(Catatan umrah - backdated Februari 2009)
Niat untuk menunaikan umrah mula berlegar-legar di kepala sepanjang tahun 2008. Tapi waktu itu, kepala asyik memikirkan masalah terutamanya yang berkaitan kewangan. Sebenarnya saya tahu adalah lebih baik fokus kepada penyelesaian, tetapi hati masih tetap mahu memikirkan isu itu dan ini. Saya membuat kesimpulan, hati sendiri yang belum mantap, sekadar ada keinginan tinggi tetapi bukan satu keinginan yang cukup kuat. Jadi, pantang ada masalah, perkara itulah yang dijadikan isu.
Dan ketentuan Allah itu memang tersangat cantik. Awal tahun gerak hati menjadi cukup kuat. Pelbagai dugaan datang yang mana sekadar mengadap manusia meminta pertolongan tidak memadai lansung. Rasanya sudah cukup maksimum keperluan untuk mengadap Allah secara terus. Setiap kali solat melihat gambar Kaabah di sejadah, rasa teringin yang amat sangat melihat Kaabah yang sebenar. Semakin tinggi keinginan untuk menjejak kaki ke rumah Allah, semakin diri dilanda pelbagai dugaan. Hati menjadi semakin kuat untuk pergi. "Tak boleh jadi ni..., walau apapun, tahun ni mesti pergi juga. Apapun masalahnya, mesti diusahakan juga..."
Sebulan saya membuat 'research' - agen Umrah yang mana satu, tarikh yang mana satu, pakej yang mana satu, sumber kewangan dan 1001 macam lagi. Maklumlah pergi untuk pertama kali, semua perkara saya tidak tahu, kena bertanya dengan ramai orang yang lebih berpengalaman. Apabila maklumat sudah lengkap (perasan saya dah lengkap lah...he..heh), malam itu saya membuat temujanji makan tengahari dengan suami keesokannya. Alhamdulillah, suami agak lapang dan kami makan tengahari bersama esoknya berhampiran pejabat suami.
Sambil makan saya mengajukan 'proposal umrah' kepada suami. Bukan sebarang proposal, tapi proposal yang lengkap...he..heh. Paling utama saya menjemputnya untuk menjadi peneman saya. Saya juga berniat untuk membawa anak sulung (Zaid) dan anak kedua (Nisha).
Mata suami bersinar-sinar terperanjat dan teruja. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan proposal saya mendapat kelulusan. Suami menyokong penuh dan menawarkan bantuan...leganya saya. Malam itu selepas maghrib, kami membuka cerita kepada Zaid dan Nisha. Respon Nisha: "Takutnya...". Respon Zaid: Tak ada respon. Saya memberi mereka masa untuk digest berita ini, maklumlah, hati saya juga berdebar-debar, "Betul ke ni?"
No comments:
Post a Comment