredhaan anak atas kelakuan saya yang sangat reaktif tadi...aduh...susahnya!
Saya pegang tangan Nisha, memandang mukanya dan nampak matanya masih bertakung dengan airmata sedih.
"Nisha, ibu minta maaf marahkan Nisha tadi. Ibu tak patut marah macam tu sebab bukan salah Nisha asyik batal saja. Ibu minta maaf sebab membuatkan Nisha rasa sedih dan kecil. Ibu cuba sabar dan sepatunya ibu bersabar, tapi inilah kelemahan ibu... Ibu tak sempurna, dan banyak kelemahan... Ibu harap sangat Nisha maafkan ibu dan tak ada rasa kecil hati dan sedih. Ibu minta maaf sebab buatkan Nisha rasa tak gembira."
Itulah ayat-ayat amat susah untuk dilafazkan. Setiap perkataan sebagai melawan ego saya dan melawan rasa malu...bukan senang memandang muka anak dan mengakui kekurangan diri. Saya menangis tersedu-sedu, dan Nisha turut menangis tersedu-sedu.
"Sebenarnya Nisha yang buatkan Ibu marah, Nisha buatkan ibu tak dapat solat macam yang ibu nak..." Jawab Nisha.
"Tapi ibu pulak tak patut bersikap macam tu, walaupun Nisha salah sekalipun, Ibu sepatutnya lebih sabar dan ikhlas. Maafkan ibu, redhakan ibu ya!" Kata saya.
Kami berpelukan dan menangis lagi...Saya menyedari, selalunya saya memang boleh meminta maaf, tapi sekadar ucapan "Sori ye." atau "Maaf ye." Sekadar ucapan maaf. Ucapan itu tidak sampai mencabar keegoan dan senang diucap.
Tapi ketika 'moment of truth' ini, saya bersemuka dengan integriti sendiri, adakah aku akan buat apa yang selalu aku cakap? Menyerapkan ucapan maaf ke hati...itu yang susah, sebab kita memaksa hati kita untuk mengaku bersalah juga...
(Mata dan wajah Nisha masih lagi sedih...menyesalnya saya!)
Selepas memohon maaf, dan mengingat semula misi dan objektif asal ke Tanah Suci, bahu jadi ringan, dada jadi lapang. Saya akui, saya tersilap fokus. Saya mencari pahala yang jauh, sedangkan Allah berikan pahala yang mudah dan di depan mata saya tak nampak. Suami tertanya-tanya bila melihat mata kami berdua merah dan bengkak, "Apasal ni?" Saya hanya tersenyum dan memegang tangan suami dengan erat. Suami faham dan tidak bertanya lebih lanjut. Kami berjalan balik ke hotel, dengan saya memeluk erat Nisha di bahunya...
1 comment:
salam,
akak , di makkah, adik saye juga ada terkena penyakit yang seperti itu. dan kami mengambil wudhu mengunakkan spray dan jangan lupa untuk menyediakan kain untuk mengaalas air yang jatuh. jadi tak perlu keluar untuk mengambil air sembahyang , jadi tempat kami pun tak diambil orang :)
Post a Comment