Sunday, May 31, 2009

Maaf Puan, saya nggak boleh tangguh!

Ija telah bekerja dengan saya selama 4 tahun. Ketika mula bekerja, dia tidak tahu memasak. 6 bulan saya melatihnya membuat kerja rumah dan memasak. Pada peringkat awal, kami sekeluarga menyombong...masakan Ija kami tidak jamah, kononnya 'kembang tekak'. Tapi sekarang, habis licin kami makan. Saya lebih kepada 'menekan butang remote control'. Ija akan masak, dan kami makan apa saja yang dimasaknya. Adakalanya Ija akan menelefon saya minta dibelikan santan atau bahan-bahan untuk memasak yang tidak ada di rumah bila dia ingin memasak sesuatu. Ikan dan lauk basah yang suami saya beli, dia sudah dapat mengagak untuk dimasak apa. Jika ada sotong dan udang, dan daun limau purut, maka Isnin atau Selasa pasti ada tom yam. Jika ada kepala ikan merah, pasti akan terhidang sup kepala ikan beserta sambal kicap. Berpeluh-peluh kami makan.

Saya memang betul-betul 'lepas tangan' dengan Ija. Bila saya kata nak balik kampung, tak perlulah saya mengemas beg pakaian Amni (anak bongsu saya). Pasti semua kelengkapan, pakaian, makanan, susu, botol susu dan sebagainya, siap tersedia. Ija juga tahu apa yang digemari oleh setiap anak saya, dan apa yang mereka tidak suka. Bila kami hendak pergi grocery, Ija akan berpesan makanan apa yang Amni suka untuk breakfast, apa yang Zaid suka minum, dan apa yang Nisha suka untuk bekal ke sekolah.

4 tahun ini, hidup saya memang senang (Puan Besar habis..!). Tahun ini, 14 Jun, permitnya akan berakhir. Saya mengira-ngira tarikh dan berhasrat memujuknya untuk balik lambat sedikit iaitu 2 minggu sebelum Raya. Saya merancang untuk mengambil pembantu rumah yang baru selepas Raya, dan semasa cuti sekolah pembantu yang baru akan sampai. Jadi mudah sedikit memandangkan anak-anak saya berada di rumah, boleh tolong tengok-tengokkan pembantu baru buat kerja rumah.

"Maaf Puan, betul-betul saya nggak oleh tangguh. Kalau tidak ada urusan, pasti saya boleh..." Jawab Ija. Saya tidak memujuk panjang, tetapi meminta emak saya memujuknya. Ija dan emak saya memang ada 'soft spot'. Jawapan yang sama diberikan. Pelik juga sebab Ija yang kami kenali memang tidak berkira orangnya. Satu hari emak saya memujuknya lagi, "Kamu beriya-iya nak balik sampai tak boleh tangguh ni kenapa Ja? Kamu nak kahwin ya?" Emak saya mengusiknya. "Ya, Bu!" Apalagi, terjerit-jerit anak-anak saya mengusiknya selepas itu. Lebih memeranjatkan kami, tarikh kahwinnya ialah 11 Julai. Padanlah tak boleh tangguh!

Kami semua gembira dengan berita itu (sebenarnya saya sedih sebab 'confirm' dia tak akan sambung bekerja lagi..he..heh..sungguh mementingkan diri sendiri saya ni..). Dalam hati saya rasa bersyukur sangat dan menghargai Ija kerana amanah. 2 kali saya benarkan Ija balik bercuti, tanpa saya ketahui kali pertama untuk bertunang, kali kedua untuk membeli barang-barang hantaran. Kalaulah saya tahu, sebenarnya saya benarkan dia balik dengan risiko yang amat tinggi dia tidak balik ke sini semula, maklumlah, dalam rasa teruja bertunang dan menyiapkan persiapan hantaran, calang-calang orang sudah tentu tidak bersemangat lagi untuk balik bekerja di Malaysia. Malahan sangup meminta tempoh bertunang 2 tahun sehingga dia habis bekerja dengan saya.

Saya amat rasa bertuah dan amat dilindungi Allah. Bayangkan sekiranya Ija tidak memikirkan kami, sudah pasti tidak sanggup bertunang 2 tahun, dan sudah pasti tunangnya juga tidak sanggup menunggu 2 tahun. Sudah pasti ketika dia balik kali kedua tahun lepas, dia boleh memilih untuk tidak balik semula ke sini. Saya melihat Ija dengan paradigma yang baru. Dan dalam diam saya amat menghargai dia kerana amanah dan menunaikan janji.

Tadi saya ingatkan Amni, "5 hari lagi tau Kak Ija akan balik ke Indonesia." Kononnya, supaya dia boleh bersedia secara mental dan tidak terperanjat. Amni sangat rapat dengan Ija, teramat rapat, kawan sepermainan Barbie! Terkebil-kebil mata Amni, perlahan dia merayu pada saya, "6 hari lagi boleh tak?" Sedih saya mendengarnya, "Tak boleh, sebab kalau 6 hari, Kak Ija tertinggal kapalterbang nanti. Tiket dia hari Sabtu." Amni turun mendapatkan Ija, dan memberitahu Ija, "Nanti Kak Ija telefon Amni tiap-tiap hari ya! Ingat tau.."

Saya sudah dapat membayangkan suasana di airport hari Sabtu nanti. Mesti ada 'drama swasta' berbabak-babak...Saya mungkin tidak menangis. Tapi sekiranya Amni menangis, pasti saya akan ikut menangis sebab sedih melihat dia menangis. Itu yang saya tak sanggup. Apa boleh buat, Ija kena balik juga, tak boleh tangguh...

Agen yang mana satu?

(Catatan umrah - backdated Mac 2009)

Pada mulanya saya memilih agen Umrah yang pernah digunakan oleh adik lelaki saya dan ibubapa saya. Saya memilih tarikh yang paling sesuai untuk pakej 14 hari. Paling penting saya mesti pergi sebelum Jun. Ija (maid saya) akan tamat visa kerja pada 14 Jun. Dia sudah bekerja dengan saya selama 4 tahun dan meminta untuk balik ke Indonesia pada 14 Jun itu juga. (Baca catatan mengapa Ija mahu balik pada 14 Jun, bertajuk: Maaf Puan, saya nggak boleh tangguh...). Sebab utamanya, kami akan meninggalkan Amni di bawah jagaan Ija. Jadi kami mahukan seseorang yang Amni rasa selesa dan selamat, seseorang yang tahu tentang kebiasaan dan perangai Amni, dan seseorang yang kami percayai. Jadi 2 perkara penting yang mesti saya pertimbangkan dalam pemilihan tarikh - tarikh mesti sebelum Jun, dan pada tarikh yang saya dan Nisha berasa 'yakin selamat'.

Tetapi akhirnya saya bertukar agen Umrah walaupun telah membayar deposit. Ini kerana pakej asal telah bertukar menjadi pakej 11 hari. Tarikh lain pula memerlukan suami dan Zaid untuk memakai pakaian ihram dari KLIA kerana penerbangan terus ke Jeddah dan kami perlu ke Mekah untuk menunaikan umrah terlebih dahulu. Bimbang pula mereka tidak selesa memandangkan tempoh penerbangan yang panjang, lebih-lebih lagi tarikh tersebut tidak sesuai untuk saya dan Nisha. (Waktu itu, saya tidak tahu terdapat ruang solat di dalam Saudi Airlines yang boleh digunakan untuk memakai pakaian ihram.)
Jadi kerana ingin berada lebih lama di Tanah Suci, saya mencari agen lain yang menawarkan pakej 14 hari pada tarikh yang sama. Antara perkara yang boleh dijadikan panduan kepada yang akan pergi Umrah pertama kali:
  1. Sebaiknya dapatkan penerbangan terus ke Madinah. Dengan ini, kita mendapat kelebihan dari segi masa. Sekiranya sampai di Madinah malam, Subuh esoknya sudah boleh bersolat di Masjid Nabawi. Pagi itu bagi Muslimah, sudah boleh ke Raudhah. Berbanding jika penerbangan ke Jeddah, perlu pula menaiki bas 5-6 jam untuk ke Madinah. Berkemungknan Zohor baru boleh bersolat di Masjid Nabawi. Malamnya baru Muslimah dapat ke Raudhah memandangkan waktu ke Raudhah selepas Zohor adalah sangat singkat.
  2. Sekiranya penerbangan terus ke Jeddah dan menunaikan umrah terlebih dahulu, jamaah perlu memakai pakaian ihram di KLIA. Walaubagaimanapun, sekiranya menggunakan penerbangan Saudi Airlines, jamaah boleh memilih untuk memakai pakaian ihram di dalam kapalterbang dengan selesa. Terdapat ruang solat yang boleh digunakan oleh jamaah lelaki untuk memakai pakaian ihram. Ruang solat ini agak luas dan penumpang boleh solat berjamaah di ruang ini. Saya tidak pasti dengan ruang solat di Malaysian Airlines. Mungkin ada pembaca yang boleh berkongsi pengalaman.
  3. Perbezaan harga pakej Umrah selalunya melibatkan juga destinasi penerbangan dan syarikat penerbangan yang digunakan. Ada pakej yang murah tetapi perlu transit dan bermalam di tempat transit sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah. Urusan di bahagian imigresen di airport transit adakalanya memakan masa terutama jika urusan masih dilakukan secara manual.
  4. Pilih agen berdasarkan pengalaman keluarga dan rakan-rakan yang pernah menggunakan mereka. Bimbingan mutawwif ketika mengerjakan umrah wajib memang amat membantu terutamanya bagi jamaah yang pergi pertama kali seperti saya. Setelah memilih agen, sentiasa bersangka baik dengan agen dan bertawakal agar kita juga mendapat kemudahan sebagaimana yang keluarga dan rakan-rakan kita ceritakan berkenaan agen tersebut. Kerana, apa yang akan kita terima merupakan rezeki masing-masing...

Pengalaman peribadi saya: Sepandai-pandai kita merancang, ketentuan Allah lebih cantik dan sempurna untuk kita...pengalaman memilih agen telah membuka mata saya bahawa perkara ibadah perlu banyak-banyak berserah dengan kekayaan ilmu Allah, siapalah kita...apalah sangat tahap ilmu yang kita ada...

Betul ke nak pergi umrah ni?

(Catatan umrah - backdated Februari 2009)

Niat untuk menunaikan umrah mula berlegar-legar di kepala sepanjang tahun 2008. Tapi waktu itu, kepala asyik memikirkan masalah terutamanya yang berkaitan kewangan. Sebenarnya saya tahu adalah lebih baik fokus kepada penyelesaian, tetapi hati masih tetap mahu memikirkan isu itu dan ini. Saya membuat kesimpulan, hati sendiri yang belum mantap, sekadar ada keinginan tinggi tetapi bukan satu keinginan yang cukup kuat. Jadi, pantang ada masalah, perkara itulah yang dijadikan isu.

Dan ketentuan Allah itu memang tersangat cantik. Awal tahun gerak hati menjadi cukup kuat. Pelbagai dugaan datang yang mana sekadar mengadap manusia meminta pertolongan tidak memadai lansung. Rasanya sudah cukup maksimum keperluan untuk mengadap Allah secara terus. Setiap kali solat melihat gambar Kaabah di sejadah, rasa teringin yang amat sangat melihat Kaabah yang sebenar. Semakin tinggi keinginan untuk menjejak kaki ke rumah Allah, semakin diri dilanda pelbagai dugaan. Hati menjadi semakin kuat untuk pergi. "Tak boleh jadi ni..., walau apapun, tahun ni mesti pergi juga. Apapun masalahnya, mesti diusahakan juga..."

Sebulan saya membuat 'research' - agen Umrah yang mana satu, tarikh yang mana satu, pakej yang mana satu, sumber kewangan dan 1001 macam lagi. Maklumlah pergi untuk pertama kali, semua perkara saya tidak tahu, kena bertanya dengan ramai orang yang lebih berpengalaman. Apabila maklumat sudah lengkap (perasan saya dah lengkap lah...he..heh), malam itu saya membuat temujanji makan tengahari dengan suami keesokannya. Alhamdulillah, suami agak lapang dan kami makan tengahari bersama esoknya berhampiran pejabat suami.

Sambil makan saya mengajukan 'proposal umrah' kepada suami. Bukan sebarang proposal, tapi proposal yang lengkap...he..heh. Paling utama saya menjemputnya untuk menjadi peneman saya. Saya juga berniat untuk membawa anak sulung (Zaid) dan anak kedua (Nisha).

Mata suami bersinar-sinar terperanjat dan teruja. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan proposal saya mendapat kelulusan. Suami menyokong penuh dan menawarkan bantuan...leganya saya. Malam itu selepas maghrib, kami membuka cerita kepada Zaid dan Nisha. Respon Nisha: "Takutnya...". Respon Zaid: Tak ada respon. Saya memberi mereka masa untuk digest berita ini, maklumlah, hati saya juga berdebar-debar, "Betul ke ni?"

Thursday, May 28, 2009

Perjalanan & Pengalaman Umrah

Saya akan cuba berkongsi cerita dan pengalaman umrah kepada semua. Insya-Allah cerita-cerita tersebut akan saya paparkan secara 'back dated'. Sekarang ni tengah nak adjust kerja-kerja yang banyak tertangguh. Petang ni nak ambil coklat compound, nak cuba menyiapkan order hantaran kahwin untuk Isnin ni.

Tak sabar rasanya nak berkongsi pengalaman umrah...

Friday, May 8, 2009

Sotong Goreng Tepung

Resipi ni mudah dan dijamin menyelerakan...rangup...sedapnya makan dengan nasi panas-panas!

BAHAN-BAHAN:

Bahan A
1 peket perencah ayam tandoori Maggi
2 mangkuk tepung gandum
Secubit garam

(Semua bahan di gaul rata. Cara paling mudah ialah dengan memasukkan kesemua Bahan A ke dalam bekas plastik kedap udara, dan goncang-goncankan sehingga bercampur rata.)

Bahan B
Semangkuk sotong yang telah dibersihkan dan dipotong bulat-bulat
2 ulas bawang putih (tumbuk lumat)
Sedikit serbuk kunyit
1 biji telur (dipukul)

Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

Panaskan minyak. Gaulkan sotong dengan bawang putih, serbuk kunyit dan telur. Salutkan dengan tepung (Bahan A), dan goreng hingga keemasan. Makan panas-panas dengan sos cili Thai.

Selamat mencuba!


Maafkan saya...

Lewat petang, rasa-rasanya saya sudah menghubungi kebanyakan rakan-rakan dan kenalan rapat, memberitahu mereka pemergian saya dan paling utama memohon maaf atas segala salah dan silap, yang saya sedar atau tidak sedar, yang saya ingat atau yang saya terlupa.

Saya juga sempat berwasiat ringkas dengan En. Rosli...he..heh...dalam hati ada takut dan bimbang, tapi berdoa dan berharap agar saya sekeluarga selamat pergi dan selamat balik. Saya juga berharap teramat sangat Amni sihat dan selamat sepanjang pemergian kami.

Sebenarnya saya amat yakin dan bersyukur kerana ada maid yang boleh diharap (Nota: Sedihnya saya dia dah nak balik dah...) dan ibubapa serta adik-adik yang duduk berdekatan. Pastinya mereka boleh melihat-lihat Amni selalu.

Kepada anda semua, saya mohon ampun dan maaf atas segalanya, halalkan semua makan dan minum, tersalah kata, terlanjur perbuatan, semuanya jika ada amat tidak saya sengajakan...

Maafkan saya...doakan saya...

Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman

Membaca buku ini sangat mengesankan. Secara peribadi, wajib dibaca kepada bakal tetamu Baitullah, samada ketika mengerjakan umrah atau haji. Banyak sangat tips yang boeh dijadikan panduan. Saya paling suka tips memberi gula-gula sakit tekak/batuk dan tips paling berguna ialah langkah-langkah ke arah mencium Hajar Aswad.

Insya-Allah saya akan cuba praktikan semua tips itu bila di sana nanti. Saya cadangkan anda melawati blog Prof. Muhd Kamil. Pastinya paradigma akan berubah dalam konteks mengerjakan umrah mahupun haji. Kita mungkin amat kerdil dan jahil, tetapi Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.




Harga: RM 18.00 (Popular Bookstore)
Jumlah m/surat: 164 muka surat

Mana katalog?

"Ada katalog tak?", "Nak tengok sample-lah. Boleh beri katalog tak?"

Bila ramai yang mula bertanya, pening kepala pula jadinya. Nisha (Nota: Anak kedua saya.) sibuk memberi idea tentang katalog coklat, business card, logo dan branding. Semua ini memang ada dalam kepala, tetapi belum berkesempatan lagi. Sibuk sangatlah kononnya tu...he...he..

Terima kasih kepada Dr. Jamaiyah yang kaya dengan idea. Sokongan beliau menaikkan semangat saya. Saya membuat coklat sekadar suka-suka dan kerana kepuasan sendiri. Dapat duit daripadanya merupakan satu bonus. Dengan saranan bernas dari Dr. Jamaiyah, maka lahirlah Cocoahouse! Dalam seminggu, saya siapkan label dan business card. Nishalah yang paling seronok memberikan business card kepada rakan-rakan dan guru sekolahnya.

Satu hari balik dari sekolah, Nisha mendapatkan saya, "Cikgu tanya, ada katalog tak?". Mmm...nampaknya kena buat juga katalog ni.

Buat sementara waktu, saya paparkan dulu beberapa gambar coklat hasil tangan saya di sini. Harap katalog lengkap dapat saya hasilkan dalam masa terdekat.








Tokey coklat!

Anak-anak saya sukakan makanan yang manis-manis. Mereka akan berlari turun ke dapur apabila terbau cookies atau cupcakes yang sedang dibakar di oven. Kepuasaan dan kegembiraan saya ialah apabila mereka memeluk saya dan bertanya, "Masak apa Bu, sedapnya bau...".

Adakalanya belum sempat dibakar, mereka sudah menjilat-jilat bancuhan cookies atau cupcakes.

Kadang-kadang bila malas melanda, saya hanya bergantung harap dengan apa saja yang dimasak oleh Ija (Nota: Maid yang telah bekerja selama 4 tahun dengan saya...). Bila demikian, Zaid akan merungut, "Masaklah Bu...".

Bila mood memasak datang, saya akan masak complete set, maksudnya, dari main course sampailah ke dessert. Meja makan seperti meja buffet, seronoknya melihat anak-anak makan berulang-ulang.

Satu hari, Amni (Nota: Anak bongsu saya) memberi komen, "Kita orang dah boring la makan cup cakes, masak lain pulak la Bu..". Alahai, masak apa pulak ya?

Itulah titik tolak bermulanya "The Cocoahouse". Entah apa yang mendorong saya, akhirnya saya mendaftar ke kelas membuat coklat! Kawan sekelas semuanya sudah pro tentang masak-memasak. Macam-macam perkara tentang coklat yang saya pelajari. Saya rasa saya ni kecil sangat. Memasak ikut pandai sendiri - trial and error. Memang tak pernah belajar secara formal. Terima kasih teramat sangat dengan Chef Amer. Kagum saya dengan pengalaman hidup dan kejayaannya. Terima kasih kerana berkongsi semua ilmu, tak kedekut lansung! Chef Amer memang best...

Selepas 2 hari berkursus, petang itu saya pulang ke rumah dengan sekotak coklat yang cantik bereben untuk anak-anak saya. Dengan bangganya saya beritahu mereka, "Coklat ni semua ibu yang buat!"

Mata anak-anak saya bersinar-sinar, "Ya ke Bu?". Dan mereka berebut-rebut merasa hasil tangan saya selama 2 hari berkursus.

"Betul ke Ibu buat semua ni". Soal mereka berulang kali. "Betul..." Hati saya berbunga bangga. Emak dan abah yang kebetulan ada petang itu terus mencadangkan, "Boleh buat business ni."

Dalam hati saya, "Wah! Tokey coklat in the making."

Berdebarnya...

Hari ini merupakan hari last bekerja sebelum bercuti panjang. Semua rakan sekerja bertanya; "Dah ready?", "Apa perasaan?" dan pelbagai pertanyaan lagi. Apa yang boleh ditunjukkan hanyalah senyuman, dalam hati lain ceritanya. Ada takut, ada suka, ada teruja, bercampur-campur. Takutnya jika diuji bermacam-macam akibat dosa yang banyak... Persediaan yang dibuat rasanya cukup kurang, dari segi fizikal dan mental. Abah berpesan malam tadi, doa sebanyak-banyaknya di semua tempat mustajab, di Raudhah, Multazam, Makam Ibrahim, Hijr Ismail dan Pancur Emas. Jangan lupa solat malam. Sampai sana jangan mandi terus, nanti demam....jangan makan tembikai, nanti senang batuk... Emak pula berpesan supaya sabar, sabar dan sabar. Seronoknya dengar pesan abah dan emak. Tengah malam saya menyelak semula buku panduan umrah untuk memastikan tempat-tempat mustajab berdoa yang abah pesan (Nota: Baru terperasan, banyak yang saya lupa...he..he..kalaulah abah tahu...)

Hari ni, makin petang, makin berdebar...ready ke aku ni?