Catatan umrah - backdated 14 Jun 2009 (Hari keempat-Khamis)
Mata saya terpejam celik melayan rasa mengantuk. Tiba-tiba terlihat papan tanda dan anak panah bertulis “Haram”. Rasa mengantuk terus hilang entah kemana. Saya terus menyelak langsir bas dan melihat sekeliling. Di kiri kanan jalan sudah kelihatan bangunan-bangunan dan rumah-rumah kedai. Detik hati merasakan pasti sudah hampir… Memang benar jangkaan saya, apabila tidak lama kemudian mutawif kami mengumumkan yang kami sudahpun memasuki Haram. Jadual kami selepas itu ialah check-in ke hotel, segarkan diri dan berwudhu’ dan berkumpul semula di lobi pukul 4.30 petang untuk mengerjakan tawaf. Saya melihat jam di tangan, bermakna ada lebih kurang 45 minit untuk melihat Kaabah. Hati saya tiba-tiba berdebar-debar, hingga terpaksa bersandar di kerusi untuk menenangkan diri.
Bas kami melalui hotel-hotel yang besar, kemudian hotel-hotel yang kecil. Mengikutmaklumat pakej, kami akan di tempatkan di Hotel Makam Al-Qasar. Ijun (adik lelaki saya) sudah berpesan untuk menurunkan ‘expectation’ serendah-rendahnya apabila tiba di Mekah. Penginapan di Madinah sememangnya hotel bertaraf 5 bintang. Tetapi penginapan di Mekah boleh turun kepada 2 bintang, adakalanya seperti asrama lama sahaja. Ijun berpesan, sabar….sabar….kerana kita akan berdepan dengan ego diri apabila terasa di ‘down graded-kan’ (betul ke perkataan saya ni?). Memang mudah rasa terperanjat jika tidak bersedia dari segi mental. Jadi saya mengingatkan anak-anak, hati jangan berdetik apa-apa, mulut juga jangan bercakap apa-apa, sebut saja Alhamdulillah dan banyakkan berzikir.
Bas kami akhirnya sampai ke penginapan kami. Hotel yang kami duduki merupakan servis apartment. Memang terasa ‘down-graded’ sebaik masuk ke lobi, lifnya unik, kami perlu membuka pintu barulah terjumpa lif di dalam. Saya mulai faham pesanan Ijun yang bersungguh-sungguh. Walaubagaimanapun, saya merasakan bilik kami cukup selesa dan bersih. Memang hati perlu dididik agar bersyukur dan tidak mudah tercabar rasa ego. Itu pelajaran pertama, di Haram, ego itu tidak ada maknanya.
Kami cepat-cepat berwudhu’ dan turun ke lobi. Ustaz sudah bersedia membawa kami ke Masjidil Haram. Beg sandang, name tag, buku doa dan karung kasut merupakan perkara yang wajib dibawa. Alhamdulillah, sebenarnya Makam Al-Qasar sangat dekat dengan masjid, jalannya juga landai dan lapang. Saya dapati, itulah faktor terpenting menjadikan penginapan kami strategik. Saya teringat pesan rakan-rakan dan Ijun sendiri tentang deretan kedai (agar mengawal diri dari asyik ber-shopping) dan juga peminta sedekah (agar berhati-hati jika ingin bersedekah, dan menjaga hati dan mulut). Tetapi, sepanjang jalan ke Masjidil Haram, saya tidak nampak itu semua. Akhirnya baru saya tahu dan bersyukur kami ditempatkan di kawasan yang jauh dari kesesakan kedai-kedai. Penginapan kami berhadapan dengan Istana Raja, jika berjalan, terus masuk ke pintu King Abdul Aziz. Laluan ini memang lapang.
Saya memegang tangan Nisha, mata tidak berkelip memandang Masjidil Haram, masya-Allah ramainya orang. Ustaz memberi penerangan tentang jalan yang kami perlu ambil agar tidak sesat balik ke hotel. Semua jamaah kemudiannya berkumpul di hadapan Pintu King Fahd. Ustaz memberi taklimat tentang tawaf, memimpin kami membaca doa dan perlahan-lahan kami memasuki Masjidil Haram. Mata saya mengintai-intai di sebalik tiang-tiang…hati sangat teruja mencari-cari…manakah ia…manakah ia….
2 comments:
Tahniah, Syabas pada Pnn Sekeluarga menjadi tetamu Allah. Semuanya saya dah baca, Jutaan terima kasih dengan catatan ini, rasa teruja sesangat nak gi sana. Mudah-mudahan saya sekeluarga akan diundang oleh Allah untuk menjadi tetamunya pula, Amin. Johar Bukari.
Johar/Abuyaina,
Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Insya-Allah bila niat nak pergi dah ada, nanti Allah akan bukakan pintu selapis demi selapis....
Post a Comment