Wednesday, September 30, 2009

Seadanya...

“Kak, segan la nak beri…sikit sangat…” Kata J. Saya , Z dan J sedang rancak berbual-bual tentang duit Raya.

“Adakalanya, saya tak beri lansung, sebab apalah yang boleh diorang beli dengan sebanyak tu…” Kata Z pula.

“Bukan tak nak beri, Kak. Tapi kitorang ni pun banyak sangat komitmennya. Bila dah bayar itu ini, adakalanya memang tak ada lebih lansung.” Sampuk J.

“Teringin sangat nak beri lebih, tapi memang tak de, Kak!” Tokok Z pula.

“Budak-budak sekarang, kalau dalam sampul tu cuma RM1, mesti muka diorang pun jadi semacam.” Kata J lagi. Kami bertiga ketawa, bersetuju dengan apa yang J katakan.

“Bulan-bulan ada beri emak dan abah tak?” Soal saya pada J dan Z.

“Tengoklah keadaan. Kalau ada lebih saya beri, kalau tak, saya tak beri.” Jawab Z sambil diiyakan oleh J.

“Tak boleh lah macam tu…” Jawab saya perlahan.

“Akak boleh la cakap macam tu, akak banyak duit…” Usik Z sambil mencuit bahu J. Saya lihat J senyum-senyum penuh makna.

“Akak rasa kan… beri mereka duit, bukan sebab kita dah banyak duit….” Jawab saya.

“Kita beri mereka duit sebab itu tanggungjawab kita pada ibu dan bapa, untuk menggembirakan mereka dan sebagai penghargaan….yang kita ni prihatin dan sebagai tanda mata… Berilah berapa yang kita mampu. Kalau ada RM1, berilah RM1.” Habis saja ayat saya ini, J dan Z ketawa mengekek-ngekek.

“RM1 kak? Habislah kena ketawa dengan diorang.” Jawab Z sambil menepuk-nepuk dahinya.

“Buat beli kertas tisu pun tak lepas….” Tambah J. Gelak besar dia sampai terbatuk-batuk.

“Cakap lah macam ni… Mak, minta maaf sangat-sangat ye mak. Ini sajalah yang saya mampu beri pada emak bulan ni. Emak doakan lah saya murah rezeki, supaya bulan depan saya boleh beri lebih. Saya harap mak sudi menerimanya.” Saya mengurut-ngurut tangan J, sambil melakonkan dialog tadi. J dan Z masih terus gelak mengekek-ngekek.

“Cakap dengan penuh keikhlasan untuk memberi, lembut penuh rasa kasih pada mereka.” Tambah saya lagi.

“Silap haribulan, emak kita hulur pulak RM10 kat kita…La kesiannya anak emak ni, nah mak kasi RM10….” Sambung saya berseloroh. Ketawa J dan Z semakin berdekah-dekah.

“Pandai taktik akak ni…” Kata J di antara hilai tawanya. Mata Z sudah berair-air gelihati.

“Tak…serius ni…berilah berapa yang ada, tapi mesti beri setiap bulan. Tolak duit nak beri emak dan abah dulu dari duit gaji kita, bakinya baru uruskan perbelanjaan kita yang lain. Jangan bayar perbelanjaan dulu, bakinya baru nak bagi kat emak. Macam tu, memang lah tak pernah berbaki. Biarlah mula-mula orang mencebik…tapi itu bukan isu kita…manalah kita boleh tutup mulut orang. Yang Allah tanya nanti ialah tentang banyak mana khidmat kita pada ibu dan bapa. Usahlah berkira-kira, insya-Allah, kalau kita ikhlas untuk meringankan ibu dan bapa, nanti Allah akan meringankan urusan kita.” Panjang lebar saya berkhutbah.

“Kita beri bukan sebab kita dah kaya…nak berkongsi ilmupun Nabi cakap kongsilah walau satu ayat. Jadi, berilah walaupun RM1. Nilai tu soal kedua, yang utama niat di hati. Bila kita hanya mampu beri sedikit, baru terasa hati nak berdoa…Ya Allah, berilah aku rezeki yang lebih, supaya aku boleh beri lebih…”

“Dengan sesiapa pun….jangan berkira….jangan mengungkit….jangan menuntut… Beri saja RM1 tu pada emak, peluk dia, cium dia, minta maaf kerana itulah yang kita mampu. Cakap dengan ikhlas dari hati ke hati…seorang ibu memahami naluri anaknya….dia pasti akan mendoakan kita. Bila kita mendapat belas ehsan dari ibu, nanti Allah berikan ehsan dia pada kita, insya-Allah…” Saya lihat J dan Z mengangguk-angguk.

“Bila beri sedikit, beri dengan perasan seronok dan puas. Tak perlulah rasa rendah diri dengan pemberian yang kecil. Jangan pulak menuntut balasan dari Allah, sebab apa yang kita buat masih sangat kecil berbanding dosa yang kita dah lakukan….” Tambah saya lagi.

J dan Z sudah berhenti ketawa. Mereka diam mendengar kakak yang seorang ni berkhutbah. Saya juga pernah susah…. Dan sangat memahami konflik yang mereka rasai…..konflik nak beri vs. tak cukup duit….

Saya teringat…menyalam emak dengan linangan airmata, kerana duit yang dihulur hanyalah RM5. Itulah yang ada. Emak memberi balik duit itu kapada saya, juga dengan linangan airmata.

“Takpe Long, takpe Long, buat anak-anak je duit ni…” Kata emak memeluk saya.

“Mak, terimalah mak, saya ikhlas. Doakanlah saya murah rezeki…supaya boleh beri lebih nanti…” Saya memberi semula duit itu pada emak. Dan, emak mengambilnya. Tapi bila dia datang bertandang ke rumah saya, dia akan menggantinya dengan bermacam buah tangan. Dan paling memeranjatkan, duit itu dikumpulnya, dan satu hari datang ke rumah flat sewaan saya dengan TV Sanyo 14 inci….hadiah itu masih lagi ada hingga sekarang … mungkin kesian dengan cucu yang ingin menonton TV. Maklumlah, ketika itu, saya hanya mampu membeli TV dari kawan dengan harga RM50, kena ketuk berkali-kali baru keluar gambar…. …

Sekarang, alhamdulillah, saya tak perlu bertolak-tolak dengan emak bila menghulurkan duit untuknya. Saya boleh memberi dengan tersenyum, dan emak juga abah boleh menerimanya…juga dengan tersenyum.

Hari Raya ini…jadikanlah sebagai satu titik tolak untuk memberi. Usahakanlah agar pemberian itu menjadi suatu amalan…berilah seadanya….jangan tunggu kaya!

Monday, September 28, 2009

Pergi...

Hari Raya sememangnya membawa 1001 semangat ukhuwwah yang berbeza daripada hari-hari atau bulan-bulan yang biasa.

Waktu inilah, rakan-rakan yang sudah lama tidak dihubungi, akan dihubungi, walau sekadar sms ucapan Selamat Hari Raya. Rumah rakan-rakan yang tidak pernah dikunjungi akan dikunjungi. Rumah saudara-mara yang tidak pernah dijejaki, akan dijejaki. Jarak tidak menjadi satu halangan. Yang dekat, yang jauh, malahan yang sangat jauh akan diziarahi. Awal pagi, hinggalah lewat malam, semua waktu dan masa sesuai untuk menjadi tetamu dan menerima tetamu. Datanglah awal pagi, datanglah lewat malam…pasti dimaafkan, malahan akan pasti disambut mesra.

Dan malam itu, walaupun jam sudah menunjukkan 1.30 pagi, saya mengambil masa mengirim sms ucapan kepada semua rakan-rakan dan saudara-mara di dalam ‘address book’ telefon bimbit saya yang lama. Semua yang berada di dalam ‘address book’ telefon bimbit baru sudah saya kirimkan sehari sebelum Hari Raya. Kerana sms ini dikirimkan lambat kepada mereka, maka saya tulis begini:

Biarpun lambat ucapan ini kukirimkan,
Dirimu sentiasa dalam ingatan,
Selamat Hari Raya…
Dari Asnija & Keluarga

Mungkin kerana waktu sudah terlalu lewat, saya hanya menerima balasan pada keesokan harinya, berderet-deret sms balasan yang saya terima. Dan kamipun berbalas-balas sms, bertanya khabar dan perkembangan masing-masing. Dalam puluhan sms itu, saya menerima hanya 1 panggilan telefon…bukan dari talian telefon bimbit, tapi dari talian rumah.

“Anak ni ada sms ke Raja Aini malam tadi ye?” Perlahan suara Makcik ini di dalam talian. Hati saya terdetik perkara yang bukan-bukan apabila Makcik ini yang menjawab sms saya…..tapi…tak mungkin lah…bisik hati saya.

“Anak ni kawan sekolah Raja Aini ke?” Soal beliau lagi. Saya semakin tidak sedap hati.
“Tak makcik, saya dulu satu ofis dengan dia, kemudian dia kerja di tempat lain dan saya pun sekarang sudah bekerja di tempat lain.”
“Oh…” Jawabnya. “Anak ni nama Asnija ye? Dalam phone ni keluar nama Asnija.” Soal Makcik ini semula.

“Ya….saya Asnija."

"Asnija ni baik ye dengan Raja Aini?" Soal beliau lagi.

"Saya dengan Aini rapat semasa di syarikat lama, cuma jarang sangat bercakap di telefon. Tapi sekali-sekala bila berbual, macam-macam kami ceritakan, segala rahsia kitorang kongsi…” Saya cuba bersuara dengan nada ceria, walaupun dalam hati saya bagai boleh menjangka perkara yang bakal makcik ini beritahu seterusnya…..ahhh…tak mungkin…berkali-kali hati saya menafikan detik hati saya yang negatif…

“Sebenarnya….” Suara makcik ini sudak mulai serak, dan beliau menangis…. lutut saya sudah mulai lemah, dan hati saya berdebar-debar untuk menerima perkhabaran yang saya tidak bersedia untuk menerimanya…

“Sebenarnya, Raja Aini dah meninggal…dia dah tak ada lagi Asnija….” Ucapan inilah yang saya sudah jangkakan…dan sekarang sudahpun saya dengari sendiri. Perasaan terperanjat, sedih, lemah, termangu…semuanya ada…
“Ya Allah, makcik! Innalillahiwainna ilaihi roji’un…! Bila tu makcik?”
“Bulan Jun lepas, ni dah nak masuk 3 bulan dia pergi…” Tangisannya teresak-esak.

Dan tengahari itu, saya mendapat perkhabaran pemergian seorang rakan yang saya kira seorang sahabat karib, meninggal kerana kanser leher, dengan cara yang tidak saya sangkakan. Arwah menerima pengesahan kanser dalam keadaan yang sihat…tetapi beberapa bulan kemudian terus merosot kesihatannya…

Saya mengira-ngira…bermakna sudah setahun tidak menghubungi arwah…jika tidak, pasti saya sudah tahu keuzurannya. Jikalah saya tahu, sudah pasti saya berkesempatan mendoakan beliau di depan multazam…hati jadi sangat terkilan. Banyak kali ingin menghubungi beliau, tetapi terbiar begitu sahaja. Saya rasa marah dengan diri sendiri…taking things for granted!!

“Arwah ingin sangat berjumpa dan bercakap dengan Asnija, tapi gagal menghubungi. Dia ada minta juga kawan-kawan carikan, tapi sampai sudah tak sempat berjumpa Nija….”

Kata-kata ibu arwah yang penghabisan ini, membuatkan saya bertekad….apabila terdetik di hati…usah dibiarkan sekadar terdetik…teruskan saja…

Jika terdetik untuk menelefon…telefon terus. Jika terdetik untuk berjumpa…jumpa terus. Jika terdetik untuk lakukan sesuatu….usah tunggu lagi, buat terus….

Bertangguh…nyata….hanya merugikan….pasti menyesalkan….
(Al-Fatihah buat sahabatku Raja Aini, semoga di tempatkan di kalangan orang-orang yang dirahmati Allah SWT...Al-Fatihah.)

Monday, September 21, 2009

Si merah jambu!


Gambar terkini yang sempat dirakam...di rumah emak dan abah di Puchong Saujana.


(Tahun 2009 - tema pink...)



Emak dan abah duduk sekali dengan adik perempuan saya, menemankan dia kerana suami bekerja di Singapura (asalpun dari sana).


(tak bertema...)




Keluarga adik perempuan (tema hitam).




Keluarga adik lelaki bongsu (tema oren - bunga matahari) - diorang lambat datang sebab dari Rawang rumah mentua, jadi berkumpul di rumah saya pula...
Kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Sepatutnya saya beraya di Ipoh, kampung suami, tapi suami buat kejutan (sungguh-sungguh last minute) untuk beraya di Puchong...suka nyer emak dan abah saya...saya pun suker...thank you dear!

Friday, September 18, 2009

SELAMAT HARI RAYA

Saya ucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin buat semua pembaca yang disayangi dan dihormati.

Pandu berhati-hati, kirim salam akak pada keluarga semua. Kepada yang balik Ipoh, jemputlah datang, akak beraya di Kg Tersusun Bt 8. Emel akak di asnija.bbp@gmail.com ye...

Buat Cik Lie dan Cik Imran, Selamat Beraya Di Perantauan...jangan bersedih ye...insya-Allah, doa keluarga dan kami semua sentiasa dekat dengan anda berdua...

Monday, September 14, 2009

Kematian pertama...

Sabtu lepas, saya menghadiri majlis ulangtahun ke-10 surau di taman perumahan saya. Bermacam acara dijalankan, antaranya tayangan slide dan gambar-gambar yang mengimbau sejarah awal surau sehinggalah sekarang. Bagaimana asal mulanya surau hanyalah bertempat di rumah yang disewa, sehinggalah pembangunannya. Salah satu slide sungguh membuatkan saya berfikir panjang, sangat memberikan kesan sehingga ke hari ini…“my AHA Moment”…

Slide yang satu ini adalah tentang kematian pertama di taman kami, 7 tahun yang lepas… Kematian anak sulong salah seorang penduduk, meninggal kerana denggi, ketika berumur 13 tahun. Itulah saat untuk kali pertama ahli jawatankuasa surau ‘belajar-belajar’ menguruskan jenazah, dari saat memandikannya, mengkafankannya, menyembahyangkannya dan menghantarnya ke liang lahad. Kawasan perumahan saya boleh dikatakan kawasan ‘orang-orang muda’, dan ketika itu kebanyakan ahli jawatankuasa berumur di awal dan pertengahan 30 puluhan. Waktu itu, semuanya masih baru berpindah, baru berkenalan tetapi yang sangat menyentuh hati saya ialah tahap keakraban yang ditunjukkan. Rupanya, tahap keakraban berkait dengan tahap kepercayaan, dan berkait pula dengan tahap pengorbanan.

Bagi En M, kematian tersebut juga kematian yang pertama dihadapinya, tanpa pengalaman, tanpa persediaan. Mengadap kematian anak sendiri, apatah lagi anak sulong lelaki, meninggal pula kerana demam denggi, penyakit yang sepatutnya boleh sembuh, dapat dibayangkan betapa jiwa luluh dan diri lemah kesedihan. Siapa yang boleh diharapkan datang membantu….jika bukan sahabat dan jiran. Pastinya kaum keluarga masih dalam perjalanan….

Dan pada hari tersebut, atas dasar ukhuwwah, keakraban dan demi persahabatan, ramai yang mengambil cuti, mengorbankan cuti tahunan masing-masing dan hadir menguruskan jenazah bersama-sama. Mereka semua juga kurang pengalaman, tetapi yang ramai memudahkan yang payah, yang teguh menyempurnakan yang rapuh…hati pasti terubat melihat sokongan dan bantuan yang dihulurkan.

Dimanakah saya ketika itu? Saya langsung tidak tahu tentang kematian pertama ini…dan saya juga bukanlah satu di antara yang ramai itu. Saya mungkin sedang sibuk dengan urusan lain. Andainya saya tahu, adakah saya antara yang sanggup ‘merugikan’ 1 hari cuti tahunan saya? Kepala saya memang sungguh terketuk pada malam itu…terketuk hebat… Jika saya tidak mengenali mereka semua, bagaimanakah mungkin mereka akan mengenali saya?

Adakah saya mempunyai sahabat…walaupun seorang….yang sanggup berkorban sedemikian, apabila saya ditimpa kesusahan? Yang saya boleh panggil di tengah malam buta meminta bantuan?

Soalan tersebut membuatkan saya berfikir panjang teramat. Soalan tersebut sepatutnya saya baca begini: Adakah saya mempunyai sahabat….sekurang-kurangnya seorang….yang mahu memanggil saya meminta bantuan, walaupun di tengah malam buta?

Dan sayapun mencari-cari yang seorang itu…kerana jika tiada siapa yang mahu memanggil saya, pastinya saya ini tidak mereka anggap sahabat yang sanggup bersama mereka di kala kesusahan. Mereka pastinya memanggil sahabat yang lain kerana segan untuk memanggil saya.

Maka, siapalah pula yang saya akan panggil di kala saya susah?
Aha….!

(Buat Mas, Hanis, Cik Lie, Cik Imran, K.As, Ayah Zain, Rezeki, Shami2, Che Pit, Pinat, Atikah, Cik Azemie, dan semua sahabat bloggers, semua silent readers: Adakah aku mempunyai semua yang kau boleh harapkan dari seorang sahabat? Sudikah kau menjadikan aku sahabat mu?)

Thursday, September 10, 2009

Di dalam dakapan Jibrail...

Suatu hari, Rasulullah didatangi seorang sahabatnya bertanyakan satu kemusykilan yang dialaminya.

“Wahai Rasulullah, suatu ketika aku berdoa dalam keadaan biasa, dan dipertengahan doa, tiba-tiba hati ku jadi sayu dan sebak mahu menangis. Dan akupun meneruskan membaca doa sehinggakan aku menangis teresak-esak, yang aku sendiri tidak tahu mengapa. Apakah petandanya itu, ya Rasulullah…”

Rasulullah menjawab,

“Apabila kamu berdoa, dan hatimu jadi sayu lalu menangis, itulah tandanya doamu mahu diperkenankan oleh Allah. Dan ketika engkau menangis teresak-esak, itulah ketikanya Jibrail sedang memelukmu…”

Bilakah kali terakhir kita berdoa dengan berjujuran airmata? Terasa terlalu kecil dan kerdil, lemah dan tidak mempunyai apapun kuasa… Apabila tiada seorangpun manusia yang kita boleh harapkan lagi, hanya tinggal Allah sahaja yang ada tempat untuk mengharap dan meminta. Pohonlah apa saja, apabila permohonan itu datangnya jauh dari lubuk hati, penuh perasaan lemah sebagai hamba, pasti airmata mula menitik…

Di depan Kaabah, di dalam Raudhah, airmata bagai tiada hentinya, menitis dan menitis. Menyusuri tawaf, pusingan demi pusingan, tersedu-sedu penuh keinsafan membaca doa-doa yang sangat relevan dengan kehidupan. Kebesaran Allah berada di depan mata, terasa diri amat kecil dan hina di tengah ribuan hambanya yang lain, yang mungkin lebih tinggi imannya, lebih mendalam takwanya….siapalah aku berbanding mereka…adakah Kau perasan kehadiran ku? Adakah Kau mendengar doaku? Rasa kecil itu, membawa kepada rasa mengharap yang teramat sangat. Berdoalah apa saja…pasti airmata berlinangan…berjujuran…
Namun, di tengah keributan dunia, airmata itu, adakalanya hadir, adakalanya tidak. Adakalanya doa amat menusuk hati, adakalanya tidak dapat difahami. Kepada siapalah dapat dipohon, jika tidak pada yang Maha Memberi.

Dihujung Ramadhan…di tengah malam sunyi…semoga aku didakap Jibrail…


(Terima kasih buat En Rosli, yang berkongsi cerita ini pagi-pagi tadi…menyambut kedatangan saya yang telah lama bercuti sakit…terima kasih ya!)

Monday, September 7, 2009

Berbuka di JW Marriott.

Tiap tahun bila rezeki mengizinkan, saya cuba mencari peluang membawa emak dan abah berbuka di hotel. Saja memberi mereka mencuba sesuatu yang baru, dulu mereka tidak pernah merasa, sekarang saya mahu mereka mendapat pengalaman istimewa...



Yummy...segala macam puding, custard dan jelly.

Tahun ini saya membawa mereka ke JW Marriott...


Pernah sekali berbuka di Hilton PJ, terjumpa dengan Tun Mahathir (masa tu masih lagi PM), gembira abah saya bersalaman, ada pulak Gee (masa tu masih bersama suaminya Johan Endut, sekarang ex-suami)...airmuka mereka seronok dengan 'exposure kelas' begitu.
Bread pudding kegemaran abah.
Emak, abah dan Kak Long.


Wah! Tengok tu, makanan sudah penuh semeja besar.

Mereka dulu hidup susah, orang kampung biasa-biasa saja, jadi 'exposure' sedemikian cukup membuatkan mereka gembira dan 'appreciate' teramat sangat. Abah saya bekas guru besar sekolah agama di kampung, tidak seperti guru-guru sekarang, pengalaman makan di hotel bagi abah dan emak saya merupakan sesuatu yang mengujakan.



Hanis...tengok apa yang menjadi pilihan akak? Lepas juga mengidamkan roti nan dan tandoori, dari hari tu teringin, lepas tengok N3 awak la....

Seronoknya berbuka, sebenarnya lebih seronok melihat mereka menikmati juadah, memilih apa yang berkenan di hati, berpusing-pusing pening memilih menu yang mana satu...

Melihat mereka makan...best sangat....sukaaaa sangatttt....suatu kepuasan!


Nisha & Zaid, jamuan ni pun bersempena birthday si Zaid ni pada 12 Sept...saja celebrate awal...
(fesyen rambut Zaid yang amat tidak kugemari...)







Di Sudut Resepi Bonda...Cik Hanis oiii...akak terjumpa masaklemak daging salai....

Alhamdulillah...terubat mengidam akak....


(heh..heh...Cik Lie, mengidam Cik Lie belum terubat lagi...kan...kan...)



Lepas kenyang, sempat lagi berposing di lobby.






Jalan-jalan di sepanjang Bukit Bintang, jumpa pulak air pancut warna-warni.....bertukar-tukar kaler dia, macam eye shadow si Hanis...

ambik gambar lah...ala-ala Paris gitu....
(boleh terima ke Cik Imran?)








Kawasan ni, medan shopping barangan branded semuanya...mampu tengok je lah...

Saturday, September 5, 2009

Kilang dah bukak dah...

Pagi-pagi lagi, handphone dah berdering....Dr Jaya dah call dah...Sebenarnya Terima kasih lah kat Dr Jamaiyah yang jadi tukang promote...kan dah pening dibuatnya....

"I nak cepat, Rabu ni ye..." Dah cakap dah kat Dr Jaya, minggu ni tak boleh, order yang ada menimbun...

"Isnin depan boleh tak?" Pujuk saya.

"I nak cepat, please...please..." Dr Jaya lagi kuat memujuk.

"2 kotak ye...Passion dan Oasis.." Sambung Dr Jaya lagi.

Mak...tolong mak....berkotak order nak disiapkan....hati ni lembut sangat....

OK! Kali ni comfirm...no more orders!


(ps: gambar-gambar ni, saja nak buat Mas meroyan....)




Sweet Love














Indulgance










Passion

Friday, September 4, 2009

Mencintaimu....

Istilah cinta mempunyai magiknya yang tersendiri. Dari mata turun ke hati… Ada cinta pertama, ada cinta terakhir, ada cinta yang abadi. Manisnya cinta, mengubat segala rasa rindu di hati. Kuatnya cinta, sehinggakan boleh menyuntik semangat dan motivasi. Indahnya cinta, bagaikan segala cabaran dan kekurangan boleh diatasi.

Diri mudah tersenyum, hati berbunga bahagia. Semua kerja menjadi, semua perkara terlaksana. Hidup bagaikan amat sempurna. Magiknya cinta!

Suami kekasih pertama dan dialah cinta yang terakhir. Dia datang ketika semua perkara sedang kekurangan. Hidup terkontang-kanting di perantauan, hati kesepian tanpa keluarga, cabaran pengajian yang meresahkan, laluan hidup yang cukup berbeza dari biasa. Susahnya untuk solat, susahnya nak makan, susahnya menempuh dingin salji….

Hanya satu panggilan bertanya khabar membuatkan hati rasa sayu, kerana ada yang masih ingin tahu dan memahami. Perkongsian masalah rupanya amat boleh meringankan susah. Hati sentiasa terbuka dengan perhatian yang diberikan, walau jauh teramat, tapi begitu melindungi. Cinta datang kemudian, perlahan, mengambil masanya sendiri. Masa selepas berkahwin lebih panjang, tentu ada ketikanya, cinta akan berkunjung juga…

Mengahwininya, lebih kuat bila semua rakan memberi kata positif, apatah lagi rasa hati amat mendebarkan. Tiada sebab untuk berkata tidak. Tiada alasan untuk terus menunggu. Juga, tiada jawapan untuk berkata ya kerana bimbang hati ibu dan bapa yang perlu dijaga. Lama cuba memahami keinginan hati sendiri. Beristikharah….wajah itu juga yang sering muncul. Mengahwininya? Sebab peribadi yang utama… Pertama, menghindari dosa agar tidak membebankan keluarga. Kedua, dia sahabat yang amat karib dan teristimewa...besar hati bila dia bakal menjadi kekasih. Dia melindungi, dia memahami, dia melengkapi. Ketiga, tidak sabar untuk mencintainya.

10 tahun menunggu…akhirnya cinta itu hadir selengkapnya! Mencintainya kerana Allah, rupanya lansung bukan untuk menerima, tetapi memberi kesemuanya...sepenuhnya….seadanya! 5 tahun terakhir ini…menikmati erti sebenar cinta, bila sahabat itu akhirnya menjadi suami….hidup yang turun naik menyukarkan diri memahami nilai cinta yang sebenar....sabar nya dia amat dikagumi...hati sangat berbunga...

Buat semua rakan-rakan bloggers, semua jawapan merupakan ilmu yang tidak ternilaikan. Perasaan dan pengalaman yang amat benar dan tulus dari hati, perkongsian yang teramat-amat dihargai....

Buat Pizah, jawapan akak yang dulu sudah tidak relevan. Kahwinilah dia atas nama Allah sebenarnya! Cintailah dia kerana Allah! Berkhidmatlah sepenuhnya atas nama ibadah, usah sekali-kali menuntut, usah juga mengungkit. Love is of course….a verb!

Selamat menempuh alam perkahwinan adikku!

Wednesday, September 2, 2009

Soalan cepumas!

Tahun ini, satu persatu staf yang 'bertaraf' adik mendirikan rumahtangga. Tumpang gembira melihat mereka bersiap sedia melalui proses demi proses, dirisik, kemudian bertunang, sibuk menyediakan hantaran, mengurus majlis, memilih tema, menempah kad jemputan dan 1001 macam lagi persediaan.

Apabila selesai majlis, habis bercuti, pengantin baru diusik para senior. Si 'freshie', ada kalanya datang dengan juga 1001 macam persoalan, kekeliruan, serba ingin tahu. Maklumlah, dunia praktikal tidak sama dengan dunia teori. Realiti kehidupan mula dirasai, amat berbeza dengan dunia alam fantasia bulan madu.

"Kak, kenapa akak kahwin?" Itu soalan cepumas dari Pizah, satu hari, satu tengahari....
"Aik....soalan apa ni?" Terperanjat saya dibuatnya. Tergelak dengan soalan yang tidak membawa apa-apa amaran. Kami sedang berbual tentang perkara lain, tiba-tiba Pizah bertanya soalan sedemikian, mana tak terperanjatnya. Mengekek-ngekek dia ketawa.
"Ya lah...kenapa akak kahwin?" Soal Pizah lagi sekali.
"La... Dah dilamun cinta...so...akak kahwin je lah..." Jawab saya sambil mengerutkan dahi.
"Eh, macam tu je? Simple nyer...." Soal Pizah tidak puas hati.
"Oh....ni nak jawapan yang lebih complicated lah ni...." Sergah saya sambil tergelak. Pizah mengangguk.

Ok, sebelum saya memberi jawapan saya, apakah jawapan anda? Soalan cepumasnya,

"Kenapa anda kahwin?"


(Ok, jawab...jawab Mas, Cik Imran, Syami2....dan semua pembaca, termasuklah yang belum berkahwin....Cik Hanis, Cik Tikah....jemput....jemput....)

Tuesday, September 1, 2009

Bila sihat...

Seminggu sakit, semua juadah tak selera di tekak yang pahit. Semua makanan rasa perit di telan tekak yang sakit. Nak ke dapur pun tak larat....


Alhamdulillah bila sihat, baru semangat ke dapur....anak-anak bergilir-gilir menjenguk, "Masak apa Bu?"

Lauk pertama: Masak lemak cili padi kerang...

Lauk kedua: Ikan terubuk bakar percik

Lauk ketiga: Sotong goreng tepung tandoori

(Baca resepi disini)

Pencuci mulut: Vanilla Cupcake

Komen Zaid: "Baru le buka kat rumah nama nyer..."

Komen Nisha: "Mewah nyer buka...."

Komen Amni: "All are my favorite food..."

Komen my hubby: "Macam biasa, I buka kat surau lah ye..." (Laa.... potong thrill la....)

Ok...komen Hanis, Mas dan Cik Imran apa plak?