Wednesday, December 14, 2011

Kosong.


















Cepat benar tahun 2011 ini berlalu.  Namun bila difikir-fikirkan semula, rasanya setiap tahun berlalu terlalu pantas, bukan tahun 2011 sahaja.  Entah bila berlalunya bulan Januari, Februari dan Mac.  Rasa bagaikan semalam bangun bersahur di hari pertama Ramadhan, rupanya sudah lebih 4 bulan ianya berlalu.  Kita semakin hampir ke penghujung 2011.

Apakah yang kita telah berjaya capai tahun ini?  Bila direnung kembali, apakah 2 atau 3 perkara yang dapat kita banggakan?  Sudahkah kita mencapai semua yang ingin kita capai tahun ini?  Apakah yang masih gagal kita usahakan?  Ini hanya sebahagian dari persoalan yang bermain-main dalam fikiran.

Jika kita sudah merancang dari awal tahun, meletak sasaran dan menulisnya dengan jelas, maka lebih mudah untuk kita membuat penilaian – mana yang sudah, mana yang belum.  Tapi jika tiada perancangan, tiada sasaran, malahan tidak pula bertulis, maka membuat penilaian menjadi susah, walaupun tidak mustahil.  Apa yang hendak dirujuk, jika kita sendiri tiada rujukan. 

Bulan Disember juga semakin pantas berlalu.  Ramai yang terasa diri bagaikan terlalu sibuk.  Tapi sibuk memanjang tidak semestinya produktif.  Sibuk tidak terkira tapi satu hasil pun tiada, maka tidak produktif namanya. 

Produktifkah saya sebagai ibu? Produktifkah saya sebagai isteri? Produktifkah saya sebagai insan? Produktifkah saya sebagai muslim? Produktifkah saya sebagai pekerja? Produktifkah saya sebagai ketua?

Tiada siapa mahu menjadi manusia yang kosong – kosong angan-angan, kosong tindakan, kosong hasil.  Bukan itu saja – kosong iman, kosong akhlak, kosong kasih sayang, kosong pemikiran, kosong akal, kosong ilmu, kosong perhubungan – semuanya kosong.  Usahlah sampai begitu sekali hendaknya.

Cuti yang panjang, maka rehatpun panjang.  Ambillah masa berfikir panjang...

Dalam duduk-duduk di tepi pantai Port Dickson atau Cherating...mungkin boleh difikir-fikirkan, apa pula yang ingin kita capai tahun depan.... 

Mula dengan angan-angan kosong...kemudian usahakannya menjadi kenyataan.  Tuliskan, supaya mudah kita ingat.  Senaraikan, supaya mudah kita membuat rujukan.  Kongsikan, supaya ada yang memberi dorongan.

Tidak salah jika  bermula dengan menjadi Mat Jenin.  Angan-angan jika diusahakan pasti jadi kenyataan. 

Selamat menyemat azam baru!

2 comments:

shami2 said...

Salam kak nija

Setuju dengan n3 ni...izinkan saya berkongsi pendapat disini

bukan mudah untuk melakukan semua itu..insyallah ada niat, usaha, istiqamah dan tawakal pasti berjaya.

Letakan diri kita dalam persekitaran positif dan berfikir secara positif ...insyallah kejayaan akan menjadi milik kita.

Terus menulis kak untuk memotivasikan saya dan kawan2 yang lain.

atuk said...

Assalamualaikum Kak Asnija

ada lagi yg tercapai tapi
Alhamdulillah
ada yg berjaya..

Wassalam