Wednesday, March 28, 2012

Lega.

Perkembangan terkini tentang 2 kes culik di Kuantan dan Shah Alam memang banyak memberi kelegaan di hati saya seorang ibu.

Lega kerana sedikit sebanyak saya percaya semula bahawa kehidupan di Malaysia masih selamat. Lega kerana kes tersebut bukan kes "serial kidnapper". Hati ibu mana yang tidak risau bila memikirkan ada penculik atau geng van putih yang sedang bermaharajalela menculik anak gadis sesuka hati, di tempat yang paling hampir dengan rumah dan dalam keadaan berteman, pada hari siang terang benderang. Ketika mendengar berita-berita ini hampir setiap hari, saya rasa sungguh tidak selamat. Terasa bahaya berada di mana-mana. Kelekaan boleh membawa penyesalan ke akhir hayat. Saya tidak benarkan anak-anak keluar rumah, pastikan mereka menunggu kereta di dalam kawasan sekolah, dan tak boleh bermain di padang permainan.
Keterlaluankah saya? Mengenangkan Sharline yang 
masih gagal ditemui...saya rasa tindakan saya amat berpatutan.
Saya tahu anak-anak bosan terperap di rumah. Tapi itulah kesannya bila keselamatan kita semua sudah mula terancam. 

Dan bila kes culik rupanya kes lari... saya lega teramat-amat. Sekurang-kurangnya, 2 kes ini bukan diculik oleh geng penculik yang sama yang sedang berlegar-legar di luar sana. Dan saya berdoa agar serial kidnapper ini tidak wujud. Namun, waspada perlu tetap waspada.

Dalam konteks yang lain, saya bersimpati dengan 2 ibu yang terlibat. Cetek sungguhkah fikiran anak-anak gadis kita sekarang?  Ibu-ibu ini memberitahu media anak gadis mereka sangat baik dan mendengar kata. Adakah itu kenyataannya anak gadis kita sekarang? Di depan kita lain, di belakang kita lain?

Saya lihat telus ke wajah anak-anak saya...adakah saya mengenali siapa mereka di belakang saya?  
Penculik boleh mengambil anak saya, tetapi tanpa penculik pun saya masih boleh kehilangan mereka terutama bila anak-anak ini sudah hilang diri mereka yang sebenar.  Mereka hilang bersama nilai dan jati diri yang hilang.
Dalam tangisan, kita hanya mampu berdoa agar mereka menemui jalan pulang!

Nota buat anak-anak:

Larilah ikut pintu hadapan...

Anak-anak semua! Usahlah lari dari rumah. Pilihan itu sudah terbukti salah. Walau susah, walau tertekan, usahlah lari!

Namun andainya sudah nekad, maka larilah jauh-jauh, usah menoleh lagi. Usah lari separuh jalan. Larilah bersungguh-sungguh.  Buktikan pilihan kamu betul, jika kamu yakin ianya betul. Moga Allah membantu kamu. Dan jika satu ketika kamu mahu menjenguk kami, masuklah dari pintu hadapan. Usah mencuri-curi ikut pintu belakang. Kami akan bukakan pintu...

Tuesday, March 13, 2012

1 Million Policy.

Satu hari saya mendapat satu panggilan telefon yang jauh di luar jangkaan saya.
“Asnija, ini Johari ni...”
Lama saya cuba mengingat, dan satu yang saya ingat ialah Johari Takaful Prudential.  Saya pernah bercerita tentang beliau dalam entri [A moment of truth].

Saya bertanya khabar, terperanjat kerana dia membuat panggilan tanpa diduga.
“Ada apa-apa yang saya boleh tolong?”  Terus saya bertanya.  Dalam kepala, mungkin dia gagal menghubungi adik saya dan mahukan bantuan saya.

“You dah tolongpun!”  Jawapan Johari lebih membuatkan saya tertanya-tanya.
“I cari blog you punyalah lama....nasib baik I masih ada no. handphone you.”

“Apa cerita ni?”  Saya bertanya lagi, sungguh-sungguh tak ada clue.
“Ada sorang pembaca blog you mencari saya, nak dapatkan Takaful.  Dia kata tahu tentang saya dari blog you.  Sayapun carilah you punya blog  Bila dah jumpa blog you, mencari lagi entri yang mana satu.  Akhirnya baru terjumpa.”

“Your reader beriya-iya nak I uruskan Pelan Takaful dia.”
“Berapa banyak?”

“1 million policy.”  Wow!  Banyaknya.  Terpegun saya.
“Alhamdulillah!  I am happy for you.”

“Inilah yang saya call nak ucap terima kasih banyak kat you.” (Ahaa!  Barulah terungkai semua kehairanan saya.)

“Ohh...tak ada apa sangatpun bantuan saya.  Orang kata, kalau servis you bagus, pasti semua orang suka rekomen. You jagalah client you baik-baik, moga-moga bertambah-tambah rezeki you ye!”
Bukan setiap hari kita terpijak rezeki 1 juta.  Bila ianya terpijak, bukan pula dicari, itu namanya rezeki datang menggolek-golek.  Namun ia bermula dengan diri kita.  Jika kita berikan yang terbaik, pusingan baik akan berbalik pada kita juga.  Kerana, semua orang sukakan yang baik-baik saja.  Bila mereka suka, mereka bercerita.  (Jika tak baik, mereka juga bercerita.)  Adakalanya, bila dah suka sangat, orang rekomen beriya-iya.  Orang pula yang buat “marketing” untuk kita.  Dan bila dah orang rekomen, lebih mudah orang percayakan kita.  Lebih ramai yang suka berurusan dengan kita.

Sekarang tidak seperti zaman sebelum google.  Sekarang, orang membeli berdasarkan apa yang mereka baca.  Dulu, bila ingin makan di sesebuah gerai, fomulanya mudah, orang akan ke gerai yang ramai pelanggan, “kalau dah ramai orang makan di situ, mesti sedap-lah tu...”
Fomula sekarang, “Kalau dah banyak blog cerita kedai tu best, maka betullah tu...”

Tahniah buat Johari, moga 2012 semakin murah rezeki.  Pada sesiapa yang sedang mencari-cari Pelan Takaful, dan mengharapkan “after sales service” yang bagus, bolehlah hubungi Johari di 019-2883361.

Kepada silent reader yang  saya maksudkan, terima kasih kerana percayakan cerita saya.  Semoga mendapat khidmat yang terbaik.  Saya yakin Johari akan melakukan yang terbaik buat Puan sekeluarga.  Harap Johari akan menjaga akaun ini sebaik-baiknya agar kepercayaan terus kukuh.
Untuk the next 1 million...akan menjadi milik siapa agaknya?

Monday, March 12, 2012

Senaaaanggg je....

Kadang-kadang ilmu ni boleh datang dari sumber yang tak disangka-sangka.  Dan bila tak diduga, ianya boleh masuk jauh ke dalam hati.  Melekat dan berbekas!

Satu pagi yang indah...dalam perjalanan menghantar Amni ke kelas swimming, tiba-tiba je dia bersuara.

"Budak lelaki dalam kelas Amni semua jealous...diorang nak jadi orang perempuan...”

Dalam terperanjat, saya menyoal balik, “Kenapa nak jadi orang perempuan?”

“Ustaz cakap, orang perempuan senaaaaangg je nak masuk syurga...”  (Sebut “senang” dengan gaya memanjang.....)

“Ohhhh....ye ke?  Best nyerrrr....”  Jawab saya.

"Senang je, Bu.  Buat 3 perkara je dah boleh masuk syurga.  Pertama solat, kedua taat pada Allah, ketiga taat pada suami.  Senang je...Amni pun dah ingat.  Lepas tu semua budak lelaki jealous, sebab senang sangat...”  Amni bercerita dengan semangat dan penuh keterujaan.

Suami mengerling saya, “Dengar tu, Bu!  Senang je...”

Sepanjang perjalanan selepas itu, saya asyik teringat-ingat cakap budak-budak Amni.  Ianya sangat “innocent” tapi berjaya masuk ke dalam hati. “Senaaaangg...je....”

Ya betul!  Senaaaanggg jer..... Tapi kenapalah yang senang tu jadi susah sangat? 
__________________________________________________________


Di sebut dalam satu hadis Nabi SAW, 4 syarat wanita ke syurga:
  1. Jaga solat 5 waktu.
  2. Berpuasa Ramadhan.
  3. Jaga kehormatan dirinya.
  4. Taat pada suami.

Friday, March 9, 2012

The Art of Googling.

Masih lagi cerita tentang Google…

Minggu lepas, salah seorang peserta program saya (kebetulan dia dari syarikat berkaitan internet) berkongsi maklumat tentang “The Art of Googling”.  Memang saya terlopong dibuatnya.  Baru saya tahu google saya hanyalah biasa-biasa saja.   

Rupanya ada orang yang “seriously” dan “professionally” meng-google maklumat untuk rujukan dan kajian.  Rupanya ada kaedah tertentu untuk meng-google agar jumlah carian yang berjuta-juta dapat dikecilkan kepada satu carian yang tepat dan spesifik.  Ini bukan saja dapat menjimatkan masa malahan mengelakkan dari “pening kepala” – orang kata paralysis by analysis, too overwhelmed with data!  Bayangkan bila perlu melihat ke setiap satu carian, tetapi mendapati bukan itu yang kita mahukan.  Kalau 10 laman web kita pergi…memang membuang masa namanya.  Bukankah senang bila kita terus pergi ke satu saja hasil carian dan ianya pula yang paling tepat seperti yang kita mahukan.  Carian jadi sangat efisyen dan produktif.   Meng-google pun ada seninya!

Sekarang ini, “meng-google” sudah seperti satu cara hidup.  Bila ingin beli sesuatu, perkara pertama – kita google dulu!  (Dulu yang kita selalu dengar, kita minum dulu!)  Bila ingin pergi ke sesuatu tempat samada untuk bercuti atau tujuan kerja – kita google dulu!  Bila inginkan jawapan dan kepastian – ayat yang biasa kita dengar ialah, “Cuba google….”  Bila nak masuk dapurpun, sudah jadi kebiasaan – kita google dulu resepi!  Bila nak kemana-mana – kita pergi ke Google Map dulu!  Malah nak buat mileage claim pun kita akan merujuk Google Map.  Wah, canggih!

Kadang-kadang terfikir juga, macamana kehidupan saya sebelum era Google dulu?  Teringat waktu nak menyiapkan project paper sebelum era Google.   Selalunya kenalah menapak…turun naik bas untuk sampai ke perpustakaan.  Ketika itu tidak pula terasa leceh dan lambat.  Tahap kesabaran masih sangat tinggi.  Tapi sekarang…bila ada masanya kelajuan broadband merangkak-rangkak, bila tekan butang “search” hampir lima minit menunggu jawapan….tensionnya bukan main, geram sungguh…slow nyer….slow nye!   Tutup laptop, terus pergi ke tempat yang ada WIFI.  Hah!  Baru lega bila semuanya laju.   Sekarang semuanya kena cepat.  Speed is everything!  Kita mahu, sebaik saja menekan butang “search”…jawapan muncul sekelip mata.














Kebiasaan meng-google jadi lebih sebati dalam aktiviti seharian bila handphone menjadi sangat pintar.  Dulu sebelum zaman “smart phone” dan “Iphone”, jika ingin meng-google sesuatu mungkin sedikit rumit kerana perlu buka “laptop”, pasang suis, sambung ke internet atau broadband, tunggu dalam 5 minit, baru boleh mulakan pencarian.  Tapi sekarang ini ia telah berlipat ganda pantasnya..  Pernah sekali saya dan suami terpusing-pusing memandu mencari keropok ikan, suami terus menyarankan, “Cuba you google, mana tahu ada alamatnya di Puchong ni...”  Surprisingly...memang betul ada!  (Lepas ni nak cuba Google tempoyak, budu dan cencalok…)

Dalam satu insiden lain, ketika sedang lunch dengan rakan , terdengar pula satu lagu lama dari kedai menjual CD dan DVD  tapi lupa pula tajuknya.  Saya sekadar berbual biasa dan bertanya, “Eh, apa tajuk lagu ni ye?  Dulu famous kan masa era-era kita…” 

Rakan saya mengiyakan, dan dia juga lupa tajuk lagu tersebut.  Tiba-tiba dia bersuara semula memberi jawapan.  Kagum dengan daya ingatannya yang tiba-tiba dapat mengingat, saya memujinya, “Wah, baguslah you boleh ingat cepat!”  Dia ketawa, “Mana ada…I baru google-lah…”  Tak sangka pula dia sempat meng-google dengan Iphone.

Dan semalam, selepas solat Zohor di surau pejabat, tiba-tiba tak pasti tentang satu syarat solat berjamaah…terus saya capai handphone dan meng-google-nya!  Wah, terus dapat jawapannya, bersekali dengan kitab rujukan!  Alhamdulillah! Kalau tidak, tak pasal-pasal solat saya tak sah.

Rasanya, alasan “saya tidak tahu” sudah tidak lagi relevan!  Ilmu sudah tiada batasannya, hanya jika kita bijak mencari dan mahu mencari.

Apakah perkara paling “amazing” pernah anda Google?   Mungkin anda ada pengalaman yang menarik.  Marilah kongsikan, agar kita semua sama belajar.



(Nota: Bila mendapat maklumat dari Google, paling penting perlulah menyaring maklumat dan memastikan sumbernya boleh dipercayai.   Sebab itu…mencari maklumat di Google adalah satu seni!  Dengan kata kunci yang tepat dan khusus, maklumat yang anda perolehi boleh menjadi satu ilmu yang tidak ternilai.  Hati-hati!  Sepertimana dunia realiti, di dunia Google juga ada ramai penipu.)

Tuesday, March 6, 2012

Skon Titis.

Waktu saya di sekolah rendah, seawal darjah tiga, emak sudah mula mengajar saya memasak. Dia rajin mencuba resepi, belajar dari kelas-kelas W.I. Dulu di kampong, aktiviti W.I sangat aktif. Setiap Rabu petang, emak mesti ke kelas W.I. Adakalanya saya tension terutama bila saya terkurung di rumah, “Jaga adik ye, emak pegi W.I kejap.” Yang seronoknya bila dia balik, mesti ada makanan yang dibawa, hasil kelas memasaknya.

Dulu, makanan seperti laksa merupakan makanan yang sangat-sangat special dan luarbiasa. Maklumlah kampong yang dihuni oleh kebanyakan orang Jawa, pasti yang biasa dilihat dan dimakan hanyalah pecal dan soto. Bila tiba-tiba emak bawa balik sesuatu yang sangat berbeza, “Hari ni emak belajar buat laksa, ini makanan orang Pulau Pinang!”, pastinya saya rasa cukup istimewa. Hebat…hebat… Laksa kuah cair bagaikan sedap sangat.

Emak juga aktif menjual kuih dengan geng-geng W.I. Jadi dari kecil saya tahu nama-nama kuih Melayu dan kerap kali melihat bagaimana emak membancuh adunan. Sebab itu, saya rasa mudah dan sangat “common sense” untuk mengenali mana kuih yang dikukus, digoreng dan dibakar. Dari kecil saya sudah boleh membezakan mana satu tepung ubi, tepung pulut, tepung beras dan tepung gandum. Malahan saya juga tahu perbezaan tepung custard (orang kampung menyebutnya tepung kastat) dan tepung jagung. Emak mengajar saya untuk merasa setiap tepung dengan jari, dan memang benar, setiap tepung rasanya berbeza. Saya belajar dengan emak dalam keadaan yang sangat tidak formal. Bahasa dan nama setiap bahan dan adunan juga hanyalah bahasa orang kampong.

Berlainan dengan anak-anak saya. Kuih Melayu bukanlah “common sense” mereka. Pertamanya, mereka jarang sangat makan kuih Melayu. Kuih yang mereka tahu hanyalah karipap. Keduanya, saya pula jarang sangat masak kuih Melayu - yang saya sering buat ialah karipap. Ketiganya, mereka memang bukan jenis pemakan. Keempat, memang salah saya juga kerana tidak memperkenalkan kuih Melayu pada mereka.


Jadi, dengan kesedaran yang datang tiba-tiba, bila Nisha bertanya saya kelas Kemahiran Hidup yang mana satu dia perlu pilih, saya terus menyarankan Sains Rumahtangga. Kononnya supaya dia ada “skill” kewanitaan - tahu memasak dan menjahit. Di sinilah cabaran sebenar bermula…

Dari Tingkatan Satu, Nisha tak pernah skor subjek yang satu ini. Matematik dia memang “best student”. Tapi yang selalu membuatkan kedudukannya dalam kelas jatuh adalah kerana subjek Kemahiran Hidup. Asyik dapat markah 60-an, tentulah C memanjang. Jika pada saya memasak itu “common sense” tetapi bagi Nisha “it doesn’t make sense”. Ia menjadi satu subjek yang sangat susah, "complicated" dan “hopeless”. Minat dia untuk belajar ada, tetapi semakin hari semakin susah dan “impossible”.

Tiga bulan menjelang PMR, dia masih belum boleh melonjakkan markah ke A. Saya hanya memerhati dari jauh, adakalanya pelik dan hairan.  How come? Memasak kan “common sense”, takkan boleh jadi susah sangat?

Satu hari saya duduk dan cuba untuk memahami “apa yang susah sangat tu?”. Apalagi, dia bertanya soalan bagai bertih goreng – kuih kasui tu macamana? Kuih talam tu macamana? Kuih lapis tu macamana? Kuih mana guna tepung pulut? Kuih mana guna tepung beras? Apa bahan utama cucur badak? By the way, cucur badak tu macamana rupanya? Kuih apa guna kaedah gaul dan ramas? Banyak sungguh soalan!  Bahasa yang digunakan sungguh...Bahasa Dewan Pustaka...

Soalan pertama, saya jawab dengan menghuraikannya dalam bentuk gambaran. Kuih kasui tu warnanya coklat pekat hampir macam hitam, dan diselaputi kelapa parut….


Hmmm…huraian itu tidak berjaya! Kerana, huraian itu hanya saya yang nampak visualnya, sedangkan Nisha langsung tidak nampak apa yang saya nampak. Hampir semua kuih yang saya huraikan tidak berjaya membuatkan Nisha “nampak” atau “perasan” kuih-kuih tersebut. Hampir setengahari saya cuba mengajarnya, tapi bagaikan sia-sia.

Hinggalah akhirnya…..AHA!!!

Saya ambil Ipad dan mula meng-google imej, bermula dengan imej kuih kasui.

Tadaaaaa!!!!


Sumber: perantaukitchen.fotopages.com


Inilah kuih kasui….
Jawab Nisha, “Ohhh….kuih niiii….”










Saya google lagi….

Tadaaa!!!!


Sumber: homefamilysite.com


Inilah kuih seri muka…
Jawab Nisha, “Ohhh…kuih ni…”
 












Saya google lagi…

Tadaaa!!!!


Sumber: resepiraidah.blogspot.com


Inilah kuih cucur badak…
Jawab Nisha, “Ohhh…kuih ni...”











Bagus…bagus….

Nampak sudah ada progress!

Saya letak Ipad di atas meja dan beransur ke dapur untuk masak makan tengahari.

“Okey….kalau ada apa-apa lagi yang Nisha nak tahu…google je ye…”

Saya tinggalkan dia belajar sendirian bila sudah dapat melihat perubahan yang signifikan. Kepala saya rasa ringan…dan saya juga nampak Nisha mula rasa seronok mengulangkaji Sains Rumahtangga dengan menggunakan Ipad.

Tak lama saya di dapur, baru mula nak menumis, dia turun mendapatkan saya…(Apa lagi nih...)

“Ibu, skon titis guna bater jenis apa? Pekat ke cair?”

Zappppp……saya terpana…..

Skon titis? Kuih apa tu? Langsung tidak dalam “Kamus Masakan” saya. Saya cuba menggunakan logik akal. Perkataan titis tu bunyi macam menitis. Jadi kalau benda yang menitis, selalunya cecair macam air…jadi skon titis pasti guna bater cair….bijak…bijak….

Jadi, saya pun dengan konfiden memberi jawapan, “Mestilah bater cair!”

“Orait…” Jawab Nisha, dan berlari naik ke atas.

Tak lama kemudian, dia berlari turun balik mendapatkan saya semula. (Apalagi nih? Minyak tumisan saya dah panas berasap, dan saya matikan semula dapur….macam ni bila nak siap masak?)

“Bu, salah la…jawapan kat belakang kata bater pekat….”

Aikkk…apsal pulak bater pekat? By the way…skon titis tu kuih apa ke benda nyer? Tak pernah saya dengar. 

“Kuih apa ye skon titis ni?” Saya menyoal Nisha.

“Laa…ingat ibu tahu! Ibu tak tahu ke?” Nisha pulak menyoal saya balik.


Lama saya cuba mencari rasional dari nama “skon titis” untuk cuba mengagak rupa bentuknya. Saya tahu skon pasti dari nama “scone”, dan saya tahu rupa scone. Tapi bila digabungkan dengan titis….skon titis….saya langsung hilang idea.

“Pi ambik Ipad…” Saya menyuruh Nisha, kerana itu saja penyelesaiannya.


Dalam kepala, saya tidak berharap sangat Mr. Google tahu jawapannya. Nama itu sangat tidak pernah (walau sekali) saya dengar, dan kerana itu juga saya tidak yakin ianya ada dalam internet.

Sayapun men-google…(lama pulak gambar nak timbul, buat suspen je…)

Akhirnya! Tadaaaa….

Laaa….ini ke skon titis!!! Saya dan Nisha gelak sampai terkeluar air mata….

Padanlah guna bater pekat! Seumur hidup tak pernah pun sebut kuih ni sebagai skon titis…


Apasal la beri nama skon titis...adoiii…

(By the way, tak sangka sungguh maklumat skon titis pun ada di Google!)

Anda tahu tak skon titis tu kuih apa?
Ha…ha…kalau nak tahu…google-lah sendiri!
Selamat meng-google!

(Hint: Ada dijual di McDonald! Lepas ni cuba order begini, “Set skon titis satu!”. Agak-agak, tercengang tak adik McDonald tu?)