
“Adakalanya, saya tak beri lansung, sebab apalah yang boleh diorang beli dengan sebanyak tu…” Kata Z pula.
“Bukan tak nak beri, Kak. Tapi kitorang ni pun banyak sangat komitmennya. Bila dah bayar itu ini, adakalanya memang tak ada lebih lansung.” Sampuk J.
“Teringin sangat nak beri lebih, tapi memang tak de, Kak!” Tokok Z pula.
“Budak-budak sekarang, kalau dalam sampul tu cuma RM1, mesti muka diorang pun jadi semacam.” Kata J lagi. Kami bertiga ketawa, bersetuju dengan apa yang J katakan.
“Bulan-bulan ada beri emak dan abah tak?” Soal saya pada J dan Z.
“Tengoklah keadaan. Kalau ada lebih saya beri, kalau tak, saya tak beri.” Jawab Z sambil diiyakan oleh J.
“Tak boleh lah macam tu…” Jawab saya perlahan.
“Akak boleh la cakap macam tu, akak banyak duit…” Usik Z sambil mencuit bahu J. Saya lihat J senyum-senyum penuh makna.
“Akak rasa kan… beri mereka duit, bukan sebab kita dah banyak duit….” Jawab saya.
“Kita beri mereka duit sebab itu tanggungjawab kita pada ibu dan bapa, untuk menggembirakan mereka dan sebagai penghargaan….yang kita ni prihatin dan sebagai tanda mata… Berilah berapa yang kita mampu. Kalau ada RM1, berilah RM1.” Habis saja ayat saya ini, J dan Z ketawa mengekek-ngekek.
“RM1 kak? Habislah kena ketawa dengan diorang.” Jawab Z sambil menepuk-nepuk dahinya.
“Buat beli kertas tisu pun tak lepas….” Tambah J. Gelak besar dia sampai terbatuk-batuk.
“Cakap lah macam ni… Mak, minta maaf sangat-sangat ye mak. Ini sajalah yang saya mampu beri pada emak bulan ni. Emak doakan lah saya murah rezeki, supaya bulan depan saya boleh beri lebih. Saya harap mak sudi menerimanya.” Saya mengurut-ngurut tangan J, sambil melakonkan dialog tadi. J dan Z masih terus gelak mengekek-ngekek.
“Cakap dengan penuh keikhlasan untuk memberi, lembut penuh rasa kasih pada mereka.” Tambah saya lagi.
“Silap haribulan, emak kita hulur pulak RM10 kat kita…La kesiannya anak emak ni, nah mak kasi RM10….” Sambung saya berseloroh. Ketawa J dan Z semakin berdekah-dekah.
“Pandai taktik akak ni…” Kata J di antara hilai tawanya. Mata Z sudah berair-air gelihati.
“Tak…serius ni…berilah berapa yang ada, tapi mesti beri setiap bulan. Tolak duit nak beri emak dan abah dulu dari duit gaji kita, bakinya baru uruskan perbelanjaan kita yang lain. Jangan bayar perbelanjaan dulu, bakinya baru nak bagi kat emak. Macam tu, memang lah tak pernah berbaki. Biarlah mula-mula orang mencebik…tapi itu bukan isu kita…manalah kita boleh tutup mulut orang. Yang Allah tanya nanti ialah tentang banyak mana khidmat kita pada ibu dan bapa. Usahlah berkira-kira, insya-Allah, kalau kita ikhlas untuk meringankan ibu dan bapa, nanti Allah akan meringankan urusan kita.” Panjang lebar saya berkhutbah.
“Kita beri bukan sebab kita dah kaya…nak berkongsi ilmupun Nabi cakap kongsilah walau satu ayat. Jadi, berilah walaupun RM1. Nilai tu soal kedua, yang utama niat di hati. Bila kita hanya mampu beri sedikit, baru terasa hati nak berdoa…Ya Allah, berilah aku rezeki yang lebih, supaya aku boleh beri lebih…”
“Dengan sesiapa pun….jangan berkira….jangan mengungkit….jangan menuntut… Beri saja RM1 tu pada emak, peluk dia, cium dia, minta maaf kerana itulah yang kita mampu. Cakap dengan ikhlas dari hati ke hati…seorang ibu memahami naluri anaknya….dia pasti akan mendoakan kita. Bila kita mendapat belas ehsan dari ibu, nanti Allah berikan ehsan dia pada kita, insya-Allah…” Saya lihat J dan Z mengangguk-angguk.
“Bila beri sedikit, beri dengan perasan seronok dan puas. Tak perlulah rasa rendah diri dengan pemberian yang kecil. Jangan pulak menuntut balasan dari Allah, sebab apa yang kita buat masih sangat kecil berbanding dosa yang kita dah lakukan….” Tambah saya lagi.
J dan Z sudah berhenti ketawa. Mereka diam mendengar kakak yang seorang ni berkhutbah. Saya juga pernah susah…. Dan sangat memahami konflik yang mereka rasai…..konflik nak beri vs. tak cukup duit….
Saya teringat…menyalam emak dengan linangan airmata, kerana duit yang dihulur hanyalah RM5. Itulah yang ada. Emak memberi balik duit itu kapada saya, juga dengan linangan airmata.
“Takpe Long, takpe Long, buat anak-anak je duit ni…” Kata emak memeluk saya.
“Mak, terimalah mak, saya ikhlas. Doakanlah saya murah rezeki…supaya boleh beri lebih nanti…” Saya memberi semula duit itu pada emak. Dan, emak mengambilnya. Tapi bila dia datang bertandang ke rumah saya, dia akan menggantinya dengan bermacam buah tangan. Dan paling memeranjatkan, duit itu dikumpulnya, dan satu hari datang ke rumah flat sewaan saya dengan TV Sanyo 14 inci….hadiah itu masih lagi ada hingga sekarang … mungkin kesian dengan cucu yang ingin menonton TV. Maklumlah, ketika itu, saya hanya mampu membeli TV dari kawan dengan harga RM50, kena ketuk berkali-kali baru keluar gambar…. …
Sekarang, alhamdulillah, saya tak perlu bertolak-tolak dengan emak bila menghulurkan duit untuknya. Saya boleh memberi dengan tersenyum, dan emak juga abah boleh menerimanya…juga dengan tersenyum.
Hari Raya ini…jadikanlah sebagai satu titik tolak untuk memberi. Usahakanlah agar pemberian itu menjadi suatu amalan…berilah seadanya….jangan tunggu kaya!