Ija telah bekerja dengan saya selama 4 tahun. Ketika mula bekerja, dia tidak tahu memasak. 6 bulan saya melatihnya membuat kerja rumah dan memasak. Pada peringkat awal, kami sekeluarga menyombong...masakan Ija kami tidak jamah, kononnya 'kembang tekak'. Tapi sekarang, habis licin kami makan. Saya lebih kepada 'menekan butang remote control'. Ija akan masak, dan kami makan apa saja yang dimasaknya. Adakalanya Ija akan menelefon saya minta dibelikan santan atau bahan-bahan untuk memasak yang tidak ada di rumah bila dia ingin memasak sesuatu. Ikan dan lauk basah yang suami saya beli, dia sudah dapat mengagak untuk dimasak apa. Jika ada sotong dan udang, dan daun limau purut, maka Isnin atau Selasa pasti ada tom yam. Jika ada kepala ikan merah, pasti akan terhidang sup kepala ikan beserta sambal kicap. Berpeluh-peluh kami makan.
Saya memang betul-betul 'lepas tangan' dengan Ija. Bila saya kata nak balik kampung, tak perlulah saya mengemas beg pakaian Amni (anak bongsu saya). Pasti semua kelengkapan, pakaian, makanan, susu, botol susu dan sebagainya, siap tersedia. Ija juga tahu apa yang digemari oleh setiap anak saya, dan apa yang mereka tidak suka. Bila kami hendak pergi grocery, Ija akan berpesan makanan apa yang Amni suka untuk breakfast, apa yang Zaid suka minum, dan apa yang Nisha suka untuk bekal ke sekolah.
4 tahun ini, hidup saya memang senang (Puan Besar habis..!). Tahun ini, 14 Jun, permitnya akan berakhir. Saya mengira-ngira tarikh dan berhasrat memujuknya untuk balik lambat sedikit iaitu 2 minggu sebelum Raya. Saya merancang untuk mengambil pembantu rumah yang baru selepas Raya, dan semasa cuti sekolah pembantu yang baru akan sampai. Jadi mudah sedikit memandangkan anak-anak saya berada di rumah, boleh tolong tengok-tengokkan pembantu baru buat kerja rumah.
"Maaf Puan, betul-betul saya nggak oleh tangguh. Kalau tidak ada urusan, pasti saya boleh..." Jawab Ija. Saya tidak memujuk panjang, tetapi meminta emak saya memujuknya. Ija dan emak saya memang ada 'soft spot'. Jawapan yang sama diberikan. Pelik juga sebab Ija yang kami kenali memang tidak berkira orangnya. Satu hari emak saya memujuknya lagi, "Kamu beriya-iya nak balik sampai tak boleh tangguh ni kenapa Ja? Kamu nak kahwin ya?" Emak saya mengusiknya. "Ya, Bu!" Apalagi, terjerit-jerit anak-anak saya mengusiknya selepas itu. Lebih memeranjatkan kami, tarikh kahwinnya ialah 11 Julai. Padanlah tak boleh tangguh!
Kami semua gembira dengan berita itu (sebenarnya saya sedih sebab 'confirm' dia tak akan sambung bekerja lagi..he..heh..sungguh mementingkan diri sendiri saya ni..). Dalam hati saya rasa bersyukur sangat dan menghargai Ija kerana amanah. 2 kali saya benarkan Ija balik bercuti, tanpa saya ketahui kali pertama untuk bertunang, kali kedua untuk membeli barang-barang hantaran. Kalaulah saya tahu, sebenarnya saya benarkan dia balik dengan risiko yang amat tinggi dia tidak balik ke sini semula, maklumlah, dalam rasa teruja bertunang dan menyiapkan persiapan hantaran, calang-calang orang sudah tentu tidak bersemangat lagi untuk balik bekerja di Malaysia. Malahan sangup meminta tempoh bertunang 2 tahun sehingga dia habis bekerja dengan saya.
Saya amat rasa bertuah dan amat dilindungi Allah. Bayangkan sekiranya Ija tidak memikirkan kami, sudah pasti tidak sanggup bertunang 2 tahun, dan sudah pasti tunangnya juga tidak sanggup menunggu 2 tahun. Sudah pasti ketika dia balik kali kedua tahun lepas, dia boleh memilih untuk tidak balik semula ke sini. Saya melihat Ija dengan paradigma yang baru. Dan dalam diam saya amat menghargai dia kerana amanah dan menunaikan janji.
Tadi saya ingatkan Amni, "5 hari lagi tau Kak Ija akan balik ke Indonesia." Kononnya, supaya dia boleh bersedia secara mental dan tidak terperanjat. Amni sangat rapat dengan Ija, teramat rapat, kawan sepermainan Barbie! Terkebil-kebil mata Amni, perlahan dia merayu pada saya, "6 hari lagi boleh tak?" Sedih saya mendengarnya, "Tak boleh, sebab kalau 6 hari, Kak Ija tertinggal kapalterbang nanti. Tiket dia hari Sabtu." Amni turun mendapatkan Ija, dan memberitahu Ija, "Nanti Kak Ija telefon Amni tiap-tiap hari ya! Ingat tau.."
Saya sudah dapat membayangkan suasana di airport hari Sabtu nanti. Mesti ada 'drama swasta' berbabak-babak...Saya mungkin tidak menangis. Tapi sekiranya Amni menangis, pasti saya akan ikut menangis sebab sedih melihat dia menangis. Itu yang saya tak sanggup. Apa boleh buat, Ija kena balik juga, tak boleh tangguh...
No comments:
Post a Comment