Catatan umrah – 13 Jun 2009 (Hari Ketiga-Rabu)
Biasanya, untuk mendapatkan saf hadapan, saya dan Nisha akan mencelah-celah dari satu saf ke satu saf, hinggalah kami mendapat saf yang hadapan. Saf-saf di bahagian belakang memang penuh sesak dan berlapis-lapis. Tetapi, saf hadapan selalunya kosong dan lapang, adakalanya putus-putus. Sekiranya kita maju ke depan, insya-Allah akan dapat solat di saf pertama atau paling tidak saf kedua.
Dalam kami bergerak pantas, tiba-tiba seorang Mak Arab memegang Nisha (kami tak pasti dari negara mana, tapi mukanya muka Arab, jadi kami selalu ‘refer’ Mak Arab saja). Nisha berhenti dan menoleh kepada saya kerana hairan. Kami ingat ada buat sesuatu yang salah. Mak Arab ini kemudiannya melemparkan senyum kepada Nisha dan terus memegang telekungnya. Dia berkata sesuatu kepada rakannya di sebelah dan kemudian memandang saya dan Nisha sambil bercakap Bahasa Arab. Tangannya memegang telekung Nisha (hari itu Nisha memakai telekung kerawang bewarna hijau). Kami meneka dia mungkin memuji cantik, atau bertanya beli dimana. Ingin sekali menjawab, tetapi tidak tahu nak cakap apa. Saya dan Nisha memberikan senyuman hormat, “Thank you, thank you…”. Saya pun tak pasti kenapa mengucapkan ‘thank you’.
Satu ketika yang lain pulak, Mak Arab Iran menahan Nisha ketika kami hendak keluar daripada Masjid. Dia bercakap Arab sambil memegang telekung Nisha (telekung kerawang hijau yang sama). Saya dan Nisha langsung tidak dapat mengagak apa yang dia cakapkan. Kebetulan lalu Mak Arab yang lain dan dia boleh berbahasa Inggeris, “Where did you buy this?”. Dia ingat kami beli di sini dan mereka ingin membeli telekung yang sama. Kami beritahu kami dari Malaysia dan telekung ini juga dibeli di Malaysia. Mak Arab ini kemudian bertanya bagaimana untuk membuat telekung. Saya sendiri tidak pernah membuat telekung sendiri, tetapi rasanya tahu bagaimana. Kami kemudian bersila di dalam masjid, dan saya memberitahu cara-cara membuat telekung, ukuran kain yan diperlukan sambil menggunakan telekung Nisha sebagai contoh. Cara saya memberitahunya sepertilah saya ni pandai sangat menjahit, tapi saya kira penerangan saya boleh dikira betul…tukang jahit bidan terjun…
Kalaulah saya ada telekung extra, memang saya akan berikan satu pada Mak Arab Iran ini. Kesian melihatnya solat dengan jubah dan tudung, ada anak rambut yang terkeluar, dan dia juga mengadu susah solat dengan pakaiannya itu. Semoga dia dapat menjahit telekung pertamanya nanti di Iran…
[Baca entry terkini]
No comments:
Post a Comment