Selepas bertahallul, kami kemudiannya ke Safa semula dan memasuki Masjidil Haram. Sambil menunggu Isya’, kami melepaskan penat dengan minum air zam-zam. Malam itu merupakan malam Jumaat, esoknya merupakan cuti umum di sana. Jadi, orang sungguh ramai dan padat. Saya dan Nisha solat berasingan dengan suami, Zaid dan ustaz. Isya’ itu, saya dan Nisha solat di tingkat atas kerana menemankan Nisha mengambil wudhu’.
Selepas solat, memang sangat mustahil dapat mengecam suami untuk balik ke hotel bersama. Orang terlalu padat. Saya dan Nisha menunggu seketika, dan kemudian mengambil keputusan untuk balik ke hotel. Di dewan makan, saya hanya terjumpa ustaz. “Suami menunggu di masjid tadi…” Saya memandang Nisha cuba memastikan samada kami perlu berpatah balik mencarinya. Ustaz Mashkor menyedapkan hati saya, “Takpe, nanti saya cari dia di masjid kalau dia tidak balik juga…hajjah makan dulu. Anaknya sudah makan tadi.”, sambil dia menjelaskan Zaid sudah siap makan. Tidak lama saya dan Nisha makan, suami muncul di pintu, ingatkan dia marah, rupanya dia tersenyum. Leganya saya…
No comments:
Post a Comment