Penerbangan mengambil masa lebih kurang 8 jam. Selepas set makan yang pertama, kami mencuba saluran rancangan yang disediakan. Seronoknya melihat pilihan rancangan yang ditawarkan, paling seronok terdapat rancangan yang menerangkan ibadah haji, termasuk tentang tawaf dan sa'ie. Dapatlah mengulangkaji... (he..heh...memang 'last minute'.)
Memang ada perbezaan melihat saluran rancangan di Saudi Airlines ni. Adakalanya gambar-gambar dikaburkan, sememangnya penting lebih-lebih lagi pesawat dipenuhi jamaah umrah. Dapatlah kami menjaga pandangan. Sambil melelapkan mata, saya mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran dari salah satu saluran.
Selepas set makan kedua, penerbangan kami menghampiri Riyadh. Kami transit selama setengah jam. Kelakar sebab pada mulanya kami ingatkan sudah sampai dan menurunkan beg tangan, walaupun pelik kerana setahu saya kami akan turun di Madinah, tapi mengapa juruterbang mengumumkan Riyadh? Rupanya memang betul belum sampai lagi ke Madinah.
Lewat jam 8.00 malam waktu tempatan, kami sampai di Lapangan Terbang Madinah. Urusan imigresen, walaupun terpaksa menunggu hampir setengah jam, begitu lancar dan mudah. Sampai saja kami di luar, beg sudah tersusun. Wakil Rayhar sudah menunggu di luar. Kami menaiki bas ke hotel dalam hujan renyai-renyai. Kami diberitahu untuk terus check-in dan makan malam.
Saya rasa segar semacam. Mata melilau ke kanan dan ke kiri melihat pemandangan malam Madinah. Sampai di sempadan Tanah Haram Madinah, petugas Rayhar mengingatkan kami supaya banyak-banyak berselawat. Bas kami memasuki kawasan hotel dengan perlahan kerana orang ramai sedang berduyun-duyun keluar dari masjid selepas Isyak. Mata kami terpaku ke arah bangunan yang bercahaya gemerlapan dan hati terus terdetik, dengan yakin saya mencuit Nisha, "Tengok tu, Masjid Nabawi...Masjid Nabi...kita dah sampai..." Hati rasa hening, alhamdulillah kami selamat sampai...di dalam sana itulah....kekasih Allah...Rasul Allah....Nabi Allah...tak sabar rasanya untuk menziarahi baginda.
Malam itu kami di arahkan terus ke bilik selepas makan malam. Selepas sarapan esoknya barulah mutawwif akan membawa kami berziarah makam Rasulullah dan sahabatnya. Tiada apa-apa maklumat tentang solat Subuh esok pagi. Saya mencuit suami, "Insya-Allah kita boleh pergi sendiri untuk Solat Subuh rasanya kan? Insya-Allah kita tahu mana nak tuju kan?" Suami mengangguk-angguk. Kami menginap di Hotel Dallah Taibah. Keluar dari hotel, terus saja masuk ke Masjid Nabawi. Laluan itu mudah bagi jamaah wanita kerana terus ke pintu masuk untuk wanita, pintu 25a,b,c,d. Pintu ini merupakan pintu terhampir untuk ke laluan menuju Raudhah. Saya merujuk peta Masjid Nabawi dan berasa yakin kami boleh pergi sendiri.
Malam itu untuk pertama kali tidur dengan perasaan yang sangat teruja untuk bangun semula. Lansung tiada rasa letih dan penat...Masuk Subuh 4.15 pagi. "Esok ibu akan kejutkan pukul 2.30 pagi ye..." Masing-masing melihat jam waktu itu sudah hampir pukul 12.00 malam. Cepat-cepat kami tidur kerana tinggal lagi lebih kurang 2 jam saja untuk kami melelapkan mata.
No comments:
Post a Comment