Friday, December 9, 2011

Jahil

Banyak perkara yang kita tidak tahu dengan mendalam.  Adakalanya, kita hanya membuat andaian atas perkara yang kita cuma tahu sedikit-sedikit.  Malangnya, mudah pula kita terus membuat penilaian dan sangkaan.  Akibatnya, kita mudah tersilap menilai permata...ingatkan kaca; dan tersilap menilai kaca...ingatkan permata; ingatkan susah...rupanya mudah; ingatkan mudah...rupanya susah; ingatkan betul...rupanya salah.









Mudah bila kita tahu apa yang kita tidak tahu, dan dengan terbuka hati dan minda mengakuinya dan menerimanya.  Lebih baik lagi bila berusaha untuk cuba belajar dan memperbaiki perkara yang kita jahil tentangnya.  Ada pula yang sanggup berguru, membuang ego dan rasa malu.  Bukan mudah menerima kekurangan diri, terutama bila sentiasa yakin yang diri sentiasa betul dan sempurna.
Ada orang yang perlu “terhantuk baru terngadah” – diuji Tuhan baru mula mengenal diri...di mana salahnya saya, di mana kurangnya saya, di mana jahilnya saya?  Bagusnya bila melihat semua ujian Tuhan sebagai satu bentuk teguran penuh rahmat dan kasih sayang.  Memperbaiki kebodohan dengan rasa penuh syukur.  Biarlah kehidupan yang lepas penuh dengan kebodohan, semoga kehidupan yang akan datang dilalui dengan ilmu.
Ada juga yang banyak kali “terhantuk” – tetapi memilih untuk merungut sepanjang masa – semuanya salah dia, kerana dia, sebab dia – kerana saya sempurna, saya tidak pernah silap.  Sudahlah kehidupan yang lepas kurang berilmu, malah terus menerus jahil dan sombong.  Baginya, dialah mangsa keadaan.  Semua perkara adalah masalah baginya.  Susah untuk menerima kebodohan sendiri.  Bila ditegur, dia mudah membalas balik – baginya, hanya orang yang lebih sempurna darinya saja yang boleh menegurnya.  Siapalah kita yang punya banyak kekurangan, langsung tidak layak menegur dan memberitahu.  Jika itu keinginannya, bukankah yang Maha Sempurna telahpun memberikan teguran?  Hanya buta mata dan hati untuk memahaminya.

Tanggungjawab kita hanyalah untuk mengubah kejahilan sendiri.  Kejahilan orang lain hanya mampu untuk kita mengingatkan.  Adakalanya mereka dengar, adakalanya tidak.  Merekalah yang perlu mengubah kejahilan mereka sendiri.  Kita tiada kuasa untuk mengubah orang lain. 
Ubahlah diri sendiri terlebih dahulu.  Apa yang kita tidak tahu, belajarlah!  Tak salah untuk belajar ilmu yang baru, pengetahuan yang baru, perkara yang baru. Lebih-lebih lagi jika ilmu tersebut melibatkan ilmu agama.  Carilah guru, agar kita belajar dengan dibimbing ilmu, bukan nafsu.

Tahun depan, biarlah kita lebih pandai dari tahun ini.  Rugi jika kita memilih untuk jahil seumur hidup.

3 comments:

shami2 said...

Salam kak nija

Kita semua adalah hamba kepadaNya..dan kerana itu kita tidak pernah sempurna....Alhamdulillah sekiranya kita sentiasa menghitung2diri kita setiap masa, dari itulah kita akan maju ke depan dari yang baik kepada yg terbaik lagi insyallah
Sama kita berusaha dan berdoa untuk apa jua yg kita hajatkan...

Asnija said...

Shami,
Terima kasih atas nilai tambah yg Shami selalu berikan.
Pastinya memberi manfaat pada kita semua.
Bermuhasabah tu mudah. Tapi mengakui kekurangan dan dgn rendah hati memperbaikinya itu yg susah. Ego kita besar. Sesekali apa salahnya mengakui walau mungkin hanya pada diri sendiri.. "Ya, akupun ada salahnya.."
Setuju dgn Shami tiada manusia yg sempurna. Yg penting sentiasa berazam perbaiki diri kerana Allah.
Wassalam.

atuk said...

Assalamualaikum Asnija

'terhantuk' tanda Allah sayang

Wassalam