Monday, June 15, 2009

Siapakah itu?

Tengahari itu, selepas zohor saya, Nisha dan suami balik ke bilik untuk berehat sebentar. Masuk saja bilik, ada seseorang sedang duduk berehat di atas katil Zaid. Terperanjat saya dibuatnya…



(Zaid ketika baru sampai di Madinah
- Mat Afro Sempoi...)

“Siapakah itu…?” Usik saya. Suami tersenyum-senyum. “Eh….abang potong rambut…” Nisha bersuara dalam nada gembira. Hati saya kembang melihat Zaid dengan penampilan baru. Rambut ‘afro’-nya sudah dipotong nipis ala ‘Mawi’. Keterampilannya, air mukanya berubah sama sekali. Dalam hati saya, Zaid seperti Zaid yang dulu…sejuk hati saya…alhamdulillah…alhamdulillah….

Saya dan Nisha kemudiannya mengusik suami. “Haa…abah kena botak pulak lepas ni.” “Betul….betul…standard kena lebih dari anak…” Saya menambah. Suami hanya senyum-senyum.



(Selepas umrah wajib - masih Mat Afro Sempoi)


Banyak perkara yang saya seronok lihat tentang Zaid ketika di sana. Dia berjubah, ke masjid, memakai ihram, semuanya membuat hati saya rasa sejuk… Satu pemandangan yang saya tidak akan lihat jika di Malaysia. Kebetulan ada rakan sebayanya yang boleh dijadikan geng ketika di sana, sudah tentu Zaid selesa ke sana ke mari dengan rakan-rakan, tidak mengekor ibubapa sepanjang masa.

Rambut afro Zaid memang ‘out-standing’ dari awal lagi. Di imigresen sewaktu di airport Madinah, polis-polis sudah mengusiknya dan ‘mendera’ Zaid dengan mengambil gambarnya dan kesemua cap jarinya. Orang lain lepas dengan cepat, tapi Zaid kena ‘tahan’. Di Madinah, orang Arab akan menegur rambutnya, di hotel juga orang menegur rambutnya, “Nice hair…nice hair…” (Hakikatnya, saya langsung tidak suka fesyen rambutnya itu…heh…heh…biasalah, dah pembawakan ibu…)

Esoknya, ketika menaiki bas untuk sesi melawat, sebaik saja Zaid naik ke bas, satu bas menyorak penampilan barunya. Jamaah lain sibuk menegurnya dan memberi ‘ulasan selari’ dengan penampilannya itu. “Haa…barulah nampak muka budak baik….” Pakcik Kelantan menegurnya dengan slang Kelantan yang cukup menggelikan hati. Dalam hati berdoa, biarlah transformasi yang kecil ini akan membawa sesuatu yang signifikan….



...siapakah itu?













No comments: