Catatan umrah - backdated 12 Mei 2009 (Hari Kedua-Selasa)
Pelik...badan sebenarnya letih kerana penerbangan yang panjang, tidur pula cukup sekejap, tapi mata terjaga dengan mudah sekali, badan rasa cergas kerana rasa teruja. Saya bangun terlebih dahulu, kemudian mengejutkan Nisha. Malam tadi semasa sampai kami tidak mandi sebagaimana dipesan Kak Ros, maklumlah perubahan cuaca dan keadaan, bimbang jadi demam. Giliran mandi yang akan dipatuhi mulai dari hari ini - saya, Nisha, suami dan akhir sekali Zaid. Kami turun ke lobby hotel dengan perasaan sungguh seronok. Sejujurnya, tak pernah saya rasa excited nak solat Subuh seperti hari tersebut. Selalunya yang menguasai diri pastinya rasa mengantuk. Keluar dari lobi hotel, suasana sejuk dan dingin subuh amat terasa. Azan sudah berkumandang sejam lebih awal. Beberapa pasangan Arab turut menuju ke masjid. Kami menganalisa kedudukan pintu sekali lagi. Saya agak yakin Hotel Dallah Taibah ini mengadap terus ke pintu 25, laluan wanita. Saya berpecah dengan suami. Saya dan Nisha berjalan terus, dan suami menuju ke kanan.
Tag nama, beg sandang dan kantung kasut kami bawa bersama. Manalah tahu...paling tidak beg ungu Rayhar boleh dijadikan tanda. Saya sudah tidak nampak kelibat suami dan Zaid. Saya berjalan terus memimpin Nisha, sambil mata melihat keseluruhan Masjid Nabawi. Suasana subuh yang hening menjadikan keadaan cukup menenangkan. Hati dan jiwa rasa sangat bahagia dan gembira (belum masuk masjid lagi tu...heh..heh). Orang sudah mulai ramai di perkarangan masjid. Saya nampak jelas nombor di pintu 25a, dalam hati "Alhamdulillah, betul dah ni." Teringat pesan Kak Ros, masuk ikut pintu 25, senang! Kami menyimpan sandal ke dalam kantung kasut, dan 2 orang pengawal wanita berpurdah memeriksa beg kami. Ramai yang telah berpesan agar jangan membawa handphone yang mempunyai kamera. Kami ingat, dan memang tidak membawa handphone lansung.
Saat melangkah masuk, rasa kembang hati, gembira, sedih bercampur-campur. Kami berjalan terus ke depan, saya berazam untuk mendapatkan saf pertama. Ternyata bahagian depan banyak yang masih kosong. Kami pergi ke arah kiri, lebih banyak tempat kosong, dan kami dapat menyelit di saf kedua. Kami terus solat tahiyatul masjid dan saya kemudian mengingatkan Nisha untuk sujud syukur kerana selamat sampai dan tercapai hasrat kami ke Masjid Nabawi.
Subuh itu, kami solat dengan penuh rasa syukur. "Tak sangka kita sampai juga...alhamdulillah, best kan!" Selepas subuh, saya dan Nisha berasa sangat puas. Kami berjalan pulang ke hotel sambil berbual-bual memperkatakan perasaan gembira masing-masing, menunggu-nunggu pula untuk menziarah Rasulullah pagi itu. Mengikut jadual, kami perlu berkumpul semula jam 7.30 pagi di lobby. Selepas sarapan, kami berkumpul dan di bawa ke bahagian kanan masjid menuju ke Kubah Hijau, berhampiran ialah Perkuburan Baqi'. Rupanya sekarang, kami tidak boleh lagi masuk ke maqam Nabi, hanya melihat dari luar. Memberi salam kepada Rasulullah, terasa sangat perkara-perkara tentang sirah Rasulullah yang selama ini hanya dibaca dan dipelajari di sekolah, tertulis dalam buku teks, sangat 'real', saya rasa berhadapan dengan jelas dengan kenyataan yang benar, sebenar-benarnya. Rasa terharu, rasa rendah diri hanya dengan mengucap salam pada Rasulullah dari jauh. Bagaimana rasa hebatnya jika dapat duduk bersama Baginda, bertuahnya para sahabat... Padanlah mereka sanggup berkorban nyawa... Amat terasa kehebatan baginda...terasa sangat...amat berharap mendapat syafaat Nabi di Padang Mahsyar... Ya Rasulullah, ini aku umat mu... Assalamualaikum Ya Rasulullah...ini aku umat mu! Rasa kecil sangat diri ini...
Kemudian kami di bawa ustazah untuk masuk ke Raudhah. Hati berdebar-debar...cerita dan pengalaman orang lain tentang kesesakan di Raudhah, peluang dan bantuan Allah di Raudhah membuatkan hati jadi berharap dan berserah agar diberi kemudahan. Saya berpesan kepada Nisha untuk solat Tahiyatul Masjid dan solat Dhuha terlebih dahulu di bahagian luar. Kemudian ustazah mengarahkan kami mengikutinya. Saya memimpin Nisha, rasa 'innocent' dan kosong, maklumlah pertama kali, dan ilmu yang ada hanya apa yang dipelajari semasa kursus umrah dan cerita orang. Mata saya tercari-cari, "Mana karpet hijau? Jauh lagi ke?" Hati terus berdoa, mudahkanlah Ya Allah, mudahkanlah Ya Allah... Pada saat itu, Nisha senyap, saya juga senyap...
2 comments:
rasa teruja sangat nak pegi...
Insya-Allah, kuatkan niat untuk pergi, set masa dan berdoa banyak-banyak. Akan terbuka jalan selapis demi selapis...
Post a Comment