Friday, August 21, 2009

Payung Syurga (3)

Baru saya tahu mengapa Kak Zah beriya-iya ingin berjumpa saya. Dia membawa hajat besar rupanya. Kak Zah mengunjukkan kad jemputan walimatul urus Abang Mat kepada saya. Saya sudah tidak boleh bercakap walau sepatah. Ketika itu, saya sangat mengkagumi semua sifat-sifat yang Kak Zah miliki, sebagai wanita, sebagai isteri, sebagai ibu. Saya ingin mempunyai semua sifat-sifat tersebut, walaupun tidak lansung bersedia melalui apa yang dilaluinya.

Kalau saya mahu mempunyai sabar, saya mahu sabar seperti Kak Zah. Kalau saya mahu tabah, saya mahu setabahnya. Kalau saya mahu kuat, saya mahu sekuatnya. Kalau saya mahukan kelembutan, saya mahu selembut Kak Zah…. Selama ini, sikitpun yang saya buat untuk suami, saya berkira…saya menuntut pahalanya….bagaikan sudah baik sangat… Terngiang-ngiang kata-kata Kak Zah…kita ni kalau tak ikhlas kita tahu sendiri,tapi bila kita ikhlas, hanya Allah yang tahu….

Seminggu selepas itu, walimatul urus Abang Mat berlansung juga. Keluarga Kak Zah, keluarga Abang Mat semuanya ada. Kami sahabat-sahabat Kak Zah memikul 3 tugas yang amat mencabar. Satu, bersabar dan mengawal perasaan sebagaimana sabarnya Kak Zah. Dua, bergembira meraikan majlis Abang Mat, dan yang paling susah ialah dengan ikhlasnya bergembira, bukan bermuka-muka. Tiga, kami membawa suami masing-masing, itu lebih mencabar. Mencabarnya sebab bimbang selepas ini, suami-suami ini menjadikan cerita Abang Mat sebagai ‘case study’, apatah lagi ‘success stories’.

Kehidupan Kak Zah tidak ada bezanya selepas bermadu. Dia ceria, Abang Mat pun ceria. Abang Mat tidak pernah membawa isteri mudanya ke perjumpaan-perjumpaan kami. Cuma pernah sekali kami melihat keharmonian mereka ketika kenduri kesyukuran kejayaan anak sulung Kak Zah dan Abang Mat. Anak-anak Kak Zah lembut memanggil ibu muda mereka “Mami” . Siti juga pandai membawa diri. Kami melihat kemesraan Kak Zah dan Siti sangat tulus. Siti membahasakan Kak Zah “Mama” sebagaimana anak-anak Kak Zah memanggilnya.

Setahun selepas itu, Abang Mat disahkan mengidap kanser. Kesihatan Abang Mat merosot dengan cepat selepas mendapat tahu penyakitnya sudah di tahap 4. Sepanjang sakit, Abang Mat memilih untuk tinggal di rumah Kak Zah. Kak Zah yang berulang alik membawanya ke hospital untuk rawatan. Siti berulang alik membantu Kak Zah, dan mereka berganti-ganti mengambil cuti untuk menjaga Abang Mat. Tetapi Abang Mat lebih memilih Kak Zah yang mengurutnya, menyuapkannya dan memandikannya. Pernah sekali Abang Mat meminta Siti memanggilkan Kak Zah yang sedang sibuk di dapur untuk membantunya mengambil wudhu’ untuk solat. Siti menawarkan diri, tetapi Abang Mat menyuruhnya berehat. Kami lihat, Kak Zah melayan Abang Mat sebagai sahabat sejiwa, Siti melayannya sebagai suami.

Selepas 4 bulan menderita, Abang Mat meninggal di pangkuan Kak Zah. Kak Zah yang menjadi kayu sokongan buat Siti, malahan anak-anaknya. Siti bagaikan hilang arah dan Kak Zah yang membangunkannya dari rebah. Mereka berdua menjadi rakan karib. Disebabkan perbezaan umur, dan kebiasaan Siti memanggil Kak Zah “Mama”, mereka menjadi sangat rapat berdua. Jika bershopping, pasti orang menyangka mereka anak dan ibu. Pernah sekali dia mengusik Siti, “Awak ni muda lagi, Mama carikan penggantilah…biar senang ada orang jaga…”

Saya pernah bertanya Kak Zah perasaannya yang sebenar hidup bermadu. Tiadakah lansung rasa cemburu. Kak Zah bercerita, “Mengarutlah kalau tak ada rasa cemburu. Adakalanya bila Abang Mat kat rumah Siti, terasa sangat sunyinya. Mata terkebil-kebil tak boleh tidur. Masa tu, syaitan pun masuk mencucuk hati, menanam rasa buruk sangka, menanam rasa cemburu. Kalau dilayan, sampai boleh rasa sesak jiwa dibuatnya. Pernah sekali akak melayan rasa sampai ke pagi, menangis kesiankan diri sendiri…”

“Bila susah sangat nak tidur, Kak Zah sampai kena solat hajat banyak-banyak, baca Yassin berulang kali untuk menenangkan hati. Tapi bila fikir-fikir balik, sejak bermadu, Kak Zah jadi biasa bangun malam bertahajud, lebih banyak baca Quran dan lebih banyak berdoa. Baru terasa nikmat solat bila kita merayu-rayu pada Allah…”

“Pelikkan, cara Allah nak kan kita dekat pada Dia…” Kata Kak Zah lagi.

“Kak Zah rasa nasib baik Kak Zah beri Abang Mat kawin lagi, manalah kita tahu panjang ke pendek umur kita ni….kalau tak, rasanya terkilan hati Kak Zah ni tak dapat berikan satu perkara yang Abang Mat nak kan sangat….” Petang itu saya biarkan Kak Zah yang banyak bercakap. Saya hanya mendengar.

“Cuma Kak Zah rasa bersalah pulak…”

“Bersalah kenapa, Kak Zah?” Soal saya kehairanan.

“Yalah…Kak Zah minta sangat nak jaga Abang Mat bila sakit, lansung Allah beri betul pada Kak Zah… Kak Zah taklah berniat sakit macam tu. Maksud Kak Zah macam pening demam sikit-sikit… “ Kak Zah melepaskan keluhan yang panjang dan mendalam.

“Allah tu Maha Adil yang kita tak jangkakan….Abang Mat dapat apa yang dia inginkan, Kak Zah pun dapat apa yang Kak Zah hajat…” Pujuk saya pada Kak Zah.

“Tu yang Kak Zah rasa guilty sangat tu…Kak Zah tak minta Abang Mat sakit macam tu…” Pandangannya jauh dilemparkan ke tengah-tengah tasik. Kak Zah diam agak lama, entah apa yang difikirkan.

“Kesian Siti….” Tiba-tiba dia bersuara balik.

“Kesian Siti?” Soal saya semula.

“Dia tak pernah merasa sunyi…at least akak ada anak-anak, dia tu sorang je…” Saya memandang Kak Zah. Rasa hormat, rasa bangga mempunyai sahabat seperti dia.

“Kak Zah ni buatkan saya rasa nak mencontohi akak lah…bermadupun boleh jadi manis ye Kak…” Habis kata-kata saya itu, Kak Zah berpusing memandang saya. Saya dipeluknya dengan erat. Kak Zah menepuk-nepuk bahu saya dengan pandangan yang sangat dalam dan bermakna.

“Jangan, Along….. Jangan dimintak….”

11 comments:

Anonymous said...

Salam akak..

memang hebat kak zah...kehebatan seorang wanita...segala2nya ketentuan Allah
kak As & kak Mas...semoga Allah memberi kekuatan & ketabahan seorang wanita seperti kak zah ini...moga kita dijauhkan drpd perkongsian hidup seorang isteri seperti kak zah.......akak, kak zah tu dok mana?

huhuhu...kak mas kenyit mata kat hanis... ;-)

Asnija said...

Hanis, kenapa ye kak mas dok kenyit mata kat hanis?

kak zah dok kat N9... (menjerit-jerit dia baca cerita dia yang akak dah public kan, macam jugak H menjerit-jerit bila cerita nye akak buat entry Syurga Cinta...marah dia kejap je tu...memang tak minta kebenaran pun...)

CM said...

"jangan along..jangan dimintak..."
membawa sejuta pengertian kak as...bagiku lelaki yg berteriak dia boleh adil,takkan berlaku adil,adil milik allah..

hanis!!!1bukan kenyit mata jer...senyuuuuuuuum kambing lagi......

Anonymous said...

Kak as...kak zah dok n9...emmm sekampung kami nampak gayanya...akak...raya nanti kalau akak p umah kak zah, boleh laaa akak mai umah ibu hanis sekali kat seremban...akak sampaikan salan hanis pada kak zah naaa..ingin sekali hanis mengenali seorang wanita yg hebat ini...jika hanis nie seorang wartawan...pasti hanis dah p menemuramah kak zah....

kak mas....hanis gelak terus laaah...hahaha...

Anonymous said...

kak as...alaaaa..hanis pon tak tengok syurga cinta tu...huhuhu...aritu mmg teringin sgt nak p tengok cerita tu...tp takda kawan nak p tengok....kita tunggu dvd je laa ye kak...kot dak tunggu bila kuar kat tv aje...huhuhuh...mane tau kot2 raya nanti kuar lak kan ;-)

Asnija said...

cerita mai sini, awat main isyarat kenyit mata korang berdua ni?

korang dah bangun masak sahur ka? akak ni baru siap masak, esok tak posa, anak-anak ngan hubby je posa..malas nak tidur dah, tunggu sahur terus...

Imran Paris said...

Asnija....terkedu saya baca kisah payung syurga (1,2,3) Allah maha hebat percayalah. If he bring us to it, he bring us thru it. Percayalah, yakinlah dengan sepenuh2 keyakinana. Walau saya nampak (tak mestinya betul) mcm susah org yg berpoligami tak saya tetap sokong jika betul niat dan CARAnya (ni yg penting ni) Pernah ada org gurau..."then why not u kawin 1 lagi"..."takut bini ke"..."tak mampu ke" dll....saya senyum je. Bag sy - bini bukanlah utk kita takutkan...kemampuan bukan bukan ukuran, happy marriage is NOT AT ALL about dollars and cents...right?

Pendirian saya sedikit berbeza...kalau laman yg sedia ada pun tak mampu nak di jaga...tak mampu dipimpin utk ke syurga...mcm mana nak tambah tanggungjawab...fikir2kanlah. Bila sy bercakap laman, ini adalah perumpamaan utk ibubapa, isteri dan anak2 si suami. Saya rasa all SANE :)man akan berfikiran spt saya. Asnija jgn risau....ur hubby knows of his own ability...jgn pikir yg bukan2.

Kak Zah dan Abg Mat dipertemukan dgn Asnija utk Nija berkongsi cite ini dgn kami, kagum dgn arwah dan Kak Zah...dan juga Siti...ingat senang ke nak hidup bila kita ni jd no2...fikir2kanlah. Keuda2nya (Kak Zah dan Siti) cukup HEBAT...payah ditandingi. Saya turut kagum dgn kecekalan anak2, kawan2, adik beradik semua pihak dlm mengamankan hubungan keluarga arwah, K. Zah dan Siti...semua tu ada balasannya, insyaAllah.

Alamak terpjglah pulak....my two cents

Asnija said...
This comment has been removed by the author.
Asnija said...

Best nye baca komen Che Imran...bukan senang nak dengar pendapat org lelaki sendiri berkenaan poligami...alhamdulillah, so far saya dikelilingi poligami yang manis-manis...datuk saya belah emak juga beristeri dua...aman damai, respect giler saya kat nenek-nenek saya...nenek tua akhirnya meninggal dipangkuan nenek muda...nenek muda yang jaga dia sakit. Saya berfikiran positif tentang poligami ni...if he deserve it...he deserve it...tentu ada hikmahnya. But, I think, bermadu ni peritnya melawan ego sendiri...

Menyayangi pasangan kerana Allah...berat tu Che Imran.... jangan menuntut, jangan mengungkit...itu lagi susah...tapi itu azam saya di Jabal Rahmah...For my hubby, since then,...benchmark dia kat saya tinggi...K.Zah le benchmark nyer..aduhai...tak tercapai den...trying...trying...

aznaz said...

salam Datin Nija..

aduhhh teringin sya ingin mencari calon isteri seperti kak zah tuh....insyalah...


waslam

ain ismail said...

Melawan ego adalah satu perkara yg amat susah....
Kak Zah seorang yg hebat....kirim salam saya pada Kak Zah....