Wednesday, July 15, 2009

Malam terakhir...

Catatan umrah - backdated.

(Pemandangan Masjidil Haram pada malam terakhir, kelihatan Pintu King Abdul Aziz dan laluan ke bumbung masjid. Gambar ini di ambil dari jalan ke hotel kami, Maqam Al-Qasar)



Tanyalah pada yang pernah ke Masjidil Haram, menunaikan umrah ataupun haji, bagaimana perasaan untuk meninggalkan Baitullah. Perkataan sedih untuk berpisah tidak terungkap bila kita sendiri yang mengalaminya.
Saya beranggapan hari terakhir, hari ke-14 di Tanah Suci ialah hari Ahad. Lewat Hari Isnin, saya merasakan waktu masih panjang untuk menikmati ibadah di Masjidil Haram. Hati masih berbunga gembira dan amat senang dengan pengalaman berulang alik ke masjid. Sehinggalah malam itu bila Nisha mengingatkan saya, “Bu, Ahad tu kita dah kat Malaysialah. Itu tarikh kita sampai kat KLIA, bukan hari nak balik…”. “Ya ke?”. Soal saya sambil merujuk kepada jadual umrah. Memang betul, Sabtu merupakan hari terakhir. Kami hanya ada sehingga solat Zohor sebelum Tawaf Wada’. Bermakna Jumaat merupakan hari penuh yang terakhir. Tempoh 6 hari lagi untuk balik ke Malaysia rupa-rupanya cuma tinggal 4 hari saja. Pada masa itu, kepala jadi kosong, hati jadi sedih tidak keruan. Saya bagaikan terduduk hilang semangat, sedih teramat sangat mengenangkan betapa singkatnya jumlah 4 hari itu. Saya mula tidak tentu arah, badan rasa melayang, fikiran terbawa-bawa rasa bagai kehilangan, lebih mudah saya katakan…”I’M TOTALLY LOST!”
Di tengah-tengah perasaan hiba tersebut, saya juga bimbang jika terbawa-bawa kesedihan yang berlebihan hingga ke Malaysia. Lebih-lebih lagi, ketika itu, saya sudah tidak lalu makan, badan rasa lemah dan longlai dan perjalanan ke masjid amat menghibakan, apatah lagi bila memandang Kaabah. Lalu saya solat hajat dengan jujuran airmata agar Allah menenangkan hati saya dan menguatkan hati saya pada perpisahan ini. Paling penting agar Allah akan sentiasa mengubat kerinduan saya dengan sentiasa menjemput saya berulang-ulang ke rumah Nya.
Selepas itu barulah saya mempunyai semangat untuk menghabiskan sisa-sisa hari di Masjidil Haram. Saya dan Nisha mengira-ngiranya dengan saling mengingati, “Ini Asar terakhir…”, “Ini Maghrib terakhir…”, “Ini Isya’ terakhir…”, “Ini Subuh terakhir…”, “Ini Zohor terakhir…”. Mengikut jadual, tawaf wada’ perlu kami lakukan selepas Zohor terakhir...
Pada 2 malam terakhir, ketika berkemas barang, saya menyembunyikan kesedihan dan airmata yang bergenang dari suami. Suami sebenarnya sudah 'membebel' menyuruh berkemas, tetapi saya tidak sanggup, hinggalah malam itu. Walau saya amat ingin menangguh-nangguhnya lagi, tapi hakikatnya, saya perlu juga berkemas barang. Malam terakhir, kami sekeluarga menikmatinya dengan menyusuri sekitar Masjidil Haram. Saya dan Nisha jalan berpelukan memandang Masjidil Haram yang bergemerlapan dengan lampu. Kami merenung, dan merenung, dan merenung tanpa rasa jemu...

No comments: