Catatan umrah - backdated.
Adik beradik saya dan Amni semestinya menyambut kami di airport. Ija memberitahu Amni tidak tidur lena malam itu, sekejap-sekejap terjaga kerana teruja untuk menjemput kami di KLIA. Pukul 5.00 pagi sudah menggerakkan Ija untuk mandi, “Cepat K.Ija, nanti kita lambat ke KLIA.” Padahal, kami hanya akan sampai pukul 1.00 tengahari.
Urusan bagasi agak lambat dan kami menunggu hampir setengah jam. SMS dari Su saya terima berkali-kali memberitahu mereka sudah ada di luar menunggu. Saya juga sudah tidak sabar menemui Amni. Tiba-tiba datang rasa rindu teramat sangat.
Sampai di luar, kami tidak nampak mereka dan tercari-cari. Sehinggalah saya terdengar suara Amni menjerit memanggil sambil dia lari menerpa dan memeluk saya. Dia memeluk, dan mencium pipi saya kiri dan kanan. Kami memang tidak pernah berpisah meninggalkan dia seorang. Ketika itu, memang dapat saya rasakan Amni amat merindukan kami semua. Amni sebenarnya lebih rapat dengan bapanya, tetapi hari itu, dia lebih ‘melekat’ dengan saya. Mulutnya bercerita semua perkembangan dia di sekolah dan di rumah. Paling mengharukan bila dia membuat kejutan Hari Ibu. Amni, berumur 7 tahun, meminta Pak Usunya membelikan kek di Secret Recipe untuk ‘surprise-kan ibu’. 2 perkara yang sangat menyentuh hati saya, pertama, ingatannya tentang Hari Ibu, kedua, ingatannya tentang kek kegemaran saya di Secret Recipe. Saya tidak pernah memberitahunya atau bercakap tentang kegemaran saya ini, tetapi rupanya Amni sangat ‘observant’ berbanding umurnya yang baru 7 tahun. Itu yang membuatkan saya sangat terharu. Saya juga amat menghargai kesungguhan Ijun (Pak Usu) menunaikan harapan Amni, meluangkan masa untuk menempah dan membeli kek tersebut, juga mengeluarkan wang dari poketnya…saya tahu mahal kek itu…
Dan paling membuatkan saya merasa amat disayangi…abah dan emak menjemput Acik dari Seremban untuk datang dan memasak juadah istimewa tengahari itu, semata-mata untuk menjamu kami. Acik pula memasak bersungguh-sungguh dari hati. Ada laksa kegemaran suami, Nisha dan Zaid. Ada rendang ayam kegemaran saya, nasi impit dan sambal goreng jawa. Mereka sangat ‘observant’, kerana setiap satu juadah yang dimasak adalah kegemaran kami.
Saya rindukan Kaabah…tetapi di sini saya berasa dirindui dan disayangi….
No comments:
Post a Comment