(Pemandangan dari atas bukit penempatan pasukan memanah, Bukit Uhud berada dibelakang)
Di Jabal Uhud, saya sudah agak kepenatan, ditambah pula cuaca yang panas terik. Suami mengajak menaiki bukit dimana pasukan memanah ditempatkan yang kemudiannnya terleka dengan harta rampasan dan terlupakan pesan Rasulullah. Pada awalnya saya rasa keberatan lalu ditegur suami, “Jauh-jauh kita datang, sudah terlalu hampir tak nak naik pulak…”. Sungguh, selepas berada di atas, saya tidak menyesal langsung. Nasib baik suami mendesak jika tidak saya rugi satu pengalaman hebat. Di atas sana, saya dan suami membayangkan arah tentera Quraisy datang, sememangnya tentera memanah pihak Islam dapat menyerang dengan mudah, dan sememangnya mereka boleh berasa ‘over confident’ yang mereka sudah menang.
(Kubur Saidina Hamzah)
Kami membayangkan bagaimana Rasulullah tercedera, bagaimana Saidina Hamzah terbunuh dan dilapah dadanya dan keberanian tentera Islam di tengah kekalutan diserang dari belakang oleh tentera Quraisy. Dari kejauhan, memandang terus ke kuburan para syahid termasuk kubur Saidina Hamzah, membayangkan kata-kata ustaz bagaimana kuburan tersebut tidak dibongkar kerana berkemungkinan besar jenazah-jenazah syuhada’ masih segar bugar di dalamnya. Besarnya pengorbanan mereka. Kerana pengorbanan memperjuangkan Islam, maka saya dapat berada di puncak bukit ini, pada saat ini sebagai seorang Muslim.
Panas terik mentari semakin terasa ketika kami sampai di ladang kurma. Buah-buah kurma sedang menghijau. Pesta membeli kurma berlanjutan hingga ke pasar kurma. Masing-masing menjinjing plastik bungkusan kurma ke bas sambil tersenyum puas. Bagi saya dan suami secara peribadi, pembelian tersebut lebih kepada teringat-ingat sahabat dan keluarga di Malaysia, agar mereka dapat turut mengalami manisnya Madinah…
(Bergambar di hadapan Pasar Kurma)
No comments:
Post a Comment