Thursday, August 19, 2010

Bila puasa...

Bila puasa...banyak sungguh kenangan dan cerita. Semasa kecil nun di kampong, waktu bersahur gelap gelita. Elektrik hanya sampai 11 malam. Lemahnya untuk bangun bukan saja kerana mengantuk, tetapi untuk turun ke bilik air dalam gelap, adakalanya terpijak katak di bilik air, adoii...gelinya....itu yang paling saya tidak suka. Kesabaran dan ketekunan emak memasak dan menyediakan juadah bersahur sentiasa saya ingati, dan menjadikannya contoh terbaik bila saya sendiri menjadi ibu. Apalah sangat memasak dalam terang benderang, dengan dapur gas pula...berbanding emak yang memasak dengan berpelita, dan dapur kayu...(saya pula hanya menekan butang microwave...)

Bila puasa...bangun sahur pada awalnya semata-mata kesiankan anak-anak. Takut nanti mereka tidak tahan berpuasa kerana terlalu lapar. Jika tidak kerana anak, pasti saya tidak bersahur. Namun bila sudah terlalu kerap memujuk anak-anak melawan mengantuk, dan pandai pula menasihati mereka hikmah dan sunnahnya bersahur, lama-lama menyerap juga di hati sendiri...bersahur bukan lagi semata-mata kesiankan anak, tetapi berusaha untuk melakukan apa yang sunnah...

Bila puasa...tiap saat dan minit menjadi sangat signifikan. Menepati masa menjadi satu kewajipan. Semuanya kena tepat. Berbuka tidak boleh awal seminit, bersahur pula tidak boleh lambat seminit. Seminit itu boleh membezakan puasa yang sah atau yang batal. Selepas solat Maghrib, tidak lagi berleka-leka. Semuanya kena pantas, cergas dan cepat untuk mengejar Isyak dan terawih. Jam di dinding perlu menunjukkan waktu yang tepat. Mata pula asyik mengerling...betul ke jam ni? Seminit bukan lagi sekadar seminit, tetapi sangat besar maknanya, lebih-lebih lagi bila terlambat bangun sahur dan masih ada lagi masa seminit sebelum subuh...”Cepat...cepat...masih sempat lagi ni...ada seminit lagi ni....”

Bila puasa...disiplin dan jati diri teruji. Benarkah boleh bersabar? Benarkah boleh mengawal nafsu? Tahun ini, saya mengelak Bazar Ramadhan. Saya memang memilih untuk tidak pergi kerana nanti banyak sangat yang saya “teringin makan” bila sudah “ternampak”. Jadi, biarlah saya tidak “ternampak apa-apa”, supaya “tidak teringat apa-apa” dan “tidak teringin apa-apa”, kerana tahu sukarnya untuk saya mengawal nafsu. Saya tidak “membeli” bukan kerana pandai bersabar, tetapi hanya kerana tidak berani menguji nafsu...

Bila puasa...ibadah menjadi sangat disengajakan. Mengaji, berzikir, solat fardhu, solat sunat, solat terawih memang diniatkan untuk diganda-gandakan. Bulan inilah yang sengaja dikerapkan untuk ke surau atau masjid. Harapannya, yang disengajakan akan menjadi satu kebiasaan semulajadi. Harapannya, tarbiah sebulan ini boleh menukar yang tidak biasa kepada biasa.

Dan bila puasa...teringat pula jika ini Ramadhan yang terakhir, terawih terakhir, Lailatul Qadar terakhir...
Alhamdulillah tahun ini berjumpa Ramadhan semula, tahun depan...siapalah yang tahu...

Bila puasa...apa pula yang anda rasa?

8 comments:

kak su said...

Salam Asnija

Salam Ramadhan juga ya...
Alhamdulillah...semuga kita akan menjadi yang terbaik di antara yang terbaik ya...

Kesederhanaanlah yg patut kita utamakan dalam melayani fitrah/naluri kemanusiaan kita ni...

Tapi rebutlah tempat di sana. Tempatnya kita kembali...di situlah kebahagiaan yang abadi.

Wslm.

Unknown said...

salam As..

Alhamdulillah bersyukur kerana kita masih lg dikurniakan nikmat usia hingga dpt lg sekali menemui Ramdhan Kareem pd tahun ini.
tahun depan belum tentu di mana kita..

baru kejap sblm asar bersembang dgn shbt tadarus nikmat bersahur dikampong zaman kita kanak2 dulu ....
tup tup As pun sembang yg sama di sini...MasyaAllah

salam Ramadhan ..
ALLAHUMMAFTAH 'ALAIK

Atikah said...

Salam Kak Nija & Selamat berpuasa...

Bila akak sebut kisah sahur dolu2 teringat lak kat kg halaman... Saya generasi yang masih sempat merasai bersahur menggunakan pelita... seperti yang akak rasai... coz kg saya terlamat terima kemudahan asas... huhuhu

sinomosa said...

Salam Kanda,

Selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh keimanan dan kesungguhan.

Alhamdulillah, sy jua bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan pada kali ini. Tahun depan, masih belum pasti..Mungkin jua telah berpuasa bersama si dia, ahaks [sempat lagi nak menyelit kan hihi Amin]

taj said...

Salam Kak Nija,

syukur alhamdulillah hanya pd Allah semata2...krn masih diberi nikmat dan kesempatan utk berpuasa tahun ini...tahun depan rahsia Allah...adakah kita ada lagi di bumi ini...wallahualam
dikesempatan yg ada, rebutlah peluang dan gandakan dan teruskan segala amalan yg digandakan itu terus bulan2 selepasnya..semoga Allah memberi kekuatan pd kita semua dan dipermudahkan olehNYA...amin Ya Rab
fuhhh...pelita, pernah juga rasa zaman kanak2 dulu...seronok mengimbau kembali kenangan dulu...segalanya pelita, kemudian lampu gasolin, kemudian guna generator, dan akhirnya api letrik...
seronok dpt lalui zaman kepayahan dulu...terasa ada kenikmatan di situ...
teringat, habis lubang hidung kami adik beradik penuh jelaga hitam...kekadang jelaga tu terlekat pd baju sekolah...pagi2 pi sekolah, baju dah comot...hahhaha lawaklah masa tuh...
Allhamdulillah, syukurilah dan nikmatailah serta taubatilah...
dan semoga kita semua menjadi orang2 yg berjaya di dunia dan di akhirat...insyaAllah
w'salam

Naz Mohamed said...

Salam Nija,

Ramadhan kali ini saya rasa begitu berbeza. Ada matlamat apa nk dicapai & ada perancangan.

Pertama kali nak buat tahun nie, bukan sahaja makanan2 sunnah tp cara pemakanan pun ikut sunnah.

Alhamdullillah, sehingga hari ini belum ada makanan yang terbazir jd habuan tong sampah.

Kak Sidah said...

Salam Nija,

Itu lah perubahan masa, mengikut gilirannya..dari tiada apa2 sekarang semuanya dah ada..dari susah2 dahulu sekarang dah bersenang2..itulah nikmat yang Allah berikan pada kita umatnya..maka sentiasalah kita bersyukur atas nikmat yang dihadiahkan pada kita.

Akak pun merasa lebih lama hidup dalam berpelita dikampung..sesuatu yg indah jika dikenang ..

Imran Paris said...

Datin, slm rindu dr kami semua di Paris....Ramadhan ini saya tempuhi dgn seribu kesepian tanpa Bapak bersama.....sungguh berbeza dgn Ramadhan yg pernah sy tempuhi selama hayat ini. Moga arwah ditempatkan bersama mereka yg beriman dan beramal soleh.

Wish i have at least 5 more minutes to be with him.