Catatan umrah - backdated
Ketika membaca tips dalam buku Travelog Haji, saya suka tips Prof. Kamil tentang beri gula-gula batuk. Jadi saya bersedia dari Malaysia dengan sekotak gula-gula batuk yang dipotong kecil-kecil mengikut tablet. Dari Madinah hinggalah ke Mekah, saya dan Nisha ‘looking forward’ untuk mendengar orang batuk supaya kami dapat bersedekah gula-gula itu. Bila difikir-fikir semula, patutlah kami tidak berjumpa seorangpun yang batuk, sebab pasti Allah tidak makbulkan doa kami yang mengharap-harap ada orang lain yang sakit agar kami boleh bersedekah dan meringankan batuk orang lain.
Tiba-tiba satu hari di Masjid Nabawi, saya dan Nisha diserang mengantuk. Bertasbih….terlelap, mengaji…terlelap. Tersengguk-sengguk kami berdua. Kami basahkan muka dengan air zam-zampun tidak hilang. Dalam kami ‘berhempas pulas’ melawan mengantuk, tiba-tiba Mak Arab sebelah menghulurkan gula-gula. Ajaib sungguh, mengantuk kami hilang terus selepas makan gula-gula tersebut. Kami rasa amat berterima kasih dan bersyukur dengan pemberian tersebut. Dapatlah kami sambung mengaji selepas itu.
Komen Nisha, “Bu, kena beli gula-gula biasa jugaklah Bu. Orang tak batuk, tapi mengantuk…” Katanya sambil ketawa. “Yalah…” Sayapun ikut ketawa.
Di Mekah baru kami berkesempatan membeli gula-gula manis. Selepas itu, baru Nisha berpeluang bersedekah ‘kecil’. Orang mengantuk, budak-budak, orang tua, semua diberi oleh Nisha. Mula-mula dia malu-malu, tapi kemudiannya, aktiviti sedekah gula-gula menjadi aktiviti kegemarannya. Gula-gula manis lebih “laku”. Pelik tapi benar, tidak ada orang yang batuk, tapi ramai yang mengantuk. Sedekah itu mungkin kecil, tapi cukup memuaskan bila kita dapat menggembirakan orang lain….paling ‘best’, markah tetap 100,000 juga…Alhamdulillah!
(Saya hanya berkesempatan memberi 2 biji gula-gula batuk kepada seorang jamaah saja, ketika itu dia terbatuk-batuk tanpa henti secara tiba-tiba. Sebelumnya dia mengaji dengan baik… Mungkin Allah sengaja memberi peluang kepada saya, wallahu’alam.)
No comments:
Post a Comment