Catatan umrah backdated.
Selepas umrah ketiga, perasaan memang sangat ringan dan gembira. Keadaan sudah mula panas terik. Amalan saya dan Nisha, dalam perjalanan ke hotel mesti singgah membeli ais krim terlebih dahulu. Kebetulan orang sedang ramai menungu giliran, di sana, orang dewasa lebih ramai membeli ais krim berbanding budak-budak. “Abang balik dulu lah…” Kata suami, penat berdiri menunggu. Saya mengiyakan kerana kaki saya juga sudah mula penat berdiri. Akhirnya, saya dan Nisha mendapat ais krim yang dihajati. Nikmat sungguh perisa campur, strawberi, coklat, mangga dan honeydew…sejuk, lembut, manis berkrim….hmmm…(masih terasa-rasa…)
Kami melalui kedai gunting rambut, dan “mengumpat” suami…. "Agak-agak, abah botak tak Bu?" Saya menjelaskan, “Botak tu afdhal saja, tapi gunting pun sudah memadai…” Sambil berjalan kami melihat ke dalam kedai, sehari suntuk kedai ni buka, tak pernah tutup, dan orang bertali urus bergunting dan cukur rambut, kerusi mesti penuh. Di dalamnya semua sedang di cukur botak.
“Eh, abahlah Bu!” Cuit Nisha menunjuk ke dalam. Memang betul suami saya yang sedang dicukur…botak! Kami mengintai-ngintai dari luar, kemudiannya menjenguk ke dalam kedai. “Haa…botakpun!” Usik saya dan Nisha.
Tak pernah sepanjang 19 tahun berkahwin dengannya, melihat rupanya ketika botak, timbul rasa lucu yang membuatkan saya gelak mengekek-ngekek. Akhirnya suami bersuara, “Abang cuti seminggu-lah baru kerja balik…” Asalnya dia hanya ingin bercuti sehari saja. “Nak tunggu rambut tumbuh balik ke?” Usik saya lagi. “Nanti kat masjid sapu dengan air zam-zam, doa minta tumbuh rambut hitam lebat.” Pesan saya. Maklumlah, ada setengah orang elok rambutnya hitam, bila bercukur, tumbuh semula rambut putih semua…itu yang ditakuti suami…
Lepas seminggu bercuti di rumah, saya menyapu-nyapu kepalanya, “Alhamdulillah, semua rambut hitam yang tumbuh, tak de uban… kekal mudalah you pegi ofis esok…”
No comments:
Post a Comment