Wednesday, March 28, 2012

Lega.

Perkembangan terkini tentang 2 kes culik di Kuantan dan Shah Alam memang banyak memberi kelegaan di hati saya seorang ibu.

Lega kerana sedikit sebanyak saya percaya semula bahawa kehidupan di Malaysia masih selamat. Lega kerana kes tersebut bukan kes "serial kidnapper". Hati ibu mana yang tidak risau bila memikirkan ada penculik atau geng van putih yang sedang bermaharajalela menculik anak gadis sesuka hati, di tempat yang paling hampir dengan rumah dan dalam keadaan berteman, pada hari siang terang benderang. Ketika mendengar berita-berita ini hampir setiap hari, saya rasa sungguh tidak selamat. Terasa bahaya berada di mana-mana. Kelekaan boleh membawa penyesalan ke akhir hayat. Saya tidak benarkan anak-anak keluar rumah, pastikan mereka menunggu kereta di dalam kawasan sekolah, dan tak boleh bermain di padang permainan.
Keterlaluankah saya? Mengenangkan Sharline yang 
masih gagal ditemui...saya rasa tindakan saya amat berpatutan.
Saya tahu anak-anak bosan terperap di rumah. Tapi itulah kesannya bila keselamatan kita semua sudah mula terancam. 

Dan bila kes culik rupanya kes lari... saya lega teramat-amat. Sekurang-kurangnya, 2 kes ini bukan diculik oleh geng penculik yang sama yang sedang berlegar-legar di luar sana. Dan saya berdoa agar serial kidnapper ini tidak wujud. Namun, waspada perlu tetap waspada.

Dalam konteks yang lain, saya bersimpati dengan 2 ibu yang terlibat. Cetek sungguhkah fikiran anak-anak gadis kita sekarang?  Ibu-ibu ini memberitahu media anak gadis mereka sangat baik dan mendengar kata. Adakah itu kenyataannya anak gadis kita sekarang? Di depan kita lain, di belakang kita lain?

Saya lihat telus ke wajah anak-anak saya...adakah saya mengenali siapa mereka di belakang saya?  
Penculik boleh mengambil anak saya, tetapi tanpa penculik pun saya masih boleh kehilangan mereka terutama bila anak-anak ini sudah hilang diri mereka yang sebenar.  Mereka hilang bersama nilai dan jati diri yang hilang.
Dalam tangisan, kita hanya mampu berdoa agar mereka menemui jalan pulang!

Nota buat anak-anak:

Larilah ikut pintu hadapan...

Anak-anak semua! Usahlah lari dari rumah. Pilihan itu sudah terbukti salah. Walau susah, walau tertekan, usahlah lari!

Namun andainya sudah nekad, maka larilah jauh-jauh, usah menoleh lagi. Usah lari separuh jalan. Larilah bersungguh-sungguh.  Buktikan pilihan kamu betul, jika kamu yakin ianya betul. Moga Allah membantu kamu. Dan jika satu ketika kamu mahu menjenguk kami, masuklah dari pintu hadapan. Usah mencuri-curi ikut pintu belakang. Kami akan bukakan pintu...

1 comment:

Ummi said...

Apabila pertama kali mendgr berita kedua2 kes '├žulik'tersebut, hati saya terus tidak mempercayainya sebaliknya kuat mengatakan mereka sebenarnya lari dr rumah. Kalau dianalisa statistik, kes2 lari dari rumah berlaku pada peringkat umur spt mereka dan hampir kesemuanya mengikut teman lelaki.