Wednesday, August 25, 2010

Top 10 Bad Habits In Ramadhan.

Apakah 10 tabiat buruk yang paling "TOP" sepanjang Ramadhan ini? 


Masih adakah “Bad Habits” tersebut pada kita?
Menjelang 15 Ramadhan ini, "Bad Habit" keberapakah yang paling ingin anda buang?

(Saya berharap dapat membuang terus Bad Habit yang ke-5.  Anda pula?)

Selamat mengejar Lailatul Qadar...

Thursday, August 19, 2010

Bila puasa...

Bila puasa...banyak sungguh kenangan dan cerita. Semasa kecil nun di kampong, waktu bersahur gelap gelita. Elektrik hanya sampai 11 malam. Lemahnya untuk bangun bukan saja kerana mengantuk, tetapi untuk turun ke bilik air dalam gelap, adakalanya terpijak katak di bilik air, adoii...gelinya....itu yang paling saya tidak suka. Kesabaran dan ketekunan emak memasak dan menyediakan juadah bersahur sentiasa saya ingati, dan menjadikannya contoh terbaik bila saya sendiri menjadi ibu. Apalah sangat memasak dalam terang benderang, dengan dapur gas pula...berbanding emak yang memasak dengan berpelita, dan dapur kayu...(saya pula hanya menekan butang microwave...)

Bila puasa...bangun sahur pada awalnya semata-mata kesiankan anak-anak. Takut nanti mereka tidak tahan berpuasa kerana terlalu lapar. Jika tidak kerana anak, pasti saya tidak bersahur. Namun bila sudah terlalu kerap memujuk anak-anak melawan mengantuk, dan pandai pula menasihati mereka hikmah dan sunnahnya bersahur, lama-lama menyerap juga di hati sendiri...bersahur bukan lagi semata-mata kesiankan anak, tetapi berusaha untuk melakukan apa yang sunnah...

Bila puasa...tiap saat dan minit menjadi sangat signifikan. Menepati masa menjadi satu kewajipan. Semuanya kena tepat. Berbuka tidak boleh awal seminit, bersahur pula tidak boleh lambat seminit. Seminit itu boleh membezakan puasa yang sah atau yang batal. Selepas solat Maghrib, tidak lagi berleka-leka. Semuanya kena pantas, cergas dan cepat untuk mengejar Isyak dan terawih. Jam di dinding perlu menunjukkan waktu yang tepat. Mata pula asyik mengerling...betul ke jam ni? Seminit bukan lagi sekadar seminit, tetapi sangat besar maknanya, lebih-lebih lagi bila terlambat bangun sahur dan masih ada lagi masa seminit sebelum subuh...”Cepat...cepat...masih sempat lagi ni...ada seminit lagi ni....”

Bila puasa...disiplin dan jati diri teruji. Benarkah boleh bersabar? Benarkah boleh mengawal nafsu? Tahun ini, saya mengelak Bazar Ramadhan. Saya memang memilih untuk tidak pergi kerana nanti banyak sangat yang saya “teringin makan” bila sudah “ternampak”. Jadi, biarlah saya tidak “ternampak apa-apa”, supaya “tidak teringat apa-apa” dan “tidak teringin apa-apa”, kerana tahu sukarnya untuk saya mengawal nafsu. Saya tidak “membeli” bukan kerana pandai bersabar, tetapi hanya kerana tidak berani menguji nafsu...

Bila puasa...ibadah menjadi sangat disengajakan. Mengaji, berzikir, solat fardhu, solat sunat, solat terawih memang diniatkan untuk diganda-gandakan. Bulan inilah yang sengaja dikerapkan untuk ke surau atau masjid. Harapannya, yang disengajakan akan menjadi satu kebiasaan semulajadi. Harapannya, tarbiah sebulan ini boleh menukar yang tidak biasa kepada biasa.

Dan bila puasa...teringat pula jika ini Ramadhan yang terakhir, terawih terakhir, Lailatul Qadar terakhir...
Alhamdulillah tahun ini berjumpa Ramadhan semula, tahun depan...siapalah yang tahu...

Bila puasa...apa pula yang anda rasa?

Wednesday, August 4, 2010

Berubah...

Beberapa kali saya bertembung pandangan dengannya. Dia bukanlah seseorang yang saya kenali, tetapi sejak mula masuk ke ruang menunggu, mata saya asyik bertembung mata dengannya. Penerbangan dari Kuala Terengganu ke KLIA pula terlewat sejam malam itu, dan saya keletihan kerana baru saja habis program di Kerteh, terus pula menaiki teksi hampir 2 jam perjalanan. Letih dan kehabisan tenaga. Jadi, saya memilih tempat duduk yang agak tersembunyi untuk melelapkan mata sebentar. Namun bila disuruh tidur, susah pula mata mahu terlelap dan perut pula terasa lapar. Siang tadi hanya makan sekadar mengalas perut, dan sekarang ini perut berkeroncong, berpesta bunyi-bunyian. Saya hanya ada sepotong sandwich, dan lantas bangun ingin membeli secawan milo panas. Nikmat sungguh...sandwich dan milo saya habiskan dengan sekelip mata.

















Kemudian saya duduk semula di ruang yang agak lengang dan membuka buku menyambung bacaan. Dari ekor mata, saya perasan “si dia” yang asyik bertembung mata dengan saya tadi datang menghampiri. Saya mengangkat muka dan melemparkan senyuman (walau dalam hati ada terdetik rasa hairan). Beliau membalas senyuman saya dan terus duduk di bangku yang kosong di hadapan saya.

“Maaf ye kak, akak ni Asnija Wati Binti Imam Asmui, kan?” Dia mula menyapa.

Wah! Terperanjat saya dibuatnya. Bukan mudah untuk orang mengingat nama saya sepenuhnya begitu. Dan apabila dia menyebutnya dengan sempurna sekali, sudah tentu saya kehairanan, terkejut, pelik dan teruja. Siapa pula dia ni? Saya jarang memperkenalkan diri dengan nama penuh, jika adapun, jarang ada yang boleh mengingatinya. Paling tidak, hanya rakan-rakan waktu sekolah sahaja yang boleh mengingat sebegitu lengkap. Tetapi dia pula memanggil saya “kakak”. Siapa pula dia ni? Saya langsung tidak dapat mengecamnya.

“Ya, betul...” Jawab saya, mengangguk-angguk. Saya senyum dan memandang mukanya mencari jawapan....siapakah dia ini? Saya cukup tidak suka bila orang mengenali saya, tetapi saya pula tidak mengenali mereka. Terasa bagai sombong benar. Tetapi, sungguh saya tidak ada “clue” lansung.

“Memang saya dah agak bila mula-mula ternampak akak tadi. Akak ni tak berubah lansung, macam dulu jugak.” Nada suaranya jelas teruja berjumpa dengan saya. Hati saya bertambah tidak senang. Siapa dia ni? Teruk sungguh daya ingatan saya.  Come on Asnija...ingat...ingat...siapa dia ni? Tapi saya lansung tidak dapat mengecamnya.

“Minta maaf banyak-banyak, saya tak dapat ingat, kita pernah berjumpa di mana ye?” Soal saya dengan rasa amat bersalah sekali.

Dan dia pun mula membuka cerita. Rupanya dia junior saya di Maahad. Untuk dia mengingat nama saya sehingga begitu sekali...bagus sungguh ingatan dia. Sedangkan saya langsung tidak dapat mengingati nama penuhnya.

Tapi benarkah saya tidak berubah langsung seperti kata beliau?

Kenyataan itu sebenarnya menakutkan saya kerana saya berpendapat, terlalu banyak perubahan yang saya lalui...secara fizikal (sudah tentu), secara mental, secara spiritual dan secara emosional. Jadi, bila dia mengatakan saya tidak berubah langsung, sememangnya tidak benar.  Mungkin dia tidak begitu mengenali saya....dahulu dan sekarang....dan tidak dapat mengecam perubahan saya...

Sebaliknya, jika ada yang bertemu saya dan berkata, “Wah, awak sudah berubah berbanding dulu!”. Kenyataan itu juga tidak benar dan bermaksud dia juga tidak begitu mengenali saya, kerana ada banyak perkara tentang saya yang tidak berubah lansung!

Jadi apa yang berubah dan apa yang tidak? Hanya saya yang tahu dan menyedarinya. Ada perubahan yang saya banggakan, dan ada perubahan yang saya tidak menyukainya langsung. Ada perubahan yang saya mahu mengubahnya semula kepada yang asal.  Dan ada perubahan yang saya berdoa agar diberi istiqamah, berterusan dan bertambah baik...Dan ada banyak perkara tentang saya yang sememangnya tidak berubah (dan alhamdulillah ianya kekal seperti dulu...)

Berubah atau tidak berubah...yang penting pada pendapat saya, usahlah berubah kerana manusia! Dan jika inginkan hasil yang signifikan, ubahlah paradigma terlebih dahulu, baru diikuti dengan perubahan tingkahlaku. Paling utama, berubahlah kerana Allah, atas dasar kesedaran dan keinsafan sendiri. Berubahlah atas sebab yang betul, atas prinsip yang sebenar. Perubahan begini akan lebih kekal dan berpanjangan. Jika sekadar berubah kerana manusia (dan sekadar disebabkan faktor-faktor luaran), perubahan itu pasti tidak dapat bertahan lama.

Tahun ini...apakah 3 perkara yang ingin anda ubah? Dan bagaimanakah pencapaian anda setakat ini?

Dan Ramadhan ini...apakah 3 perkara yang ingin anda ubah secara signifikan?

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN!

Monday, August 2, 2010

I'm on top of the world...

Bila berada jauh nun di puncak dunia, dan berpeluang melihat ke bawah melalui sudut pandangan 360 darjah....definitely... it’s a privilege...






















Penglihatan ketika di bawah pasti tidak sama dengan pandangan ketika di atas. Ianya berbeza dan memberi kesan yang sama sekali berbeza. Pandangan dan pemikiran jadi lebih luas, lebih jauh saujana mata memandang. Apa yang kita lihat pastinya tidak sepertimana yang dilihat oleh orang lain. Dan apa yang kita tahu, juga berbeza dari apa yang orang lain tahu. Pemahaman kita turut berbeza dengan pemahaman orang lain. Bila demikian, pendapat turut berbeza, penilaian turut berbeza, malahan tingkahlaku turut berbeza.

When you’re on top of the world, with the top most important person in your own world...the feelings and emotions become so significant... it gives me 360 degree turn in life...


Dear, thank you for the opportunity to view things in a very different angle and perspective!

How does it feel for you...to be on top of the world?