Thursday, June 4, 2009

Inikah Raudhah!

Catatan umrah - backdated 12 Mei 2009 (Selasa-Hari Pertama)

"Banyak-banyak berdoa di Raudhah. Solat hajat dan berdoa dalam sujud." Teringat pesan Kak Ros. Kesempatan ini memang paling ditunggu-tunggu. Raudhah merupakan tempat mustajab untuk berdoa. Kerana itulah orang tidak pernah surut, berebut-rebut mencari peluang untuk berdoa di situ. Bukan mudah untuk mendapat peluang ini kerana Raudhah tidak penah lapang, kita perlu pandai mencari ruang untuk solat dan tidak melepaskan peluang dan ruang yang ada walaupun sekecil dan sesempit mana.

Raudhah terletak di antara Makam Nabi dan Mimbar Nabi, sekiranya mengadap kiblat, Raudhah berada di sebelah kanan Makam Nabi. Cara termudah untuk mengenali kawasan Raudhah ialah karpet kawasan Raudhah berwarna hijau, sedangkan kawasan masjid yang lain dilitupi karpet merah. Raudhah di buka untuk jamaah wanita 3 kali sehari, waktu pagi selepas Subuh, tengahari selepas Zohor, dan Malam selepas Isyak. Jamaah lelaki pula berpeluang untuk masuk ke Raudhah pada bila-bila masa.

Pagi itu merupakan peluang pertama untuk kami ke Raudhah. Ustazah sudah berpesan untuk menjaga wudhu', kerana apabila sudah masuk ke Raudhah, agak mustahil untuk keluar dan masuk semula. Kami semua duduk dalam kumpulan Melayu. Amalan di sini, setiap kali waktu untuk jamaah wanita masuk ke Raudhah, penjaga-penjaga Masjid yang berpurdah akan memegang papan tanda agar jamaah wanita duduk berkumpulan mengikut negara, lebih tepat lagi mengikut rumpun bahasa. Papan tanda yang akan mengumpulkan jamaah berbahasa Melayu akan tertulis "Bahasa Malayu" ataupun "Penerangan Agama". Jamaah wanita dari Singapura, Indonesia dan Brunei akan berkumpul bersama.

Kami duduk menunggu giliran dengan sabar. Saya mengingatkan Nisha doa-doa yang penting untuk dibaca dan dipohon. "Dapat saja ruang, terus solat Hajat, doa dalam sujud terakhir. Habiskan semua doa baru bangun."

Tidak lama kemudian, kumpulan kami dibenarkan masuk. Saya memegang erat tangan Nisha dan bergegas masuk ke kawasan Raudhah. Mata memandang karpet yang di pijak mencari karpet bewarna hijau. Orang terlalu ramai dan rapat dari bahu ke bahu, agak sukar untuk saya mengenalpasti karpet. Tiba-tiba saya terpandang sempadan karpet merah dan hijau. Tetapi orang terlalu sesak untuk masuk ke dalam. Saya berbisik kepada Nisha, "Depan ni Raudhah, cari tempat yang lapang...Nisha...cepat..." Kami menyelit masuk ke Raudhah di tengah-tengah kesesakan. Mulut saya dan Nisha terus kumat-kamit membaca doa yang abah ajar, "Rabbi Yassir Wala Tu'assir....Rabbi Yassir Wala Tu'assir..." Doa itulah yang saya baca berulang-ulang.

Sungguh mustahil untuk solat kerana ruang terlalu sempit untuk rukuk, apatah lagi sujud. Tapi hati saya berbisik, insya'Allah nanti Allah beri ruang. Setelah berada ke dalam sedikit, tidak semena-mena ruangan di depan saya agak lapang, dan saya mengisyaratkan kepada Nisha untuk mulakan solat, "Ok Sya...kita solat sekarang."

Apa yang saya rasa, sebaik memulakan solat (saya memejamkan mata walaupun saya tahu makruh, tetapi orang terlalu ramai, saya ingin mendapatkan khusyu' dengan memejamkan mata), saya rasakan sekeliling seperti hening dan saya seperti bersendirian, kerana rasa bersendirian itulah, di pertengahan bacaan Al-Fatihah airmata saya gugur teramat laju tanpa dapat ditahan. Rasa diri terlalu kecil untuk memohon sesuatu yang sangat besar. Saya rukuk perlahan-lahan kerana tahu ruang tidak ada, sujud juga perlahan-lahan. Tapi setiap kali rukuk dan sujud, ruang seakan terbuka cukup untuk saya rukuk dan sujud. Di sujud terakhir, tangisan saya sudah menjadi tersedu-sedu. Pengalaman berdoa yang sangat hebat sehinggalah terasa belakang saya ditepuk oleh pengawal, "sudah ibu...bangun...ibu...". (Pengawal berpurdah ini memang tahu berbahasa Melayu. Bagi jamaah yang bertelekung putih, dia sudah dapat mengecam dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Mereka pasti bercakap Melayu dengan kita.) Rupanya sudah lama saya sujud, terasa sangat sekejap dan tidak puas. Tetapi ingin memberi peluang kepada jamaah lain, saya bangun dan memberi salam. Tidak lama, Nisha turut bangun.


Keluar dari Raudhah, saya terus menyimpan azam untuk ke Raudhah lagi tengahari itu, dan pada setiap waktu Raudhah dibuka untuk jamaah wanita. Saya berkongsi pengalaman dengan Nisha tentang perasaan hening dan keseorangan walaupun orang ramai. Rupa-rupanya Nisha juga mengalami keadaan yang serupa, "Yalah Ibu! Mula ramai sangat orang, tapi bila solat tiba-tiba rasa macam takde orang." Kami sama-sama bersemangat untuk ke Raudhah lagi tengahari itu.


Keluar dari masjid, suami sudah menunggu dengan kamera. Dia juga sudah ke Raudhah pagi tadi. Saya dan Nisha bercerita pengalaman kami dengannya. "Best abah, pergi lagi tau abah...best sangat!"

Kemudian kami berpusing-pusing sekitar hotel dan bergambar di depan masjid. Terdapat banyak kedai yang berhampiran. Pekedai semuanya dapat mengecam kami dari Malaysia dan berbahasa Melayu. "Masuk haji, tengok-tengok dulu...", "Hajjah, masuk pilih-pilih...murah.."

Saya hilang mood langsung untuk ber-shopping. Dalam hati saya, "Cepatlah zohor...cepatlah zohor..."

No comments: