Thursday, June 13, 2013

I hate cats!

Malam tu sepanjang malam dengar bunyi anak kucing mengiau tak henti-henti.  Hujan lebat dan suasana gelap gelita.  Detik hati nak tengok, tapi takut pulak nak keluar malam gelap macam tu. Sedikit sebanyak, rasa rimas pun ada, sebab nak tidur pun susah.  Dalam terfikir-fikir kenapalah anak kucing tu mengiau tak henti-henti, saya akhirnya terlelap juga.  Esok paginya, saya terus terlupa.

Pagi tu, sedang saya sibuk di dapur, Zaid dan Amni kecoh berbual di ruang tamu yang saya tak pasti topiknya.  Kemudian suasana senyap sunyi...mana pulak pergi budak-budak ni?

Tak lama kemudian, terdengar suara mereka bising semula. Amni dan Zaid sudah di dapur. Rupanya  tadi mereka kecoh bercerita pasal anak kucing yang sama dan berpakat mencarinya.

"Bu, anak kucing malam tadi tu rupanya kat dalam longkang, Bu. Mak dia takde.  Kesian, Bu..."

Kemudian berselang-seli Zaid dan Amni bercerita keadaan anak kucing tu.  Saya hanya memdengar separuh hati sebab tahu mereka cuba menarik minat saya pada si kucing.  Berbeza dengan saya, anak-anak saya sangat sukakan kucing. Mereka boleh leka bermain kucing-kucing jiran sebelah sehingga kucing-kucing tersebut jadi manja dengan mereka. 

Sewaktu mereka kecil, setiap pagi mereka akan bangun awal, pergi ke belakang rumah dan melayan, bermain dan memberi makan kucing liar, ada ketikanya sehingga 5-6 ekor, dan siap mereka beri nama.  Peliknya, kucing-kucing ini faham pulak nama mereka.

Bertahun-tahun mereka merayu dan merengek untuk membela kucing, tapi mengenangkan komitmen yang perlu diberikan (read as: yang perlu SAYA berikan), makanya saya tak pernah layan permintaan mereka.  Mereka tentunya hanya akan seronok bermain dan membelai kucing, nanti saya yang perlu mengurus najisnya.  Dan saya juga tak suka jika kucing masuk ke rumah.  Saya takut, saya geli dan saya tak suka bulunya yang melekat di mana-mana.  Sebab itu, jawapan saya sentiasa tegas...No, tak boleh!

Tapi, entah kenapa pagi itu bila Amni dan Zaid bercerita tentang anak kucing yang jatuh di longkang, sedang malam tu hujan lebat, hati jatuh kesian yang amat sangat.

"Anak kucing tu kat mana sekarang?". Soal saya pada Amni dan Zaid.

"Kat longkang lagi, nak cuba ambik tapi tak boleh, dia lari masuk ke dalam.." Jawab Amni.

"Kesian betul tengok dia, Bu.  Menggigil-gigil. Kitorang nak ambik tapi dia macam takut." Sampuk Zaid.

"Laaa...kenapa tinggalkan dia kat longkang tu, pergi ambik keluarkan, kesian dia mesti lapar dan sejuk satu malam. Bawak balik bagi dia susu..."

Serentak Zaid dan Amni berpandangan.  Mereka terperanjat dengan respon saya.

"Boleh ke, Bu? Ibu benarkan kitorang bela ke?" Suara Amni teruja.

"Bela tu tak la, tapi sementara dia kecik dan mak dia entah mana, kita jaga dulu, kesian dia tak tahu cari makan sendiri lagi.". Jawab saya.  Dalam hati saya rasakan Allah telah beritahu saya tentang keadaan anak kucing itu, kalau saya tidak selamatkan dan kemudian terjadi apa-apa, kejam sangatlah saya ni.  Jadi pertimbangan saya, kesian pulak anak kucing ni, jagalah sekejap nanti lepaskan bila dia sudah besar sikit.

Zaid dan Amni bergegas keluar menyelamatkan anak kucing tu. Mereka nampak teruja dan seronok.

Sampai di rumah, Amni mandikan dan berikan susu.

"Bu, tengok Bu!  Comel kan! Dah mandikan dah."

Pertama kali nampak muka anak kucing tu...comelnya!  Hati saya tiba-tiba jadi sangat lembut dan dalam diam saya akhirnya mengizinkan anak-anak saya membelanya.  Tak payah susah-susah mereka memujuk, saya sendiri yang terbuka hati.


Hujung minggu tersebut, saya bawa anak-anak ke kedai haiwan. Untuk pertama kali dalam hidup saya, saya teruja membeli barang-barang keperluan kucing. Saya pulak yang sibuk memilih.

Hampir seminggu juga Amni cuba mencari nama yang sesuai. Anak kucing tu jantan dan dia mahukan nama yang comel.  Akhirnya, Amni memilih Mochi, sebab bulunya putih macam Mochi (Mochi ialah sejenis kuih Jepun).

Nak dijadikan cerita, Mochi manja pulak dengan saya.  Saya di dapur dia akan duduk diam di bawah meja memandang saya, menunggu saya masak.  Bila saya menjemur kain, dia duduk di tepi pagar, juga setia menunggu saya.  Pandangan matanya yang saya tak tahan...


Bila setiap hari begitu, saya mula bercakap-cakap dengan Mochi, mengusiknya dan bermain dengannya.  Saya boleh duduk menunggunya makan sampai habis, boleh pulak hati menjadi tenang bila tengok dia makan. Dialah peneman bila saya keseorangan di rumah.

Dan sekarang, saya pulak yang lebih-lebih sayangkan Mochi.  Bila dia tidur, semua orang kena bercakap perlahan supaya Mochi tak terbangun.  Anak-anak saya pun pelik.  Tapi itulah.... Bila hati dah jatuh sayang...nak terangkan mengapa, kenapa dan bagaimana memang susah.  Perasaan itu datang dengan tiba-tiba.  Rasa seronok sangat!


Mochi pulak?  Dia semakin besar dan semakin manja.  Apa tidaknya, semua orang manjakan dia...playful dan pandai ambil hati.  Macamana tak sayang?

For me personally, he is my second son...that I'll never have...

Itulah orang kata, jangan benci sangat, nanti jadi suka.  Bila dah suka, jadi suka sangat! Padanlah muka saya...but I like!

(Kucing adalah binatang kesayangan Rasulullah, dan saya bersyukur akhirnya saya boleh sayangkan kucing juga...)

4 comments:

rezeki said...

salam

cerita pasal kucing , kami memang lama hampir 20 tahun dah bela kucing hingga paling banyak masa tu hampir 18 ekor dari hanya memula dulu sekor je. Sekarang ni tinggal 2 ekor je kat rumah manakala 2 ekor lagi anak yg sulung tu bawak tinggal dengannya kat KL

Satu persatu kucing kesayangan saya pergi tak kembali (meninggal dunia) seiring dengan usia mereka dan rasa sedih juga kerana telatah mereka yang sentiasa menghiburkan

atuk said...

Assalamualaikum Asnija

saya tak berupa suka kucing
begitu juga isteri dan anak2
tapi rumah mertua...banyak kucing
bila balik ke kampung
isteri dan anak2 selalu menjerit2
bila kucing menerkam mereka...

Asnija said...

Salam Rezeki,
Lagi banyak membela kucing... Padanlah Allah murahkan rezeki. 18 ekor tu memang menuntut kesabaran dan komitmen.

Asnija said...

Salam Atuk,
Kalau dah takut kucing memang trauma. Kucing pulak jenis peramah.. Memang nak dtg dekat ke.