Friday, December 23, 2011

Result (Part 2).

Bila berjaya, airmata juga boleh menitis.  Ianya menitis kegembiraan.  Apabila gagal mendapat kejayaan yang amat diharapkan, airmata juga lebih mudah menitis.  Ianya menitis kesedihan.

Nisha amat terkesan dan sedih bila sahabat karibnya tidak sama-sama memperolehi 8A. Sahabatnya beroleh 7A 1B.   Ianya bukanlah satu kegagalan, tetapi ianya dirasakan bagaikan satu kegagalan maha hebat.  Rasa hampa yang memuncak menjadikan airmata tidak dapat ditahan.  Frust, kecewa...bila apa yang diharapkan gagal dicapai.  Rasa kecil....melihat rakan-rakan riang dipanggil guru seorang demi seorang kerana memperolehi 8A, sedangkan nama sendiri tidak didalam senarai.
Nisha rasa bersalah untuk melepaskan rasa gembira yang maksimum ketika menerima keputusannya, bimbang hati sahabatnya semakin sedih.  Dia juga tidak tahu bagaimana untuk mendekatinya, kerana tidak tahu apa yang terbaik untuk diucapkan.  Akhirnya Nisha hanya melompat gembira di rumah.  (Oh ya, saya sudah mengingatkannya untuk sujud syukur, jadi saya biarkan dia melompat-lompat melepaskan perasaan.)
7A 1B merupakan keputusan hebat.  Tapi hati Aliya tetap sedih rasa kekurangan.  Apatah lagi melihat ada rakan-rakan lain yang selama ini hanya “cukup-cukup makan”, tetapi boleh pula mendapat 8A.  Hati mana yang tidak terkilan?  Hati mana yang tidak sedih.  Pasti mudah mempersoalkan takdir.  Dia sudah berusaha bersungguh-sungguh, sudah berdoa dan rajin solat hajat, budi bahasa baik bersopan santun.  Mungkin hatinya rasa penat, susahnya nak dapat... Kenapa Allah tak beri?  Soalan-soalan ini mungkin menyesakkan fikiran, menambah kesedihan dan kemurungan.

Saya ingin membantunya melalui kesedihan ini.  Nisha ingin memujuknya tapi tidak tahu  bagimana.  Jadi, saya tolong mengarangkan ayat-ayat SMS untuk Nisha kirimkan kepada sahabatnya itu.  Ianya luahan dari hati saya seorang ibu dan ketulusan rasa seorang kawan.  Saya faham benar kesedihan tersebut, bagaikan dia anak sendiri.  Mereka berdua rapat dari sekolah rendah lagi, dan dia juga dekat di hati saya.  Saya sendiri rasa amat belas dan bersimpati.    Saya tidak mahu dia bermurung dan bersedih berhari-hari.  Paling utama, saya tidak mahu dia melihat ini sebagai satu hukuman.   Saya mahu dia terus melihat masa depannya dengan positif, dan bersangka baik pada Allah.
Bagi saya, semua usaha dan kesungguhan perlu diberikan pujian dan penghargaan.  7A 1B juga satu pencapaian dan kejayaan.  Malahan, jika sekadar lulus PMR juga satu bentuk pencapaian.  Semua ini layak dihargai dan diraikan.  Saya ingin mengubah persepsi biasa.

Jadi petang itu, saya memberikan satu cadangan kepada Nisha.  Saya harap ini dapat menghiburkan hati Aliya.  Saya mahu dia menerima bahawa 7A adalah suatu pencapaian hebat, tiada kekurangannya.

Duhai sahabat,
Janganlah bersedih.

7A adalah satu anugerah Allah, semoga ia menjadi api yang terus membakar semangat untuk berjaya, mekar seperti 7 kuntum mawar yang merah.
Mungkin 1B itu ada banyak hikmahnya, seperti sekuntum mawar putih yang suci dan bersih.
Tahniah atas semua usaha yang gigih dalam mengejar kejayaan.  Semoga kita sama-sama terus mengejar straight A di SPM nanti.






Pengajaran buat Nisha:
  1. Berusaha hiburkan hati rakan yang sedih.  Semoga Allah pula akan hiburkan hati kita bila kita bersedih.
  2. Kejayaan merupakan satu rezeki.  Hanya Allah yang akan putuskan untuk beri kepada siapa yang dikehendakinya.
  3. Nasib kita tidak pernah berada dalam tangan kita.  Apa yang dalam tangan kita hanyalah usaha kita.
  4. Allah beri hanya dengan izinnya, dan tak beri juga dengan izinnya.
  5. Syukuri apa yang kita terima kerana tidak semua orang boleh memilikinya.

Realiti kejayaan dalam hidup:

UPSR 5A, tapi jika PMR tak score maka UPSR 5A sudah tidak relevan.
PMR 8A, tapi jika SPM tak score maka PMR 8A sudah tidak relevan.
SPM 9A, tapi jika di university tak score maka SPM 9A sudah tidak relevan.
Di university score (malahan Dean’s List) tapi kalau tak dapat cari kerja maka score di university sudah tidak relevan.
Jika sudah dapat kerja tapi tidak mempunyai sikap kerja yang baik, pengalaman tidak berkembang, kemahiran tidak dibangunkan, maka sekadar makan gaji saja sudah tidak relevan.
Atas semua kejayaan di dunia, jika gagal di akhirat, maka semua kejayaan dunia langsung tidak relevan.

Jadi apa yang penting sebenarnya?
  1. Yang penting, atas semua kejayaan itu ialah keupayaan menggunakan kejayaan akademik untuk menyumbang dan berkhidmat, menyempurnakan peranan kita sebagai khalifah di muka bumi.
  2. Pandai akademik tapi tak tahu bagaimana untuk berkhidmat kepada ibubapa – apalah gunanya?
  3. Pandai matematik tapi tak tahu bagaimana untuk membantu rakan-rakan yang lain menyelesaikan masalah matematik – apalah gunanya?  Lebih tak guna bila kedekut ilmu.
  4. Pandai akademik tapi cetek fikiran dalam konteks kelansungan hidup – apalah gunanya? 
  5. Pandai akademik tapi fikiran sempit ditutup keegoan dan kesombongan diri – apalah gunanya? 
  6. Pandai akademik tapi tidak boleh membezakan yang halal dan haram – apalah gunanya?
  7. Pandai akademik tapi tak boleh memimpin - apalah gunanya?

Kejayaan akademik hanya sebahagian kecil dari banyak lagi kejayaan-kejayaan yang lain.  Tidak memperolehi 8A tidak bererti hidup sudah tiada ertinya lagi.  Kerana bukan itu misi hidup anak-anak kita.
Bila mereka sudah berusaha sedaya upaya...itu sudah satu kejayaan!











Bunga dan Ferrero Roche? Memang lebih RM50...
Kawan yang boleh tersenyum semula.....priceless!






6 comments:

atuk said...

Assalamualaikum Asnija

Alhamdulillah
Syukur
Tahniah
kepada Nisha dan ibu bapa Nisha

ibu pandai, anak cerdik dlm menjaga/mengembirakan hati kawan

Wassalam

Wan Nadiah said...

Salam, Nija

I am inspired by your actions. Tabarakallahu fi kum

Nadiah

Asnija said...

Salam Atuk,
Terima kasih atas ucapan dan doa.
Syukur alhamdulillah.

Asnija said...

Salam Wan Nadiah,
Terima kasih. Mana yg baik moga boleh kita sama-sama amalkan. Yg tak baik kita sama-sama jauhkan.
Wassalam

sinomosa said...

tahniah nisha dan kak nija serta pak engku..
seronok membaca catatan ini..sy belajar sesuatu..tq kak

sinomosa said...

kanda mohon share..thanks