Saturday, January 29, 2011

Dengar...(Finale)

Saya rasakan pelik, dan saya menyoalnya balik...suara saya agak meninggi kali ini...

“Apasal pulak cikgu nak marah? Tak ada kaitan langsung...Cikgu marah, Amni takut. Ibu marah, tak takut...” Tempelak saya. (Jeng...jeng...jeng...I fail...I fail...I fail....dan saya tahu tu....)

“Nanti semua orang bawak batang pisang tu, Amni je yang tak bawak...mestilah cikgu marah. Cikgu dah pesan suruh bawak. Tak kan Amni nak pinjam kawan punya, diorang pun nak guna jugak. Amni tahu...mesti cikgu marah nanti...” Kali ini jawapan Amni lebih menghairankan saya. Matanya mula bergenang dengan airmata. Saya menarik nafas, bersandar di sofa. Saya tahu saya pasti sudah salah faham. Saya tidak cuba untuk memahami Amni dan permintaannya, tetapi saya pulak yang mahukan Amni memahami saya terlebih dahulu.

Ok...ok...saya sudah tersilap....

Saya mengadap Amni semula, berkata dalam hati, “Asnija, listen to understand...not to reply...”.

“Ok...cuba Amni cerita betul-betul, Amni nak pisang tu untuk apa sebenarnya?”

Cerita Amni seterusnya membawa saya ke Jusco pada malam itu. Bukanlah pisang yang diperlukannya, dan pesannya berulang kali “dengan batangnya sekali”...rupanya ada sebab musabab. Dan saya yang salah kerana gagal untuk memahami. Saya gagal untuk mendengar menjangkaui permintaannya. Walaupun saya bertanya, tetapi untuk tujuan yang tidak relevan langsung. Akibatnya, “an innocent request” bertukar kepada sesuatu yang teramat jauh lari dari konteks asal.

Di Jusco, saya beli bendi dan batang seleri. Di sekeliling rumah saya tidak ada pokok pisang, jadi itu alternatif terbaik. Jika dari awal saya dengar dengan niat untuk memahami, pasti lebih cepat saya menyelesaikan masalah Amni.  Tidak perlu syarahan pertama atau kedua atau ketiga. Paling penting, saya tidak melukakan hatinya dengan menilainya yang bukan-bukan.

Amni memahami arahan gurunya dari perspektif kanak-kanaknya - tidak pernah melihat dengan teliti pokok pisang, dan pelepah pisang.  Dia hanya pernah melihat pisang.  Bila gurunya berpesan batang pelepah pisang, dia hanya dapat menggambarkan sesikat pisang - pisang dan batangnya.  Saya pula menerima pesanannya dari perspektif dewasa....kesian dia...kena marah tak tentu pasal....


Inilah rupanya tujuan dari "pesanan guru" Amni....












Teringat satu pepatah Inggeris – “Dengar...atau lidah akan menjadikan anda tuli.”

Malang sungguh, walau boleh mendengar, tetapi pekak...

Jadi...
Dengar...
Dengar betul-betul....
Dengar dengan mata hati...
Dengar untuk memahami...

(Jangan ulang kesilapan saya...)

Monday, January 24, 2011

Dengar...(Part 2)

Bila petang, saya lihat anggur di peti sejuk tidak disentuhnya langsung. Jadi, saya pergi memujuknya. Namun, Amni masih lagi mahukan saya membelikannya pisang, dan dia berpesan lagi, “dengan batangnya sekali.”





“Mana boleh beli pisang sebiji saja...selalu kan ibu memang beli sesikat terus...” Jawab saya. Pelik juga bila dia meminta sebegitu spesifik “dengan batangnya sekali”. Kemudian, saya terus cuba menasihatinya.

“Tak baik bila merajuk macam ni....marah-marah pulak tu...susah-susah ibu dan abah belikan anggur, mahal tau anggur tu....patutnya Amni cakaplah terima kasih dulu...ini marah-marah pulak...” (Syarahan pertama...)

“Kan berdosa bentak-bentak ibu bapa macam tu....” (Syarahan kedua...)

“Kalau anak orang susah tu, emak bapa dia belikan anggur...mesti suka sangat. Mesti diorang happy. Amni pulak marah-marah....patutnya Amni bersyukur tau...” (Syarahan ketiga...)

“Ye lah...Amni dah pesan pisang...kenapa ibu beli anggur pulak...sekarang dah petang...mesti tak sempat nak beli pisang dah...” Amni menjawab...selepas syarahan saya yang ketiga, dia masih mahukan pisang juga...saya menahan sabar. Saya terus memujuknya, “Besok ye...”

“Besok dah tak sempat...biarlah Amni kena marah dengan cikgu je...”

Aikk...apasal pulak ni?  Tiba-tiba ada bab cikgu...hmmm...

Bersambung.

Sunday, January 23, 2011

Dengar...

“Abah, nanti belikan pisang ye...”

“Belikan dengan batangnya sekali...”

Itu pesan Amni. Waktu itu, pagi Khamis (cuti Thaipusam), saya dan suami mahu ke Giant. Tanpa bertanya padanya, kami terus pergi, dan apa yang kami faham Amni berkirim pisang sesikat, sebab dia berpesan “dengan batangnya sekali...”.

Saya tahu pisang memang kegemaran Amni. Tapi, rasanya baru sangat kami belikannya pisang...asyik pisang saja...jadi kami ingin berikan dia pilihan lain pula. Kerana mengingatkan Amni tidak tahu berpesan buah lain, kamipun kononnya menjadi ibubapa yang prihatin. Kerana sayang....kamipun membelikan Amni 3 jenis anggur....anggur merah tanpa biji, anggur hijau dan anggur hitam. Semuanya kebetulan nampak sangat fresh dan rangup.

Sampai di rumah, Amni terus menerpa kami.

“Ada tak pisang, Bu?” Tanya Amni sambil menyelongkar plastik beg satu demi satu.

“Ibu beli anggur pulak...kan jemu asyik pisang je...hari tu baru makan pisang...tukar-tukar lah...” Jawab saya, sambil menunjukkan beg plastik yang berisi anggur-anggur tersebut. Selalunya Amni akan kegirangan dan menyuruh saya membasuh anggur supaya dia dapat terus memakannya. Tapi hari itu dia merespon dengan cara yang saya tidak sangka langsung. Sebaliknya, Amni seperti kecewa dan marah pula kepada saya.

“Ibu ni....orang cakap pisang, kenapa beli anggur pulak?” Dia bersungut-sungut dan merajuk.

Saya terperanjat juga bila dia bersikap begitu, sedangkan saya dan suami pula kepenatan, ikutkan hati, saya mahu benar memarahinya semula...dalam hati saya...anak betuah...tak berterima kasih langsung....

Mmm...apasal beriya benar Amni mahukan pisang?

Bersambung...