Saturday, February 19, 2011

Budak sekarang...

Bukan senang nak senang....
Dan bukan susah nak senang...

Yang senang ialah tidak berbuat apa-apa....goyang kaki....
Yang susah ialah bila terpaksa buat itu dan ini...goyang tangan...



"Hmmm....susahnya nak senang....."
Mungkin itu yang si kecik ni fikirkan...




Teringat masa kecil dulu...multi tasking sungguh sebagai anak sulung.  Angkat air berbaldi-baldi ke atas rumah untuk membasuh pinggan, kemudian menyapu satu rumah, basuh pula tangga kayu yang penuh dengan tapak kaki ayam, kemudian basuh baju dengan tangan, lepas tu menyiang ikan pula.  Menjelang petang, teringin benar bermain dengan kawan-kawan, tetapi kena tunggu di rumah menunggu orang yang datang membeli aiskrim.  Sambil itu, sempat juga membuat kerja sekolah dan latihan matematik.


Tapi anak-anak sekarang, semuanya berkira.  Sudah biasa senang, bila susah sedikit, panjang keluhannya.  Tapi jika tidak dibiasakan susah, nanti kurang pula daya tahannya.


Realiti kehidupan tidak semuanya manis-manis belaka.  Yang pahit, yang perit, yang jerih merupakan asam garam kehidupan.  Melatih anak-anak untuk biasa susah...memang susah.  Dari kecil mereka perlu faham kenyataan ini.  Adakalanya realiti hidup boleh jadi terlalu kejam.  Tidak semua penat lelah menerima imbuhan setimpal, adakalanya tidak mendapat penghargaan pun.  Dan mereka juga perlu menyedarinya dari sekarang, tidak semestinya setiapkali berjaya dalam peperiksaan akan mendapat imbuhan...


Kita sendiripun...tidak semestinya setiap tahun menerima bonus walaupun kita mencapai semua KPI yang disasarkan.  Adakalanya penat berkerja berhempas pulas, tetapi tiada siapa menghargai.  Memang itulah realiti kehidupan...tidak hanya yang manis-manis sahaja.


Budak-budak sekarang...hanya yang manis-manis saja dalam fikiran mereka....susah benar mahu menyinsing lengan...

Tuesday, February 8, 2011

Bila patah hati...

Lama juga saya tidak berjumpa dengannya, hampir 4 tahun. Jadi bila bertemu, memang seronok bersembang. Hampir setengah jam bertukar-tukar khabar dan apa yang terkini tentang diri masing-masing. Dia kelihatan seperti biasa, jadi saya juga bertanya perkara-perkara yang biasa.


Memang saya tahu tentang kisah rumahtangganya, tetapi ketika itu, tidak pula tergerak hati untuk bertanya tentang itu. Sementelah dia nampak ceria, jadi saya beranggapan masalahnya sudah dapat diselesaikan dengan baik. Sambil minum-minum, kami meneruskan perbualan, dan saya tetap tidak bertanyakan tentang perkembangan masalahnya sehingalah dia membuka mulut.


“Kami bercerai juga akhirnya, kak.” Luahnya perlahan. Airmukanya juga berubah dan tidak seceria tadi.


“Baru je...tapi dah rujuk semula....” Sambungnya lagi. Sebenarnya saya tidak tahu untuk menjawab apa.


“Saya hanya mengenangkan anak dan komitmen untuk menyara diri, sebab itu saya setuju untuk rujuk semula. Tapi perasaan sudah tidak ada.” Saya mencari kata-kata tetapi tidak terfikir ayat yang terbaik untuknya ketika itu.


“Alhamdulillah...” Tiba-tiba itu yang terpacul dari mulut saya.


“Maksud akak, Alhamdulillah dah rujuk semula.”


“Sekarang bagaimana?” Soal saya lagi.


“Sekarang ni saya buat apa yang dia suka...walaupun mungkin saya tak suka. Takpelah, asalkan dia suka.” Jawapannya jelas bernada merajuk.


Saya lihat dia memang sudah berputus asa, mungkin merasakan diri mangsa keadaan. Hidup sendiri susah, hidup bersamapun susah.


“Apa kata bermula dengan buat apa yang Allah suka berbanding apa yang suami suka. “ Saya memberikan cadangan.


“Apa bezanya, kak?”


“Bila buat apa yang Allah suka, niat kerana Allah, maka perkara tu jadi ibadah. Bila satu ibadah, kita jadi dekat dengan Allah. Hubungan dengan Allah jadi rapat.”


“Lepas tu?” Soalnya lagi.


“Bila kita jaga hubungan kita dengan Allah, nanti Allah jaga hubungan kita dengan manusia.”


“Suami tak boleh beri kita pahala, tapi Allah boleh...” Pujuk saya.


“Kekuatan dan kegembiraan diri tidak terletak di tangan suami, ianya di tangan sendiri....pilihan sendiri. Bangunkan kekuatan diri agar berasa gembira dengan kebolehan diri. Ketentuan Allah tidak dapat kita membacanya. Hidup sendiri boleh jadi sebab bercerai, boleh jadi sebab kematian suami. Jadikan diri kita kuat untuk menjadi tempat bergantung anak-anak.”


“Orang lain atau suami boleh melukakan hati kita, tapi jangan pula kita patah hati. Bila suami mahu rujuk semula itu maknanya dia masih perihatin untuk bersama. Itukan petanda baik. Usahlah berterusan merundung nasib yang malang...”


“Kalau tiada perasaan pada suami, tak mengapa. Mungkin susah untuk melupakan dan memaafkan. Bergembira dengan anak-anak, berseronok dengan mereka. Sebab, jika kita tak mampu bergembira, kita pun tak boleh menggembirakan anak-anak dan orang disekeliling kita. Fikir kekurangan diri dan perbaikinya. Mungkin ada yang boleh dipelajari dari masalah ini. Kenal pasti apa kekuatan diri dan bangunkannya. Semua manusia berhak untuk bahagia.”


“Doa banyak-banyak agar Allah memberikan petunjuk dan hidayah pada suami. Hanya Allah yang boleh membuatkannya lupakan perempuan tu. Hati kita di tangan Allah, dan Dia boleh bolak-balikkan hati suami dengan sekelip mata. Tapi, kita sendiri perlu berubah terlebih dahulu.”


Sebelum berpisah petang itu, saya sempat berbisik padanya, “Tak pe...semasa suami sihat dia tak mengenangkan kita, asalkan bila dia sakit kita sudi menjaganya...”


Dia tersenyum...tertanya-tanya dengan bisikan saya itu. Saya tidak menjawab, hanya mengangguk-anggukkan kepala.  Dalam hati saya berkata, nanti esok lusa...fahamlah dia tu...


Sepanjang perjalanan pulang, saya turut merasakan kepedihan yang ditanggungnya....berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bagi saya, pucuk pangkalnya adalah rasa percaya. Bila rasa percaya dimusnahkan, harapan turut hilang...kecewanya bukan kepalang...


Bila sudah patah hati...bukan senang memulihkannya. Lebih baik jangan, kerana merawatnya terlalu payah...bagaikan mustahil...


Pernahkah anda patah hati? Kalau pernah....anda tahulah sendiri.....