Minggu ini merupakan minggu ujian bulanan buat Amni, tetapi, hakikatnya minggu ujian buat saya juga. Sewaktu peperiksaan pertengahan tahun, saya tidak ada untuk membimbingnya kerana mengerjakan umrah (baca tentang umrah dan amni). Keputusan Amni waktu itu memang baik tetapi mungkin persaingan yang hebat, hilang beberapa markah pun menjadikannya turun dari segi kedudukan jauh ke belakang. Jadi untuk ujian kali ni, Amni bersungguh-sungguh mahu saya mengajarnya.
Sebelum sesi 'tusyen' bermula, saya mengingatkannya 3 perkara:
1. Apa yang dipelajari mesti diingat - JANGAN LUPA.
2. Kalau sudah mencuba yang terbaik, maka itulah hasil yang terbaik. Markah yang tinggi adalah bonus. Jangan cepat sedih.
3. Jika salah kerana soalan tersebut susah, tidak mengapa, yang penting ialah kita belajar sesuatu dari soalan tersebut. TAPI JANGAN SEBAB CUAI!
Nisha yang duduk berhadapan saya di meja makan menyampuk selepas saya menyebut cuai, "Itu ibu punya pantang!".
"Haa...tahu tak pe...", saya mengusiknya pula. Dia tahu benar, saya cukup pantang kesilapan kerana cuai.
Sepanjang Hari Ahad saya membantu Amni mengulangkaji BM, subjek yang cukup mencabar. Dari Kata Nama ke Kata Kerja, Kata Gantinama Pertama, Kedua dan Ketiga, dari Simpulan Bahasa ke Pepatah, dan akhirnya ke Penjodoh Bilangan, Antonim dan Sinonim. Ada ketikanya sesi pembelajaran jadi sesi lawak jenaka. Budak Darjah Satu, hampir semua benda merupakan perkara baru. Kami berlakon di dunia raja-raja dan tuan puteri, barulah dia faham kegunaan beta, baginda, patik, tuanku dan hamba. Habis Ensiklopedia saya punggah, untuk menunjukkan yang mana terung, yang mana buncis, yang mana kangkung dan beza antara bayam dan sawi (lepas ni memang kena bawa ke pasar...).
Paling mencabar dalam bahagian penjodoh bilangan. Terkebil-kebil mata Amni cuba membezakan maksud ikat, cekak, buku, gugus, ulas, sikat, sisir, potong, keping, ketul, buah. Akhir sekali, tibalah sesi latih tubi. Banyak juga set soalan yang kami sempat buat. Sambil merujuk kepada satu soalan, Amni merungut bertanya saya mengapa jawapannya salah. Soalannya berbunyi:
Bapa membeli beberapa ______ durian di pasar.
Jawapan Amni ulas. Saya katakan salah. Jawapan yang sesuai ialah biji. Kemudian saya beritahu alasan dan logik, kebiasaannya orang akan beli durian mengikut biji, bukan ulas.
Dia mempertahankan jawapannya. Mukanya serius.
"Tapi abah selalu abah beli yang kat peket tu ada ulas-ulas saje...."
Saya tergelak. Nisha lebih tergelak besar. Suami saya tidak suka makan durian, apatah lagi mengopek durian. Tetapi saya dan anak-anak sukakan durian yang teramat sangat. Setiap kali Amni dan Nisha minta durian, suami pasti akan belikan yang sudah dipeket. Memang suami tidak pernah membeli durian "yang sebenar". Jadi pengalaman Amni sememangnya:
Bapa membeli beberapa ULAS durian di pasar....
(Sememangnya budak-budak belajar banyak dari pengalaman...tersilap pengalaman, tersilaplah punca rujukannya!)
No comments:
Post a Comment