Sunday, May 31, 2009

Agen yang mana satu?

(Catatan umrah - backdated Mac 2009)

Pada mulanya saya memilih agen Umrah yang pernah digunakan oleh adik lelaki saya dan ibubapa saya. Saya memilih tarikh yang paling sesuai untuk pakej 14 hari. Paling penting saya mesti pergi sebelum Jun. Ija (maid saya) akan tamat visa kerja pada 14 Jun. Dia sudah bekerja dengan saya selama 4 tahun dan meminta untuk balik ke Indonesia pada 14 Jun itu juga. (Baca catatan mengapa Ija mahu balik pada 14 Jun, bertajuk: Maaf Puan, saya nggak boleh tangguh...). Sebab utamanya, kami akan meninggalkan Amni di bawah jagaan Ija. Jadi kami mahukan seseorang yang Amni rasa selesa dan selamat, seseorang yang tahu tentang kebiasaan dan perangai Amni, dan seseorang yang kami percayai. Jadi 2 perkara penting yang mesti saya pertimbangkan dalam pemilihan tarikh - tarikh mesti sebelum Jun, dan pada tarikh yang saya dan Nisha berasa 'yakin selamat'.

Tetapi akhirnya saya bertukar agen Umrah walaupun telah membayar deposit. Ini kerana pakej asal telah bertukar menjadi pakej 11 hari. Tarikh lain pula memerlukan suami dan Zaid untuk memakai pakaian ihram dari KLIA kerana penerbangan terus ke Jeddah dan kami perlu ke Mekah untuk menunaikan umrah terlebih dahulu. Bimbang pula mereka tidak selesa memandangkan tempoh penerbangan yang panjang, lebih-lebih lagi tarikh tersebut tidak sesuai untuk saya dan Nisha. (Waktu itu, saya tidak tahu terdapat ruang solat di dalam Saudi Airlines yang boleh digunakan untuk memakai pakaian ihram.)
Jadi kerana ingin berada lebih lama di Tanah Suci, saya mencari agen lain yang menawarkan pakej 14 hari pada tarikh yang sama. Antara perkara yang boleh dijadikan panduan kepada yang akan pergi Umrah pertama kali:
  1. Sebaiknya dapatkan penerbangan terus ke Madinah. Dengan ini, kita mendapat kelebihan dari segi masa. Sekiranya sampai di Madinah malam, Subuh esoknya sudah boleh bersolat di Masjid Nabawi. Pagi itu bagi Muslimah, sudah boleh ke Raudhah. Berbanding jika penerbangan ke Jeddah, perlu pula menaiki bas 5-6 jam untuk ke Madinah. Berkemungknan Zohor baru boleh bersolat di Masjid Nabawi. Malamnya baru Muslimah dapat ke Raudhah memandangkan waktu ke Raudhah selepas Zohor adalah sangat singkat.
  2. Sekiranya penerbangan terus ke Jeddah dan menunaikan umrah terlebih dahulu, jamaah perlu memakai pakaian ihram di KLIA. Walaubagaimanapun, sekiranya menggunakan penerbangan Saudi Airlines, jamaah boleh memilih untuk memakai pakaian ihram di dalam kapalterbang dengan selesa. Terdapat ruang solat yang boleh digunakan oleh jamaah lelaki untuk memakai pakaian ihram. Ruang solat ini agak luas dan penumpang boleh solat berjamaah di ruang ini. Saya tidak pasti dengan ruang solat di Malaysian Airlines. Mungkin ada pembaca yang boleh berkongsi pengalaman.
  3. Perbezaan harga pakej Umrah selalunya melibatkan juga destinasi penerbangan dan syarikat penerbangan yang digunakan. Ada pakej yang murah tetapi perlu transit dan bermalam di tempat transit sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah. Urusan di bahagian imigresen di airport transit adakalanya memakan masa terutama jika urusan masih dilakukan secara manual.
  4. Pilih agen berdasarkan pengalaman keluarga dan rakan-rakan yang pernah menggunakan mereka. Bimbingan mutawwif ketika mengerjakan umrah wajib memang amat membantu terutamanya bagi jamaah yang pergi pertama kali seperti saya. Setelah memilih agen, sentiasa bersangka baik dengan agen dan bertawakal agar kita juga mendapat kemudahan sebagaimana yang keluarga dan rakan-rakan kita ceritakan berkenaan agen tersebut. Kerana, apa yang akan kita terima merupakan rezeki masing-masing...

Pengalaman peribadi saya: Sepandai-pandai kita merancang, ketentuan Allah lebih cantik dan sempurna untuk kita...pengalaman memilih agen telah membuka mata saya bahawa perkara ibadah perlu banyak-banyak berserah dengan kekayaan ilmu Allah, siapalah kita...apalah sangat tahap ilmu yang kita ada...

1 comment:

sinomosa said...

Salam Kak Nija,

Baru ada masa nak mengodek n3 akak yg lelama..
Info ini amat membantu saya..I/Allah
Thanks for sharing sis