Friday, July 17, 2009

Sup tulang.

Sup tulang memang menjadi hidangan kegemaran keluarga saya. Ditambah pula dengan sambal kicap. Memang berpeluh anak-anak dan suami makan. Selalunya, selain nasi, ada juga bihun. Jadi mereka boleh memilih untuk makan nasi atau bihun sup.

Tapi hari itu, sup tulang satu periuk tidak luak...saya sebenarnya tahu mengapa tapi tidak tahu sebabnya.

Bila sup masih tidak luak hingga ke malam saya bertanya pada Nisha, "Tak sedap ye sup tu?"

Lama untuk Nisha menjawabnya. Setelah berulang kali saya bertanya, akhirnya Nisha menjawab penuh diplomasi, "Sup tu ok la jugak, tapi mungkin dah biasa makan yang Kak Ija punya kot...".

Itu jawapan Nisha yang membawa makna (sekurang-kurangnya apa yang saya dapat fahami) - sup Ija lebih sedap daripada sup saya (Ija ialah bekas pembantu rumah saya, baca tentang Ija)

Sedapnya sup Ija...saya yang mengajarnya memasak. Tapi hari itu, sup saya hilang powernya... Sebelum skill jadi betul-betul berkarat, saya mesti buat sesuatu...

Thursday, July 16, 2009

Kenangan terindah.

Catatan umrah - episod terakhir.


  1. Saya tidak pernah menyangka impian ini tercapai dalam masa yang singkat. Perjalanan ini saya harapkan menjadi satu perniagaan yang menguntungkan. Sehingga sekarangpun masih tertanya-tanya, betulkah sudah sampai ke sana, betulkah sudah melihat Kaabah. Teringat dulu ketika berwudhu’ membasuh kaki kanan selalu berdoa, Ya Allah, semoga kaki ku ini membawa ku segera ke rumah Mu dan menziarahi kekasih Mu. Sekarang bila berwudhuk membasuh kaki, sudah pasti terkenang saat berdoa dulu sewaktu ingin sangat pergi. Dan kali ini doa tetap diteruskan agar dapat dijemput lagi untuk menunaikan haji.

Apa yang saya pelajari dari kenangan terindah ini:

  1. Tawakal ketika menabung, hanya Allah yang akan membuka pintu rezeki dari semua arah.
  2. Pilih agen yang baik, dapatkan saranan dari rakan-rakan atau keluarga berdasarkan pengalaman mereka.
  3. Banyakkan solat taubat, solat hajat dan solat istikharah.Habiskan semua puasa qodho’, dan qodho’ solat.
  4. Beritahu ibu bapa, mohon keredhaan mereka dan kemaafan mereka.
  5. Baca buku Travelog Haji oleh Profesor Muhd Kamil.
  6. Lawat blog Cik Lie; http://www.manzlie-makkah.blogspot.com
  7. Rangkakan amalan-amalan yang ingin dilaksanakan di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.
  8. Download layout Masjid Nabawi dan Masjidil Haram dari internet supaya tahu kedudukan pintu-pintu – ini sangat membantu bagi yang datang pertama kali.
  9. Catatkan doa-doa dan hajat yang ingin dipohon - hafal dan ingat.
  10. Sematkan satu misi dan objektif menunaikan umrah/haji – kenapa aku pergi umrah?
  11. Fikirkan 3 perkara yang ingin ditambah/dibuat dan 3 perkara yang ingin dikurangkan/dibuang.
  12. Bersangka baik dengan Allah – mohon bantuan dan dipermudahkan urusan.
  13. Melihat semua perkara dengan mata hati.
  14. Tinggalkan pesanan dan wasiat pada orang yang amanah.
  15. Lihat semua perkara sebagai nikmat.
  16. Lakukan semua perkara sebagai ibadah.
  17. Redhakan semua cubaan dan musibah.

Cabaran sebenar adalah apabila pulang di tanahair. Melaksanakan adalah mudah. Yang susahnya adalah untuk konsisten dan istiqamah. Suasana di Tanah Suci berbeza dengan di tanahair. Mabrur atau tidak, terletak di tangan kita…

Kepada yang belum pergi, saya doakan anda akan menerima jemputan tersebut satu hari nanti. Pergilah…pastinya menjadi suatu kenangan yang terindah…

Kasihnya ibu.

Catatan umrah - backdated.

Adik beradik saya dan Amni semestinya menyambut kami di airport. Ija memberitahu Amni tidak tidur lena malam itu, sekejap-sekejap terjaga kerana teruja untuk menjemput kami di KLIA. Pukul 5.00 pagi sudah menggerakkan Ija untuk mandi, “Cepat K.Ija, nanti kita lambat ke KLIA.” Padahal, kami hanya akan sampai pukul 1.00 tengahari.

Urusan bagasi agak lambat dan kami menunggu hampir setengah jam. SMS dari Su saya terima berkali-kali memberitahu mereka sudah ada di luar menunggu. Saya juga sudah tidak sabar menemui Amni. Tiba-tiba datang rasa rindu teramat sangat.

Sampai di luar, kami tidak nampak mereka dan tercari-cari. Sehinggalah saya terdengar suara Amni menjerit memanggil sambil dia lari menerpa dan memeluk saya. Dia memeluk, dan mencium pipi saya kiri dan kanan. Kami memang tidak pernah berpisah meninggalkan dia seorang. Ketika itu, memang dapat saya rasakan Amni amat merindukan kami semua. Amni sebenarnya lebih rapat dengan bapanya, tetapi hari itu, dia lebih ‘melekat’ dengan saya. Mulutnya bercerita semua perkembangan dia di sekolah dan di rumah. Paling mengharukan bila dia membuat kejutan Hari Ibu. Amni, berumur 7 tahun, meminta Pak Usunya membelikan kek di Secret Recipe untuk ‘surprise-kan ibu’. 2 perkara yang sangat menyentuh hati saya, pertama, ingatannya tentang Hari Ibu, kedua, ingatannya tentang kek kegemaran saya di Secret Recipe. Saya tidak pernah memberitahunya atau bercakap tentang kegemaran saya ini, tetapi rupanya Amni sangat ‘observant’ berbanding umurnya yang baru 7 tahun. Itu yang membuatkan saya sangat terharu. Saya juga amat menghargai kesungguhan Ijun (Pak Usu) menunaikan harapan Amni, meluangkan masa untuk menempah dan membeli kek tersebut, juga mengeluarkan wang dari poketnya…saya tahu mahal kek itu…

Dan paling membuatkan saya merasa amat disayangi…abah dan emak menjemput Acik dari Seremban untuk datang dan memasak juadah istimewa tengahari itu, semata-mata untuk menjamu kami. Acik pula memasak bersungguh-sungguh dari hati. Ada laksa kegemaran suami, Nisha dan Zaid. Ada rendang ayam kegemaran saya, nasi impit dan sambal goreng jawa. Mereka sangat ‘observant’, kerana setiap satu juadah yang dimasak adalah kegemaran kami.

Saya rindukan Kaabah…tetapi di sini saya berasa dirindui dan disayangi….

Wednesday, July 15, 2009

Perjalanan yang panjang.

Catatan umrah - backdated.

(Bergambar dengan berlatarbelakangkan Masjid Terapung dan Laut Merah)

Kami sampai di Jeddah lewat petang, sempat juga bersolat Asar di Masjid Terapung. Kesempatan ini juga kami ambil untuk mencecah kaki di Laut Merah. Satu kenangan terakhir di bumi Arab yang tidak kurang manisnya. Angin laut bertiup masuk hingga ke tempat solat muslimah. Ramai jemaah dari agen lain turut berhenti solat di situ. Ruang musolla dipenuhi jemaah Malaysia dan Indonesia. Saya agak, pastinya semua satu penerbangan dengan kami.

Hati terasa sedih mengucap terima kasih dan selamat tinggal kepada ustaz-ustaz dan pekerja Rayhar yang mengiringi kami hingga ke airport. 10 hari bersama sudah sangat rapat dan mesra. Mereka membantu dengan penuh keikhlasan, rasa kami ini sangat dimuliakan. Kini perlu berpisah pula… Waktu makan bersama-sama di ruang airport itu, kami duduk bersila, berbual-bual dan bergurau. 13 hari yang lepas, kami semua sangat asing antara satu sama lain. Jauh bezanya dengan hari itu, kami sudah seperti keluarga yang besar, sangat rapat dan mesra. Tali silaturrahim yang terjalin memang cukup manis.

Keadaan lebih riuh rendah bila di dalam kapal terbang, seperti rumah sendiri. Masing-masing cuba membantu agar dapat duduk dengan pasangan dan keluarga masing-masing. Kemesraan itu dapat mengelakkan hati dari melayan rasa sedih meninggalkan Baitullah. Selepas hidangan pertama, kebanyakan jamaah melelapkan mata. Suasana jadi sepi, dan waktu inilah kesempatan merenung perjalanan yang panjang selepas ini. Saya merasakan mabrur atau tidak umrah ini, bergantung pada diri saya sendiri. Saya menggariskan 3 perkara penting yang saya akan mula lakukan selepas ini, dan 3 perkara yang saya mahu berhentikan. Cabarannya bagai mendaki bukit, tarikan graviti pastinya membuatkan pendakian jadi sangat mencabar. Cabaran pertama tentunya mengambil tindakan untuk melaksana atau untuk berubah. Keduanya, istiqamah. Dan ketiganya memperbaiki tindakan. Saya bimbang akan gagal dalam sudut berterusan dan konsisten. Tapi saya berazam untuk tidak patah semangat dan berhenti sekerat jalan. Perjalanan ini saya akan cuba teruskan hingga nafas terakhir. Tanpa disedari, saya akhirnya hanyut dibuai mimpi indah mengelilingi Baitullah...

Lambaian terakhir.

Catatan umrah - backdated.




(Gambar ehsan dari Cik Lie)



Melangkah kaki ke Masjidil Haram amat menyiksakan tengahari itu. Bagasi sudah di lobi. Saat-saat perpisahan sudah semakin hampir dan tak mungkin dapat ditangguhkan lagi. Selesai solat Zohor, saya dan Nisha sujud syukur atas jemputan ini dan kesihatan yang Allah pinjamkan sepanjang di Tanah Haram. Kami sekeluarga memang sangat beruntung kerana sihat sepanjang tempoh 13 hari di Tanah Suci.
Memang terik tengahari itu, tetapi tidak terasa ketika Tawaf Wada’ kerana hati lebih melayan syahdu di antara bacaan doa pusingan demi pusingan. Sedu sedan ketika solat sunat memang amat meruntun jiwa, dan membaca doa agar Allah tidak jadikan ini ziarah terakhir menjadikan diri berasa amat lemah dan tidak berdaya apa-apa. Sesaat yang akan datang bukanlah di tangan kita. Hidup dan mati hanyalah Allah yang menentukan.

Mata tidak dapat berpaling di saat meninggalkan Kaabah. Hati tidak sanggup membelakanginya dan berjalan menuju ke pintu King Abdul Aziz terasa sangat berat. 9 hari menjadi tetamu rumah ini bagai sudah cukup sebati, bagai sudah menjadi rumah sendiri. Di depan pintu King Abdul Aziz, kami berpaling melihat Kaabah buat kali terakhir dan menyarung kasut dengan perlahan. Dalam hati, Ya Allah, jemputlah aku lagi, jemputlah aku lagi….

Malam terakhir...

Catatan umrah - backdated.

(Pemandangan Masjidil Haram pada malam terakhir, kelihatan Pintu King Abdul Aziz dan laluan ke bumbung masjid. Gambar ini di ambil dari jalan ke hotel kami, Maqam Al-Qasar)



Tanyalah pada yang pernah ke Masjidil Haram, menunaikan umrah ataupun haji, bagaimana perasaan untuk meninggalkan Baitullah. Perkataan sedih untuk berpisah tidak terungkap bila kita sendiri yang mengalaminya.
Saya beranggapan hari terakhir, hari ke-14 di Tanah Suci ialah hari Ahad. Lewat Hari Isnin, saya merasakan waktu masih panjang untuk menikmati ibadah di Masjidil Haram. Hati masih berbunga gembira dan amat senang dengan pengalaman berulang alik ke masjid. Sehinggalah malam itu bila Nisha mengingatkan saya, “Bu, Ahad tu kita dah kat Malaysialah. Itu tarikh kita sampai kat KLIA, bukan hari nak balik…”. “Ya ke?”. Soal saya sambil merujuk kepada jadual umrah. Memang betul, Sabtu merupakan hari terakhir. Kami hanya ada sehingga solat Zohor sebelum Tawaf Wada’. Bermakna Jumaat merupakan hari penuh yang terakhir. Tempoh 6 hari lagi untuk balik ke Malaysia rupa-rupanya cuma tinggal 4 hari saja. Pada masa itu, kepala jadi kosong, hati jadi sedih tidak keruan. Saya bagaikan terduduk hilang semangat, sedih teramat sangat mengenangkan betapa singkatnya jumlah 4 hari itu. Saya mula tidak tentu arah, badan rasa melayang, fikiran terbawa-bawa rasa bagai kehilangan, lebih mudah saya katakan…”I’M TOTALLY LOST!”
Di tengah-tengah perasaan hiba tersebut, saya juga bimbang jika terbawa-bawa kesedihan yang berlebihan hingga ke Malaysia. Lebih-lebih lagi, ketika itu, saya sudah tidak lalu makan, badan rasa lemah dan longlai dan perjalanan ke masjid amat menghibakan, apatah lagi bila memandang Kaabah. Lalu saya solat hajat dengan jujuran airmata agar Allah menenangkan hati saya dan menguatkan hati saya pada perpisahan ini. Paling penting agar Allah akan sentiasa mengubat kerinduan saya dengan sentiasa menjemput saya berulang-ulang ke rumah Nya.
Selepas itu barulah saya mempunyai semangat untuk menghabiskan sisa-sisa hari di Masjidil Haram. Saya dan Nisha mengira-ngiranya dengan saling mengingati, “Ini Asar terakhir…”, “Ini Maghrib terakhir…”, “Ini Isya’ terakhir…”, “Ini Subuh terakhir…”, “Ini Zohor terakhir…”. Mengikut jadual, tawaf wada’ perlu kami lakukan selepas Zohor terakhir...
Pada 2 malam terakhir, ketika berkemas barang, saya menyembunyikan kesedihan dan airmata yang bergenang dari suami. Suami sebenarnya sudah 'membebel' menyuruh berkemas, tetapi saya tidak sanggup, hinggalah malam itu. Walau saya amat ingin menangguh-nangguhnya lagi, tapi hakikatnya, saya perlu juga berkemas barang. Malam terakhir, kami sekeluarga menikmatinya dengan menyusuri sekitar Masjidil Haram. Saya dan Nisha jalan berpelukan memandang Masjidil Haram yang bergemerlapan dengan lampu. Kami merenung, dan merenung, dan merenung tanpa rasa jemu...

Wednesday, July 1, 2009

Masjidil Haram dahulu & sekarang.


(Masjidil Haram dan Kaabah dahulu - kawasan tawaf masih lagi sempit dengan adanya telaga zam-zam (bahagian seperti menara bulat di depan multazam/pintu Kaabah)









(Masjidil Haram - setelah telaga zam-zam ditutup, kawasan tawaf menjadi lebih besar)












(Telaga zam-zam dahulu)













(Telaga zam-zam yang sudah dipasang pam)













(Tangga Kaabah dulu)

Bukit yang ingin kudaki...

Catatan umrah - backdated.


Bukit Thur (Gua Thur berada di bahagian belakang bukit. Asma' perlu naik ke puncak, dan turun semula untuk sampai ke gua Thur.)
Sayup mata memandang Bukit Thur yang tinggi. Bagaimanakah Asma' mendaki bukit tersebut dalam usianya yang muda. Pasti sangat berani. Bukan sekali, malahan lebih dari sekali Asma' mendaki sendirian dengan bekalan makanan di kanan dan kirinya. Mendengar cerita ustaz tentang gua yang menjadi tempat persembunyian Rasulullah dan Saidina Abu Bakar hanya cukup-cukup untuk mereka berdua, dan bagaimana kaki Saidina Abu Bakar sebenarnya terkeluar sedikit dari pintu gua, sememangnya dapat merasai bagaimana ketakutan Abu Bakar sehingga ditenangkan Rasulullah, "Allah bersama kita..." Sekiranya Quraish melihat ke kanan sedikit, sudah pasti nampak kaki Abu Bakar. Tetapi Allah Maha Berkuasa dan Maha Melindungi. Dengan bantuan burung merpati dan sarang labah-labah, Quraish lansung tidak menyangka gua tersebut ada orang di dalamnya...


(Gua Hira' terletak di belakang bukit ini.)

Kemudian lawatan kami terus ke Gua Hira'. Gua ini juga kecil dan muat untuk seorang berdiri. Menurut riwayat, dinding gua akan membesar bila Rasulullah berdiri untuk solat. Dan bila Nabi solat, lubang-lubang kecil akan terbuka di dinding gua agar Rasulullah boleh terus memandang ke arah Kaabah. Ustaz bercerita, sampai sekarang kesan-kesan lubang masih ada di dinding yang mengadap ke Kaabah. Kuatnya azam Rasulullah mendaki bukit ke Gua Hira', curam dan berbatu. Membayangkan saat baginda menerima wahyu...padanlah baginda jadi menggigil dan ketakutan.

Memandang ke arah dua bukit ini, terasa kecilnya saya. Banyaknya dan luasnya jurang pengorbanan dan keimanan yang perlu ditampung...

Unta oh unta!

Catatan umrah - backdated.

Lawatan ke ladang unta memberi banyak pengalaman baru. Paling mengujakan ialah dapat merasa susu unta, 'still warm', perahan fresh dari unta secara life...sebotol 5 Riyal, tetapi bila jamaah kami menunjukkan minat membeli dengan banyak, sebotol jadi 3 Riyal.

Saya beli 3 botol. Ustaz kata susu unta banyak khasiat. Daging unta pernah saya makan, sedap dan lembut. Hati unta, belum lagi. Tapi susu unta, saya kuatkan semangat untuk minum. Susu unta ni pekat dan berkrim. Saya ingat berbau, tetapi rupanya tidak. Rasanya lemak dan enak. Puas memujuk Nisha untuk merasa, mana tahu dapat menjadi penawar segala penyakit yang ada, tapi Nisha tak berani....saya kata rugi...

Sebotol saya gunakan untuk mencuci muka dan rambut. Tak sangka, rambut jadi lembut, dan kesan terbakar pada muka saya akibat cuaca yang panas di Mekah jadi hilang menggerutunya, kulit jadi licin. Baki yang 2 botol, saya bekukan, dan balut dengan tuala dan saya letakkan dalam beg besar. Alhamdulillah, sampai ke Malaysia, susu unta masih fresh dan sejuk.

Sekarang, mencari-cari apa yang dimaksudkan dalam Al-Quran, "tidakkah engkau pelajari sesuatu dari unta..." Pasti ada yang perlu dipelajari darinya...