Catatan umrah (backdated)
Sebenarnya tiada alasan yang munasabah tentang salah tengok jam ni. Banyak yang boleh dilakukan supaya tidak silap waktu solat. Tapi, sebenarnya saya bersyukur kerana kesilapan itu…semua yang berlaku akibat dari kesilapan tersebut berlaku tanpa dirancang. Kalau adapun hanyalah detik hati yang ada sejak di Malaysia lagi.
Selalunya bila berbual-bual dengan Zaid, sering terdetik dalam hati, teringin solat berimamkannya. Dialah satu-satunya anak lelaki, dan naluri ibu mana yang tidak teringin untuk solat di belakang anak lelaki sendiri. Solat di belakang suami tentulah sudah menjadi kebiasaan. Salah saya juga, bila solat berjamaah, selalunya kami berimam dengan suami. Bila abah datang ke rumah, pastinya berimamkan abah. Bila tidak biasa disuruh menjadi imam (tugas biasa Zaid sekadar qamat), sudah tentulah timbul berbagai alasan bila diminta jadi imam terutamanya bila suami tidak ada. Entahkan malu, entahkan nervous…sebab itu hajat hanya sekadar detik hati, adakalanya diluahkan dalam bentuk gurauan, yang saya pasti akan dijawab dengan penolakan dari Zaid.
Tanpa diduga, hari itu Allah ingin makbulkan hajat saya dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Waktu Asar sebenarnya masuk lebih kurang 3.15ptg. Entah macamana saya sangka 4.15ptg. Suami sudah pergi lebih awal, tinggal saya, Nisha dan Zaid di bilik. Waktu itu sudah pukul 3.00, saya ingat masih awal. Saya merancang, pukul 3.45 baru akan ke masjid. Sebaik kami keluar pintu, terdengar qamat, apalagi, kami saling berpandangan, terus membuka buku nota yang tertulis waktu solat. Padanlah suami keluar awal benar, sebenarnya bukan awal, saya yang silap. Terkilan betul rasa hati kerana kelalaian diri.
Kami masuk semula ke bilik dan saya membentang 2 sejadah, satu untuk saya, dan satu untuk Nisha. “Tak pelah Nisha berjamaah dengan ibu saja kat bilik ni.” Zaid bersuara, “Nak solat jamaah ke Bu?” Entah apa yang membuat saya menjawab sebagaimana saya menjawab saya pun tak tahu, yang pasti ayat ini tiba-tiba terpacul dari mulut saya, “Yalah, ibu nak jamaah dengan Nisha je lah... Kalau takpun, Zaid nak ke jadi imam ibu solat?” Soalan saya sangat perlahan, hampir saya sendiri yang mendengarnya. Dalam hati sudah terngiang-ngiang jawapan Zaid. Demi Allah, saya amat pasti dia akan menolak.
Saya lihat Zaid bangun dan jawapannya amat mengejutkan saya, “Boleh jugak…”. Dan dia terus berdiri di depan sejadah. Dia tidak terpaksa, dan saya tahu dia melakukannya dengan sukarela. Saya berpandangan dengan Nisha dan kami mengangkat takbir di belakangnya (perasaan syukur bercampur-campur dengan tidak percaya).
Sepanjang 4 rakaat solat Asar petang itu, hati saya sayu dalam kesyukuran yang amat sangat. Airmata berlinang dan menitis satu-satu tanpa saya dapat menahannya. Dalam hati saya pada sujud terakhir, “Ya Allah, terima kasih atas kurniaan ini, dapat juga aku satu peluang untuk solat di belakang anakku. Jikapun aku mati, sungguh tidak aku terkilan! Terima kasih Ya Allah!”
Memang tidak saya sangka saya mendapat peluang ini. Saya ingatkan, entah bila saya akan mendapat peluang tersebut. Dan Allah memberikannya disaat saya tidak langsung menduganya
(Kepada yang mengenali Zaid, pasti tahu menelah hati saya ketika itu…inilah bonus saya yang ketiga!)
No comments:
Post a Comment