Saturday, June 27, 2009
Maafkanlah ibu!
Umrah dengan membawa 2 orang anak adalah pilihan saya sendiri, keputusan yang saya buat sendiri. Anak bongsu akan saya bawa bila dia berumur 13 tahun (sekarang baru berumur 7 tahun). Kak Ros selalu berpesan, bawa anak-anak kena banyak bersabar, pimpin anak-anak dengan kasih sayang. Di Malaysia, saya yakin saya boleh...bersabar, berkasih sayang, prihatin...saya rasa saya boleh buat semua tu...taklah susah sangat.
Rupa-rupanya...saya tidak cukup mengenali diri sendiri...sebenarnya belum cukup mengenali Allah SWT...saya tewas dalam cubaan yang saya sendiri menempahnya!
Satu hari Nisha terkena penyakit mudah terbatal wudhu'. Kami sampai awal untuk solat subuh, dan dapat tempat di depan multazam (di ruang jamaah wanita). Bersusah payah menyelit akhirnya dapat ruang. Baru hendak mengangkat takbir untuk solat sunat, Nisha memberitahu dia terbatal. Di bahagian tersebut, untuk ke tempat paip air zam-zam agak jauh. Pastinya kalau pergi berwudhu', kami akan hilang tempat yang sudah strategik itu. Saya tidak jadi solat, hati sudah rasa kecewa...
Kami keluar menuju ke arah tingkat satu melalui pintu Abdul Aziz 2. Saya menemankan Nisha berwudhu'. Baru hendak memakai telekung, dia batal lagi. Jadi, dia wudhu' semula. Tidak lama kemudian qomat, dan kami berjaya menyelit ke saf depan untuk solat, masih lagi nampak Ka'abah. Sempatlah kami solat sunat sebelum Subuh.
Baru saja nak mengangkat takbir memulakan solat subuh, Nisha batal sekali lagi. Ketika ini hati yang kecewa sudah tidak dapat dibendung. Perasaan marah, geram memuncak bersama kekecewaan...bayangkan, saya sudah di depan multazam, tak jadi solat di situ...kemudian sudah di saf depan....terpaksa ke belakang semula....saya merungut-rungut memarahinya kerana gagal menahan angin. Perasaan marah yang saya rasa, naik dari tahap 1 ke tahap 5. Pagi itu saya memang gagal habis...emosi sangat menguasai diri... Setiap kali batal, saya menemankan Nisha berwudhu' kerana dia perlukan saya untuk menekan paip zam-zam untuknya. Proses buka telekung, pakai telekung, memakan masa, membuatkan kami terus tertinggal solat berjamaah. Akhirnya kami solat berjamaah berdua, kerana gagal mengikut imam Masjidil Haram.
Saya solat dalam keadaan hati yang marah, bengang dan kecewa....rakaat 1...sememangnya tak khusyu' kerana hati yang marah....saya tahu saya tidak sepatutnya berperasaan begitu...memejamkan mata dan cuba menghayati Al-Fatihah....tidak hilang rasa kecewa itu....
Rakaat kedua, saya mencuba lagi mencari khusyu'...menghayati makna Al-Fatihah setiap ayat...tiba-tiba ketika sampai pada ayat, "Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya pada Mu kami mohon pertolongan...", saya tiba-tiba jadi sedih....Ya Allah, mudahkan urusan ku, kasihanilah aku dan anakku..ampunkan aku jika semua ini kerana dosaku... Hati teringat semula kisah saya dan Nisha di Raudah...kemanisan saat-saat itu... Hati yang marah bertukar kasihan yang amat sangat pada Nisha.
Airmata saya terus berlinang hinggalah ketika memberi salam. Ketika saya menoleh ke Nisha, dia juga sedang menangis...mungkin kerana sedih dimarahi saya tadi...
Selepas berdoa, Nisha bersalam dan mencium tangan saya. Saya ketika itu sudah berasa sangat bersalah pada Allah dan pada Nisha....niat, misi, azam dan objektif saya ke Tanah Suci dengan anak-anak dan suami jelas kembali ke dalam hati dan minda. Hati saya berbisik, "Aku yang nak bawa mereka, kenapa sekarang aku pulak yang tak boleh bersabar. Mungkin inilah cara untuk aku mendapat lebih pahala sekiranya aku menolong anakku dengan sabar dan ikhlas, inilah yang lebih afdhal...."
Memohon maaf memang mudah, tetapi mengucapkannya dengan rasa rendah hati dan ikhlas...itu yang susah. Melakukannya dengan anak...lebih susah...saya berdepan dengan 'moment of truth'. Saya telah melukakan hati Nisha, dia sendiri tidak mahu 'terkentut-kentut'...kenapa pula saya marahkannya...
Saya buang rasa malu mengakui kesilapan sendiri dan berhadapan dengan ego. Saya tidak mahu memohon sekadar maaf yang biasa, saya mahu memohon maaf dengan ikhlas dan rasa rendah hati memohon keredhaan anak atas kelakuan saya yang sangat reaktif tadi...aduh...susahnya!
Saya pegang tangan Nisha, memandang mukanya dan nampak matanya masih bertakung dengan airmata sedih.
"Nisha, ibu minta maaf marahkan Nisha tadi. Ibu tak patut marah macam tu sebab bukan salah Nisha asyik batal saja. Ibu minta maaf sebab membuatkan Nisha rasa sedih dan kecil. Ibu cuba sabar dan sepatunya ibu bersabar, tapi inilah kelemahan ibu... Ibu tak sempurna, dan banyak kelemahan... Ibu harap sangat Nisha maafkan ibu dan tak ada rasa kecil hati dan sedih. Ibu minta maaf sebab buatkan Nisha rasa tak gembira."
Itulah ayat-ayat amat susah untuk dilafazkan. Setiap perkataan sebagai melawan ego saya dan melawan rasa malu...bukan senang memandang muka anak dan mengakui kekurangan diri. Saya menangis tersedu-sedu, dan Nisha turut menangis tersedu-sedu.
"Sebenarnya Nisha yang buatkan Ibu marah, Nisha buatkan ibu tak dapat solat macam yang ibu nak..." Jawab Nisha.
"Tapi ibu pulak tak patut bersikap macam tu, walaupun Nisha salah sekalipun, Ibu sepatutnya lebih sabar dan ikhlas. Maafkan ibu, redhakan ibu ya!" Kata saya.
Kami berpelukan dan menangis lagi...Saya menyedari, selalunya saya memang boleh meminta maaf, tapi sekadar ucapan "Sori ye." atau "Maaf ye." Sekadar ucapan maaf. Ucapan itu tidak sampai mencabar keegoan dan senang diucap.
Tapi ketika 'moment of truth' ini, saya bersemuka dengan integriti sendiri, adakah aku akan buat apa yang selalu aku cakap? Menyerapkan ucapan maaf ke hati...itu yang susah, sebab kita memaksa hati kita untuk mengaku bersalah juga...
(Mata dan wajah Nisha masih lagi sedih...menyesalnya saya!)
Selepas memohon maaf, dan mengingat semula misi dan objektif asal ke Tanah Suci, bahu jadi ringan, dada jadi lapang. Saya akui, saya tersilap fokus. Saya mencari pahala yang jauh, sedangkan Allah berikan pahala yang mudah dan di depan mata saya tak nampak. Suami tertanya-tanya bila melihat mata kami berdua merah dan bengkak, "Apasal ni?" Saya hanya tersenyum dan memegang tangan suami dengan erat. Suami faham dan tidak bertanya lebih lanjut. Kami berjalan balik ke hotel, dengan saya memeluk erat Nisha di bahunya...
Wednesday, June 24, 2009
Nikmat Zam Zam.
Saya sempat berpuasa 2 kali di Mekah, teringin mengalami keadaan lapar dan dahaga di sana. Teringat cubaan puasa di Bazar Ramadhan...sedapnya air tebu, air soya, air kelapa, air lai ci kang...semua nak di beli. Semerbaknya bau ikan bakar, ayam percik, martabak...penuh tangan kedua belah menjinjing bungkusan plastik. Bagaimana agaknya cabaran di Mekah? Lebih-lebih lagi keadaan panas terik.
Antara percaya dan tidak, cubaan yang diterima ialah nikmatnya zam zam. Selalu bila sampai ke masjid, tekak yang kering terus dibasahkan dengan zam zam sejuk menyegarkan. Keadaan yang panas dapat disejukkan dengan membasahkan muka dengan sapu tangan yang dibasahi zam zam sejuk...Dalam keadaan puasa, panas, letih, hebatnya dugaan terfikirkan zam zam. Nampak tong zam zam pun sudah terasa kesejukannya...nikmatnya! Apatah lagi duduk di tingkat 1 menunggu Asar, masya Allah...cobaan...cobaan...
Lepas Asar, saya membawa balik sebotol kecil air zam zam. Saya bekukan dalam peti sejuk. Bila ke masjid untuk Maghrib, saya membawa bekal zam zam beku dan kurma Ajwa. Dalam hati, nikmatnya zam zam, nikmatnya zam zam...(saya tidak berbohong, memang tidak sabar menunggu Maghrib, mengalahkan budak kecil belajar puasa).
Kebanyakan jamaah juga berpuasa sunat Isnin. Saya menghulur kurma. Jamaah Arab ramai yang membawa termos, mungkin berbuka air panas. Air panas? Bagi saya zam zam sejuk yang paling nikmat. Tiba-tiba Mak Arab sebelah menghulur secawan kopi Arab untuk saya, dan satu untuk Nisha. "Wah, dapat juga ibu merasa kopi Arab!" Nisha berbisik kepada saya. Sejak dari Madinah memang saya mencari-cari kopi Arab, ingin merasa. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga. Tapi hati masih teringatkan zam zam sejuk...
Akhirnya, azan Mahgrib berkumandang. Zam zam beku sudah cair kesemuanya, tapi masih sangat sejuk. Setelah berdoa, saya meneguk zam zam. Saya minm sambil memejam mata. Masya Allah! Sedapnya zam zam, nikmatnya...hilang segala dahaga...tidak perlu air yang lain lagi. Semua air kegemaran saya tidak dapat menandingi zam zam saya yang sejuk. Padanlah Rasulullah cukup dengan berbuka buah kurma dan air zam zam. Memang kenyang dan puas.
Itu baru panas di Tanah Haram, mendapat zam zam terasa amat nikmat. Bagaimana agaknya di Padang Mahsyar...dalam dahaga dan azab, padanlah telaga nabi menjadi penghilang segala dahaga...diam-diam berazam untuk bersalawat banyak-banyak agar dikenali sebagai umatnya! Agar dapat meneguk air telaga nabi...
Selipar yang hilang...
Sebaik dia pergi, saya lihat karung kasut suami di bawah katil, "Laa...tertinggal beg kasut dah..." Dalam hati terdetik, macamana nanti dia nak menyimpan kasut, nanti hilang pulak....
Selepas solat saya balik terus bersama Nisha untuk makan tengahari. Kelibat suami dan Zaid tidak kelihatan di bilik makan, "Dah makan agaknya mereka..."
Tidak lama di bilik, baru suami sampai berpeluh-peluh.... "Selipar abang hilang...".
Mata saya terus melihat kakinya yang berkaki ayam. Alamak, makbul pulak apa yang terdetik di hati saya tadi.
"Balik kaki ayam ke ni?" Suami mengangguk sambil duduk di tepi katil menepuk-nepuk kakinya.
"Sakitnya panas sampai ke tulang..." Dia mengadu. "Mana minyak gamat?" Dia bertanya saya.
"Kan ustaz dah pesan pakai dulu orang lain punya, lepas tu pulangkan, daripada jadi mudharat balik kaki ayam panas-panas macam ni...." (saya concern, tapi dah ter-bebel...heh...heh...)
"Tak naklah, nanti jadi berkait-kait. Kalau I ambik selipar orang, orang tu ambik selipar orang lain pulak..." Jawab suami sambil menyapu minyak di tapak kakinya....nampak mukanya menahan perit panas melecur.
"Nanti Asar siram kaki dengan air zam-zam, insya-Allah baik lah tu nanti..." Saya berpesan, kesian melihatnya kesakitan.
Bila Asar, selipar spare suami diguna Zaid di bilik air. Jadi suami memakai selipar Zaid ke masjid.
"Selipar Zaid abah pakai ye?" Soal Zaid bila melihat seliparnya tiada. Saya mengangguk.
"Nanti selipar Zaid pulak hilang..." Dia merungut. Bimbang ayahnya menghilangkan selipar dia pulak.
"Hish...jangan cakap lepas..." Nasihat saya.
Balik solat Asar, suami masih berselipar....selamat lah selipar zaid tu.
Bila Zaid balik, dia juga masih berselipar. Alhamdulillah, selamat lah selipar spare suami yang dipakainya. Lega saya, nampaknya tiada apa-apa yang berlaku!
Esoknya, selepas solat Zohor, saya nampak selipar putih di pintu bilik. Hati terus syak! Masuk ke bilik, terus menegur Zaid...
"Hilang selipar kamu?" Zaid tersengih-sengih dengan soalan saya.
"Tulah...takut abah hilangkan selipar, alih-alih kamu sendiri yang hilangkan selipar sendiri....cakap lepas lagi...." Saya memberikan pukulan smash tahap gaban.... Zaid tergelak...
"Nak 5 riyal Bu, nak beli selipar..." Sambil gelak sempat juga dia mengenakan saya.
"Nanti selipar tu pulang balik kat masjid. Jangan lupa pulak!" Pesan saya.
Dapatpun 1 pengajaran....Allah bayar terus...cash!
Tuesday, June 23, 2009
Menanti hajat dimakbulkan...
"Doalah apa saja, pasti Allah akan makbulkan….antara cepat atau lambat…jangan sibuk buat umrah sampai meninggalkan solat berjamaah di Masjidil Haram, solat tu 100,000 pahala, sedangkan umrah 1 markah saja." Ustaz Mashkor berpesan berulang kali….
Hajat di hati tiada jumlah maksimumnya….semua perkara ingin dipinta, doa jadi berjela-jela… Sebulan sebelum ke Mekah, perjalanan dari ofis ke rumah waktu petang, sentiasa menjadi tempat dan masa terbaik untuk menyelami diri…apa sebenarnya hajat saya yang terpenting…apa sebenarnya yang saya mahu sampaikan terus pada Allah?
Draf pertama, memang banyak hajat yang tersenarai. Draf akhir, hanya mengandungi 5 perkara terpenting, perkara-perkara terpenting yang mesti saya hafal sebagai matlamat yang saya ingin capai selepas umrah, my end in mind…
5 perkara penting inilah yang saya pohon berulang-ulang ketika di Raudhah, di Multazam, di Hijr Ismail, di Makam Ibrahim dan di bawah pancur emas. Setiap kali…air mata bercucuran…bila kita sudah tidak boleh mengharap apa-apa lagi pada manusia, hanya Allah yang Maha Mendengar, hanya Allah tempat mengadu, hanya Allah yang boleh memberi… bila sujud, tangisan jadi tersedu-sedu...siapa lagi yang aku boleh harapkan Ya Allah! Hanya Engkau....hanya Engkau....
Siapakah itu? (Part 2)
Selepas umrah ketiga, perasaan memang sangat ringan dan gembira. Keadaan sudah mula panas terik. Amalan saya dan Nisha, dalam perjalanan ke hotel mesti singgah membeli ais krim terlebih dahulu. Kebetulan orang sedang ramai menungu giliran, di sana, orang dewasa lebih ramai membeli ais krim berbanding budak-budak. “Abang balik dulu lah…” Kata suami, penat berdiri menunggu. Saya mengiyakan kerana kaki saya juga sudah mula penat berdiri. Akhirnya, saya dan Nisha mendapat ais krim yang dihajati. Nikmat sungguh perisa campur, strawberi, coklat, mangga dan honeydew…sejuk, lembut, manis berkrim….hmmm…(masih terasa-rasa…)
Kami melalui kedai gunting rambut, dan “mengumpat” suami…. "Agak-agak, abah botak tak Bu?" Saya menjelaskan, “Botak tu afdhal saja, tapi gunting pun sudah memadai…” Sambil berjalan kami melihat ke dalam kedai, sehari suntuk kedai ni buka, tak pernah tutup, dan orang bertali urus bergunting dan cukur rambut, kerusi mesti penuh. Di dalamnya semua sedang di cukur botak.
“Eh, abahlah Bu!” Cuit Nisha menunjuk ke dalam. Memang betul suami saya yang sedang dicukur…botak! Kami mengintai-ngintai dari luar, kemudiannya menjenguk ke dalam kedai. “Haa…botakpun!” Usik saya dan Nisha.
Tak pernah sepanjang 19 tahun berkahwin dengannya, melihat rupanya ketika botak, timbul rasa lucu yang membuatkan saya gelak mengekek-ngekek. Akhirnya suami bersuara, “Abang cuti seminggu-lah baru kerja balik…” Asalnya dia hanya ingin bercuti sehari saja. “Nak tunggu rambut tumbuh balik ke?” Usik saya lagi. “Nanti kat masjid sapu dengan air zam-zam, doa minta tumbuh rambut hitam lebat.” Pesan saya. Maklumlah, ada setengah orang elok rambutnya hitam, bila bercukur, tumbuh semula rambut putih semua…itu yang ditakuti suami…
Lepas seminggu bercuti di rumah, saya menyapu-nyapu kepalanya, “Alhamdulillah, semua rambut hitam yang tumbuh, tak de uban… kekal mudalah you pegi ofis esok…”
Monday, June 22, 2009
Bukan cinta biasa...
(Di atas Jabal Rahmah sudah menjadi 'shopping center'...kelihatan tasbih pelbagai jenis)
Akhirnya mereka menyedari keadaan sebenar, saling berpelukan dan mengucap syukur kepada Allah kerana dipertemukan semula. Di Jabal Rahmah inilah, Adam diperlihatkan dosanya, dan diampunkan dosanya, dan keduanya kembali muda....
Friday, June 19, 2009
Mustajabkah doaku?
Dari Malaysia, ramai berkirim doa di Raudhah, di depan Kaabah, di Hijr Ismail, di Pancur Emas, di Multazam, di Makam Ibrahim....
Termasuklah Nisha, bila saja memberitahu rakan-rakan dan guru, semua rakan ikut gembira dan berpesan doa - cemerlang PMR, cemerlang SPM, dan macam-macam doa lagi, malahan ada yang minta doakan agar ayahnya membelikan PSP sebagai hadiah...budak-budak...itulah perkara yang diingininya mengikut pemikiran yang masih muda...Saya mengingatkan agar Nisha menulis doa-doa tersebut agar tidak lupa siapa yang meminta apa...penuh 2 muka surat senarainya....dan Nisha membaca doa tersebut satu persatu terutamanya di Raudhah dan di depan Kaabah.
Bagi saya, pesanan doa tidaklah sampai 2 mukasurat, tidak sampai pun 5 orang yang berpesan, dan mudahlah mengingatnya tanpa perlu membaca catatan. Doa-doa itulah yang saya baca khusus di Raudhah, di Hijr Ismail, di Multazam dan di Makam Ibrahim.....kecilnya rasa diri ini, semoga mendapat kemakbulan daripada Allah...maklum sajalah....semua itu harapan, pesanan dan amanah orang...
Mustajabkah doa ku? Sudikah Allah mendengarnya? Sedangkan banyak sangat dosaku....
Pagi itu, selepas tawaf sunat, saya berdoa kesekian kalinya di depan Multazam...doa untuk adik beradik sangat dekat di hati saya....memohon dengan mendalam terasa sayangkan mereka....
Sampai ke bilik, baru sempat membuka telekung tiba-tiba handphone berbunyi nada menerima SMS. Siapalah yang 'tersesat' SMS saya kali ini? Tidak ramai kenalan dan pelanggan yang tahu saya di Mekah, jadi beberapa kali 'tersesat' SMS dan panggilan mereka, ingatkan saya di Malaysia.
"Long, doa Along dah Allah makbulkan. Terima kasih doakan kami. Alhamdulillah, rumah kitorang dah ada pembeli... dah confirm...tolong doakan kitorang dapat loan pulak ye..."
SMS dari Ijun membuatkan saya terduduk sekejap. Memang itulah pesan Ijun, untuk mendoakan agar mudah menjual apartmennya di Shah Alam. Saya mendoakannya sekali ketika di Raudhah, dan baru pagi tadi sekali lagi di depan Multazam. Masya-Allah....mustajab benarkah doaku?
Sungguh! Dalam hati bukan berasa bangga, bercerita inipun bukan mahu menunjuk-nunjuk...Wah! Lihat doaku mustajab...tidak.... Cuma rasa terharu Allah sudi makbulkan....memang benar...jangan sekali-kali bersangka buruk dengan Allah....
Baru sehari sampai ke Malaysia, saya menerima satu panggilan:
"Terima kasih doakan akak, doa Ani (rakan-rakan memanggil saya Ani...) Allah dah makbulkan! Akak baru tengahari ni dapat surat diterima masuk dalam waiting list pergi haji tahun ini....terima kasih doakan akak.... dalam waiting list pun akak dah happy... terima kasih Ani...terima kasih...."
Kak Ida (kakak yang membawa Nisha & Amni ke sekolah) minta sangat mendoakannya berpeluang menunaikan haji tahun ini, sehingga menitik airmatanya berpesan dengan Nisha dan saya sendiri.
Masya-Allah! Alhamdulillah! Apa lagi nikmat Allah yang aku mahu dustakan?
Tuesday, June 16, 2009
Umrah - freshie, sophomore, senior
(Nisha dengan "Imam" di Masjidil Haram)
(Selepas umrah "senior" ...sangat hampir sebenarnya dengan Kaabah...)
Tapi nikmat tahap maksimum bila mengerjakan umrah ketiga....tahap senior...heh...heh.... kepuasannya tidak mampu digambarkan....santai, yakin, khusyu', tawadhu'..... Kami ke Tanaim mengikut Zaid dan rakan-rakannya yang dah biasa ke Tanaim menaiki bas. Zaid berumrah dengan rakan-rakannya, dan saya dengan suami dan Nisha. Hati sudah confident dengan rukun-rukun yang perlu dilakukan, Masjidil Haram pula sudah seperti 'rumah sendiri'...fokus dan keseronokkannya amat terasa...ketika tawaf...berjujuran air mata...setiap pusingan, setiap doa yang dibaca sangat releven...suami memimpin Nisha di kanan, saya memegangnya di kiri...melalui Rukun Yamani...melalui Hajar Aswad...nikmatnya....nikmatnya.....
Monday, June 15, 2009
Siapakah itu?
(Zaid ketika baru sampai di Madinah
- Mat Afro Sempoi...)
“Siapakah itu…?” Usik saya. Suami tersenyum-senyum. “Eh….abang potong rambut…” Nisha bersuara dalam nada gembira. Hati saya kembang melihat Zaid dengan penampilan baru. Rambut ‘afro’-nya sudah dipotong nipis ala ‘Mawi’. Keterampilannya, air mukanya berubah sama sekali. Dalam hati saya, Zaid seperti Zaid yang dulu…sejuk hati saya…alhamdulillah…alhamdulillah….
Saya dan Nisha kemudiannya mengusik suami. “Haa…abah kena botak pulak lepas ni.” “Betul….betul…standard kena lebih dari anak…” Saya menambah. Suami hanya senyum-senyum.
(Selepas umrah wajib - masih Mat Afro Sempoi)
Banyak perkara yang saya seronok lihat tentang Zaid ketika di sana. Dia berjubah, ke masjid, memakai ihram, semuanya membuat hati saya rasa sejuk… Satu pemandangan yang saya tidak akan lihat jika di Malaysia. Kebetulan ada rakan sebayanya yang boleh dijadikan geng ketika di sana, sudah tentu Zaid selesa ke sana ke mari dengan rakan-rakan, tidak mengekor ibubapa sepanjang masa.
Rambut afro Zaid memang ‘out-standing’ dari awal lagi. Di imigresen sewaktu di airport Madinah, polis-polis sudah mengusiknya dan ‘mendera’ Zaid dengan mengambil gambarnya dan kesemua cap jarinya. Orang lain lepas dengan cepat, tapi Zaid kena ‘tahan’. Di Madinah, orang Arab akan menegur rambutnya, di hotel juga orang menegur rambutnya, “Nice hair…nice hair…” (Hakikatnya, saya langsung tidak suka fesyen rambutnya itu…heh…heh…biasalah, dah pembawakan ibu…)
Esoknya, ketika menaiki bas untuk sesi melawat, sebaik saja Zaid naik ke bas, satu bas menyorak penampilan barunya. Jamaah lain sibuk menegurnya dan memberi ‘ulasan selari’ dengan penampilannya itu. “Haa…barulah nampak muka budak baik….” Pakcik Kelantan menegurnya dengan slang Kelantan yang cukup menggelikan hati. Dalam hati berdoa, biarlah transformasi yang kecil ini akan membawa sesuatu yang signifikan….
...siapakah itu?
Batuk dan mengantuk.
Ketika membaca tips dalam buku Travelog Haji, saya suka tips Prof. Kamil tentang beri gula-gula batuk. Jadi saya bersedia dari Malaysia dengan sekotak gula-gula batuk yang dipotong kecil-kecil mengikut tablet. Dari Madinah hinggalah ke Mekah, saya dan Nisha ‘looking forward’ untuk mendengar orang batuk supaya kami dapat bersedekah gula-gula itu. Bila difikir-fikir semula, patutlah kami tidak berjumpa seorangpun yang batuk, sebab pasti Allah tidak makbulkan doa kami yang mengharap-harap ada orang lain yang sakit agar kami boleh bersedekah dan meringankan batuk orang lain.
Tiba-tiba satu hari di Masjid Nabawi, saya dan Nisha diserang mengantuk. Bertasbih….terlelap, mengaji…terlelap. Tersengguk-sengguk kami berdua. Kami basahkan muka dengan air zam-zampun tidak hilang. Dalam kami ‘berhempas pulas’ melawan mengantuk, tiba-tiba Mak Arab sebelah menghulurkan gula-gula. Ajaib sungguh, mengantuk kami hilang terus selepas makan gula-gula tersebut. Kami rasa amat berterima kasih dan bersyukur dengan pemberian tersebut. Dapatlah kami sambung mengaji selepas itu.
Komen Nisha, “Bu, kena beli gula-gula biasa jugaklah Bu. Orang tak batuk, tapi mengantuk…” Katanya sambil ketawa. “Yalah…” Sayapun ikut ketawa.
Di Mekah baru kami berkesempatan membeli gula-gula manis. Selepas itu, baru Nisha berpeluang bersedekah ‘kecil’. Orang mengantuk, budak-budak, orang tua, semua diberi oleh Nisha. Mula-mula dia malu-malu, tapi kemudiannya, aktiviti sedekah gula-gula menjadi aktiviti kegemarannya. Gula-gula manis lebih “laku”. Pelik tapi benar, tidak ada orang yang batuk, tapi ramai yang mengantuk. Sedekah itu mungkin kecil, tapi cukup memuaskan bila kita dapat menggembirakan orang lain….paling ‘best’, markah tetap 100,000 juga…Alhamdulillah!
(Saya hanya berkesempatan memberi 2 biji gula-gula batuk kepada seorang jamaah saja, ketika itu dia terbatuk-batuk tanpa henti secara tiba-tiba. Sebelumnya dia mengaji dengan baik… Mungkin Allah sengaja memberi peluang kepada saya, wallahu’alam.)
Silap lagi tengok jam...
Sebenarnya tiada alasan yang munasabah tentang salah tengok jam ni. Banyak yang boleh dilakukan supaya tidak silap waktu solat. Tapi, sebenarnya saya bersyukur kerana kesilapan itu…semua yang berlaku akibat dari kesilapan tersebut berlaku tanpa dirancang. Kalau adapun hanyalah detik hati yang ada sejak di Malaysia lagi.
Selalunya bila berbual-bual dengan Zaid, sering terdetik dalam hati, teringin solat berimamkannya. Dialah satu-satunya anak lelaki, dan naluri ibu mana yang tidak teringin untuk solat di belakang anak lelaki sendiri. Solat di belakang suami tentulah sudah menjadi kebiasaan. Salah saya juga, bila solat berjamaah, selalunya kami berimam dengan suami. Bila abah datang ke rumah, pastinya berimamkan abah. Bila tidak biasa disuruh menjadi imam (tugas biasa Zaid sekadar qamat), sudah tentulah timbul berbagai alasan bila diminta jadi imam terutamanya bila suami tidak ada. Entahkan malu, entahkan nervous…sebab itu hajat hanya sekadar detik hati, adakalanya diluahkan dalam bentuk gurauan, yang saya pasti akan dijawab dengan penolakan dari Zaid.
Tanpa diduga, hari itu Allah ingin makbulkan hajat saya dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Waktu Asar sebenarnya masuk lebih kurang 3.15ptg. Entah macamana saya sangka 4.15ptg. Suami sudah pergi lebih awal, tinggal saya, Nisha dan Zaid di bilik. Waktu itu sudah pukul 3.00, saya ingat masih awal. Saya merancang, pukul 3.45 baru akan ke masjid. Sebaik kami keluar pintu, terdengar qamat, apalagi, kami saling berpandangan, terus membuka buku nota yang tertulis waktu solat. Padanlah suami keluar awal benar, sebenarnya bukan awal, saya yang silap. Terkilan betul rasa hati kerana kelalaian diri.
Kami masuk semula ke bilik dan saya membentang 2 sejadah, satu untuk saya, dan satu untuk Nisha. “Tak pelah Nisha berjamaah dengan ibu saja kat bilik ni.” Zaid bersuara, “Nak solat jamaah ke Bu?” Entah apa yang membuat saya menjawab sebagaimana saya menjawab saya pun tak tahu, yang pasti ayat ini tiba-tiba terpacul dari mulut saya, “Yalah, ibu nak jamaah dengan Nisha je lah... Kalau takpun, Zaid nak ke jadi imam ibu solat?” Soalan saya sangat perlahan, hampir saya sendiri yang mendengarnya. Dalam hati sudah terngiang-ngiang jawapan Zaid. Demi Allah, saya amat pasti dia akan menolak.
Saya lihat Zaid bangun dan jawapannya amat mengejutkan saya, “Boleh jugak…”. Dan dia terus berdiri di depan sejadah. Dia tidak terpaksa, dan saya tahu dia melakukannya dengan sukarela. Saya berpandangan dengan Nisha dan kami mengangkat takbir di belakangnya (perasaan syukur bercampur-campur dengan tidak percaya).
Sepanjang 4 rakaat solat Asar petang itu, hati saya sayu dalam kesyukuran yang amat sangat. Airmata berlinang dan menitis satu-satu tanpa saya dapat menahannya. Dalam hati saya pada sujud terakhir, “Ya Allah, terima kasih atas kurniaan ini, dapat juga aku satu peluang untuk solat di belakang anakku. Jikapun aku mati, sungguh tidak aku terkilan! Terima kasih Ya Allah!”
Memang tidak saya sangka saya mendapat peluang ini. Saya ingatkan, entah bila saya akan mendapat peluang tersebut. Dan Allah memberikannya disaat saya tidak langsung menduganya
(Kepada yang mengenali Zaid, pasti tahu menelah hati saya ketika itu…inilah bonus saya yang ketiga!)
Tukang urut.
Menegur dan ditegur jamaah lain ketika di masjid memang satu kebiasaan. Untung jika dapat berbual dalam bahasa Inggeris, tapi selalunya dalam bahasa isyarat. Dalam tidak faham, kami dapat menjawab soalan satu sama lain. Syukur juga ada belajar Bahasa Arab masa sekolah dulu, dalam ‘broken’ Arab, boleh juga kami berbual.
Sambil menunggu solat Zohor, ada jamaah yang tidur, dan duduk santai berselunjur. Mak Arab di sebelah saya nampak uzur dan keletihan. Dia menegur, “Indonesia?”. (Sepatah perkataan ini sudah cukup untuk difahami maksudnya bertanya “Dari Indonesia ke?”). Lantas saya menjawab “Malaysia.” Dia tersenyum sambil mengurut-ngurut kakinya dan bercakap lagi dengan saya (kali ini, saya langsung tak faham apa yang dia maksudkan). Saya dan Nisha senyum dan mengangguk-ngangguk (sekadar besopan-santun heh…heh…). Tiba-tiba dia mengambil tangan saya dan meletakkan ke kakinya, (gayanya seperti meminta saya mengurut kakinya). Sudah…kali ini jadi tukang urut bidan terjun pulak….
Sayapun mengurut-urut kakinya mengikut apa yang selalu tukang urut pernah lakukan pada saya, maklumlah, sayapun memang suka berjumpa tukang urut…. Lama juga saya mengurutnya, entah betul entahkan tidak. Dia nampak lega dan berterima kasih, sambil bercakap-cakap dengan rakannya. Mereka tersenyum-senyum nampak gembira. (Saya agak urutan saya mujarablah tu…heh..heh…)
“Pandai pulak ibu urut dia, ibu belajar dari mana?” Soal Nisha. Saya tergelak, “Entahlah, ibu hentam je tadi…”. “Hentampun nampak macam terror…”, kata Nisha. Saya tersenyum-senyum, hidayah apalah yang Allah cuba berikan pada saya ni…hari tu di Masjid Nabawi, jadi tukang jahit, hari ni di Masjidil Haram, jadi tukang urut pulak. Allah suruh saya belajar menjahit ke? Atau, Allah suruh buka Spa Q? Tak dapat saya membacanya…
Thursday, June 11, 2009
Pancit dan botak.
Melihat suami dan Zaid tersandar di katil keletihan, Nisha bersuara, “Abah tak botak ke?” Suami hanya menggeleng. “Abang tak botak ke?” Tanya Nisha kepada Zaid pula. “Tak ada nye…!” Jawab Zaid. Mamat sempoi ni memang sudah awal-awal lagi menegaskan kepada saya tidak hendak botakkan kepala.
“Abah, afdhal-lah abah!” Kata Nisha sambil memandang saya. Keningnya terangkat.
“Betul…apalah sangat korbankan rambut tu…nanti tumbuh juga.” Saya menokok. “Sahabat Nabi tu berkorban nyawa.” Tambah saya lagi (bila jadi 2 ayat, ni dah di dalam kategori membebel…he..heh..)
Dalam hati, diam-diam saya mengharap melihat mereka berdua dengan penampilan baru… Tak apalah, masa masih panjang. Esok lusa, botaklah tu…
Hilang lagi...(sebenarnya bukan hilang!)
Selepas solat, memang sangat mustahil dapat mengecam suami untuk balik ke hotel bersama. Orang terlalu padat. Saya dan Nisha menunggu seketika, dan kemudian mengambil keputusan untuk balik ke hotel. Di dewan makan, saya hanya terjumpa ustaz. “Suami menunggu di masjid tadi…” Saya memandang Nisha cuba memastikan samada kami perlu berpatah balik mencarinya. Ustaz Mashkor menyedapkan hati saya, “Takpe, nanti saya cari dia di masjid kalau dia tidak balik juga…hajjah makan dulu. Anaknya sudah makan tadi.”, sambil dia menjelaskan Zaid sudah siap makan. Tidak lama saya dan Nisha makan, suami muncul di pintu, ingatkan dia marah, rupanya dia tersenyum. Leganya saya…
Solat di terowong.
Di pusingan terakhir, melihat Marwah bagai mendapat nikmat…mampu juga kami menghabiskan Sai’e. Semua jamaah memang nampak keletihan. Proses bertahallul memang cukup manis. Ustaz menggunting rambut suami, suami menggunting rambut Zaid dan Nisha, akhir sekali, Nisha menggunting rambut saya. Proses ini biasa-biasa saja, tapi sungguh istimewa apabila dilihat dari sudut kami sekeluarga membantu masing-masing membebaskan diri dari pantang larang umrah. "Sweeeeeettttt" sangat tengok suami menggunting rambut Zaid dan Nisha.... (Saya menerima bonus saya yang kedua!)
Stamina.
Berdiri di bukit Safa, sememangnya tidak nampak di mana Marwah. Wah, memang betullah jauh…nun…! Bohonglah jika saya katakan tidak letih dan penat. Tetapi, kekuatan itu masih bersisa. Ustaz sudah berpesan, mungkin di pertengahan ibadah sai’e kami akan solat Maghrib di dalam terowong itu. Jadi kamipun mula bergerak dengan ‘had kelajuan’ masing-masing. Tapi sebenarnya, bila minda fokus kepada doa yang dibaca, penat dan letih tidak terasa. Saya mengerling suami yang juga sudah bergerak perlahan. Di satu pusingan, saya boleh rasakan dia tidak larat untuk berlari anak di lampu hijau. Zaid juga bergerak perlahan, tetapi saya lihat Nisha masih bersemangat. Di saat itu, saya sungguh ‘respect’ malahan terharu dengan semangat Ustaz Mashkor. Dia sudah agak berumur, tapi sabar memimpin kami, membaca doa dengan jelas dan kuat. Bayangkan, hampir selang dua hari dia akan memimpin jamaah baru. Kuat sungguh tenaga beliau. Saya rasa, untuk memimpin jamaah, seseorang itu perlu sabar, bertenaga dan bersemangat tinggi. Saya dapat rasakan, semangat beribadah pada Ustaz Mahskor pastinya tersangat kuat. Beliau langsung tidak berkira. Saya tidak rasa beliau melakukan ini kerana kerja dan duit. Semoga Allah memberinya rahmat dan kekuatan...sihat dan panjang umur...
Wednesday, June 10, 2009
Makam Ibrahim.
Nisha sememangnya ‘sangat particular’ orangnya. Semua perkara perlu tepat dan detail. Selesai tawaf, jamaah lain pergi agak jauh ke belakang dari Makam Ibrahim. Ustaz tidak mahu kami hilang untuk ibadah sa’ie pula selepas itu. Tetapi saya terlihat satu kawasan yang lapang berhampiran dengan Makam Ibrahim, “Nisha, kita solat di situ, cepat!”. Nisha menarik tangan saya untuk betul-betul berada di belakang Makam Ibrahim. Tidak boleh ke tepi sedikit, tapi dia mahu tepat betul. Kata Nisha, kena ambil berkat tempat yang mustajab, jadi kena tepat dan betul tempatnya. Kami solat dan sujud syukur. Airmata kami tumpah lagi…memang mudah sangat menitiskan airmata! Pohonlah apa saja, pasti airmata berjujuran.
Selesai solat baru terfikir, eh…mana suami? Mana jamaah yang lain. Kami memandang ke arah lampu hijau, dan dari jauh nampak suami sedang minum air zam-zam. “Hajah, kita pergi ke sana lepas solat ya!” Tiba-tiba seorang pekerja Rayhar menegur saya, entah dari mana dia datang sayapun tak pasti. Saya dan Nisha kemudian mengikutnya. Suami menegur, “Umrah pertama ni, jangan hilang-hilang, follow ustaz saja!” Saya mengangguk-angguk, tadi sebenarnya ‘ter-excited’ bila nampak Makam Ibrahim, terus terlupa keselamatan diri. Itu yang melencong dari jamaah yang lain. “Pergi minum air zam-zam dulu!” kata suami. Sebenarnya tawaf ni ibadah yang agak berat, air wudhu’ perlu dijaga, niat hati perlu dijaga, kalau tidak batal tawaf dan perlu memulakan pusingan dari awal. Bila selesai, hati jadi ringan untuk memulakan sa’ie. Masa inilah saya baru terasa penat…mungkin sebab muscle yang tadinya stress mula releks…
Ustaz Hj. Mashkor mula memberi penerangan tentang sai’e, naluri ibu mula menyelami perasaan Siti Hajar…
Yang satu.
Banyak cerita tentang pengalaman orang yang pertama kali melihat Ka’abah. Ada yang berasa lemah lutut, lemah seluruh badan, menggigil, terduduk, menangis, dan ada yang tidak nampak Ka’abah sampai ke sudah. Cerita-cerita tersebut membuatkan hati berdebar-debar. Dengan dosa saya yang banyak, pengalaman yang mana satukah akan saya lalui? Akan terbukakah hijab dosa-dosa saya nanti? Apatah lagi dalam saya mengintai-intai di sebalik tiang, saya masih belum nampak yang satu itu…
Akhirnya Ka’abah jelas di depan mata, suami mencuit saya, “Itu Ka’abah! Itu Ka’abah!” Saya hanya mengangguk-angguk, cuba menyelami hati dan perasaan sendiri. Diri bagai bermimpi, betulkah aku di sini? Diri rasa mendapat untung yang sangat besar dan lumayan! Syukur teramat syukur. Ka’abah yang saya sering bayang-bayangkan apabila rukuk dan sujud memandang sejadah, sudah tersergam di depan mata. Rasa bagai mahu meluru memeluknya. Entah apa yang ustaz cakapkan, saya lansung tidak mendengarnya, mata terus leka memandang Ka’abah. Kami berjalan sehingga sangat hampir dengannya, sangat hampir. Ustaz menunjukkan kedudukan Hajarul Aswad dan lampu hijau untuk kami memulakan tawaf. Orang memang ramai, tetapi keadaan terasa lapang.
Pusingan pertama, saya membaca doa dalam Bahasa Arab. Begitu juga dengan pusingan kedua dan ketiga. Masuk ke pusingan keempat, saya membaca doa dalam Bahasa Melayu. Sungguh menyerap dan relevan. Air mata saya berjurai-jurai, menangis tersedu-sedu, terkenang cabaran yang dilalui untuk ke sini, laluan yang Allah berikan, bantuan yang Allah sediakan…ketika itulah terasa yang amat sangat menjadi tetamuNya dan kedatangan kami atas jemputanNya...terimakasih Ya Allah kerana menjemputku, menjemput suamiku dan menjemput anak-anakku… besarnya rasa hati…Allah saja yang tahu!
Tuesday, June 9, 2009
Memijak Haram.
Mata saya terpejam celik melayan rasa mengantuk. Tiba-tiba terlihat papan tanda dan anak panah bertulis “Haram”. Rasa mengantuk terus hilang entah kemana. Saya terus menyelak langsir bas dan melihat sekeliling. Di kiri kanan jalan sudah kelihatan bangunan-bangunan dan rumah-rumah kedai. Detik hati merasakan pasti sudah hampir… Memang benar jangkaan saya, apabila tidak lama kemudian mutawif kami mengumumkan yang kami sudahpun memasuki Haram. Jadual kami selepas itu ialah check-in ke hotel, segarkan diri dan berwudhu’ dan berkumpul semula di lobi pukul 4.30 petang untuk mengerjakan tawaf. Saya melihat jam di tangan, bermakna ada lebih kurang 45 minit untuk melihat Kaabah. Hati saya tiba-tiba berdebar-debar, hingga terpaksa bersandar di kerusi untuk menenangkan diri.
Bas kami melalui hotel-hotel yang besar, kemudian hotel-hotel yang kecil. Mengikutmaklumat pakej, kami akan di tempatkan di Hotel Makam Al-Qasar. Ijun (adik lelaki saya) sudah berpesan untuk menurunkan ‘expectation’ serendah-rendahnya apabila tiba di Mekah. Penginapan di Madinah sememangnya hotel bertaraf 5 bintang. Tetapi penginapan di Mekah boleh turun kepada 2 bintang, adakalanya seperti asrama lama sahaja. Ijun berpesan, sabar….sabar….kerana kita akan berdepan dengan ego diri apabila terasa di ‘down graded-kan’ (betul ke perkataan saya ni?). Memang mudah rasa terperanjat jika tidak bersedia dari segi mental. Jadi saya mengingatkan anak-anak, hati jangan berdetik apa-apa, mulut juga jangan bercakap apa-apa, sebut saja Alhamdulillah dan banyakkan berzikir.
Bas kami akhirnya sampai ke penginapan kami. Hotel yang kami duduki merupakan servis apartment. Memang terasa ‘down-graded’ sebaik masuk ke lobi, lifnya unik, kami perlu membuka pintu barulah terjumpa lif di dalam. Saya mulai faham pesanan Ijun yang bersungguh-sungguh. Walaubagaimanapun, saya merasakan bilik kami cukup selesa dan bersih. Memang hati perlu dididik agar bersyukur dan tidak mudah tercabar rasa ego. Itu pelajaran pertama, di Haram, ego itu tidak ada maknanya.
Kami cepat-cepat berwudhu’ dan turun ke lobi. Ustaz sudah bersedia membawa kami ke Masjidil Haram. Beg sandang, name tag, buku doa dan karung kasut merupakan perkara yang wajib dibawa. Alhamdulillah, sebenarnya Makam Al-Qasar sangat dekat dengan masjid, jalannya juga landai dan lapang. Saya dapati, itulah faktor terpenting menjadikan penginapan kami strategik. Saya teringat pesan rakan-rakan dan Ijun sendiri tentang deretan kedai (agar mengawal diri dari asyik ber-shopping) dan juga peminta sedekah (agar berhati-hati jika ingin bersedekah, dan menjaga hati dan mulut). Tetapi, sepanjang jalan ke Masjidil Haram, saya tidak nampak itu semua. Akhirnya baru saya tahu dan bersyukur kami ditempatkan di kawasan yang jauh dari kesesakan kedai-kedai. Penginapan kami berhadapan dengan Istana Raja, jika berjalan, terus masuk ke pintu King Abdul Aziz. Laluan ini memang lapang.
Saya memegang tangan Nisha, mata tidak berkelip memandang Masjidil Haram, masya-Allah ramainya orang. Ustaz memberi penerangan tentang jalan yang kami perlu ambil agar tidak sesat balik ke hotel. Semua jamaah kemudiannya berkumpul di hadapan Pintu King Fahd. Ustaz memberi taklimat tentang tawaf, memimpin kami membaca doa dan perlahan-lahan kami memasuki Masjidil Haram. Mata saya mengintai-intai di sebalik tiang-tiang…hati sangat teruja mencari-cari…manakah ia…manakah ia….
Sedapnya nasi Arab!
Sedar-sedar bila bas berhenti, ada sesuatu yang tidak kena dengan ‘air-cond’. Kawasan itu bukanlah R&R yang sepatutnya, tapi Alhamdulillah ada tempat makan, surau dan tandas yang selesa. Waktu memang sudah tengahari, dan perut memang sudah berkeroncong.
Hanya bas kami yang berhenti di situ waktu itu. Di sini, kami sememangnya ada masalah berkomunikasi. Nak order apa dan berapa harga, bagai ayam bercakap dengan itik. Kami gelak memanjang kerana bercakap dengan bahasa isyarat, dan menggunakan kalkulator. Yang penting, semua dapat makan. Bila dah makan, memanglah senyap semua jadinya, melayan nasi Arab. Sedap sungguh meratah ayam bakar, hingga sekarang terasa-rasa sedapnya nasi Arab di R&R. Di Mekahpun tak jumpa yang sesedap itu. Kami semua order ala Malaysia, sepinggan seorang. Sepatutnya, jika makan sekeluarga, order nasi satu talam, dengan ayam dua ketul, dan siram kuah dalca dan kuah yang lain, barulah ada ummphh makan dengan talam. Harganya juga lebih murah. Jika beli sepinggan nasi sahaja 3 riyal, nasi dengan ayam 13 riyal. Untuk 4 orang, 52 riyal. Kalau beli yang menggunakan talam, baru 32 riyal. Jadi saya belajar satu pengalaman baru. Dalam hati, next time tahulah nak order macamana (harapan memang ada peluang next time.)
Tandas di R&R adalah tandas manual. Sudah terbiasa lepas flush, air akan mati sendiri. Tapi di sana, flush kena memutar paip, lepas flush kena putar untuk menutup air. Pengalaman baru juga… Tapi mungkin di R&R itu saja tandasnya begitu.
Lepas solat jamak Zohor dan Asar, kami menyambung baki perjalanan 4 jam lagi. Kami semua bertalbiah lagi, mula-mula kuat, lama kelamaan perlahan. Seorang demi seorang tertidur kekenyangan nasi Arab…
Menyusur Haram.
Perjalanan ke Mekah mengambil masa lebih kurang 7 jam. Kami bertolak pukul 8.00 pagi dan dijangka sampai pukul 4.00 petang. Tidak lama selepas keluar dari Tanah Haram Madinah, kami sampai di Bir Ali. Di sinilah kami akan berniat umrah, dan semua pantang larang akan bermula. Selepas solat Tahiyatul Masjid, saya solat Hajat minta Allah mudahkan saya, suami dan anak-anak melaksanakan umrah, dan memberikan kami kesempurnaan umrah. Apa yang saya pelajari, melaksanakan perkara jika pertama kali memang payah. Semua perkara dilakukan dengan minda yang sedar. Semua ‘muscle’ dalam keadaan berjaga-jaga. Sebenarnya banyak kepada takut terlanggar pantang.
Selamat tinggal kekasih…
Saya dan Nisha sampai ke bilik hampir 1.30 pagi. Suami dan Zaid sudah tidur. Barang-barang sudah dikemas suami, Alhamdulillah. Esok merupakan subuh terakhir… Banyak perkara yang perlu dibuat, mandi sunat ihram, solat sunat ihram dan paling penting ziarah wada’. Malam itu saya tidur sambil tersenyum-senyum… mengenang-ngenang pengalaman manis di Masjid Nabawi.
Selepas solat Subuh, saya dan Nisha pergi ke bahagian kubah hijau. Di bawahnya terletak Makam Nabi. Kami berdoa dan mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah. Sedihnya tidak dapat digambarkan di sini. Sayu teramat hati saya membaca baris-baris doa terakhir.
Kami memandang Makam Rasulullah buat kali terakhir, dan berpaling perlahan-lahan meninggalkannya. Hati jadi kosong, selamat tinggal Nabi Allah, selamat tinggal Rasulullah, selamat tinggal kekasih Allah …
Monday, June 8, 2009
Jam.
“Sekarang pukul berapa Sha?”
“Nisha tak pakai jam Bu.”
Saya mencari jam tangan di dalam beg. Tadi ketika mengambil wudhu’ saya buka jam tersebut. Ketika itu saya hampir memulakan solat. Baru teringat, saya letakkan jam di para tempat wudhu’, kemudian terlupa lansung. Saya kira jika turun kembali, mungkin jam itu sudah tidak ada. Lagipun untuk keluar semula memakan masa, sedangkan malam sudah lewat benar. Saya beritahu Nisha, “Takpelah, bukan rezeki Ibu. Mungkin sudah ditakdirkan jam tu hilang, Ibu sedekah jelah pada orang yang terjumpa.”
“Bu, takkan nak biar macam tu je. Tak pelah, Ibu solat, biar Nisha pergi tengok.” Balik dari Raudhah tadi, Nisha memang sudah mengantuk, tapi mahu pula menemankan saya berwudhu’ dan masuk ke masjid semula. Sekarang ini, elok dia nak tidur di sebelah saya, mahu pulak menawarkan diri ke tandas semula mencari jam saya seorang diri. Tapi saya tahu pengawal wanita masih ramai di dalam tandas dan di luar masjid. Jadi saya tawakal dan memberi keizinan untuk dia ke tandas semula seorang diri.
“Tengok je, kalau ada, Alhamdulillah, kalau tak ada, Nisha cepat masuk masjid semula ya.” Dia bergegas keluar. Saya bangun solat hajat, “Ya Allah, jika masih rezeki ku, biarlah Nisha terjumpa jam itu, jika sudah bukan rezekiku lagi, aku terima sebagai ujianku.”
Elok saya siap solat, Nishapun sampai. Dia tersenyum, “Jumpa Bu!”. Saya memeluknya, “Terima kasih sebab tolong Ibu.” Dia mengangguk dan berbaring di sebelah saya. Lewat solat saya yang kedua, dia sudah lena di tengah-tengah kedamaian Masjid Nabawi. Sambil mengaji saya mengusap-usap kepalanya, keputusan saya membawa Nisha sememangnya amat tepat…
Raudhah terakhir….
Azam saya dan Nisha sangat tinggi. Lepas Isyak kami makan malam sekeluarga, naik ke bilik dan bersiap-siap untuk ke masjid semula. Barang-barang masih bersepah, esok pagi-pagi perlu bertolak ke Mekah. Saya sudah bersedia dari segi mental, “Tak tidurlah malam ni nampaknya berkemas.”
Malam itu saya dan Nisha ditemani Zaid. Dia ingin menikmati suasana malam Madinah, dan kami terus ke masjid. Seperti yang kami jangka, kumpulan Melayu masih belum masuk lagi. Jika mengira dari saat selepas Isyak, bermakna kumpulan Melayu sudah ada yang menunggu 2 jam. Malam itu, ramai ‘muka baru’ dan kebanyakannya dari Indonesia. Berdasarkan pengalaman malam semalam, saya dan Nisha tahu kami akan menunggu giliran agak lama, jadi kami solat sunat yang lain terlebih dahulu. Kami memang mengharap menjadi kumpulan terakhir masuk.
Nota di hadapan Raudhah memang menyentuh hati, “Harap bersabar menunggu giliran anda. Anda akan mendapat peluang anda di Raudhah sekiranya anda mahukan begitu.” Apa yang kita lihat ketika menunggu ialah kumpulan-kumpulan wanita dari Iran, dan sekeliling Tanah Arab (semua mereka berjubah hitam atau berpurdah hitam) dapat masuk lebih awal walaupun mereka baru saja datang. Jadi kumpulan Melayu ini dengan mudah boleh berasa teraniaya, datang lebih awal, tetapi masih belum boleh masuk. Sebenarnya, semua kumpulan mendapat peluang yang sama. Paling penting, sentiasalah bersangka baik, pengawal-pengawal berpurdah ini sememangnya tahu apa yang mereka lakukan.
2-3 jamaah wanita Melayu mula menunjukkan rasa tidak puas hati. “Bodoh betul polis ni, orang dia senang je masuk, kita ni nak tunggu apa lagi?”, “Kita ni lembut sangat, ikut je arahan…”, “Sampai bila nak masuk ni, duduk je menunggu…”, “Jom kita bangun, kalau kita rempuh ramai-ramai apa yang polis tu boleh buat?”, “Kalau macam ni, malaslah nak tunggu lagi, balik je lah, boring dibuatnya…”.
Saya dan Nisha boleh merasakan mereka baru pertama kali ke Raudhah, mungkin baru sampai petang tadi. Menunggu lama dari pukul 9.00 malam, sehinggalah waktu itu sudah 11.30 malam, memang cukup menguji kesabaran. Kepada yang akan ke Raudhah pertama kali, sebaiknya balik ke hotel dulu, makan malam, masuk kebilik untuk segarkan diri, dan pergi semula ke masjid jangan lewat daripada 10.30 malam. Insya-Allah pasti berpeluang.
Saya dan Nisha mempelajari banyak perkara. Kami mengingat-ingat tujuan utama ke Raudhah. Peluang ini perlu ditunggu dengan sabar, dengan cara yang baik, dengan hati yang ikhlas. Saya mengingatkan Nisha tentang pesanan ustazah, berdoa 4 perkara yang utama – selamatkan aku dari siksa kubur, selamatkan aku dari azab neraka, selamatkan aku dari fitnah dunia dan fitnah akhirat, selamatkan aku dari fitnah sakaratul-maut. Bila lapang, baru berdoa perkara-perkara dunia dan perkara-perkara peribadi yang lain.
Malam itu, kami bersyukur teramat sangat menjadi kumpulan terakhir. Tempat yang kami dapat sangat strategik, di depan tiang. Kami solat hajat sepuas-puasnya, berdoa dalam sujud semua doa yang kami hajati, doa untuk keluarga, adik beradik, dan rakan-rakan. Kami duduk membaca semua doa di dalam buku doa. Tiada siapa menyuruh kami keluar…kami sendiri yang menentukan bila masa untuk keluar… Saya dan Nisha berasa sangat santai, melihat-lihat yang mana satu Mihrab Nabi, Mimbar Nabi, memandang ke arah Makam Nabi dengan syahdu. “Nak keluar dah?” Saya bertanya Nisha. Kami keluar dari Raudhah dengan perasaan cukup puas. “Puas Bu… semua doa Nisha sempat baca, bukan doa peribadi saja, tapi 4 doa penting tu dan doa yang kawan-kawan pesan…” Kami sama-sama bersetuju, “Syukur sangat polis purdah tu beri kita lambat masuk…”
Kami berjalan-jalan di kawasan luar masjid. Selalunya pintu tandas sudah ditutup. Tetapi malam itu, walaupun sudah lewat, pintu ke tandas masih terbuka. “Ibu nak wudhu’ dan masuk ke masjid semula, nak balik lambat sikit malam terakhir ni, Nisha boleh tunggu tak?” Saya tahu dia sudah keletihan. “Boleh, tapi Nisha tunggu Ibu sambil tidur boleh tak?”, jawab Nisha. “Boleh, niat iktikaf, tidurpun nanti dapat pahala.”
Kami pun turun mengambil wudhu’ dan masuk ke masjid semula. Memang ramai yang masih di dalam masjid. Saya solat dan mengaji, menikmati malam terakhir di Masjid Nabawi…damainya, indahnya, nikmatnya…
Haramain.
Esok kami akan meninggalkan Madinah pagi-pagi lagi. Jadi hari ini kami mengambil kesempatan membeli jubah untuk abah. Dari Malaysia lagi, ramai yang memberitahu tentang jenama Haramain. Jadi, kami membuat pilihan dengan lebih mudah. Fokus saya hanya satu jubah sahaja, untuk abah. Shopping tengahari itu memang singkat, ‘direct to the point’.
Tetapi Allah menggerakkan hati suami dan Zaid untuk berjubah juga. Petangnya, suami membeli 2 jubah untuk dipakai. Zaid pula meminta duit untuk membeli sehelai jubah. Mungkin semangat Haramain telah menyerap, malam itu Zaid membeli sepasang lagi jubah. Mereka berdua sempat pula menggayakan jubah masing-masing di saat solat-solat terakhir di Masjid Nabawi. Mereka berdua memang tidak pernah membayangkan hasrat untuk berjubah di sana, tapi memang benar apa yang orang lain pernah ceritakan, “Di sana, lain perasaannya…”
Melihat 2 lelaki penting dalam hidup saya berjubah ke masjid….sejuknya hati, saya telah menerima bonus saya yang pertama…
Tukang jahit dan telekung kerawang hijau.
Biasanya, untuk mendapatkan saf hadapan, saya dan Nisha akan mencelah-celah dari satu saf ke satu saf, hinggalah kami mendapat saf yang hadapan. Saf-saf di bahagian belakang memang penuh sesak dan berlapis-lapis. Tetapi, saf hadapan selalunya kosong dan lapang, adakalanya putus-putus. Sekiranya kita maju ke depan, insya-Allah akan dapat solat di saf pertama atau paling tidak saf kedua.
Dalam kami bergerak pantas, tiba-tiba seorang Mak Arab memegang Nisha (kami tak pasti dari negara mana, tapi mukanya muka Arab, jadi kami selalu ‘refer’ Mak Arab saja). Nisha berhenti dan menoleh kepada saya kerana hairan. Kami ingat ada buat sesuatu yang salah. Mak Arab ini kemudiannya melemparkan senyum kepada Nisha dan terus memegang telekungnya. Dia berkata sesuatu kepada rakannya di sebelah dan kemudian memandang saya dan Nisha sambil bercakap Bahasa Arab. Tangannya memegang telekung Nisha (hari itu Nisha memakai telekung kerawang bewarna hijau). Kami meneka dia mungkin memuji cantik, atau bertanya beli dimana. Ingin sekali menjawab, tetapi tidak tahu nak cakap apa. Saya dan Nisha memberikan senyuman hormat, “Thank you, thank you…”. Saya pun tak pasti kenapa mengucapkan ‘thank you’.
Satu ketika yang lain pulak, Mak Arab Iran menahan Nisha ketika kami hendak keluar daripada Masjid. Dia bercakap Arab sambil memegang telekung Nisha (telekung kerawang hijau yang sama). Saya dan Nisha langsung tidak dapat mengagak apa yang dia cakapkan. Kebetulan lalu Mak Arab yang lain dan dia boleh berbahasa Inggeris, “Where did you buy this?”. Dia ingat kami beli di sini dan mereka ingin membeli telekung yang sama. Kami beritahu kami dari Malaysia dan telekung ini juga dibeli di Malaysia. Mak Arab ini kemudian bertanya bagaimana untuk membuat telekung. Saya sendiri tidak pernah membuat telekung sendiri, tetapi rasanya tahu bagaimana. Kami kemudian bersila di dalam masjid, dan saya memberitahu cara-cara membuat telekung, ukuran kain yan diperlukan sambil menggunakan telekung Nisha sebagai contoh. Cara saya memberitahunya sepertilah saya ni pandai sangat menjahit, tapi saya kira penerangan saya boleh dikira betul…tukang jahit bidan terjun…
Kalaulah saya ada telekung extra, memang saya akan berikan satu pada Mak Arab Iran ini. Kesian melihatnya solat dengan jubah dan tudung, ada anak rambut yang terkeluar, dan dia juga mengadu susah solat dengan pakaiannya itu. Semoga dia dapat menjahit telekung pertamanya nanti di Iran…
[Baca entry terkini]
Friday, June 5, 2009
Hilang di ladang kurma...
Suami sibuk mengambil video pokok-pokok kurma untuk tatapan Amni nanti. Saya, Nisha dan Zaid mengambil gambar. Rasanya sekelip mata berpusing, Nisha terus hilang dari pandangan. Saya bertanya suami, dia tidak tahu. Bertanya Zaid, “Eh, tadi dengan ibu…”. Masya-Allah, mana budak ni!
Tiba-tiba Nisha muncul tersenyum-senyum. “Comelnya…comelnya….”. Rupanya dia melencong ke arah lain. “Nisha pergi mana tadi?”. Sambil memberikan kamera kepada saya, dia menjawab, “Ambil gambar kucing, comel sangat, rasa nak bawa balik…”
Menyusuri Sirah Rasulullah 2.
(Pemandangan dari atas bukit penempatan pasukan memanah, Bukit Uhud berada dibelakang)
Panas terik mentari semakin terasa ketika kami sampai di ladang kurma. Buah-buah kurma sedang menghijau. Pesta membeli kurma berlanjutan hingga ke pasar kurma. Masing-masing menjinjing plastik bungkusan kurma ke bas sambil tersenyum puas. Bagi saya dan suami secara peribadi, pembelian tersebut lebih kepada teringat-ingat sahabat dan keluarga di Malaysia, agar mereka dapat turut mengalami manisnya Madinah…
Menyusuri Sirah Rasulullah 1.
Jadual hari ini ialah ziarah sekitar Madinah. Kami akan ke Masjid Quba’, Jabal Uhud, Medan Peperangan Khandaq, Pasar Kurma dan Masjid Qiblatain. Kami sempat solat Tahiyatul Masjid dan Dhuha di 2 masjid ini. Saya berpesan lagi dengan Nisha untuk sujud syukur. Selepas solat, mengenang-ngenang kisah-kisah Nabi yang berkaitan. Rasa bertuah dapat solat di masjid-masjid ini dan menjadi sebahagian dari cerita-cerita tersebut.
Mengikut turutan masjid yang paling suci dan dituntut untuk solat di dalamnya ialah Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Masjidil Aqsa dan Masjid Quba. Di dalam Al-Quran disebut bahawa Masjid Quba dibangunkan atas dasar taqwa, masjid yang pertama dibina ketika hijrah Nabi ke Madinah, tempat di mana unta Rasulullah berhenti. Sejarah hijrah ini cukup besar dan signifikan. Kerana itu, terasa sangat bertuah dapat solat di dalamnya.
(Masjid Qiblatain)
Apalah kita ni...
Jadual aktiviti memang padat. Kami perlu peka dengan semua waktu melawat, waktu solat dan jadual makan. Dan saya catat semuanya, dan memastikan kami semua agar awal supaya tidak menyusahkan jamaah yang lain. Waktu makan semuanya selepas solat. Dari jauh saya nampak makan pagi - 7.30 pagi, makan tengahari - 2.30 petang, makan malam - 9.30 malam. Di Madinah, saya dan suami berpecah. Saya dengan Nisha, suami dengan Zaid. Setiap kali waktu makan, saya dan Nisha akan ke dewan makan 10 minit lebih awal. Tetapi setiap kali mesti hanya kami berdua yang ada, bila kami sampai dewan masih gelap. Wah,awal sungguh kami ni! Masuk hari kedua, kami berdua jadi pelik, setiap kali makan kami mesti yang paling awal. Dewan makan masih gelap, dan orang lain belum ada lagi, tapi lauk dan makanan seperti sudah dijamah orang. Kamipun merujuk semula ke jadual makan. Apalagi, saya dan Nisha ketawa terbahak-bahak…
Rupanya kami tersilap tengok jadual. Waktu yang tertera rupanya waktu habis makan. Bila dibaca betul-betul, jadual makan tertulis begini; makan pagi: subuh – 7.30 pagi, makan tengahari: zohor – 2.30 petang, makan malam: isyak – 9.30 malam. Dari jauh kami hanya nampak nombor-nombor sahaja. Dan menyangkakan itulah waktu makan.
“Apalah kita ni…padanlah orang asyik tak ada…bukannya kita paling awal, rupanya yang paling lambat…” Saya dan Nisha ketawa memanjang. Baca jadual pun tak tahu!
Setengahari di Taman Syurga.
Tengahari itu, saya bulatkan hati untuk ke Raudhah lagi. Ramai yang berpesan susah ke Raudhah waktu tengahari (lepas Zohor). Waktu terlalu singkat, lebih kurang 1-2 jam saja ianya dibuka untuk jamaah wanita. Waktu yang sama juga kami perlu berkejar balik ke hotel untuk makan tengahari. Jadi saya beritahu Nisha, “Kita cuba masuk, kalau terlalu lewat, nanti kita beli makanan di luar.” Dalam hati roti kebab sudah di dalam menu makan tengahari itu.
Lepas Zohor kami duduk-duduk dalam kumpulan Melayu seperti biasa. Tidak lama kemudian, laluan ke Raudhah dibuka. Orang memang ramai dan berebut-rebutkan waktu yang singkat. Entah macamana kami hilang fokus untuk ke Raudhah kerana asyik berbincang tentang sesuatu perkara. Tiba-tiba seorang pekerja masjid (orang Indonesia) datang kepada kami, “Ibu, jika mahu ke Raudhah, cepat ibu, sekejap lagi laluannya ditutup.” Masya-Allah, saya terasa bagaikan Allah yang menegur saya dan Nisha, “Tadi kata nak masuk, kalau nak masuk, cepatlah masuk!”. Saya dan Nisha bergegas bangun, “Alhamdulillah, tengok Allah dah ingatkan kita supaya tetap pendirian…”
Sebenarnya, jika kita sudah masuk ke bahagian berdekatan Raudhah, insya-Allah, kita memang akan sempat masuk ke Raudhah. Paling penting, masuk ke kawasan ini sebelum pintu laluan ditutup. Pintu laluan ini dibuka paling lama satu jam sahaja. Peluang di Raudhah kali ini lebih selesa untuk saya dan Nisha berdoa dan solat Hajat. Di ruangan menunggu, keadaan agak panas, tetapi dalam Raudhah sejuk, tidak terasa panas, padahal orang bersesak-sesak. Ikut logik, kami mungkin hanya sempat berdoa lebih singkat berbanding pagi tadi. Tetapi Allah lebih berkuasa. Peluang yang kami terima lebih lega, dan kami berasa lebih puas. Tiada pengawal yang menepuk belakang supaya keluar. Padanlah Allah menegur kami tadi…jika tidak tentu terlepas peluang yang ada. Saya mencari-cari orang yang mengingatkan kami tadi, tapi pekerja-pekerja ini semuanya berpurdah, dan kami tidak dapat mengecamnya. Saya hanya mengucapkan terima kasih kepadanya di dalam hati, semoga Allah merahmatinya!
Saya berpegang-pegang tangan dengan Nisha ketika keluar dari Raudhah. Terasa santai berjalan di tengah-tengah Masjid Nabawi sambil menikmati keindahannya. Sampai di hotel sudah hampir 2.30ptg. Kami sekadar menjenguk ke dewan makan, “Kalau ada rezeki adalah, kalau tak ada kita turun beli kebab…”
Alhamdulillah, makanan masih ada lagi, cukup untuk kami 2 orang. Nikmat sungguh makan tengahari itu…
Thursday, June 4, 2009
Inikah Raudhah!
"Banyak-banyak berdoa di Raudhah. Solat hajat dan berdoa dalam sujud." Teringat pesan Kak Ros. Kesempatan ini memang paling ditunggu-tunggu. Raudhah merupakan tempat mustajab untuk berdoa. Kerana itulah orang tidak pernah surut, berebut-rebut mencari peluang untuk berdoa di situ. Bukan mudah untuk mendapat peluang ini kerana Raudhah tidak penah lapang, kita perlu pandai mencari ruang untuk solat dan tidak melepaskan peluang dan ruang yang ada walaupun sekecil dan sesempit mana.
Raudhah terletak di antara Makam Nabi dan Mimbar Nabi, sekiranya mengadap kiblat, Raudhah berada di sebelah kanan Makam Nabi. Cara termudah untuk mengenali kawasan Raudhah ialah karpet kawasan Raudhah berwarna hijau, sedangkan kawasan masjid yang lain dilitupi karpet merah. Raudhah di buka untuk jamaah wanita 3 kali sehari, waktu pagi selepas Subuh, tengahari selepas Zohor, dan Malam selepas Isyak. Jamaah lelaki pula berpeluang untuk masuk ke Raudhah pada bila-bila masa.
Pagi itu merupakan peluang pertama untuk kami ke Raudhah. Ustazah sudah berpesan untuk menjaga wudhu', kerana apabila sudah masuk ke Raudhah, agak mustahil untuk keluar dan masuk semula. Kami semua duduk dalam kumpulan Melayu. Amalan di sini, setiap kali waktu untuk jamaah wanita masuk ke Raudhah, penjaga-penjaga Masjid yang berpurdah akan memegang papan tanda agar jamaah wanita duduk berkumpulan mengikut negara, lebih tepat lagi mengikut rumpun bahasa. Papan tanda yang akan mengumpulkan jamaah berbahasa Melayu akan tertulis "Bahasa Malayu" ataupun "Penerangan Agama". Jamaah wanita dari Singapura, Indonesia dan Brunei akan berkumpul bersama.
Kami duduk menunggu giliran dengan sabar. Saya mengingatkan Nisha doa-doa yang penting untuk dibaca dan dipohon. "Dapat saja ruang, terus solat Hajat, doa dalam sujud terakhir. Habiskan semua doa baru bangun."
Tidak lama kemudian, kumpulan kami dibenarkan masuk. Saya memegang erat tangan Nisha dan bergegas masuk ke kawasan Raudhah. Mata memandang karpet yang di pijak mencari karpet bewarna hijau. Orang terlalu ramai dan rapat dari bahu ke bahu, agak sukar untuk saya mengenalpasti karpet. Tiba-tiba saya terpandang sempadan karpet merah dan hijau. Tetapi orang terlalu sesak untuk masuk ke dalam. Saya berbisik kepada Nisha, "Depan ni Raudhah, cari tempat yang lapang...Nisha...cepat..." Kami menyelit masuk ke Raudhah di tengah-tengah kesesakan. Mulut saya dan Nisha terus kumat-kamit membaca doa yang abah ajar, "Rabbi Yassir Wala Tu'assir....Rabbi Yassir Wala Tu'assir..." Doa itulah yang saya baca berulang-ulang.
Sungguh mustahil untuk solat kerana ruang terlalu sempit untuk rukuk, apatah lagi sujud. Tapi hati saya berbisik, insya'Allah nanti Allah beri ruang. Setelah berada ke dalam sedikit, tidak semena-mena ruangan di depan saya agak lapang, dan saya mengisyaratkan kepada Nisha untuk mulakan solat, "Ok Sya...kita solat sekarang."
Apa yang saya rasa, sebaik memulakan solat (saya memejamkan mata walaupun saya tahu makruh, tetapi orang terlalu ramai, saya ingin mendapatkan khusyu' dengan memejamkan mata), saya rasakan sekeliling seperti hening dan saya seperti bersendirian, kerana rasa bersendirian itulah, di pertengahan bacaan Al-Fatihah airmata saya gugur teramat laju tanpa dapat ditahan. Rasa diri terlalu kecil untuk memohon sesuatu yang sangat besar. Saya rukuk perlahan-lahan kerana tahu ruang tidak ada, sujud juga perlahan-lahan. Tapi setiap kali rukuk dan sujud, ruang seakan terbuka cukup untuk saya rukuk dan sujud. Di sujud terakhir, tangisan saya sudah menjadi tersedu-sedu. Pengalaman berdoa yang sangat hebat sehinggalah terasa belakang saya ditepuk oleh pengawal, "sudah ibu...bangun...ibu...". (Pengawal berpurdah ini memang tahu berbahasa Melayu. Bagi jamaah yang bertelekung putih, dia sudah dapat mengecam dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Mereka pasti bercakap Melayu dengan kita.) Rupanya sudah lama saya sujud, terasa sangat sekejap dan tidak puas. Tetapi ingin memberi peluang kepada jamaah lain, saya bangun dan memberi salam. Tidak lama, Nisha turut bangun.
Keluar dari Raudhah, saya terus menyimpan azam untuk ke Raudhah lagi tengahari itu, dan pada setiap waktu Raudhah dibuka untuk jamaah wanita. Saya berkongsi pengalaman dengan Nisha tentang perasaan hening dan keseorangan walaupun orang ramai. Rupa-rupanya Nisha juga mengalami keadaan yang serupa, "Yalah Ibu! Mula ramai sangat orang, tapi bila solat tiba-tiba rasa macam takde orang." Kami sama-sama bersemangat untuk ke Raudhah lagi tengahari itu.
Keluar dari masjid, suami sudah menunggu dengan kamera. Dia juga sudah ke Raudhah pagi tadi. Saya dan Nisha bercerita pengalaman kami dengannya. "Best abah, pergi lagi tau abah...best sangat!"
Kemudian kami berpusing-pusing sekitar hotel dan bergambar di depan masjid. Terdapat banyak kedai yang berhampiran. Pekedai semuanya dapat mengecam kami dari Malaysia dan berbahasa Melayu. "Masuk haji, tengok-tengok dulu...", "Hajjah, masuk pilih-pilih...murah.."
Saya hilang mood langsung untuk ber-shopping. Dalam hati saya, "Cepatlah zohor...cepatlah zohor..."
Wednesday, June 3, 2009
Subuh pertama...
Pelik...badan sebenarnya letih kerana penerbangan yang panjang, tidur pula cukup sekejap, tapi mata terjaga dengan mudah sekali, badan rasa cergas kerana rasa teruja. Saya bangun terlebih dahulu, kemudian mengejutkan Nisha. Malam tadi semasa sampai kami tidak mandi sebagaimana dipesan Kak Ros, maklumlah perubahan cuaca dan keadaan, bimbang jadi demam. Giliran mandi yang akan dipatuhi mulai dari hari ini - saya, Nisha, suami dan akhir sekali Zaid. Kami turun ke lobby hotel dengan perasaan sungguh seronok. Sejujurnya, tak pernah saya rasa excited nak solat Subuh seperti hari tersebut. Selalunya yang menguasai diri pastinya rasa mengantuk. Keluar dari lobi hotel, suasana sejuk dan dingin subuh amat terasa. Azan sudah berkumandang sejam lebih awal. Beberapa pasangan Arab turut menuju ke masjid. Kami menganalisa kedudukan pintu sekali lagi. Saya agak yakin Hotel Dallah Taibah ini mengadap terus ke pintu 25, laluan wanita. Saya berpecah dengan suami. Saya dan Nisha berjalan terus, dan suami menuju ke kanan.
Tag nama, beg sandang dan kantung kasut kami bawa bersama. Manalah tahu...paling tidak beg ungu Rayhar boleh dijadikan tanda. Saya sudah tidak nampak kelibat suami dan Zaid. Saya berjalan terus memimpin Nisha, sambil mata melihat keseluruhan Masjid Nabawi. Suasana subuh yang hening menjadikan keadaan cukup menenangkan. Hati dan jiwa rasa sangat bahagia dan gembira (belum masuk masjid lagi tu...heh..heh). Orang sudah mulai ramai di perkarangan masjid. Saya nampak jelas nombor di pintu 25a, dalam hati "Alhamdulillah, betul dah ni." Teringat pesan Kak Ros, masuk ikut pintu 25, senang! Kami menyimpan sandal ke dalam kantung kasut, dan 2 orang pengawal wanita berpurdah memeriksa beg kami. Ramai yang telah berpesan agar jangan membawa handphone yang mempunyai kamera. Kami ingat, dan memang tidak membawa handphone lansung.
Saat melangkah masuk, rasa kembang hati, gembira, sedih bercampur-campur. Kami berjalan terus ke depan, saya berazam untuk mendapatkan saf pertama. Ternyata bahagian depan banyak yang masih kosong. Kami pergi ke arah kiri, lebih banyak tempat kosong, dan kami dapat menyelit di saf kedua. Kami terus solat tahiyatul masjid dan saya kemudian mengingatkan Nisha untuk sujud syukur kerana selamat sampai dan tercapai hasrat kami ke Masjid Nabawi.
Subuh itu, kami solat dengan penuh rasa syukur. "Tak sangka kita sampai juga...alhamdulillah, best kan!" Selepas subuh, saya dan Nisha berasa sangat puas. Kami berjalan pulang ke hotel sambil berbual-bual memperkatakan perasaan gembira masing-masing, menunggu-nunggu pula untuk menziarah Rasulullah pagi itu. Mengikut jadual, kami perlu berkumpul semula jam 7.30 pagi di lobby. Selepas sarapan, kami berkumpul dan di bawa ke bahagian kanan masjid menuju ke Kubah Hijau, berhampiran ialah Perkuburan Baqi'. Rupanya sekarang, kami tidak boleh lagi masuk ke maqam Nabi, hanya melihat dari luar. Memberi salam kepada Rasulullah, terasa sangat perkara-perkara tentang sirah Rasulullah yang selama ini hanya dibaca dan dipelajari di sekolah, tertulis dalam buku teks, sangat 'real', saya rasa berhadapan dengan jelas dengan kenyataan yang benar, sebenar-benarnya. Rasa terharu, rasa rendah diri hanya dengan mengucap salam pada Rasulullah dari jauh. Bagaimana rasa hebatnya jika dapat duduk bersama Baginda, bertuahnya para sahabat... Padanlah mereka sanggup berkorban nyawa... Amat terasa kehebatan baginda...terasa sangat...amat berharap mendapat syafaat Nabi di Padang Mahsyar... Ya Rasulullah, ini aku umat mu... Assalamualaikum Ya Rasulullah...ini aku umat mu! Rasa kecil sangat diri ini...
Kemudian kami di bawa ustazah untuk masuk ke Raudhah. Hati berdebar-debar...cerita dan pengalaman orang lain tentang kesesakan di Raudhah, peluang dan bantuan Allah di Raudhah membuatkan hati jadi berharap dan berserah agar diberi kemudahan. Saya berpesan kepada Nisha untuk solat Tahiyatul Masjid dan solat Dhuha terlebih dahulu di bahagian luar. Kemudian ustazah mengarahkan kami mengikutinya. Saya memimpin Nisha, rasa 'innocent' dan kosong, maklumlah pertama kali, dan ilmu yang ada hanya apa yang dipelajari semasa kursus umrah dan cerita orang. Mata saya tercari-cari, "Mana karpet hijau? Jauh lagi ke?" Hati terus berdoa, mudahkanlah Ya Allah, mudahkanlah Ya Allah... Pada saat itu, Nisha senyap, saya juga senyap...
Kaki memijak Madinah...
Penerbangan mengambil masa lebih kurang 8 jam. Selepas set makan yang pertama, kami mencuba saluran rancangan yang disediakan. Seronoknya melihat pilihan rancangan yang ditawarkan, paling seronok terdapat rancangan yang menerangkan ibadah haji, termasuk tentang tawaf dan sa'ie. Dapatlah mengulangkaji... (he..heh...memang 'last minute'.)
Memang ada perbezaan melihat saluran rancangan di Saudi Airlines ni. Adakalanya gambar-gambar dikaburkan, sememangnya penting lebih-lebih lagi pesawat dipenuhi jamaah umrah. Dapatlah kami menjaga pandangan. Sambil melelapkan mata, saya mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran dari salah satu saluran.
Lewat jam 8.00 malam waktu tempatan, kami sampai di Lapangan Terbang Madinah. Urusan imigresen, walaupun terpaksa menunggu hampir setengah jam, begitu lancar dan mudah. Sampai saja kami di luar, beg sudah tersusun. Wakil Rayhar sudah menunggu di luar. Kami menaiki bas ke hotel dalam hujan renyai-renyai. Kami diberitahu untuk terus check-in dan makan malam.
Malam itu kami di arahkan terus ke bilik selepas makan malam. Selepas sarapan esoknya barulah mutawwif akan membawa kami berziarah makam Rasulullah dan sahabatnya. Tiada apa-apa maklumat tentang solat Subuh esok pagi. Saya mencuit suami, "Insya-Allah kita boleh pergi sendiri untuk Solat Subuh rasanya kan? Insya-Allah kita tahu mana nak tuju kan?" Suami mengangguk-angguk. Kami menginap di Hotel Dallah Taibah. Keluar dari hotel, terus saja masuk ke Masjid Nabawi. Laluan itu mudah bagi jamaah wanita kerana terus ke pintu masuk untuk wanita, pintu 25a,b,c,d. Pintu ini merupakan pintu terhampir untuk ke laluan menuju Raudhah. Saya merujuk peta Masjid Nabawi dan berasa yakin kami boleh pergi sendiri.
Malam itu untuk pertama kali tidur dengan perasaan yang sangat teruja untuk bangun semula. Lansung tiada rasa letih dan penat...Masuk Subuh 4.15 pagi. "Esok ibu akan kejutkan pukul 2.30 pagi ye..." Masing-masing melihat jam waktu itu sudah hampir pukul 12.00 malam. Cepat-cepat kami tidur kerana tinggal lagi lebih kurang 2 jam saja untuk kami melelapkan mata.