Wednesday, August 4, 2010

Berubah...

Beberapa kali saya bertembung pandangan dengannya. Dia bukanlah seseorang yang saya kenali, tetapi sejak mula masuk ke ruang menunggu, mata saya asyik bertembung mata dengannya. Penerbangan dari Kuala Terengganu ke KLIA pula terlewat sejam malam itu, dan saya keletihan kerana baru saja habis program di Kerteh, terus pula menaiki teksi hampir 2 jam perjalanan. Letih dan kehabisan tenaga. Jadi, saya memilih tempat duduk yang agak tersembunyi untuk melelapkan mata sebentar. Namun bila disuruh tidur, susah pula mata mahu terlelap dan perut pula terasa lapar. Siang tadi hanya makan sekadar mengalas perut, dan sekarang ini perut berkeroncong, berpesta bunyi-bunyian. Saya hanya ada sepotong sandwich, dan lantas bangun ingin membeli secawan milo panas. Nikmat sungguh...sandwich dan milo saya habiskan dengan sekelip mata.

















Kemudian saya duduk semula di ruang yang agak lengang dan membuka buku menyambung bacaan. Dari ekor mata, saya perasan “si dia” yang asyik bertembung mata dengan saya tadi datang menghampiri. Saya mengangkat muka dan melemparkan senyuman (walau dalam hati ada terdetik rasa hairan). Beliau membalas senyuman saya dan terus duduk di bangku yang kosong di hadapan saya.

“Maaf ye kak, akak ni Asnija Wati Binti Imam Asmui, kan?” Dia mula menyapa.

Wah! Terperanjat saya dibuatnya. Bukan mudah untuk orang mengingat nama saya sepenuhnya begitu. Dan apabila dia menyebutnya dengan sempurna sekali, sudah tentu saya kehairanan, terkejut, pelik dan teruja. Siapa pula dia ni? Saya jarang memperkenalkan diri dengan nama penuh, jika adapun, jarang ada yang boleh mengingatinya. Paling tidak, hanya rakan-rakan waktu sekolah sahaja yang boleh mengingat sebegitu lengkap. Tetapi dia pula memanggil saya “kakak”. Siapa pula dia ni? Saya langsung tidak dapat mengecamnya.

“Ya, betul...” Jawab saya, mengangguk-angguk. Saya senyum dan memandang mukanya mencari jawapan....siapakah dia ini? Saya cukup tidak suka bila orang mengenali saya, tetapi saya pula tidak mengenali mereka. Terasa bagai sombong benar. Tetapi, sungguh saya tidak ada “clue” lansung.

“Memang saya dah agak bila mula-mula ternampak akak tadi. Akak ni tak berubah lansung, macam dulu jugak.” Nada suaranya jelas teruja berjumpa dengan saya. Hati saya bertambah tidak senang. Siapa dia ni? Teruk sungguh daya ingatan saya.  Come on Asnija...ingat...ingat...siapa dia ni? Tapi saya lansung tidak dapat mengecamnya.

“Minta maaf banyak-banyak, saya tak dapat ingat, kita pernah berjumpa di mana ye?” Soal saya dengan rasa amat bersalah sekali.

Dan dia pun mula membuka cerita. Rupanya dia junior saya di Maahad. Untuk dia mengingat nama saya sehingga begitu sekali...bagus sungguh ingatan dia. Sedangkan saya langsung tidak dapat mengingati nama penuhnya.

Tapi benarkah saya tidak berubah langsung seperti kata beliau?

Kenyataan itu sebenarnya menakutkan saya kerana saya berpendapat, terlalu banyak perubahan yang saya lalui...secara fizikal (sudah tentu), secara mental, secara spiritual dan secara emosional. Jadi, bila dia mengatakan saya tidak berubah langsung, sememangnya tidak benar.  Mungkin dia tidak begitu mengenali saya....dahulu dan sekarang....dan tidak dapat mengecam perubahan saya...

Sebaliknya, jika ada yang bertemu saya dan berkata, “Wah, awak sudah berubah berbanding dulu!”. Kenyataan itu juga tidak benar dan bermaksud dia juga tidak begitu mengenali saya, kerana ada banyak perkara tentang saya yang tidak berubah lansung!

Jadi apa yang berubah dan apa yang tidak? Hanya saya yang tahu dan menyedarinya. Ada perubahan yang saya banggakan, dan ada perubahan yang saya tidak menyukainya langsung. Ada perubahan yang saya mahu mengubahnya semula kepada yang asal.  Dan ada perubahan yang saya berdoa agar diberi istiqamah, berterusan dan bertambah baik...Dan ada banyak perkara tentang saya yang sememangnya tidak berubah (dan alhamdulillah ianya kekal seperti dulu...)

Berubah atau tidak berubah...yang penting pada pendapat saya, usahlah berubah kerana manusia! Dan jika inginkan hasil yang signifikan, ubahlah paradigma terlebih dahulu, baru diikuti dengan perubahan tingkahlaku. Paling utama, berubahlah kerana Allah, atas dasar kesedaran dan keinsafan sendiri. Berubahlah atas sebab yang betul, atas prinsip yang sebenar. Perubahan begini akan lebih kekal dan berpanjangan. Jika sekadar berubah kerana manusia (dan sekadar disebabkan faktor-faktor luaran), perubahan itu pasti tidak dapat bertahan lama.

Tahun ini...apakah 3 perkara yang ingin anda ubah? Dan bagaimanakah pencapaian anda setakat ini?

Dan Ramadhan ini...apakah 3 perkara yang ingin anda ubah secara signifikan?

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN!

12 comments:

taj said...

Salam Kak Nija,


ye...kita perlu berubah krn Allah semata2...perlu mula dr kecil2 @ sedikit dahulu...dan juga istiqamah...

Taj pun mahu berubah...sedang mencuba dan terus mencuba nih...kekadang tersasar juga...itulah kelemahan saya, susah utk istiqamah...

3 perkara yg ingin saya ubah:

tahun ini:
lebih muslimah
berlemah lembut dlm tindakan
solat awal waktu

ramadhan ini:
bagun awal & solat malam
nak lebih baca quran dr biasa
nak berbuka & berterawikh di masjid

insyaAllah...muga Allah mempermudahkan...amin

Naz Mohamed said...

Salam Nija,

Tentu ada sesautu pd Nija yg membolehkan 'si dia' ingat dgn tepat. Pernah terjadi pd saya, rakan sekolah rendah yg tidak pernah berjumpa dan bertanya kabar selepas hampir 35 tahun berpisah, menegur mengingati saya. Trade mark saya ialah pd hidung yg bengkok mcm burung belatuk dan mata yg besar mcm burung hantu..ha ha ha.

S said...

salam Nija,

kak as ni biasa biasa saja....
sekadar nak betulkan yang biasa biasa
lalu biasa biasakan yang betul.

InsyaAllah.

Asnija said...

Salam Taj,
Terima kasih dengan nilai tambah yang dikongsikan.

Bukan senang untuk berubah, lebih lagi bila melibatkan perubahan tingkahlaku sendiri. Nak memulakan perubahan tu adakalanya senang, nak istiqamah tu yang susah...banyak sungguh yang akan mengganggunya - rasa malas, rasa hilang mood, cabaran dan dugaan, cakap-cakap orang...dsb.

Dan akak setuju sangat untuk kita bermula dengan yang kecil-kecil dulu, biar kecil tapi impaknya besar...semoga kita saling ingat mengingati ye...dan saling beri dorongan kepada satu sama lain.

Seronok baca 3 perkara untuk Taj ubah tahun ini dan Ramadhan ini. Solat awal waktu dah spesifik, dan pasal nak jadik lebih muslimah tu memang best azam tu...kalau Taj nak lebih terasa relevan, bolehlah buat lebih spesifik...apakah satu perkara yang Taj boleh buat secara konsisten tahun ini, dan boleh menjadikan diri lebih muslimah solehah...mungkin bab solat, mungkin bab AL-Quran, mungkin bab pakaian, mungkin bab pergaulan, mungkin bab tingkahlaku....

Biasanya, bila yang nak kita capai lebih spesifik, lebih rasa seronok untuk mencapainya...samalah macam bila kita main game, lebih seronok bila ada scoreboard...

Contohnya, Ramadhan ni, nak make sure bacaan Quran melepasi juzuk 15, and for that, lepas setiap solat mesti baca at least 5 muka surat...Apa perubahannya berbanding Ramadhan lepas? Ramadhan lepas, tak pernah melepasi juzuk 15...Itu sebagai contoh.

Ramadhan ini, akak juga ada 5 perkara nak akak ubah, 3 perkara mesti diubah, 2 perkara lagi sebagai bonus...semoga kita diberi kekuatan dan kemudahan oleh Allah...

Asnija said...

Salam Ina,
Kelakarlah Ina ni...
Harapan kita semua, biarlah orang ingatkan kita atas perkara-perkara yang baik-baik je kan...

Asnija said...

Salam Kak As,
Suka dengan apa yang Kak As tulis..
sebab yang biasa-biasa tu lah yang tak biasa dibuat...
it's a common sense...but not a common practice..

sinomosa said...

Salam Kanda,

Sy juga akan meletakkan perubahan yg specifik utk sy capau di dalam bulan ramadhan ini yg jua dikenali sebagai bulan tarbiah..Insya-Allah
Thanks for sharing kak..

taj said...

Salam Kak Nija,

ye betullah...spesifik baru relevan...

terimakasih banyak2...kata2 akak membuat saya lebih bersemangat utk capai target perubahan tu...

insyaAllah...semoga Allah mmpermudahkan kita...

shami2 said...

salam kak nija...

Sama2 kita berubah dari yang baik kepada yang terbaik...dan istiqamah..dalam urusan kita...mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya....

ain ismail said...

Kak nija,

Salam ramadhan.Teruskan menulis untuk menjadi inspirasi kepada semua! Thank you so much.

Umi Azuddin said...

Salaam Kak Nija,

Selamat menyambut Ramadhan AlMubarak kepada Kak Nija sekeluarga. Semoga perubahan diri yang kita pupuk dalam bulan yang mulia ini akan berterusan dan menjadi bertambah baik lagi sehinggalah ke saat dijemput menemui Sang Pencipta.
Dinda mohon ampun dan maaf atas segala kesilapan dan keterlanjuran dinda terhadap kanda. Harap dimaafkan ye? :)

Semoga ibadah kita diterima Allah hendaknya. Amin.

VpeaceV

iv said...

Salam Puan Asnija
agaknya sebuk menegrjakan ibadah dalam ramadan, sampai tak ber'update' blog ye

Semoga kita mendapat keberkatan dan keampunan dalam ramadhan ini