Friday, December 23, 2011

Result (Part 2).

Bila berjaya, airmata juga boleh menitis.  Ianya menitis kegembiraan.  Apabila gagal mendapat kejayaan yang amat diharapkan, airmata juga lebih mudah menitis.  Ianya menitis kesedihan.

Nisha amat terkesan dan sedih bila sahabat karibnya tidak sama-sama memperolehi 8A. Sahabatnya beroleh 7A 1B.   Ianya bukanlah satu kegagalan, tetapi ianya dirasakan bagaikan satu kegagalan maha hebat.  Rasa hampa yang memuncak menjadikan airmata tidak dapat ditahan.  Frust, kecewa...bila apa yang diharapkan gagal dicapai.  Rasa kecil....melihat rakan-rakan riang dipanggil guru seorang demi seorang kerana memperolehi 8A, sedangkan nama sendiri tidak didalam senarai.
Nisha rasa bersalah untuk melepaskan rasa gembira yang maksimum ketika menerima keputusannya, bimbang hati sahabatnya semakin sedih.  Dia juga tidak tahu bagaimana untuk mendekatinya, kerana tidak tahu apa yang terbaik untuk diucapkan.  Akhirnya Nisha hanya melompat gembira di rumah.  (Oh ya, saya sudah mengingatkannya untuk sujud syukur, jadi saya biarkan dia melompat-lompat melepaskan perasaan.)
7A 1B merupakan keputusan hebat.  Tapi hati Aliya tetap sedih rasa kekurangan.  Apatah lagi melihat ada rakan-rakan lain yang selama ini hanya “cukup-cukup makan”, tetapi boleh pula mendapat 8A.  Hati mana yang tidak terkilan?  Hati mana yang tidak sedih.  Pasti mudah mempersoalkan takdir.  Dia sudah berusaha bersungguh-sungguh, sudah berdoa dan rajin solat hajat, budi bahasa baik bersopan santun.  Mungkin hatinya rasa penat, susahnya nak dapat... Kenapa Allah tak beri?  Soalan-soalan ini mungkin menyesakkan fikiran, menambah kesedihan dan kemurungan.

Saya ingin membantunya melalui kesedihan ini.  Nisha ingin memujuknya tapi tidak tahu  bagimana.  Jadi, saya tolong mengarangkan ayat-ayat SMS untuk Nisha kirimkan kepada sahabatnya itu.  Ianya luahan dari hati saya seorang ibu dan ketulusan rasa seorang kawan.  Saya faham benar kesedihan tersebut, bagaikan dia anak sendiri.  Mereka berdua rapat dari sekolah rendah lagi, dan dia juga dekat di hati saya.  Saya sendiri rasa amat belas dan bersimpati.    Saya tidak mahu dia bermurung dan bersedih berhari-hari.  Paling utama, saya tidak mahu dia melihat ini sebagai satu hukuman.   Saya mahu dia terus melihat masa depannya dengan positif, dan bersangka baik pada Allah.
Bagi saya, semua usaha dan kesungguhan perlu diberikan pujian dan penghargaan.  7A 1B juga satu pencapaian dan kejayaan.  Malahan, jika sekadar lulus PMR juga satu bentuk pencapaian.  Semua ini layak dihargai dan diraikan.  Saya ingin mengubah persepsi biasa.

Jadi petang itu, saya memberikan satu cadangan kepada Nisha.  Saya harap ini dapat menghiburkan hati Aliya.  Saya mahu dia menerima bahawa 7A adalah suatu pencapaian hebat, tiada kekurangannya.

Duhai sahabat,
Janganlah bersedih.

7A adalah satu anugerah Allah, semoga ia menjadi api yang terus membakar semangat untuk berjaya, mekar seperti 7 kuntum mawar yang merah.
Mungkin 1B itu ada banyak hikmahnya, seperti sekuntum mawar putih yang suci dan bersih.
Tahniah atas semua usaha yang gigih dalam mengejar kejayaan.  Semoga kita sama-sama terus mengejar straight A di SPM nanti.






Pengajaran buat Nisha:
  1. Berusaha hiburkan hati rakan yang sedih.  Semoga Allah pula akan hiburkan hati kita bila kita bersedih.
  2. Kejayaan merupakan satu rezeki.  Hanya Allah yang akan putuskan untuk beri kepada siapa yang dikehendakinya.
  3. Nasib kita tidak pernah berada dalam tangan kita.  Apa yang dalam tangan kita hanyalah usaha kita.
  4. Allah beri hanya dengan izinnya, dan tak beri juga dengan izinnya.
  5. Syukuri apa yang kita terima kerana tidak semua orang boleh memilikinya.

Realiti kejayaan dalam hidup:

UPSR 5A, tapi jika PMR tak score maka UPSR 5A sudah tidak relevan.
PMR 8A, tapi jika SPM tak score maka PMR 8A sudah tidak relevan.
SPM 9A, tapi jika di university tak score maka SPM 9A sudah tidak relevan.
Di university score (malahan Dean’s List) tapi kalau tak dapat cari kerja maka score di university sudah tidak relevan.
Jika sudah dapat kerja tapi tidak mempunyai sikap kerja yang baik, pengalaman tidak berkembang, kemahiran tidak dibangunkan, maka sekadar makan gaji saja sudah tidak relevan.
Atas semua kejayaan di dunia, jika gagal di akhirat, maka semua kejayaan dunia langsung tidak relevan.

Jadi apa yang penting sebenarnya?
  1. Yang penting, atas semua kejayaan itu ialah keupayaan menggunakan kejayaan akademik untuk menyumbang dan berkhidmat, menyempurnakan peranan kita sebagai khalifah di muka bumi.
  2. Pandai akademik tapi tak tahu bagaimana untuk berkhidmat kepada ibubapa – apalah gunanya?
  3. Pandai matematik tapi tak tahu bagaimana untuk membantu rakan-rakan yang lain menyelesaikan masalah matematik – apalah gunanya?  Lebih tak guna bila kedekut ilmu.
  4. Pandai akademik tapi cetek fikiran dalam konteks kelansungan hidup – apalah gunanya? 
  5. Pandai akademik tapi fikiran sempit ditutup keegoan dan kesombongan diri – apalah gunanya? 
  6. Pandai akademik tapi tidak boleh membezakan yang halal dan haram – apalah gunanya?
  7. Pandai akademik tapi tak boleh memimpin - apalah gunanya?

Kejayaan akademik hanya sebahagian kecil dari banyak lagi kejayaan-kejayaan yang lain.  Tidak memperolehi 8A tidak bererti hidup sudah tiada ertinya lagi.  Kerana bukan itu misi hidup anak-anak kita.
Bila mereka sudah berusaha sedaya upaya...itu sudah satu kejayaan!











Bunga dan Ferrero Roche? Memang lebih RM50...
Kawan yang boleh tersenyum semula.....priceless!






Thursday, December 22, 2011

Result (Part 1).

Setelah 2 bulan menunggu, akhirnya yang ditunggu menjengah tiba.    Entah kenapa, saya tidak berdebar.  Saya tenang-tenang saja.  Saya mengharapkan kejayaan cemerlang, tetapi saya juga mahu Nisha melihat semua ketentuan dengan pemikiran positif.  Saya tak mahu dia tertekan.  Yang penting dia telah berusaha, itu sudah satu kejayaan hebat dalam mendisiplinkan diri.

“Apapun keputusan yang Nisha dapat, for me, you are always the champion!”

“Result hanyalah satu bonus, tapi Nisha sudah berjaya dalam banyak perkara tentang life.”

Itu sekadar nasihat.

Kenapa saya tidak berdebar?  Kerana saya sudah boleh membuat telahan dan jangkaan.  Habis saja setiap subjek ketika PMR dulu, malamnya saya curi-curi memeriksa jawapan.  Ianya lebih untuk menenangkan hati sendiri.  Cuma jauh dalam hati, saya mengakui, hanya satu keajaiban yang akan memberikan Nisha keputusan yang lari dari jangkaan saya.  Itulah kuasa Allah...semuanya boleh berlaku melangkaui logik.  Saya tahu dia boleh dapat 8A, tetapi saya juga amat bersedia jika bukan itu yang Allah rezekikan.  Doa saya panjang, tapi hati saya berserah dan mengharap...ianya hanya akan berlaku dengan izin Allah.

Malam tadi saya bersembang panjang dengan Nisha...hingga dua pagi.  Menyiapkan Nisha dengan kekuatan mental untuk menghadapi semua kemungkinan.  Kemudian kami sama-sama sujud berdoa, namun saya masih boleh mengusiknya, “It’s too late for this, result tu dahpun dicetak...”  Kamipun sama-sama tergelak.

Pagi tadi, ayahnya yang menghantar.  Saya tidak ikut kerana merancang untuk membuat satu kejutan, “Maaflah, ibu ada meeting...”  Itu hanya sekadar alasan.

Tepat 10.00 pagi, 3 SMS saya hantar ke nombor 15888.  Namun hingga 11.00 pagi tidak menerima satupun jawapan.  Dalam sibuk bermesyuarat, akhirnya saya menerima SMS jawapan.

“Alahamdulillah...”  Secara automatik terpacul perkataan tersebut dari mulut saya, agak kuat hingga rakan tertanya-tanya.  Saya cuba menghubungi Nisha tapi tidak berjawab.  Saya ingin mengirim SMS tahniah, tapi saya juga tak mahu merosakkan rasa suspen yang sedang dirasainya.  Dia tentu sedang gementar dan teruja, dan saya tidak mahu merosakkan keterujaan itu.  Memandangkan dia tidak menghubungi saya lagi, bermakna dia belum menerima keputusan di sekolah.  Wah, saya telah menerimanya lebih awal.

Saya terus bergegas ke sekolahnya.  Dalam perjalanan saya cuba menelefon Nisha sekali lagi, dan masih tidak berjawab.  Setengah jam kemudian baru dia menghubungi saya.  Nada suaranya ceria dan meminta saya meneka keputusannya.  Mestilah saya dapat meneka dengan tepat sebab saya sudah tahu lebih awal.


Saya menunggunya di depan sekolah dengan sejambak bunga – 8 kuntum ros pink, satu kuntum untuk setiap A.  Ianya sekadar kejutan mudah.  Nampak saja dia keluar dari pintu pagar, saya menghampirinya, memeluknya, mencium dahinya, “Congratulations!”  Dia jelas terperanjat dengan bunga yang diterimanya, tapi saya tahu dia suka.

Harga bunga? (boleh tahan mahalnya).

Kegembiraan anak? Priceless...

Monday, December 19, 2011

Maklumat di hujung jari...

Kali ini saya ingin berkongsi 2 kemudahan yang anda boleh perolehi di hujung jari.
  1. Bagaimana untuk anda download Borang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).
  2. Bagaimana untuk anda semak keputusan peperiksaan anak anda.

Bantuan Rakyat 1 Malaysia:

Mungkin ramai yang sekarang ini memerlukan borang Bantuan Rakyat 1 Malaysia.  Saya dapat tahu ada juga pihak yang menjualnya.  Mungkin di luar sana ramai yang memerlukan, dan mungkin ini peluang untuk kita turut membantu.  Jika RM500 ini boleh membantu mereka yang sedang kesusahan dan sebatang kara, apa salahnya kita tolong meringankan.  Semoga duit ini menjadi rezeki yang berkat buat mereka.

Sayapun sudah mengingatkan emak dan abah di kampung, supaya menyampaikan maklumat ini kepada semua ibu-ibu tunggal, makcik dan pakcik, saudara-mara, fakir miskin dan mereka yang layak.  Besar jumlahnya RM500 ni, dan satu bentuk penyelesaian kepada mereka yang sedang terdesak.  Manalah tahu duit ini merupakan satu permulaan kepada usaha mereka memperbaiki taraf hidup.  Mungkin juga duit ini boleh dijadikan modal berniaga agar rezeki mereka boleh dipusing-pusingkan dan berpanjangan.  Nasihatkan mereka agar tidak melihat duit ini sekadar tunai semata-mata.   Jika itu yang dilihat, maka duit ini akan habis dengan sekelip mata.  Lihatlah duit ini sebagai batang kail yang akan digunakan untuk memancing ikan di masa hadapan...

Jika anda ada handphone (tak semestinya yang canggih...), anda boleh membantu.

Maklumat ini saya dapat dari program ICT dan Anda di Bernama Radio 24.  Terima kasih kepada Encik Azli Paat yang telah berkongsi maklumat ini.


Cara-cara untuk download Borang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)
Download menggunakan handphone anda: (tiada caj)
  1. Dail no. 01548111139
  2. Selepas itu satu pop-up window akan keluar di skrin handphone anda, mengandungi maklumat akaun ADAmail anda, password dan link ke BR1M.
  3. Tidak lama selepas itu anda juga akan menerima 2 SMS, satu daripadanya memberikan isi kandungan yang sama dengan apa yang tertera di pop-up window anda.  SMS yang satu lagi berkenaan maklumat ADAcode anda, saya terangkan di bawah "Bagaimana mengaktifkan ADAcode anda."
  4. Anda boleh download borang (BR1M) di link yang diberikan.
  5. Borang ini juga telah diemelkan ke akaun emel ADA. (Baca arahan di bawah bagaimana untuk mengaktifkan akaun emel ADA.
  6. Print borang ini, dan berikan kepada mereka yang memerlukan. (InsyaAllah, boleh juga kita membantu mereka).
  7. Kelayakan memohon juga terdapat dalam borang ini.
  8. Jikapun emak ayah kita tidak memerlukan duit ini, ambillah juga dan gunakan untuk berderma kepada yang lebih memerlukan, atau dermakan ke Tabung Palestine.

Bagaimana mengaktifkan akaun emel ADA:
  1. Pergi ke www.adamail.my
  2. Isikan username dan password seperti dalam SMS yang anda terima.
  3. Dalam akaun emel ini juga terdapat emel untuk anda download borang BR1M.
  4. Di bahagian atas kanan, klik Settings.
  5. Di muka Settings, klik Identities (di tab sebelah atas).
  6. Di muka Identities, klik alamat emel anda (di sebelah kiri).
  7. Edit profile anda (jika mahu).
  8. Anda boleh gunakan akaun emel ini untuk menerima dan menghantar emel sepertimana akaun emel Gmail atau Yahoo.

Bagaimana untuk menukar password akaun emel ADAmail anda?
Ikut langkah di bawah ini. Aktifkan ADACode anda terlebih dahulu.


Bagaimana untuk mengaktifkan ADACode anda:
  1. Pergi ke www.adacode.my
  2. Klik Members Log In.
  3. Di bahagian kotak Login, isikan ADAcode anda (semua nombor sebelum "@adamail.my".  Jika alamat emel anda ialah 12345@adamail.my, maka ADAcode anda ialah 12345.
  4. Isikan password sebagaimana dalam SMS yang anda terima tadi, kemudian klik Log In.
  5. Anda telah masuk ke akaun ADACode anda.
  6. Di sebelah kanan atas, klik PROFILE.
  7. Edit profile anda.
  8. Anda boleh tukar password anda di sini.  Password baru ini juga merupakan password baru untuk akaun emel ADAmail anda.

Apakah ADAcode?
  1. Pergi ke www.adacode.my
  2. Scroll page anda ke bahagian bawah, dan semua yang anda ingin tahu ada di sini.
  3. Untuk banyak maklumat tentang ICT, anda boleh dengar di Bernama Radio (93.9), setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula 7.30 pagi.
  4. Sebenarnya ada banyak kegunaan ADAcode ni, insya Allah nanti kita belajar sedikit demi sedikit.  Cara lebih mudah, anda boleh join Facebook AzliOnAir.  Banyak perbincangan tentang ICT dan anda boleh menambahkan pengetahuan anda tentang ICT di sini.


Tambahkan pengetahuan anda tentang ICT

Untuk mengetahui banyak maklumat tentang ICT, klik pautan berikut http://azlionair.dapat.com/




Semak keputusan peperiksaan anak-anak anda.
(Sekarang, anak anda tidak boleh berahsia lagi...)

Saya juga sangat suka pautan di bawah.  Sekarang, ibubapa boleh melihat keputusan peperiksaan anak-anak dengan mudah.  Semuanya di hujung jari. 

(Tips Berguna: Anda perlu tahu No. Kad Pengenalan anak anda dan anda juga perlu tahu anak anda di sekolah rendah atau sekolah menengah...he...heh...ada juga ibubapa yang terlupa...manalah tahu kan!)


Klik pautan di bawah:
http://saps.moe.gov.my/ibubapa/



Semoga maklumat-maklumat ini membantu. 
Selamat mencuba!

Wednesday, December 14, 2011

Positif

Semua perkara berlaku ada sebab dan musababnya.  Walau perkara baik atau buruk, pasti ada hikmah di sebaliknya.

Namun kita hanya berfikir tentang hikmah bila ditimpa perkara yang buruk, perkara yang tidak kita sukai, ataupun bila ditimpa musibah.  Kita menasihati mereka yang malang ini, “Sabarlah...pasti ada hikmah di sebaliknya...”  Bila diri sendiri dirundung malang, kita juga memujuk hati, “Sabar...sabar...pasti ada hikmah di sebaliknya...”

Gambar sekadar hiasan,
tiada kaitan dengan tajuk entri...
Tapi, bab makan memang sentiasa positif..
Duit di poket saja yang jadi negatif...

















Memang positif untuk berfikiran positif.  Kitapun mula mencari-cari hikmah, memikirkan semua perkara dari sisi yang berlainan.  Berdoa dan bergantung harap pada Allah agar diperlihatkan hikmah tersebut.  Kita menyimpan harapan menanti langit bertukar cerah.  Kerana, hikmah selalunya bererti 1001 kebaikan sedang menanti kita.

Tapi jarang sekali mencari hikmah dari perkara-perkara yang baik-baik.  Bila dikurniakan kebaikan, pernahkah kita menyabarkan diri sendiri, “Sabarlah dengan kenaikan pangkat ini...pasti ada hikmah di sebaliknya.”   Kita jarang untuk melihat nikmat dari sisi yang berlainan.  Entahkan nikmat itulah sebenarnya ujian.  Bila mendapat nikmat, kita akan mengucapkan, “Alhamdulillah...”.   Jarang kita ucapkan. "Sabar, pasti ada hikmah di sebaliknya.”   Perkara baik yang kita suka, kenapa pula kena sabar?  Jawapannya, bila suka, janganlah terlalu suka, kenalah bersabar dan bawa bertenang juga.

Jarang sekali kita terfikir untuk berkata-kata sedemikian.  Kurang teramat kita mempersoalkan mengapa Allah berikan semua kebaikan ini?  Mesti ada sebab musababnya...  Adakah kerana apa yang kita terima sudah bersifat positif, maka berfikiran positif tidak begitu terasa kepentingannya?

Lalu, saya mencabar diri untuk mencuba satu kelainan.  Ketika menerima tugasan di luar sangkaan, pertama saya mengucap syukur kerana menerimanya tanpa disangka-sangka.  Kedua, saya cuba mencari hikmah di sebaliknya, “Pasti ada sebab mengapa Allah berikan ini dengan tidak semena-mena, pasti ada hikmah di sebaliknya...”  Saya cuba berfikiran positif dari perkara yang positif.

Maka sayapun berfikir dari pagi hinggalah malam.  Merenung semua kemungkinan.  Melihat sekeliling.  Mencari hikmah merata-rata.  Mencari jawapan usai solat setiap waktu.

Dan satu pagi, dalam perbualan santai dengan anak-anak, saya disapa oleh hikmah tersebut...

Akhirnya saya ternampak mengapa Allah berikan nikmat ini....sebagaimana saya mulai faham mengapa Allah berikan cubaan dan dugaan hidup.

Perkara baik mahupun perkara buruk, memang positif jika kita berfikiran positif.  Bila fikiran sudah positif, tingkahlaku juga ikut positif, maka hasilnya jadi positif.

Lagipun...
Penat memikir benda-benda negatif...buang masa, buang tenaga.
Bila susah, sabar...pasti ada hikmah di sebaliknya!
Bila senang, pun kena sabar...pasti ada hikmah di sebaliknya!

Belajar-belajarlah menekan "PAUSE button."
Kan positif tu...



Kisah Pak Pandir:

Satu pagi sebelum ke kolej, Zaid memanipulasi saya, "Ada hikmahnya Zaid terhabis belanja duit Zaid.  Rupanya supaya pagi ni ibu dapat peluang sedekah duit kat anak..."  Saya piat telinga anak teruna 20 tahun ni, "Sebenarnya, kena piat telinga nilah hikmahnya..." 

Kosong.


















Cepat benar tahun 2011 ini berlalu.  Namun bila difikir-fikirkan semula, rasanya setiap tahun berlalu terlalu pantas, bukan tahun 2011 sahaja.  Entah bila berlalunya bulan Januari, Februari dan Mac.  Rasa bagaikan semalam bangun bersahur di hari pertama Ramadhan, rupanya sudah lebih 4 bulan ianya berlalu.  Kita semakin hampir ke penghujung 2011.

Apakah yang kita telah berjaya capai tahun ini?  Bila direnung kembali, apakah 2 atau 3 perkara yang dapat kita banggakan?  Sudahkah kita mencapai semua yang ingin kita capai tahun ini?  Apakah yang masih gagal kita usahakan?  Ini hanya sebahagian dari persoalan yang bermain-main dalam fikiran.

Jika kita sudah merancang dari awal tahun, meletak sasaran dan menulisnya dengan jelas, maka lebih mudah untuk kita membuat penilaian – mana yang sudah, mana yang belum.  Tapi jika tiada perancangan, tiada sasaran, malahan tidak pula bertulis, maka membuat penilaian menjadi susah, walaupun tidak mustahil.  Apa yang hendak dirujuk, jika kita sendiri tiada rujukan. 

Bulan Disember juga semakin pantas berlalu.  Ramai yang terasa diri bagaikan terlalu sibuk.  Tapi sibuk memanjang tidak semestinya produktif.  Sibuk tidak terkira tapi satu hasil pun tiada, maka tidak produktif namanya. 

Produktifkah saya sebagai ibu? Produktifkah saya sebagai isteri? Produktifkah saya sebagai insan? Produktifkah saya sebagai muslim? Produktifkah saya sebagai pekerja? Produktifkah saya sebagai ketua?

Tiada siapa mahu menjadi manusia yang kosong – kosong angan-angan, kosong tindakan, kosong hasil.  Bukan itu saja – kosong iman, kosong akhlak, kosong kasih sayang, kosong pemikiran, kosong akal, kosong ilmu, kosong perhubungan – semuanya kosong.  Usahlah sampai begitu sekali hendaknya.

Cuti yang panjang, maka rehatpun panjang.  Ambillah masa berfikir panjang...

Dalam duduk-duduk di tepi pantai Port Dickson atau Cherating...mungkin boleh difikir-fikirkan, apa pula yang ingin kita capai tahun depan.... 

Mula dengan angan-angan kosong...kemudian usahakannya menjadi kenyataan.  Tuliskan, supaya mudah kita ingat.  Senaraikan, supaya mudah kita membuat rujukan.  Kongsikan, supaya ada yang memberi dorongan.

Tidak salah jika  bermula dengan menjadi Mat Jenin.  Angan-angan jika diusahakan pasti jadi kenyataan. 

Selamat menyemat azam baru!

Friday, December 9, 2011

Jahil

Banyak perkara yang kita tidak tahu dengan mendalam.  Adakalanya, kita hanya membuat andaian atas perkara yang kita cuma tahu sedikit-sedikit.  Malangnya, mudah pula kita terus membuat penilaian dan sangkaan.  Akibatnya, kita mudah tersilap menilai permata...ingatkan kaca; dan tersilap menilai kaca...ingatkan permata; ingatkan susah...rupanya mudah; ingatkan mudah...rupanya susah; ingatkan betul...rupanya salah.









Mudah bila kita tahu apa yang kita tidak tahu, dan dengan terbuka hati dan minda mengakuinya dan menerimanya.  Lebih baik lagi bila berusaha untuk cuba belajar dan memperbaiki perkara yang kita jahil tentangnya.  Ada pula yang sanggup berguru, membuang ego dan rasa malu.  Bukan mudah menerima kekurangan diri, terutama bila sentiasa yakin yang diri sentiasa betul dan sempurna.
Ada orang yang perlu “terhantuk baru terngadah” – diuji Tuhan baru mula mengenal diri...di mana salahnya saya, di mana kurangnya saya, di mana jahilnya saya?  Bagusnya bila melihat semua ujian Tuhan sebagai satu bentuk teguran penuh rahmat dan kasih sayang.  Memperbaiki kebodohan dengan rasa penuh syukur.  Biarlah kehidupan yang lepas penuh dengan kebodohan, semoga kehidupan yang akan datang dilalui dengan ilmu.
Ada juga yang banyak kali “terhantuk” – tetapi memilih untuk merungut sepanjang masa – semuanya salah dia, kerana dia, sebab dia – kerana saya sempurna, saya tidak pernah silap.  Sudahlah kehidupan yang lepas kurang berilmu, malah terus menerus jahil dan sombong.  Baginya, dialah mangsa keadaan.  Semua perkara adalah masalah baginya.  Susah untuk menerima kebodohan sendiri.  Bila ditegur, dia mudah membalas balik – baginya, hanya orang yang lebih sempurna darinya saja yang boleh menegurnya.  Siapalah kita yang punya banyak kekurangan, langsung tidak layak menegur dan memberitahu.  Jika itu keinginannya, bukankah yang Maha Sempurna telahpun memberikan teguran?  Hanya buta mata dan hati untuk memahaminya.

Tanggungjawab kita hanyalah untuk mengubah kejahilan sendiri.  Kejahilan orang lain hanya mampu untuk kita mengingatkan.  Adakalanya mereka dengar, adakalanya tidak.  Merekalah yang perlu mengubah kejahilan mereka sendiri.  Kita tiada kuasa untuk mengubah orang lain. 
Ubahlah diri sendiri terlebih dahulu.  Apa yang kita tidak tahu, belajarlah!  Tak salah untuk belajar ilmu yang baru, pengetahuan yang baru, perkara yang baru. Lebih-lebih lagi jika ilmu tersebut melibatkan ilmu agama.  Carilah guru, agar kita belajar dengan dibimbing ilmu, bukan nafsu.

Tahun depan, biarlah kita lebih pandai dari tahun ini.  Rugi jika kita memilih untuk jahil seumur hidup.

Thursday, December 8, 2011

Jika itu yang Allah pilihkan...

Minggu lepas, tanpa diduga dapat bertemu Suhaila.  Dulu dia kerani, sekarang sudah ada business sendiri.  Keyakinan dirinya sangat menyerlah.  Sudah lancar berbahasa Inggeris.  Personalitinya juga berubah.  Dia bukan kerani yang dulu.  Bagai langit dengan bumi.  Perubahan dia sangat ketara.













Kehidupannya maju beratus-ratus langkah kehadapan.  Paling saya kagum, seiring pula dunia dan akhirat.  Dia kini bertudung, semakin ramping, rapi dan kemas.  Cantiknya dia tanpa solekan.  Seri wajahnya menyerlahkan jiwanya yang bahagia dan tenang.
Saya rasa sangat kecil...

Saya terasa bagaikan hidup mengundur kebelakang.  Dia yang perasan saya banyak mendiamkan diri mula bertanya 1001 soalan.  Ada yang saya boleh jawab, ada yang saya tidak boleh jawab.  Ada yang saya jawab dengan kata-kata, ada yang saya jawab dengan senyuman.

“Kak, saya berubah sebab kata-kata akak dulu...”  Dia memegang tangan saya dengan mesra. 
Saya cukup tersentak, pertamanya saya tidak ingat langsung kata-kata saya yang mana satu telah berjaya mengubahnya; dan keduanya saya terperanjat yang saya ini telah menyebabkan seseorang boleh berubah.

“Ingat tak, akak nasihatkan saya dulu...bila kita di persimpangan, berhenti, fikir dan buat pilihan. Selepas itu usaha dan jalan terus tanpa menoleh lagi.  Berdoa jangan putus kerana hanya Allah yang boleh memudahkan.  Jika itu yang Allah pilihkan, pasti Allah luaskan jalan.”
Saya terus-terusan terpana.  Rasa diri semakin kecil...

Mungkin dialah bentuk bantuan yang Allah sedang turunkan...yang saya sedang nanti-nantikan.  Tidak pernah saya duga, penyelesaian rupanya ada dalam genggaman sendiri.  Sedangkan saya mencari merata-rata...
Kecilnya saya...hinggakan Allah perlu menegurnya sendiri!

Friday, October 28, 2011

The 5 Choices...

Sawadika...

Saya ditugaskan untuk pergi berkursus lagi. Kali ini di Bangkok. Dan, kali ini...sekali lagi...saya seret suami untuk menjadi bodyguard...sekali lagi...ibu mertua termakan pujuk untuk meneman anak-anak yang ditinggalkan.

Berminggu-minggu membaca berita Thailand dilanda banjir. Dalam tempoh itu, suami sering bertanya, “Jadi jugak pergi Bangkok ke?”. 

Alahai, susah menjawab soalan itu. Hati saya risau, sangat risau sebenarnya. Ikut hati sendiri, mahu saja membatalkan perjalanan. Maklumbalas dari rakan sekerja di Bangkok, “Don’t worry, everything is fine. Situation is under control. It is perfectly safe to be here!” 

Tetapi, laporan di TV, di suratkhabar, lain pula ceritanya. Pening kepala tidak tahu mahu percayakan sumber yang mana satu.  Tiap hari menunggu-nunggu maklumbalas dari HQ di Salt Lake City...berharap sangat program ini ditunda.  Tapi nampaknya email asyik menyatakan, "It's on...".  Rakan-rakan dari Korea, Indonesia, Filipina dan Australia sudah mula turun ke Bangkok.  Alahai...hati risau, tapi buat-buat berani.

Saya pasrah...kalau sudah tulisan Allah saya pergi ke Bangkok....maka doa saya agar Allah melindungi dari semua kesusahan.  Namun itu sebenarnya kerisauan kedua.

Kerisauan pertama saya...kursus kali ini cukup berat. Tugasan awal saja sudah berjela-jela. Senarai buku yang perlu dibaca juga sehingga dua mukasurat. Belum lagi senaskhah technical guide yang perlu diulangkaji secara praktikal. Saya cukup tertekan sebenarnya, certification kali ini cukup mencabar. Jauh di lubuk hati timbul rasa kurang yakin pada keupayaan diri. Bila mengadu pada suami, mudah saja pujukannya, “You selalu rasa macam tu. Hari tu kat Orlando pun macam tu. Tapi nanti sure boleh je you buat...”. Nasihat itu memang mudah, tapi menguatkan keyakinan sendiri ternyata amat payah. Saya rasa amat tidak berupaya. Mahu tidak mahu, saya paksa suami ikut serta. Sokongan moral darinya selalu menjadi amat berhasil.

“Dear, you mesti ikut. No choice!”

Petang Sabtu, akhirnya saya sampai di Bangkok...


Isnin, 24 Okt 2011
Grand Palace masih kering,
tapi hari Rabu sudah ditenggelami air.


















Alhamdulillah, Bangkok jelas teramat kering....suasana tenang seperti tiada krisis apa-apa. Ketika kami sampai, sudah 3 hari pusat bandar Bangkok tidak menerima hujan. Cuaca juga panas terik. Harapan kami semoga keadaan ini berterusan hinggalah hari akhir kami di sini.

Cuaca yang baik juga membolehkan kami berjalan sekitar Bangkok dengan selesa. Di semua shopping mall ada restoran halal. Sistem pengangkutan juga mudah. Jadi kerisauan kedua...berlalu dengan sendirinya.

Tiba hari Selasa, barulah berhadapan kerisauan pertama...saya cuba lalui dengan menanam keyakinan...one day at a time. Saya perlu mencabar diri sendiri. Jika tidak, tentu tidak tahu setinggi mana potensi diri boleh pergi. Orang kata, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Apa yang saya belajar siang tadi melekat terus dalam kepala - Choice 2: Go for extraordinary. Do not settle for ordinary...
















Alhamdulillah...hari ini berlalu dengan amat baik sekali.

“So, how’s your day?” Terus saja suami bertanya bila saya muncul di pintu.

Saya senyum melebar, “Best!”

“I told you so!”


Leigh dan Kori, dari HQ Salt Lake City













Ronald dan Yuli, Indonesia Office



















(Nota: Adakalanya kita kalah juga dengan ujian takut, ujian bimbang. Tapi kekuatan rupanya datang bersama pilihan saya yang terakhir...iaitu berdoa...itulah saja yang masih tinggal. Dan pilihan yang terakhir inilah yang teramat-amat berkesan! Do I have no choice? No....I was wrong. I do have choices.)


Banjir di Bangkok...

Sudah seminggu di sini.  Lega dan seronok untuk balik berjumpa anak-anak esok.  Malam ini malam terakhir di Bangkok, dan hujan turun dengan lebat.  Alahai....risau sungguh rasa hati, harap-harap semuanya selamat.  Saya berdoa laluan ke airport terus kering.

Setakat pukul 8.00 malam (Jumaat 28 Oktober 2011), keadaan sekitar Ratchadamri dan National Stadium masih kering.  Perniagaan berjalan seperti biasa, cuma hujan yang turun lebat membuatkan rasa sedikit bimbang.  Alhamdulillah, pukul 9.30 malam hujan sudah mula berhenti.  Namun jika ada yang ingin ke Bangkok, rasanya elok tangguhkan terlebih dahulu.  Saya juga tidak sabar untuk terbang pulang.  Jangan pula anda yang nanti tersangkut...Keadaan nampaknya boleh jadi semakin buruk.  Nasihat saya...tangguhkan dulu perjalanan anda...

Moga Allah selamatkan perjalanan kami esok.

Wednesday, September 28, 2011

Seronoknya belajar...

Seronoknya belajar...Bila kita tahu apa yang kita tidak tahu...

Dengan kerja yang saya lakukan sekarang, belajar merupakan satu privilege...saya amat sukakannya.  Minda bagai terbuka luas.  Idea datang mencurah-curah, rasa kagum bila melihat perkara baru.  Ada juga yang tidak pernah terfikir oleh akal.  Semakin lama diri terasa amat kecil.  Kita rasa sudah maju, tetapi rupanya orang sudah jauh lebih maju.

Pagi itu, saya memang sangat teruja.  Saya tidak berani tidur kerana takut tidak terjaga.  Hari itu kami semua akan ke Disney Institute untuk practical training dan field work.  Bas akan bertolak dari Orange Convention Center (OCC) tepat 8.00 pagi.  Jika saya tertinggal, maka saya akan terlepas peluang untuk melihat Disney World dari sudut dalaman, back stage world of Disney.   Sebab itu saya tidak berani tidur, lebih-lebih lagi dalam keadaan masih lagi jet-lag.

Lepas bersarapan, suami menghantar saya ke OCC.  Peserta yang lain juga nampak teruja.  Seronok dapat berjumpa Nicole lagi pada tahun ini.  Kami berpeluk-peluk dan bertukar-tukar cerita. 

"Jumpa kawan sampai lupa suami...” 

Alamak, sorry-lah, dear!

“Petang karang tunggu I kat sini, ye..”  Pesan saya pulak. 

Memang itu tugas suami sepanjang di Orlando...jadi pengurus dan bodyguard.  Pagi dia menghantar, petang dia datang ambil.  Tengahari bawakkan bekal nasi...bila tension...dia jugalah yang menjadi pakar motivasi...meniup semangat dan menguatkan semula keyakinan diri.  (Adakalanya dialah juga tukang mengusung beg dan nota....)

Sampai di Disney Institute, kami masuk melalui pintu belakang.  Di bahagian ini, semuanya adalah "confidential".  Perkara paling tidak dibenarkan ialah mengambil gambar.  Dewan kuliah dihias dengan unik.  Ciri-ciri magical Disney amat terserlah, namun masih mempunyai aura serius, korporat dan leadership.  Kumpulan saya seramai 7 orang – dari Brazil, Israel, Singapura, Los Angeles, Barbados, Itali dan saya sendiri. 

Kathy dari Los Angeles dan 
Sam dari Barbados
Saya belajar, setiap satu perkara perlu ada “back-up plan.”  Bukan saja proses kerja, malahan semua perkara yang nampak kecil diberi perhatian.  Bayangkan, di Disney World, setiap pokok juga ada “back-up plan-nya”.  Dari pokok yang besar, hinggalah yang kecil.  Dan jika satu pokok tumbang di waktu malam, keesokannya tidak akan ada siapa yang perasan kerana telah diganti dengan sangat terperinci.  Hati pekerja dijaga, kebajikan mereka dibela.  Semua orang mahukan peluang untuk bekerja di sana, walau punya kelayakan tinggi, mereka tidak kisah jika perlu bermula dari bawah dan menjual tiket di kaunter.  Bekerja bukan sekadar mahukan gaji, tetapi mereka berlumba-lumba untuk menyumbang mengikut bidang kerja masing-masing.



Sempat bergambar ketika menyiapkan
tugasan dan kajian
di sekitar Disney World.
Etika kerja yang baik, passionate dan tinggi kemahiran dan kecekapan – pelik bila mereka sentiasa boleh bersabar dan tersenyum.  Semuanya perlu di selesaikan dengan cepat dan pantas.  Semuanya perlu memudahkan.  Semuanya perlu ada tambah nilai.  Semuanya perlu melalui proses memahami dan memenuhi keperluan dan permintaan.

Saya juga belajar pentingnya kreativiti, dan melihatnya dari sisi yang berbeza dari apa yang saya selalu fahami.  Saya belajar pentingnya standard dan uniformity, pentingnya continuity dan consistency – pada tahap yang berlainan, according to Disney’s Benchmark.  Mengikut pendapat mereka, Disney is the benchmark. 











Seronok bila dah "graduate"..
Saya juga belajar mengapa kita semua sukakan imaginasi dan fantasi.  Rupanya ia keperluan emosi... Barulah saya mula faham tentang pentingnya “magical experience”.   Tidak semestinya ia hanya milik Disney World.  Menjadikannya lebih Islamik sebenarnya nampak lebih realistik.  Ianya bagai membangunkan budaya syurga – menunaikan the unexpressed wish, berilah sebelum diminta, tunaikan sebelum disuruh, jadilah pemerhati yang setia.  Jadikan semuanya bagaikan magical.






Disney's Master Trainers
 - Jack dan Sam
Bagai cerita nenek tentang syurga – jika baru teringat nak makan durian, maka durian akan muncul di depan mata, tak perlu susah payah mencarinya apatah lagi memintanya.  Ingat saja, maka ia akan datang menjelma...wah...seronoknya jika di syurga...

Bagaimana agaknya jika syarikat kita mempunyai budaya syurga – semua hasil yang diingini datang tanpa perlu diminta-minta.  Semua tahu apa yang perlu dilaksanakan tanpa perlu disuruh-suruh.  Pemberian kepada pelanggan sebagaimana yang mereka inginkan walaupun belum terluahkan.







Bagaimana pula agaknya jika keluarga kita mempunyai budaya syurga – seronoknya jika anak-anak melakukan perkara yang kita mahukan sebelum sempat kita meluahkannya dan memintanya.  Bukan mudah untuk memahami apa yang tersirat terutama jika belum tersurat.  Tapi tidak juga mustahil.  Cuma perlu rajin memerhati....peka dan memahami....

“Dear, ni teh panas favourite you...”
“Eh...baru nak minta...macam tau-tau je...”
“Mestilah...inikan syurga...”


Sememangnya “magical”...
Dan ianya bukanlah milik Disney saja...

Thursday, September 22, 2011

Mabuk shopping...

A happy wife... 
Is a happy life...

Saya dengar kata-kata ini dari  Chris Jr., salah seorang trainer di satu sessi ketika di Orlando.  Ketawa besar kami satu dewan...Chris mengucapkannya dengan begitu “candid”, mencuit hati kami semua. 

"Do not argue with me...."  Katanya lagi ketika salah seorang peserta mengangkat tangan cuba mencabarnya.  Bersahut-sahut gelak kami, riuh satu dewan.  Saya sendiri gelak memanjang....dan di bilik hotel mengulangnya dengan sengaja...berkali-kali kepada suami....

“Yalah tu...”  Jawab suami sambil tergelak kecil. 

Dan, selama di Orlando, saya gunakan kata-kata itu “dengan tidak berhemah sekali”.... (untuk memanipulasi suami bila mahukan dia membelikan saya sesuatu).

“Dear, a happy wife is a happy life...”

Dan, beg shopping saya pun penuh di tangan kiri dan kanan...heh...heh...

Sangat understanding dan supportive...dalam apa juga urusan dan perkara...(anda pasti tak dapat membayangkan, tetapi dia adalah rakan shopping yang paling happening...ajaklah dia pusing 10 kali pun sanggup.)

“Di sana nanti nak shopping apa?” 

“Tak nak beli apa, semua dah ada.”  Itu jawapan saya bila di tanya suami.  Saya sungguh yakin tidak akan membeli apa-apa.

“Handbag pun tak nak?”  Suami bertanya lagi.

“Tak nak.  Tahun lepas baru beli...”  Sememangnya saya merasakan tidak perlu.  Dan tekad saya tidak mahu berbelanja.

“Belilah satu...buat syarat...”  Dia terus memujuk.  Saya cuma tergelak.

Sampai saja di Orlando, perkara pertama yang saya cari ialah peta lokasi.  Kami berkira-kira untuk menyewa kereta agar mudah suami menghantar saya pergi dan balik selama 5 hari berkursus.  Tapi bila melihat pas mingguan bas hop-in (di sana dipanggil I-ride trolley) jauh lebih murah, malahan melalui semua tempat tumpuan pelancong dan tempat kursus, kami terus membatalkan niat menyewa kereta.  Sampai saja di hotel, saya terus masak nasi dengan microwave, dan memanaskan ayam kurma.  Sedap sungguh makan tengahari , mungkin kerana lapar, hampir 2 hari tak jumpa nasi ketika strended di Chicago.

Aktiviti selanjutnya?  Program saya hanya akan bermula hari Sabtu.  Jadi Khamis dan Jumaat saya free.   

“Kita tengok-tengok premium outlet je lah...”  Cadang suami.

Dalam peta, ada dua Premium Outlet, dan kedua-duanya dihubungkan dalam satu laluan trolley, satu di bahagian utara, dan satu di bahagian selatan.  Memang mudah dan sangat convenient.  Hari itu, kami  bercadang untuk melihat-lihat Premium Outlet di Oak Ridge Road.

Sampai di sana, lain pula ceritanya.  Suami beriya-iya bershopping.  Sampaikan saya pun ikut bersemangat juga.  Dek kerana terlalu convenient, maka sepanjang di sana, kamipun berulang-ulang pergi.  Tapi rasanya Premium Outlet di Vineland Avenue lebih banyak pilihan terkini.  Ketika itulah kami ternampak pulak Publix Supermarket.  Banyak sungguh pilihan makanan yang boleh  kita makan dan masak di microwave.  Kami beli lobster dan ketam yang fresh....sedap sungguh, walaupun sekadar saya rebus dan kukus di microwave.  Coklat pula murah dan pelbagai.  Godiva tersangat murah, dan kami memborong sakan.

Hingga ke saat akhir, masih sempat lagi bershopping.  Sehari suntuk kami di Florida Mall.  Hari itu sememangnya hari suami bershopping.  Satu yang paling tidak kami duga ialah betapa mudahnya mencari makanan.  Di food court memang mudah jumpa nasi putih dan lauk untuk vegetarian.  Kadang-kadang ingat macam di Malaysia pulak.  Banyak gerai yang menjual “nasi campur”.

Akhirnya, beg jadi beranak-anak.  Beli barang tak beringat, kemudian pening kepala nak isi di mana.  Paling kelakar ketika di airport, bila timbangan beg terlebih, suami berkejar ke Walmart pagi-pagi buta, membeli satu lagi beg tambahan agar boleh menyusun semula jumlah berat bagasi. 

“Belilah satu...buat syarat...”  Itu saranan suami ketika di Malaysia.  Saranan yang tidak menjadi...

Akhirnya, berapa handbag saya beli?  Heh..heh...biarlah rahsia...

Tak pelah, dear!  A happy wife is a happy life...
Siapa suruh pemurah sangat...

Friday, August 5, 2011

Indahnya Ramadhan dengan bantuan ICT...

Semakin maju teknologi...alasan tidak sempat dan tidak cukup masa sebenarnya menjadi sangat tidak relevan.  Dunia menjadi tiada sempadan...apa saja yang mahu dilakukan menjadi tiada halangan....tiada batasan...

Kita boleh melihat gelas...samada separuh kosong atau separuh penuh...

Kita boleh melihat perkembangan teknologi....secara negatif atau secara positif...

Secara peribadi, saya mahu melihat gelas...secara...separuh penuh....

Dan, secara peribadi juga, saya merasakan inovasi Ipad, Iphone dan Galaxy Tab sangat...amazingly amazing!  Terutama di bulan Ramadhan ini...

Apa yang kita boleh lakukan....dengan Iphone kita...


Bertadarus:

Dowload di App Store

Quran Majeed (PakData) USD4.99 (RM15)

(This is the best investment! RM15 sahaja....lebih murah dari belanja kita di bazaar Ramadhan.  Saya suka applikasi ini kerana tulisan boleh dikecilkan atau dibesarkan dan akan disesuaikan untuk muat di muka phone.  Kita juga boleh memilih bahasa terjemahan, suara Qari, menanda bacaan (bookmark), pilih surah, pilih ayat dan banyak lagi.)

Cadangan penggunaan:
  1. Mudah di bawa ke surau/masjid.  Ipad dan Galaxy Tab besar sikit, nanti nak solat tak tahu pula nak letak dimana (especially untuk orang lelaki, kalau orang perempuan boleh letak kat beg telekung...).  Jadi, kalau Iphone boleh letak kat poket bila nak solat. Jadi sambil menunggu Isya’ boleh baca.
  2. Pasangkan earphone, dan dengar ketika memandu ke pejabat – waktu pagi.
  3. Boleh buat bookmark lebih dari satu.  Jadi, satu bookmark bila kita baca sendiri, satu bookmark bila dengar di kereta, dll.
  4. Boleh baca di surau ofis atau di mana saja.

Nota:  Namun begitu, adab membaca Quran perlulah dijaga, terutamanya berwudhu’.....walaupun nak pegang Iphone tak perlulah berwudhu’....


Berzikir:

Download di App Store

Tasbih (Shaheel Caunhye) FREE

(Applikasi ini membolehkan kita memilih jenis-jenis tasbih/zikir, dan disertakan bacaan tasbih sekali.  Bagusnya kalau kita tak hafal, boleh baca di screen. Nota: Jika memilih Tasbih kedua, bacaan sebenarnya ialah SubhanAllahi wa biHamdihi, tulisan jawinya tersilap tulis wa biHamdi).

Zikr (Digience Technologies) FREE

(Applikasi ini memberi pilihan doa tetapi hanya satu jenis tasbih/zikir sahaja iaitu tasbih Fatima, yang selalu kita amal selepas solat.)

Nota: Saya download kedua-duanya, sebab “Tasbih” memberi pilihan-pilihan zikir, dan “Zikr” memberi pilihan doa.


Ramadhan: Dua, Hadith, Prayer Times, Nightstand, Zakat Info,Tasbeh (Avenue Islam) FREE

(Applikasi ini perlu di download menggunakan Itune/computer sebab kandungannya besar.  Tapi boleh juga melalui Iphone terus jika ada kemudahan WIFI.  Lebih lengkap dengan pilihan doa, hadis, waktu solat.  Kalau anda belum download applikasi untuk waktu solat, applikasi ini merupakan pilihan yang baik.)


Waktu solat:

Islamic Compass: Prayer Times and Adhan Alarm (Islam Pray Institute for Quran) USD 1.99 (RM 6)

Anda boleh memilih untuk mendapatkan secara percuma atau beli.  Versi percuma hanya memberi maklumat waktu solat untuk 2 hari sahaja kalau tak silap saya.  Versi beli memberikan pilihan adhan sound...kalau rindu azan di Masjidil Haram, boleh buat pilihan azan di sini.  Applikasi ini juga memberi kita pilihan background theme berdasarkan 6 masjid, termasuk Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Cadangan kegunaan:

Untuk mengingatkan kita solat di awal waktu (walau tengah bermeeting di ofis), dan waktu berbuka dan habis sahur/masuk subuh.


Tazkirah:

Best nyer YouTube.....

Pergi ke YouTube, dan search “Puasa” atau apa saja perkataan yang anda mahu sebagai tazkirah seperti “Doa Mustajab”, “Iman”, “ustaz”, “ramadhan” dan akan keluar pilihan-pilihan ceramah.  Jika anda ada ustaz yang anda gemari, cuba search, anda pasti teruja bila ceramah tersebut telahpun dimuat turun di YouTube.

Untuk memberi semangat kepada anak-anak, boleh search “My First Ramadhan”....ini juga favourite saya...banyak video clip oleh kanak-kanak yang “cute”....menceritakan pengalaman mereka berpuasa.

Cadangan penggunaan:

Jika pagi anda sudah mendengar bacaan Quran, jadi petang waktu balik kerja, dengarkan ceramah agama di YouTube, pasangkan earphone dan dengar sambil memandu, tak perlulah menontonnya, nanti bahaya pula.  Dengar saja sudah memadai.

Untuk hari ini, link di bawah adalah favourite saya:

Ustaz Kazim Elias - Doa Mustajab di Bulan Ramadhan





(Kalau di Iphone anda, pergi ke YouTube, search "Doa Mustajab Di Bulan Ramadhan - Ustaz Kazim Elias 1/4")
Klip video ceramah ini dipecahkan kepada 4 bahagian.  Bila habis video bahagian 1, tekan Done, kemudian, di muka seterusnya, tekan butang untuk ke muka sebelumnya (butang kiri atas sekali).  Di sini akan tersenarai klip video untuk bahagian 2.  Buat langkah yang sama untuk bahagian seterusnya.  Kalau susah, search saja Doa Mustajab Di Bulan Ramadhan - Ustaz Kazim Elias 2/4, kemudian tukarkan 2/4 kepada 3/4 dan akhir sekali 4/4. Jaminan saya, walau jalan jam...pasti tak perasan kita dahpun sampai ke rumah...)


Beli kurma:

Pernah dengar tentang Mahnaz?  Ok, jika anda nak beli kurma samada untuk makan sendiri atau sedekah kat surau, bolehlah pergi ke Mahnaz ni di Shah Alam.  Ianya berdekatan dengan kilang gula CSR.  Macamana nak pergi situ?

Taip saja alamat berikut di map Iphone anda, dan dengan mudah akan mendapat panduan arahnya.  Kalau ada Garmin atau PapaGo lagilah bagus.

No.8, TP 7/5, Sime UEP Industrial Park Shah Alam. 
H/P: 0122079125.

Di Mahnaz ni, terdapat pelbagai pilihan dan jenis kurma, halwa arab pun ada.  Kurma Ajwa pun ada, satu bekas plastic kecil (saiz yang kita selalu beli nasi tapau tu...) berharga RM50.  Air zam-zam pun ada.  Penjual/pemiliknya orang Arab/Iran, boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sahaja....ala-ala beli kurma di Pasar Kurma Madinah...


Bayar fitrah:

(Lembaga Zakat Selangor)

Klik pautan di bawah untuk mengetahui cara membayar fitrah dengan handphone anda (untuk pengguna celcom dan maxis sahaja).



NOTA:

Kepada pengguna Iphone, Ipad dan Galaxy Tab yang lain, anda mungkin boleh kongsikan idea/tips anda di sini...supaya kita semua boleh manfaatkan teknologi....lebih daripada bermain Angry Birds saja....

Kepada pengguna android, symbian, blackberry, playbook....kongsikan pengalaman dan tips anda juga...supaya kita boleh sama-sama belajar....

Apalagi yang saya boleh katakan....
 
Memanglah saya bukan dari Generasi Y...
But now, I look it from a very different perspective.

This year...I love my Ramadhan so much....so much....