Kami sampai di KLIA lebih kurang pukul 12.15 tengahari. Saya sebenarnya tak begitu pasti untuk menuju ke kaunter yang mana satu, tetapi mengikut gerak hati ke arah Perlepasan Luar Negara. Tiba-tiba telefon berdering, rupanya Nurul dari Rayhar. "Akak dah di KLIA ke?" Soalan Nurul membuatkan saya lega. Dia terus mengarahkan saya ke kaunter di mana saya dan keluarga perlu berkumpul. Kami terus check-in dan diberitahu supaya berkumpul semula untuk briefing pada pukul 1.00 tengahari. Kami kemudiannya mencari 'spot' yang sesuai untuk membuka bekalan makan tengahari. Juadah yang Ija masak - kerang tumis cili padi, sambal sotong, sup sayur, ikan kembong goreng. Berselera kami sekeluarga makan secara berkelah. Amni merengek minta disuap. Saya tidak jadi makan, tapi menyuapnya makan terlebih dahulu...nak bermanja 'last minute' agaknya.
Selepas makan, kami terus mendengar briefing akhir dan mengambil gambar. Beratnya hati untuk bersalaman dan berpelukan (airmata berlinang-linang...drama swasta...heh...heh). Saya memeluk Amni paling akhir sekali...Amni melambai-lambai berterusan sehinggalah kami ke bahagian bawah berhampiran imegresen. "Bye ibu....bye abah....bye Kak Nisha...bye...abang...." Jeritnya berulang-ulang. Tiba-tiba dia menjerit panik dari tingkat atas, "Ibu! Dah ajar K.Ija susun buku Amni tak?" Jeritannya itu membuatkan kami semua ketawa. Maklumlah, saya yang selalu menyusun buku sekolahnya. Saya memberi isyarat sudah, dan dia menjerit lagi, "Bye ibu....bye...."
(Suami, Amni (depan), Su, Ijun & Aleeya, Zaid, saya, Nisha, emak, Ija (belakang) dan abah)
Kami masuk ke bahagian imegresen, dan Amni hilang dari pandangan. Semua dokumen sudah ada di tangan. Perjalanan peringkat permulaan ini semuanya berjalan dengan lancar, alhamdulillah. Saya menarik nafas panjang, dan melangkah masuk ke dalam kapalterbang. Seperti yang saya doakan selalu, kami semua dapat duduk bersebelahan. Nisha bersebelahan Zaid dan dekat dengan tingkap, saya pula bersebelahan suami.
Dalam hati masih lagi tidak percaya....terima kasih Ya Allah...terima kasih.... Perjalanan yang telah saya tempuhi ke arah merealisasikan impian ini bukanlah mudah, cabarannya bermacam bentuk...tidak sedikit airmata yang tumpah, berulang kali kesabaran digugat... Alhamdulillah...saya telahpun melepasi peringkat pertama...semoga Allah melindungi perjalanan kami seterusnya... Lambat-lambat saya menutup telefon bimbit saya (terasa berat, seolah sedang memutuskan hubungan dengan Amni dan waris yang ditinggalkan, dan memfokuskan hati dan fikiran ke Rumah Allah sahaja...), mengenakan tali pinggang, dan bersandar mencari ketenangan...kapalterbang pun terbang semakin tinggi...meninggalkan Amni sayup di bawah sana....airmata saya bergenang lagi memikirkan Amni yang tinggal seorang diri....
No comments:
Post a Comment