Catatan umrah - backdated 14 Mei 2009 (Hari keempat - Khamis)
Banyak cerita tentang pengalaman orang yang pertama kali melihat Ka’abah. Ada yang berasa lemah lutut, lemah seluruh badan, menggigil, terduduk, menangis, dan ada yang tidak nampak Ka’abah sampai ke sudah. Cerita-cerita tersebut membuatkan hati berdebar-debar. Dengan dosa saya yang banyak, pengalaman yang mana satukah akan saya lalui? Akan terbukakah hijab dosa-dosa saya nanti? Apatah lagi dalam saya mengintai-intai di sebalik tiang, saya masih belum nampak yang satu itu…
Akhirnya Ka’abah jelas di depan mata, suami mencuit saya, “Itu Ka’abah! Itu Ka’abah!” Saya hanya mengangguk-angguk, cuba menyelami hati dan perasaan sendiri. Diri bagai bermimpi, betulkah aku di sini? Diri rasa mendapat untung yang sangat besar dan lumayan! Syukur teramat syukur. Ka’abah yang saya sering bayang-bayangkan apabila rukuk dan sujud memandang sejadah, sudah tersergam di depan mata. Rasa bagai mahu meluru memeluknya. Entah apa yang ustaz cakapkan, saya lansung tidak mendengarnya, mata terus leka memandang Ka’abah. Kami berjalan sehingga sangat hampir dengannya, sangat hampir. Ustaz menunjukkan kedudukan Hajarul Aswad dan lampu hijau untuk kami memulakan tawaf. Orang memang ramai, tetapi keadaan terasa lapang.
Pusingan pertama, saya membaca doa dalam Bahasa Arab. Begitu juga dengan pusingan kedua dan ketiga. Masuk ke pusingan keempat, saya membaca doa dalam Bahasa Melayu. Sungguh menyerap dan relevan. Air mata saya berjurai-jurai, menangis tersedu-sedu, terkenang cabaran yang dilalui untuk ke sini, laluan yang Allah berikan, bantuan yang Allah sediakan…ketika itulah terasa yang amat sangat menjadi tetamuNya dan kedatangan kami atas jemputanNya...terimakasih Ya Allah kerana menjemputku, menjemput suamiku dan menjemput anak-anakku… besarnya rasa hati…Allah saja yang tahu!
No comments:
Post a Comment