Wednesday, November 20, 2013

Jualan Brooch Bergemerlapan!!!

Bulan ni sibuk sungguh melayan Nisha SPM.  Bukan bulan November ni saja, malah sejak musim Trial SPM lagi.  Tapi Alhamdulillah, sedikit demi sedikit, banyak sungguh perubahan Nisha.
 
Dalam sibuk ni, nak share cepat-cepat pasal tentang jualan brooch di MizzNiaga.  Cantik-cantik, bergemerlapan.  Malam tadi upload gambar, banyak pulak yang dah sold out!!
 
Jadi, jangan tunggu lagi...cepat-cepat ke MizzNiaga sebelum kehabisan.  Jamu mata pun tak pe...
Berklip-kelip...blink...blink...
 
Sempat copy beberapa gambar dari MizzNiaga...






Selamat bershopping!


 

Sekarang semuanya dah senang...tapi masih tak buat jugak!

Saya teringat dalam satu ceramah agama, rasa terpukul dengan apa yg ustaz tu cakap.  Ianya tentang membaca Al-Quran.  Melayari internet lebih istiqamah berbanding melayari Al-Quran.  Pedas terasa penangan cili api...

Yang tak pandai baca, kata tak pandai baca.
Yang tahu baca, kata tak ada masa.
Yang ada masa, kata tak ada Quran.
Yang ada Quran, kata tak ada wudhu'.
Yang ada wudhu', kata apa pulak lagi...

Ustaz tu kata lagi, kalau tak pandai baca Quran, rugi sangat kalau tak nak belajar.  Yang pandai baca Quran lagi rugi bila malas nak baca.

Dulu boleh lah dengan pelbagai alasan...
Bila ada masa nak baca...Quran pulak tak ada...
Bila Quran ada...masa pulak tak ada...

Tapi sekarang ni...
Kalau dah sempat download applikasi Whatsapp...maknanya sempat sangatlah kalau nak upload applikasi Quran...

Bila dah dalam smartphone, dah dalam Iphone dan Ipad atau dalam Note 3,  kan senang...
Nak baca bila-bila masa pun boleh...malahan dalam blackout pun boleh baca!

Kalau dah sempat melayan FB dan WA...maknanya sempat sangatlah baca sebaris ayat Quran.

Pernah terbaca satu joke perbualan manusia dengan Tuhan di depan pintu syurga... (cerita ni ambil nilai murninya dengan fikiran terbuka ye...)

Tuhan: Kenapa kamu tak baca Quran?
Manusia: Saya tak tahu baca...
Tuhan: Kenapa tak belajar?
Manusia: Saya nak belajar...tapi tak tahu nak belajar kat mana...
Tuhan: Oh!!!
Manusia: (Dalam hati...lega...)
Tuhan: Emmm...kamu tahu tak Google?
Manusia: (Dengan excited)...Itu saya tahu!
Tuhan: Habis? Kenapa tak Google mana tempat nak belajar Quran?
Manusia; ????!!!!! (kantoi!!!)

Bila direnung jenaka di atas...
Sekarang ni...lagi tak logik kalau  kata tak tahu!

Sekarang ada pulak Quran Digital, satu ciptaan yang sangat canggih dan bijak.  Kalau dah malu sangat nak belajar, untuk permulaan, bacalah ayat demi ayat sambil dengar sebutan yang betul dari Quran digital.  Betulkan sebutan dan makhraj dengan bantuan Iqra' digital.  Itu cara yang paling mudah.  Sekarang Quran digital dah murah. Kemudian, berdoa pada Allah supaya hilangkan ego dalam hati, agar tidak rasa malu untuk belajar seawal Muqaddam.  Bila mula hilang rasa malu, pergilah berguru. Itu wajib!

Sehari satu ayat...setahun terbaca juga 300 ayat...

Hari ni dah mengaji ke belum? 









 

Thursday, September 5, 2013

Alaa... You boleh lah!

Tak suka betul bila orang cakap macam ni. Rentetan dari entri saya tentang cikgu tutor glamer, ramai yang beri emel dan cakap macam ni...you boleh laa...you terror math, I ni Math memang tak pandai...

Emm...cerita saya tu hanyalah contoh proses yang saya buat dan alhamdulillah memang berkesan. Namun teknik perlaksanaannya boleh gunakan kaedah anda sendiri yang lebih sesuai - sesuai dengan anda, sesuai dengan anak dan sesuai dengan kebolehan.

Anjakan paradigma - dulu suspen...
sekarang add math jadi
subjek kegemaran Nisha...
(Nak tahu caranya?)























Sebenarnya, ada pertalian yang susah saya nak terangkan bila anak diajar sendiri oleh ibunya. Pertalian yang unik dan sangat berbaloi-baloi. Saya adalah guru yang garang bila mengajar anak saya mengaji, membaca Peter & Jane dan lebih garang bila jadi cikgu tusyen anak-anak. Kami sama-sama stress, sama-sama belajar. Tapi yang paling best in the world ialah bila kami sama-sama meraikan pencapaian dan kejayaan. Sebab kami sama-sama tahu sejauh mana dan sebesar mana improvement yang telah dicapai, kegembiraan kami jadi sangat luarbiasa. Saat ini memang priceless!

Pernah tak mengalami rasa teruja bila anak kita tiba-tiba boleh melangkah setapak masa dia kecil dulu? Macamana kita bersorak? Kenapa kita seronok sangat? Sebab kita tahu ianya satu achievement, kita tahu dulu dia tak boleh berjalan, kita nampak macamana dia usaha nak imbangkan badan, gagahkan diri nak mulakan langkah pertama. Kita bersama mereka di saat-saat genting tu. Bila dia boleh berjalan selangkah je...macamana kegembiraan tu? Seronok sangat! Itulah yang saya maksudkan. Seronoknya bila kita ada bersama waktu dia belajar berjalan...

Samalah bila kita ada bersama waktu dia belajar dan ulangkaji pelajaran. Tapi, kalau tak boleh ajar sendiri, hantar saja anak ke pusat tusyen. Balik dari tusyen, jadualkan masa untuk anak kita mengajar kita semula...supaya kita pun jadi pandai sama.

Kalau anak kita tahu dari awal, balik dari tusyen dia kena mengajar kita pulak, agak-agak dalam kelas tu macamana gaya dia belajar? Fokus ke tak fokus?

Kalau sedang dia belajar, ada pulak bahagian yang dia kurang faham, sedangkan bahagian tu kena mengajar emak dia pulak nanti, agak-agak dia akan tanya dan minta cikgu terangkan lagi ke tak?

Jadi bila anak kita mengajar kita nanti, siapa yang sedang belajar sebenarnya? Kita memang belajar (tapi itu tak penting), tapi anak kita belajar lebih lagi dan dalam masa yang sama mengukuhkan kefahaman dan ingatan. Memang itupun yang kita nak, kan? Suka tak taktik tu?

Lepas ni, bila tengok kertas jawapan exam anak, tanyalah kenapa jawapan tu salah? Biar anak yang terangkan - dia cuai ke, dia tak tahu ke, dia tak faham ke dan sebagainya. Tapi dengan syarat bila tanya tu janganlah gaya inspektor polis, kerja nak menyiasat dan nak menghukum je... Kalau macam tu gayanya memang malas anak nak melayan. Tujuan kita ialah untuk memahami kelemahan dan membantu. Nak cari punca supaya kita tahu cara nak tolong. Kira macam nak diagnosis lah ni. Baru tahu punca sebenar, baru boleh beri ubat yang betul.

Kemudian, kalau tak boleh ajar sendiri, bincang dengan anak cara nak membantunya - tusyen ke, tanya cikgu ke, personal tutor ke...

Jadi lepas ni...nak cakap apa lagi?

Janganlah cakap macam ni pulak, alaaa...you bolehlah, you work from home, masa banyak. Bolehlah duduk dengan anak lama-lama macam tu...kerja I lain, malam dah sibuk nak masak lagi, lipat kain lagi...

Kalau dah macam tu, memang saya tak boleh tolong.... Dah memang sibuk nak buat macamana...

Tapi kalau nak, mesti ada jalannya...
Kan...kan....kan?

(Ada masa lagi ni...SPM ada 6 minggu lagi...sempat lagi jadi tutor yang akan anak puja-puja...)




 

Thursday, August 29, 2013

Jom Niaga!

Kita mesti teringin nak berniaga kan!

Paling tidak, ada menyimpan niat untuk mempunyai perniagaan sendiri satu hari nanti. Cemburu juga bila melihat rakan-rakan berjaya menjana pendapatan tambahan dengan berniaga.

Tapi modal tak ada.
Tak tahu nak berniaga apa.
Tak ada bakat.
Tak tahu nak bermula di mana. (Mulakan impian di sini)

Apa kata kita cuba yang senang dulu, yang tak perlu keluarkan modal. Kita boleh mulakan dengan jom niaga.

Daftar di Jom Niaga, kemudian boleh mula menjual. Mula dengan tiada modal, kemudian kumpul hasil jualan sedikit demi sedikit, dan bila dah terkumpul boleh gunakannya sebagai modal.  Senang kan!

Tunggu apa lagi? Daftar cepat, bertindak cepat, dapat duit cepat. Bermula dengan sedikit, tapi lama-lama jadi bukit.

Dulu saya pun takut kena tipu, tapi dalam dunia ni, tak semua penipu. Di dunia nyata pun ramai penipu, di dunia virtual pun ramai. Pandai-pandailah mencari ilmu, gunakan ilmu tadi supaya bijak dan berwaspada, kemudian berani berusaha, pasti akan berjaya.  Langkah pertama jika bijak caranya, jauh juga langkah kita itu nanti. Ingat selalu, something will lead to something. Setiap sejuta bermula dengan satu...

Allah dah kata, kalau kita tak ubah nasib sendiri, tak ada siapa yang akan mengubahnya.

Pada yang dah biasa dengan perkataan affiliate dan dropshipper, pasti seronok di jom niaga ni.

Apa tunggu lagi. Jom niaga! Jom mula!

Langkah nak ber-jom niaga:

Langkah 1: Klik sini

Anda akan di bawa ke halaman di bawah dan klik kotak kuning.




















Langkah 2: Anda akan ke halaman berikutnya.  Lengkapkan borang dan klik butang Buat Akaun.




















Itu saja.  Anda boleh mula log-in ke akaun jom niaga anda dan pilih program affiliate yang anda suka.

Selamat menjana duit!

Sunday, August 25, 2013

Terkenal bagaikan artis!

Gempak! Meletop! Marvelous!

2000 notifications di whatsapp saya.... dalam masa 2 jam! Memang melampau! Rekod yang belum pernah saya capai! Awesome!

Saya sendiri tak berpisah dari handphone, sekejap senyum, sekejap tergelak, sekejap terkekek-kekek sambil mengesat airmata.

Hampir 28 tahun tak jumpa, kini bersembang di alam maya, memang banyak topik yang dibualkan. Topik terhangat ialah bercerita kisah silam, perangai di dorm, perangai di kelas. Kesilapan dan kebodohan lampau menjadi gelak tawa.

Semua bertanya 1001 soalan, tak menang tangan menjawab...artis pun tidak ditemuramah se-detail itu oleh wartawan. Wah! Terkenal bagaikan artis.

Sekarang, kami semua sudah menjadi ibu, anak-anak sudah dewasa, kami lebih matang, lebih bijak, lebih banyak makan garam (ehemm), berkerjaya, professional dan ada yang sudah bertaraf VIP.

Dan, sedihnya...dua orang antara kami sudah pun di alam lain. Mereka antara yang terbijak, yang terbaik. Ketika melihat gambar lama, mereka berdiri di antara kami, tapi siapa tahu apa yang akan berlaku di masa depan. Mereka juga tidak tahu akan pergi lebih dulu. Ketika itu, kehidupan dilalui seperti biasa, penuh harapan, tinggi cita-cita dan keazaman bagai akan hidup 28 tahun lagi...sekarang mereka menjadi sejarah...28 tahun itu tidak mereka punyai...hanya Allah yang tahu!

28 tahun lepas...
Banyak perkara yang kami buat, pilihan yang dibuat...menjadikan kami seperti hari ini. Bidang yang kami pilih, nilai diri yang dipegang, tarbiah yang diterima...

Alhamdulillah, berkat semua itu, kami sekarang menjadi insan, bukan sekadar manusia...

Dalam teruja bercerita....
Saya sekarang kerja di sini...

Saya sekarang tinggal di sini...
Anak saya 3 orang...
Anak saya 7 orang, ada yang kembar...
Anak saya sorang di luar negara, sorang di universiti tempatan, sorang nak SPM...

Memang ada banyak yang tersurat dan tersirat...harapan, impian, kebahagian. Seronok menyelami kebahagian masing-masing. Tumpang gembira dan tumpang berbangga.

Alhamdulillah, status kami lebih baik dari 28 tahun yang lepas - banyak pencapaian, banyak perubahan, banyak perbezaan...lebih berjaya, lebih berada, lebih berkemahiran, lebih ilmu, dan lebih matang.

Apa agaknya yang akan terjadi 28 tahun akan datang? Apakah pula yang akan dicapai, yang akan berubah dan berbeza? Jika kami terjumpa, apakah pula cerita kami?

28 tahun yang lepas...
Saya di tingkatan 5. Masih sekolah, pandangan dan cita-cita menurut pandangan remaja. Tidak banyak pengalaman tentang realiti kehidupan...

Sekarang...
Pastinya cara saya memperkenalkan diri berlainan. Saya sudah berkahwin, ada keluarga sendiri, ada 3 orang anak, bekerja...mengalami sendiri naik turunnya kehidupan, merasa sendiri realiti kehidupan...

28 tahun akan datang?
Andai kami terpisah lagi selepas ini, dan terjumpa semula 28 tahun berikutnya...

Siapa pula saya 28 tahun akan datang?
Mungkin masih di Puchong, mungkin sudah ada menantu, sudah bercucu, sudah bersara...
Sihat lagikah? Boleh berjalan lagikah? Kenal orang lagikah? Semuanya masih lagi andaian...
Siapa pula yang sudah meninggalkan kami ketika itu?

Atau mungkin saya yang sudah tinggal sejarah?
Ya Rahim...
Hanya Engkau yang lebih tahu...


Buat sahabat semua...
Selamat bertemu kembali...

Sejarah saya...
Tidak bermula tanpa anda semua...
Tidak berkembang tanpa bantuan anda semua...
Dan moga berakhir dengan diingat-ingat dan didoakan oleh anda semua...

Saya berharap...
Akan jadi tersohor di sisi Allah...
Dan tersohor di sisi manusia...
Jika kalian masih ingatkan saya walau saya sudah di alam lain...
Sudi mendoakan saya...
Sudi memohon pada Allah supaya merahmati saya...
Saya kira...itulah tersohor yang paling signifikan...

Untungnya saya kerana anda masih mengaku mengenali saya...
Walau jika kedut saya sudah beribu...
Walau jika saya sudah tinggal debu

Untuk semua geng ex-KIK SPM 85,
Selamat ber-whatsapp!

(Amboi! Tak henti phone berdering bagaikan artis. Anak kita pun heran yer...apasal mama tiba-tiba famous ni? Mereka ingat kita ni siapa? Kitalah diva di kalangan kita.)



















Thursday, August 22, 2013

Tips Memilih Baju Raya Tema Sedondon Ala Red Carpet.

Lima tahun kebelakangan ini saya dan suami serius dengan konsep tema-tema ni.  Bila suami semangat, saya ikut semangat.  Bila dah semangat, idea jadi sangat kreatif.

Raya tahun ni bertema dusty pink and grey.

Perlukah bertema dan sedondon? Perlu atau tidak, hakikatnya di pagi Raya memang digalakkan untuk memakai pakaian terbaik yang kita ada, bersih dan kemas. Mendefinisikan pakaian terbaik - itu barulah mengikut persepsi sendiri samada bermaksud baju baru, baju yang berjenama, baju dari butik, baju yang mahal dan special, baju beli di bazar, baju beli di Giant, baju tahun lepas, terpulang...

Bagi saya, pakaian terbaik termasuklah baju bertema dan sedondon.

Bila melihat baju di almari, sememangnya baju terbaik saya ialah baju Raya saya yang sedondon dengan suami dan anak-anak. Semangat ketika membelinya, perancangan, usaha dan titik peluh mencarinya, termasuk keprihatinan ketika memilih supaya sesuai dengan semua citarasa anak-anak dan suami, bagi saya sangat signifikan. Sebab itu ia jadi baju saya yang terbaik.

Ada orang merasakan perkara ini remeh temeh, leceh, cerewet, dan membosankan (terutama yang kena menemankan mencari dan bershopping). Ada juga yang merasakan ianya satu pembaziran.

But again, bila memilih untuk bertema dan sedondon, perkara paling penting ialah memahami apa tujuannya dan apa yang ingin dicapai dengan bersedondon.  Jadi, tips pertama kena jelas kenapa nak bertema dan sedondon?

Kedua, mestilah ada garis panduan dan tahu apa yang menjadi keutamaan - ikut bajet, dan bila membeli mesti sentiasa ingat tujuan kenapa nak sedondon. Jika dirancang dengan baik, isu membazir wang dan buang masa sebenarnya tidak relevan. Jika jujur dengan tujuan dan motif, maka isu riak dan menunjuk-nunjuk juga sudah tidak relevan.

Ketiga, ambil gambar - banyak!  Dan kemudian bila melihat gambar-gambar di pagi raya... Priceless! 

Bergambarlah bagai sedang berjalan di red carpet. Berkelip-kelip flash. Maklumlah, masa nilah semua keluarkan handphone masing-masing, yang ada DSLR, siap dengan tripod. 

Keluarga kita, jadi terpulang kita untuk membentuk tradisi dan sejarah keluarga sendiri. Tradisi, sejarah dan milestone keluarga yang akan diingat turun temurun. Sesuatu yang manis dan signifikan. Yang diceritakan semula dengan gelak tawa dan airmata.

Dalam setahun, itulah sehari yang kami seronok bergambar dan bergaya bersama-sama. Saya mahu menikmatinya sementara ada.

Melihat semula gambar Raya 2013, terima kasih Allah...syukur sangat...gambar masih lengkap...korum masih cukup.  Perasaan teruja bagai sedang berjalan di red carpet, malah lebih dari itu!

Ianya bagaikan remeh, tapi signifikan.  Kita yang membina tradisi dan sejarah.  Jadi, binalah yang baik-baik, yang sweet-sweet.  Sementara sempat!

Ni gaya silat jawa....ada berani?
Makin saya tatap gambar ni,
entah kenapa airmata jadi tergenang...



















(Seronok bila anak-anak excited melihat gambar-gambar tersebut sambil sembang-sembang santai...."Tahun depan kita nak tema apa pulak yer?" Tanya si abang pada adik-adik.  Haa...maknanya mereka sukalah tewww. Moga tahun depan kami kekal cukup korum. Ya Allah! Lindungilah kami dengan rahmatMu. Panjangkanlah umur kami dengan iman. Amin!)

Nota kaki: Tahun ni, baju sedondon kami ada yang sponsor...saya suka bila ianya percuma tapi kelasss....kan saya dah kata, nak sedondon tak semestinya kena berbelanja sakan, kalau dah rezeki, boleh pulak datang percuma...kan rezeki boleh datang tanpa diduga-duga...
_________________________________

Kalau tak nak sedondon dan bertema, tak mengapa.  Kalau tak nak bergambar pun ok.  Apa yang penting mesti tahu dan jelas kenapa tak nak bertema, kenapa tak nak sedondon dan kenapa tak nak bergambar.  Dan kalau tujuan kita tu lebih "worth it"...maka worth it lah tu.  Kalau it is not worth it, maka it is not worth it lah tu...

Jangan risau, bukan wajib pun!
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.


Wednesday, June 26, 2013

Suruhan ibu yang luarbiasa dari biasa...


Memang tak biasa suruh macam ni!!

"Buka facebook cepat..."


"Nisha, buka facebook!"
"Amni, cuba tengok status kat facebook...cepat!"

Lain macam suruhan saya yer...
Selalu yang saya suruh "Tutup facebook cepat...!"

Tapi kali ini saya yang menyuruh mereka menyemak status berkali-kali...dah pukul 10.00 malam pun saya suruh mereka buka facebook masing-masing...

Tak pernah-pernah rasa nasib baik ada facebook!

"Ok, Bu! Dah ada info dah..."

"So, apa citer?"

"Esok cuti lagi...!"


(Terima kasih untuk semua cikgu yang sangat setia mengemaskini status FB demi anak murid masing-masing. Walau seronok bila sekolah cuti akibat jerebu, tapi kena ganti nanti jangan pula liat nak pergi sekolah...)

Tapi sekolah di rumah tetap di buka yer...3 hari dah personal tutor ni buat overtime...

Saturday, June 22, 2013

Tips Menceriakan Pagi Sabtu...

Tips ni untuk orang yang nak jadi positif sahaja!

1. Bangun awal. Mandi terus! Jangan liat dan fikir nak sambung tidur.

2. Solat subuh dengan tenang sebab tak berkejar nak pergi kerja.

3. Beristighfar 100 kali.

4. Doa yang paling ikhlas dari dalam hati. Biar pendek tapi ikhlas mengharap pada Allah.

5. Mengaji - satu ع pun jadilah...

6. Tunggu solat sunat Isyraq - masuk dalam lebih kurang 8.00 -8.30 pagi - membuka pintu rezeki dan hidayah dari Allah SWT.

7. Lepas tu solat Dhuha - mudah mendapat rezeki dan jalan keluar dari masalah.

8. Lepas tu masak sarapan pagi - seadanya...

9. Makan happy-happy dengan famili.

10. Lepak-lepak sampai tengahari - free n easy...

Best tak? Cuba dulu...baru tahu best atau tak....
Kalau tak cuba tak tahu...
Kalau dah cuba, memang tak nak tinggal dah...

Selamat berhujung minggu!


Friday, June 21, 2013

What my kids learn from The Apprentice Asia 2013 - Episode 3

Episode 3 - Go Big With Your Sales!

Dalam episod ni, anak saya belajar tentang tiga perkataan lagi.

1. Hard sell - kaedah menjual dengan lebih agresif, direct dan straightforward. Adakalanya pelanggan boleh rasa kita seakan mendesak dan mereka akhirnya lari.  Tapi ada juga kajian yang menunjukkan teknik ini membuatkan pelanggan cepat membuat keputusan dan cepat juga kita dapat hasil jualan.

2. Soft sell - kaedah ini lebih kepada membina perhubungan dan kepercayaan pelanggan pada kita. Kita kongsi maklumat dan kebaikan produk sehingga pelanggan nampak ianya relevan dan dengan rela hati membeli. Teknik ini lambat memberikan hasil jualan tapi berkesan menjadikan pelanggan tersebut setia pada kita.

3. Cold calls -  ini merupakan salah satu cara dalam hard sell, selalunya menggunakan telefon. Kaedah ni seperti kita "terjah" pelanggan kita dengan telefon.  Mereka tidak menunggu panggilan kita dan tidak tahu kita akan menelefon mereka. Cold calls perlukan keberanian, kesabaran dan kecekalan. Paling penting perlukan kemahiran memperkenalkan diri dan memulakan perbualan. Silap cara memang boleh kena maki oleh prospek. Dalam episod ini kita nampak 150 cold calls hanya menghasilkan 6 temujanji. Dan tak semestinya 6 temujanji boleh menghasilkan 6 hasil jualan. Itu yang kena cekal!

Agak-agak kat sekolah belajar tak perkataan-perkataan ni? Memang tak!

Tapi, bila kerja nanti, pemahamam tentang perkataan-perkataan ini memang sangat membantu. 

Mana tahu, kalau datang minat berniaga, tahulah juga nak guna taktik yang mana satu kalau nak untung besar. Sekarang ni business online mudah sangat untuk diceburi, tidak kira umur, asalkan rajin dan kreatif. Ramai remaja yang telah berjaya mengumpul duit poket dari perniagaan online.  Bila tahu teknik menjual yang baik, business online boleh memberi keuntungan yang menggalakkan.

Yang terbaik ialah menggunakan kedua-duanya. Kalau tahu teknik hard sell yang terbaik, digabungkan pulak dengan teknik soft sell terbaik, hasilnya memang terbaik dan berlipat kali ganda.

Siapa berniaga nak rugi, kan? Kalau dah pilih untuk jadi usahawan, mesti nak untung besar-besaran! Ganda-gandaan! Juta-jutaan!

Saya juga sedang melatih mereka untuk jadi usahawan meletop!

Thursday, June 20, 2013

Pertanyaan yang pelik dan tiba-tiba...

Setiap hari Isnin Amni balik dari sekolah lewat dari hari biasa. Saya pula sedang sibuk di dapur.  Pukul 2.00 dia akan ke sekolah agama pulak, jadi semuanya perlu pantas. Saya tak sempat keluar menegurnya dan dia pun tak sempat menegur saya.  30 minit saja masa yang ada untuk dia bersiap, solat dan makan, jadi saya pun tak mahu mengganggunya. 


Kalau dah kelam kelibut, Mochi pun tak sempat layan...
maaflah sangat... mak buzy...


Sedang dia makan, sayapun tak banyak bertanya kerana tak mahu mengganggu dia mengunyah makanan. Kalau asyik bercakap, nak mengunyah pun jadi lambat, sedangkan saya mahu dia sempat habiskan makan sebelum van sekolah sampai.

"Ibu, tahu tak cerita Cinta Jangan Pergi?" Soal Amni tiba-tiba. Tanpa hujung pangkal, topik drama pulak yang ditanyanya.

"Haaah?!!! Cerita apa tu?" Soal saya balik. Pelik bila dia bertanya tentang drama Melayu, kalau cerita Anime tu saya faham jugak sebab minat dia.

"Kenapa tiba-tiba tanya pasal cerita tu?" Saya bertanya lagi sebab memang pelik binti hairan.

"Hehe.." Dia cuma gelak tapi tak sempat menjawab sebab van sekolah dah sampai.

Hati dan otak kepala emak ni kan boleh berfikir 1001 macam. Pelik, tertanya-tanya, hairan, semua ada. Jadi saya pun men-google.

Pertama yang saya google tajuk drama Cinta Jangan Pergi. Ohhh...drama di TV9 setiap Sabtu dan Ahad pukul 8.30 malam. Dah lama rupanya cerita ni, sebab dah masuk Episod 21.  Mungkin tengah meletop sampai budak sekolah rendah sibuk bercerita.  Kalau dah bercerita, tentu sebab
budak-budak ni mengikutinya.

Kerana curious, saya kemudian men-google pulak sinopsis Cinta Jangan Pergi. Nak tau jugaklah cerita pasal apa sampai budak sekolahpun mengikutinya. Dulu masa deman drama Adam dan Hawa, Amni juga yang menyampaikannya pada saya dek kerana kawan-kawan di sekolah terjerit-jerit menyanyi lagu Muara Hati.

Petang tu bila dia balik sekolah, dia bertanya lagi satu soalan pelik, "Ibu tahu tak cerita Teduhan Kasih? Kawan Amni kata cerita tu dari novel tukar ke drama."

Sudah....drama Teduhan Kasih pulak...

"Banyak nyer drama yang kawan Amni tengok. Tu cerita pasal apa pulak?" Saya cuba bertanya, mana tahu kawan dia sudah bercerita panjang.

"Kawan Amni cakap cerita pasal perkahwinan..."

Jawapan budak...suaranya sangat innocent...Kelakar pun ada bila dia menjawab begitu.

"Laa..ingat cerita pasal kasih sayang emak mengajar anak tips siapkan homework..." Usik saya.

"Ibu ni... Orang cakap betul-betul ni..."

Sambil tergelak saya menjawab, "Ibu pun cakap betul-betul jugak ni... Kalau cerita cinta-cinta ke perkahwinan ke, tak tengok pun tak pe..."

"Taklaaa...bila kawan-kawan cerita macam banyak sangat benda yang Amni tak tahu..." Dengar dia bercakap begini, terasa bahaya jugak peer pressure di kalangan budak sekolah ni kan...

Jadi saya google lagi  drama Teduhan Kasih dan sinopsis Teduhan Kasih.  Rupanya drama Teduhan Kasih ni mengisi Slot Akasia TV3. Dah lama jugak cerita ni sebab dah masuk episod 21.  
Saya beri Amni baca sinopsis drama dan cuba mengujinya, "Amni nak tengok ke?" 

"Emmm...tak minat lah cerita macam ni. Macam tak sesuai ngan budak je..." Dia akhirnya menjawab. Sinopsis pun tak habis dibacanya.

Hehe... Bagus...bagus...nasib baik!


Adi Putra pelakon Teduhan Kasih. Agaknya budak-budak sekolah berangan kalaulah dia jadi cikgu Math...pasti daku score dan fokus...hmm...lagi tak fokus ada laaa...hehe...


 
Kadang-kadang, kita yang migrain bila anak tanya soalan yang pelik-pelik...

Janganlah tanya soalan-soalan macam tu lagi? Emak fenin...

Wednesday, June 19, 2013

Benda pelik terbakar di tepi jalan sampai traffic jam teruk...

Perjalanan balik ke kampong pada awalnya lancar.  Dari Puchong terus ambil lebuhraya KESAS, lepas tu masuk lebuhraya Guthrie, kemudian LATAR. Ikut rekod biasa, dalam setengah jam dah boleh sampai Kuala Selangor.

Tapi perancangan biasa bertukar menjadi satu rekod luarbiasa.  Sebaik saja keluar dari LATAR, baru 1 Km saya memandu, dari jauh saya lihat kereta berderet-deret tak bergerak.  Haaa....sudah! Nak pusing mana lagi?  Maka berserah dan redha je lah.  Betul-betul dah terperangkap. 


Kalau macam ni sampai Kuala Selangor, alamat tengah malam baru saya sampai.  Tak apalah! Solat zohor sudah, asar pun sudah.  Kalau sempat maghrib di Kuala Selangor, saya berhenti.  Kalau tak, jamak ta'khir sajalah.  Minyak pun penuh setangki.  Jadi saya tenang-tenang je, dan bergerak mengikut kereta di depan yang merangkak-rangkak.  Hampir 45 minit juga, dari jauh saya nampak anggota RELA mengawal trafik.  Nampaknya di depan keadaan agak huru-hara.  Dari jauh saya akhirnya nampak... Memang pelik benda yang terbakar tu, padan jam...


Cendul Bakar rupanya...seumur hidup tak pernah nampak cendul terbakar...tu yang pelik tu...Teringin nak menyinggah, tapi sesak sangat.

Rupanya orang sibuk nak berhenti dan parking di jalan menyebabkan laluan arah ke Kuala Selangor dari simpang LATAR jadi sesak dan bergerak perlahan.  Nasib yang sama di lorong arah ke LATAR dari Kuala Selangor, lagi tak bergerak sebab lorong paling kiri tengah berbaris nak masuk Cendul Bakar punya Drive-Thru.  Dahsyat sungguh!  Cendul pun ada drive thru.  Memang penuh dan padat dengan pelanggan yang ramai. 

Semua tetap sabar menuju ke drive thru.




Nak mendapatkan cendul pun berbaris panjang...terbakar betul rasanya....


Maklumlah hari Ahad, semua kenderaan dari kampong nak balik ke KL ambil peluang menyinggah.  Dalam hati tertanya-tanya....sedap sangat ke?

Balik ke KL esoknya...heh..heh...ambil peluang menyinggah. Makan soto meletop dan cendul bakar...memang meletop! Ada berani?  Meletop sangat sampai terlupa nak ambik gambar nyer...


Yang nak makannya 2 orang, cuba jawab apasal ada 3 cendul ni? 


Sebenarnya ada banyak juga menu lain - sup power, chicken chop power, rojak power, laksa power - memang power semuanya.  

Dari awal sebelum makan tu asyik tertanya-tanya apa ropanya cendul terbakar....laaaa...rupanya mengambil sempena nama datuk, bukan Datok Bakar, tapi datuk tuan punya kedai bernama Bakar.  Dan gula Melaka yang digunakan dibakar terlebih dahulu supaya wangi (yang ini saya tak dapat bezakan pun...). 

Ni sebenarnya jam dari simpang nak ke Kuala Selangor. Ni semua tersekat dek kerana kereta kat depan merangkak masuk ke drive thru...


Jadi yang nak menyinggah tu, nak cari senang je, keluar dari Lebuhraya LATAR menghala ke arah Kuala Selangor, kedai Cendul Bakar ni bersebelahan stesyen minyak Caltex.  Dari jauh kalau nampak signboard Caltex di sebelah kanan, dah dekat la tu.  Kita akan jumpa Cendul Bakar dulu, kemudian betul-betul di sebelahnya Caltex.

Kalau dari Kuala Selangor, selepas simpang ke arah Kepong/LATAR, lebih kurang 2 Km, akan nampak signboard Caltex di sebelah kiri. Bersedia untuk cari tempat parking, kalau malas boleh drive thru je. Tapi, makan kat situ lagi happening.

Senang cerita, google je, mesti jumpa!

Kalau weekdays...memang lapang. Tapi kalau weekend...kena sabar...tapi berbaloi.

Bila dah merasa sekali...memang teringat-ingat nak lagi...

Apalagi... weekend ni boleh pergi ye...


Nota:
Kesedapan : 5 bintang
Kebersihan tempat : 3 bintang
Servis : 4 bintang
Nak datang lagi? YA
Nak rekomen kat orang? YA
Net Promoter Score : 9


Review Cendul Bakar ini dibawa secara percuma oleh:

Asnija Asmui
(Yang tak sengaja tersinggah beli cendul bakar, walau tak de siapa yang paksa...)

Tuesday, June 18, 2013

What my kids learn from The Apprentice Asia 2013 - Episode 2

Episode 2 - Viral video goes wrong.

Kali ini mereka perlu menghasilkan viral video untuk mempromosikan Expedia. Saya pun suka sangat guna Expedia sebab boleh dapatkan senarai flight dari yang murah sampai yang mahal.  Senang nak buat comparison dan tak perlu melayari website syarikat penerbangan satu persatu. Senang sangat nak plan trip kita, dan book hotel terus untuk jimat kan belanja.

Bukan mudah nak hasilkan viral video. Bila semua mahu berlawan idea siapa yang paling betul, kita terlupa apa yang lebih penting.  Yang paling penting bukanlah idea peribadi, tetapi bagaimana menjayakan idea tersebut dan menang secara berkumpulan. Kepandaian kita tidak seberapa berbanding gabungan kepandaian kita secara keseluruhan. Bagaimana kita bersatu dan saling melengkapi menjadikan kumpulan kita berjaya dalam tugasan dan menang.  Bila kumpulan kita menang, maka kita juga menang. Dalam konteks The Apprentice Asia, bila kumpulan kita menang, kita tidak perlu mengadap Tony Fernandez dan berhadapan dengan risiko untuk dipecat.


Learning points untuk anak saya:

Pertama, perlu tahu dan faham maksud viral video.

Kedua, jangan tiru idea orang. Be original!

Ketiga, bersedia untuk terima idea orang lain. Buka minda pada pilihan-pilihan lain.

Keempat, bersedia bila idea kita dicabar oleh orang lain.

Kelima, fokus untuk bersinergi bukan nak menangkan idea sendiri.



Satu perkara yang saya pesan supaya anak saya amalkan terus:

Bila ada idea dan pendapat, luahkan dan kongsikan pendapat. Jangan pendam. Jangan takut orang tak terima idea kita, itu hak mereka. Hak kita ialah meluahkan pendapat dan idea. Luahkan dengan bijak dan diplomasi. Kalau orang terima, alhamdulillah. Kalau orang tak terima, alhamdulillah juga...kerana kita telah gunakan peluang untuk berkongsi dan berfikir. Alhamdulillah, kita telah berusaha untuk menyumbang.

Perkara yang saya pesan untuk anak saya amalkan terus di bilik darjah:

Jika tak faham atau tak tahu - angkat tangan dan tanya cikgu.  Jangan takut kawan-kawan kata kita tak tahu. Adakalanya mereka pun tak tahu tapi segan nak tanya. Tapi, bertanya dengan sopan supaya tidak mengganggu kelas. Gunakan budi bicara.

Peringatan: Bila sendiri tak nak tanya, jangan salahkan cikgu bila kita tak faham dan gagal jawab soalan ujian. Bukan cikgu yang tak pandai ajar, kita yang malas bertanya.

Soalan dan pendapat yang cute dari anak saya:

1. "Kenapa kat boardroom baru nak cakap?"
2. "Jonathan ni pandai explain, kan! He is very articulate...nak jadi macam dia..."


New words yang anak saya belajar dari Episod 2:

1. Synergy - bekerjasama untuk menghasilkan satu transformasi dan bukan sekadar transaksi.

2. Team player - orang yang bermain atau menjalankan tugas dengan baik dalam kumpulannya.  Bukan menumpang tapi menyumbang.   Cara menjadi team player yang baik.
The Apprentice Asia bersiaran di saluran AXN, setiap Rabu pukul 9.00 malam.  Kalau tak sempat boleh tonton di Astro On The Go.

Lihat post lain dari siri yang sama:
Episode 1 - It's a fishy business.
Episode 3 - Go big with your sales. (coming soon!) 
Episode 4 - Coffee in business is a serius business. (coming soon!)


Tips Untuk Sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa yang Terlampau Best!

Selalunya nak buat sambutan yang best, mesti perlukan bajet yang best! Tapi tak semestinya...

Apa yang penting ialah niat. Our end in mind. Niat mesti best, maka semua akan jadi terlampau best.

Untuk itu, saya lancarkan satu plan adik beradik. Whatsapp saya pendek:

"Jom balik kampung, celebrate hari ibu dan bapa. Wajib balik!"

Selalunya bila kak long mereka ni dah ajak balik, sebab diorang akan ingat saya akan masak best-best, jadi mereka akan teruja balik sama. (Nota: saya tak cakap dalam message saya nak masak pun...mereka yang memandai-mandai assume begitu...sapa suruh kan, sebab saya tak masak best-best pun...)

"Ok, boleh!" Reply pertama.

"Set!" Reply kedua.

Ok, semua dah setuju!

Lepas sehari saya whatsapp lagi...

"Setiap keluarga, sila beli hadiah untuk emak dan abah. Bajet hadiah RM20 setiap satu, jadi dua hadiah RM40. Balut cantik-cantik!"

Reply pertama: "RM20 dapat apa? Kita share je lah, besar sikit bajet jadinya..." .

Reply kedua: "Hadiah apa ye?" 

Saya jawab...

"Be creative! Cari sungguh-sungguh dengan kasih dan sayang..." 

Jujur...bukan senang nak cari bila bajet  kecik macam tu...samada barangnya tak berkualiti ataupun barangnya tak ada manfaat yang nyata...

Jadi saya pergi bershopping dengan cabaran tersebut... 

Tips untuk beli hadiah untuk hari ibu dan hari bapa yang murah tapi best:

1. Pergi shopping dengan niat yang jelas dan ikhlas. Letakkan rasa kasih sayang tulus dan murni pada ibu dan bapa kita. Check niat kita.

2. Cari sungguh-sungguh, bukan tangkap muat ataupun asal ada dan asal jumpa. Cari maksud tersirat dalam setiap hadiah. Bersedia untuk spend masa yang lama untuk mencari. Jangan cepat mengalah. Ingat! Ibu dan bapa kita sangat sabar memenuhi setiap permintaan kita masa kita kecil dulu.

3. Fikir dalam-dalam. Cuba ingat setiap perbualan kita dengan ibu dan bapa, ada tak hasrat mereka yang tersirat setiap kali mereka bercakap. Cuba fahami dan penuhi keperluan yang tersirat, bukan hanya yang tersurat. Ibu kita sangat pandai memerhati dan memahami keperluan kita walau kita tidak ucapkan...kita perlu lebih terror dari ibu kita. Jangan asyik nak cepat dan short cut!

4. Kalau tak ada duit sangat, fikir cara untuk dapatkan barang tanpa keluarkan walau seringgit! Kalau hendak, pasti ada jalan.

5. Jadi kreatif! Berikan 200% keterujaan dan kesungguhan. Bila kita excited, otak kita boleh fikir macam-macam idea!

Percayalah! Bila bajet kita tiada had, kerjanya senang. Sebaliknya, bila bajetnya terhad, kerja jadi sangat mencabar. Namun, hasilnya sangat memberi kepuasan. Rasa sayangkan parents jadi terasa sangat. Tak percaya? Cuba sendiri! Love is a verb. Ingat tu!

Seharian jugak memusing-musing.  Rasa give-up memang ada, rasa nak beli je yang terlebih bajet, cepat dan senang. Tapi saya mesti beri contoh yang baik pada adik-adik. So, I truly stick to the plan.

Dalam fikir punya fikir, entah kuasa apa yang membuatkan saya melangkah ke kaunter J-Card, entah dari mana tiba-tiba dapat idea menukar point kepada voucher.

Semangat saya jadi berapi-api. Saya tahu apa yang emak dan abah perlukan sangat! Tiba-tiba saya nampak semua barang ada diskaun...ajaib kan!

Dalam masa yang sama, saya terima whatsapp dari adik-adik yang buntu nak beli apa...

Saya pun beri idea dan beri semangat, memotivasikan adik-adik yang dah nak give up...hehe...padahal tadi diri sendiri pun dah nak give up.

Jadi masing-masing check point masing-masing...point J-card, point Cosway, point Bonuslink, point Maybank Ikhwan....

Sebenarnya, ini juga cabaran! Terdetik rasa sayang pulak nak gunakan point yang telah lama dikumpul. Susah juga nak korbankan point untuk ibu dan bapa. Sedangkan mereka telah korbankan lebih dari "point" untuk membesarkan kita...

Panjang lebar sesi motivasi saya, akhirnya adik-adik saya reply begini...

"Betul gak point Kak Long tu..."

Haha... That's the point!

Akhirnya, kami berjaya belikan hadiah yang best-best...dengan kaedah yang sangat best! 

Apa yang terlampau best? Best sangat tengok reaksi mereka!

1. Bila abah buka kotak dan nampak wallet genuine leather yang baru, "Alhamdulillah, macam tahu-tahu beg duit abah dah koyak..." 
(Ehemm... Memang saya dah nampak wallet dia yang koyak tu, tapi dia pakai juga sebab sayang...)

2. Bila emak nampak wrislet Carlo Rino dia yang baru, "Haaaa... Senang sikit kalau nak pegi kenduri dekat-dekat. Tak payahlah bawa handbag. Memang tengah cari yang kecik macam ni."
(Ehem... Saya pernah dengar dia merungut pasal ni...)

3. Emak dan abah ceria tahap maksimum bila dapat water filter baru, "Alhamdulillah, lama niat nak beli ganti yang lama tu. Cadang nak beli yang elok sikit, Alhamdulillah dapat jugak akhirnya..."

Dan apa yang buat kami semua terharu ialah bila emak cakap tak henti-henti dengan penuh syukur...

"Alhamdulillah! Seronok sangat...tahun ni sambutan yang paling seronok...paling istimewa!"

Apalah yang seronok sangat tu? Kami dinner masak biasa-biasa je, takpun bawa mereka ke hotel 5 bintang! Tapi, dapur riuh rendah dengan anak dan cucu memasak dan berebut makan...

Bagi emak...itu dah seronok sangat!

Apalah yang istimewa sangat? Hadiah kami simple, dan murah sangat! Tapi bagi emak dan abah, bila kami nampak dan faham keperluan mereka, penuhi hasrat mereka yang tersirat, bagi mereka...kami perihatin, kami ambil tahu...kami ambik kesah... 

Bagi mereka, itu yang istimewa sangat...




Apa pulak bonus kami?

Going through all the effort and possibilities, our kids belajar dan lihat apa yang kami usahakan for our parents. They learn that the best things in life are free! Yes, indeed...

Anda ada tips lain yang best? 

Monday, June 17, 2013

What my kids learn from The Apprentice Asia 2013 - Episode 1.

Banyak...


Episod 1 - It's a fishy business!



Secara dasarnya, fresh graduates, junior executives boleh belajar banyak tips dan realiti dunia pekerjaan dan perniagaan dari siri ini.  Mungkin ramai antara kita rasa ianya kurang sesuai untuk budak sekolah samada sekolah rendah atau sekolah menengah.  Tapi dengan bimbingan dan kalau tahu soalan apa yang kita cuba tanyakan pada anak-anak ini ketika menontonnya, sebenarnya ia merupakan satu pendedahan awal yang sangat 'true and real'.



Kita melihat dan berfikir, malahan boleh muhasabah diri sendiri.  Kerana ianya satu program realiti, hampir semua yang kita lihat bersifat universal - berlaku di semua tempat, pada semua orang, pada setiap ketika yang dimaksudkan.  Cara kita mengendalikan diri kita dalam situasi 'hidup dan mati' sebenarnya sama saja, tak kira kanak-kanak ataupun orang dewasa, di sekolah atau di tempat kerja, depan bos atau depan ibubapa.  Dalam keadaan terdesak, kita diuji samada bertindak berdasarkan prinsip yang kita pegang atau kalah dengan keperluan sendiri untuk selamat.  Semua itu penting. 


Realitinya...itulah kehidupan. Itulah yang anak-anak kita akan lalui.

Tugasan dalam episod pertama siri ini hanyalah tugasan biasa-biasa saja, business biasa-biasa saja - jual ikan!  Tapi yang biasa-biasa ni rupanya susah kalau tak biasa...

Tapi jual ikan sebenarnya satu tugasan yang saya kira sangat brilliant.  Jika idea ini datang dari Tony Fernandez sendiri, beliau memang brilliant!

Jual ikan - nampak senang, tapi menyerlahkan banyak perkara penting. Kalau kita nak tahu karakter businessman yang sebenar, mula dari bawah! Jual ikan secara kreatif.

Learning point dari sudut perniagaan:

1. Know your product - totally!
Why? Pertama, susahnya nak jual kalau nama ikan pun tak tahu! Dan pelanggan pula yang kena ajar mana ikan sardin dan mana ikan cencaru. Bila kita sendiri tak pasti, clients akan senang memanipulasi kita. 

Kedua, perlu tahu produk kita ni dalam kategori apa? Keperluan? Kemudahan? Kemewahan? Kemahuan?

2. Price your product -accordingly!
Pertama, tahu margin yang sesuai, jadi kenalah tahu kos produk supaya boleh tetapkan margin. 

Kedua, tahu tentang harga pasaran. Supaya kita tahu margin  yang kita tetapkan menjadikan harga produk kita boleh diterima akal atau tidak. Kalau silap, nanti pelanggan fikir kita ni cekik darah atau kita ni tak siuman...

3. Velocity - how fast can you turn your product into money?
Kalau ikan, mestilah kena jual secepat yang boleh sebab kesegaran ikan sangat penting buat pelanggan. Pelanggan pula datang pada waktu pagi, jadi kita perlu pantas dan cekap menjual ketika pelanggan memerlukan.  

Velocity kena cepat sebelum product kita jadi obsolete.
(Learn more about Money Making Model by Ram Charan)

4. Know your customers - intensely!
Tahu keperluan mereka. Pelanggan beli ikan bukan nak ikan tapi nak lauk, nak juadah. Jadi, bila kita faham senang untuk kita buat tawaran,  boleh buat cadangan untuk beli produk lain (cross-sell). 

Kalau dah tahu dia nak masak laksa, bila ikan sardin dah habis, boleh pujuk dia beli ikan kembung yang sangat segar dan manis.

Nilai murni:
1. Jangan malu untuk belajar  dan bertanya walau kita sudah ditahap yang tinggi. Kita mungkin pandai dalam perkara lain, tapi masih tak tahu benda yang asas dan simple dalam perkara lain. Amalkan sikap merendah diri - ego tidak membantu.

2. Ambil peranan, jangan asyik tunggu arahan.

3. Sebagai ketua, perlu berani mengakui kelemahan orang bawahan kita, bukan untuk menyalahkan mereka tetapi untuk membimbing mereka.

4. Bila bekerja dalam kumpulan, buat sumbangan, jangan sekadar jadi penumpang.

Perkataan baru yang anak saya belajar:

1. Margin - sekarang dah tahu macamana nak kira margin dan tetapkan margin yang realistik.

2. Proactive - sekarang dah tahu beza bertindak dengan reactive dan bertindak secara proactive. Belajar jadi proaktif.

Soalan dan komen cute dari anak saya:

1. "Kenapa dia tak letak je harga kat setiap ikan? Kan susah nak refer kat list everytime customer tanya! Lepas tu jadi lambat sebab nak kira margin dulu..."
(ceceh...pandai cakap pasal margin dah...)

2. "Kenapa ketua dia tak take charge sangat? He should be more proactive!"
(ehemm...)

(Suka bila mereka tahu apa yang betul, luahkan pendapat dan pandangan dengan perkataan-perkataan baru. Saya pun suka melayan...)


Baca post dari siri yang sama:

Episode 2 - Viral video goes wrong.