Wednesday, July 15, 2009

Lambaian terakhir.

Catatan umrah - backdated.




(Gambar ehsan dari Cik Lie)



Melangkah kaki ke Masjidil Haram amat menyiksakan tengahari itu. Bagasi sudah di lobi. Saat-saat perpisahan sudah semakin hampir dan tak mungkin dapat ditangguhkan lagi. Selesai solat Zohor, saya dan Nisha sujud syukur atas jemputan ini dan kesihatan yang Allah pinjamkan sepanjang di Tanah Haram. Kami sekeluarga memang sangat beruntung kerana sihat sepanjang tempoh 13 hari di Tanah Suci.
Memang terik tengahari itu, tetapi tidak terasa ketika Tawaf Wada’ kerana hati lebih melayan syahdu di antara bacaan doa pusingan demi pusingan. Sedu sedan ketika solat sunat memang amat meruntun jiwa, dan membaca doa agar Allah tidak jadikan ini ziarah terakhir menjadikan diri berasa amat lemah dan tidak berdaya apa-apa. Sesaat yang akan datang bukanlah di tangan kita. Hidup dan mati hanyalah Allah yang menentukan.

Mata tidak dapat berpaling di saat meninggalkan Kaabah. Hati tidak sanggup membelakanginya dan berjalan menuju ke pintu King Abdul Aziz terasa sangat berat. 9 hari menjadi tetamu rumah ini bagai sudah cukup sebati, bagai sudah menjadi rumah sendiri. Di depan pintu King Abdul Aziz, kami berpaling melihat Kaabah buat kali terakhir dan menyarung kasut dengan perlahan. Dalam hati, Ya Allah, jemputlah aku lagi, jemputlah aku lagi….

1 comment:

Wan Rusyaini Wan Mohd said...

Salam Datin Asnija,

Saya baru sahaja membaca coretan perjalanan umrah Datin yang lepas. Entah macamana tiba-tiba hati saya begitu tersentuh dengan coretan Datin bermula malam terakhir di MH hinggalah ke kisah Zaid.

Aitmata saya bercucuran tanpa henti. terasa betapa besarnya kuasa Allah yang Berkuasa mengaturkan perjalanan hidup kita yang pastinya ada hikmah yang terbaik.

saya belum berpeluang ke sana. pernah bermimpi 3 kali berada di MH dan keesokan paginya saya menangis semahu-mahunya. Perasaan sedih tu datang tanpa dibuat-buat. Kenapa saya sedih pun saya tak pasti. tetapi saya rasa rindu yang teramat.