Catatan umrah - backdated 13 Mei 2009 (Rabu-Hari Ketiga)
“Sekarang pukul berapa Sha?”
“Nisha tak pakai jam Bu.”
Saya mencari jam tangan di dalam beg. Tadi ketika mengambil wudhu’ saya buka jam tersebut. Ketika itu saya hampir memulakan solat. Baru teringat, saya letakkan jam di para tempat wudhu’, kemudian terlupa lansung. Saya kira jika turun kembali, mungkin jam itu sudah tidak ada. Lagipun untuk keluar semula memakan masa, sedangkan malam sudah lewat benar. Saya beritahu Nisha, “Takpelah, bukan rezeki Ibu. Mungkin sudah ditakdirkan jam tu hilang, Ibu sedekah jelah pada orang yang terjumpa.”
“Bu, takkan nak biar macam tu je. Tak pelah, Ibu solat, biar Nisha pergi tengok.” Balik dari Raudhah tadi, Nisha memang sudah mengantuk, tapi mahu pula menemankan saya berwudhu’ dan masuk ke masjid semula. Sekarang ini, elok dia nak tidur di sebelah saya, mahu pulak menawarkan diri ke tandas semula mencari jam saya seorang diri. Tapi saya tahu pengawal wanita masih ramai di dalam tandas dan di luar masjid. Jadi saya tawakal dan memberi keizinan untuk dia ke tandas semula seorang diri.
“Tengok je, kalau ada, Alhamdulillah, kalau tak ada, Nisha cepat masuk masjid semula ya.” Dia bergegas keluar. Saya bangun solat hajat, “Ya Allah, jika masih rezeki ku, biarlah Nisha terjumpa jam itu, jika sudah bukan rezekiku lagi, aku terima sebagai ujianku.”
Elok saya siap solat, Nishapun sampai. Dia tersenyum, “Jumpa Bu!”. Saya memeluknya, “Terima kasih sebab tolong Ibu.” Dia mengangguk dan berbaring di sebelah saya. Lewat solat saya yang kedua, dia sudah lena di tengah-tengah kedamaian Masjid Nabawi. Sambil mengaji saya mengusap-usap kepalanya, keputusan saya membawa Nisha sememangnya amat tepat…
No comments:
Post a Comment