Catatan umrah: Backdated 12 June 2009 (Selasa-Hari Kedua)
Tengahari itu, saya bulatkan hati untuk ke Raudhah lagi. Ramai yang berpesan susah ke Raudhah waktu tengahari (lepas Zohor). Waktu terlalu singkat, lebih kurang 1-2 jam saja ianya dibuka untuk jamaah wanita. Waktu yang sama juga kami perlu berkejar balik ke hotel untuk makan tengahari. Jadi saya beritahu Nisha, “Kita cuba masuk, kalau terlalu lewat, nanti kita beli makanan di luar.” Dalam hati roti kebab sudah di dalam menu makan tengahari itu.
Lepas Zohor kami duduk-duduk dalam kumpulan Melayu seperti biasa. Tidak lama kemudian, laluan ke Raudhah dibuka. Orang memang ramai dan berebut-rebutkan waktu yang singkat. Entah macamana kami hilang fokus untuk ke Raudhah kerana asyik berbincang tentang sesuatu perkara. Tiba-tiba seorang pekerja masjid (orang Indonesia) datang kepada kami, “Ibu, jika mahu ke Raudhah, cepat ibu, sekejap lagi laluannya ditutup.” Masya-Allah, saya terasa bagaikan Allah yang menegur saya dan Nisha, “Tadi kata nak masuk, kalau nak masuk, cepatlah masuk!”. Saya dan Nisha bergegas bangun, “Alhamdulillah, tengok Allah dah ingatkan kita supaya tetap pendirian…”
Sebenarnya, jika kita sudah masuk ke bahagian berdekatan Raudhah, insya-Allah, kita memang akan sempat masuk ke Raudhah. Paling penting, masuk ke kawasan ini sebelum pintu laluan ditutup. Pintu laluan ini dibuka paling lama satu jam sahaja. Peluang di Raudhah kali ini lebih selesa untuk saya dan Nisha berdoa dan solat Hajat. Di ruangan menunggu, keadaan agak panas, tetapi dalam Raudhah sejuk, tidak terasa panas, padahal orang bersesak-sesak. Ikut logik, kami mungkin hanya sempat berdoa lebih singkat berbanding pagi tadi. Tetapi Allah lebih berkuasa. Peluang yang kami terima lebih lega, dan kami berasa lebih puas. Tiada pengawal yang menepuk belakang supaya keluar. Padanlah Allah menegur kami tadi…jika tidak tentu terlepas peluang yang ada. Saya mencari-cari orang yang mengingatkan kami tadi, tapi pekerja-pekerja ini semuanya berpurdah, dan kami tidak dapat mengecamnya. Saya hanya mengucapkan terima kasih kepadanya di dalam hati, semoga Allah merahmatinya!
Saya berpegang-pegang tangan dengan Nisha ketika keluar dari Raudhah. Terasa santai berjalan di tengah-tengah Masjid Nabawi sambil menikmati keindahannya. Sampai di hotel sudah hampir 2.30ptg. Kami sekadar menjenguk ke dewan makan, “Kalau ada rezeki adalah, kalau tak ada kita turun beli kebab…”
Alhamdulillah, makanan masih ada lagi, cukup untuk kami 2 orang. Nikmat sungguh makan tengahari itu…
No comments:
Post a Comment