Friday, May 21, 2010

Salam dari Chicago...

Jauh sungguh beribu batu, lama sungguh berjam-jam, begitu rupanya harga apa yang dinamakan ilmu. Ada ketikanya perlu dicari, dituntut jauh di tempat orang. Syukur kerana peluang datang bergolek, rezeki datang bertandang. Dan, hanya Allah yang boleh memudahkan.


Tasik Michigan seluas lautan...Allah juga Yang Maha Berkuasa...mahu yang kecil, jadilah yang kecil, mahukan yang besar, terciptalah yang terbesar. Lake Michigan merupakan yang ketiga terbesar di Amerika dan kelima terbesar di dunia. Terlalu besar bagai melihat laut saujana mata memandang...
Menuntut ilmu...sungguh bukan perkara main-main. 5 pagi sudah terang benderang, 7.00 pagi sudah meredah suhu dingin mengejar bas. 8.00 pagi kelas bermula terus menerus bagai marathon hingga 5.30 petang. Perit sungguh mengekang mata yang selalunya sedang nyenyak tidur di tengah malam, tapi perlu bersengkang mata di waktu yang berlawanan. Kelas dari hujung ke hujung. Kaki sakit berjalan mencari kelas, perut lapar, mata kuyu, jadual penuh dan padat. Semua sessi bagai mahu dipilih semua sekali, semuanya ilmu yang baru, tapi diri tidak boleh berada di dua tempat dalam masa yang sama...jadi perlu memilih yang terbaik.

Alhamdulillah semuanya mudah...nasi panas mudah dibeli setiap hari (beras wangi yang panas dan lembut), restoran halal yang hanya perlu berjalan kaki (sedap sungguh kari udang dan nasi tomato...), bilik solat yang selesa (boleh pula solat berjamaah), hentian bas di depan mata. Hanya terlalu memikirkan rasa hampa, hingga lupa rahmat Allah yang diterima...tidak ingat untuk sujud syukur. InsyaAllah, semua perkara ada hikmahnya. Satu pelajaran sempurna yang saya perolehi: Fokus pada nikmat Allah, belajar bersyukur, hanya Allah yang tahu apa yang lebih baik.

Terjaga di satu pagi, otak bingung...di JB kah ini, atau di Kerteh? Lama berfikir baru teringat kerana ruang bagai tiada beza. Setiap hari, ada saja perkara baru. Masa yang penuh...otak juga mulai dipenuhi ilmu. Namun hati semakin digamit rindu pada anak-anak dan keluarga...
Semoga ilmu yang dikutip boleh memberi manfaat kepada yang lain...

Terjumpa adik-adik dari Wisconsin, bila jauh dari keluarga, berjumpa dengan sesama Malaysia terasa seronok. Mereka juga sedang merindu keluarga masing-masing dan sama sedang mencari ilmu di perantauan...semoga adik-adik ini di beri kekuatan dan berjaya mencapai apa yang diimpikan...kepada yang mengenali mereka, alhamdulillah, mereka semua amat bersopan santun dan berbudi bahasa...
ps: Terima kasih pada semua yang menambah nilai pada entry "Saya perlu rasa malu...". Insya-Allah, menanam rasa malu pada anak-anak bermula dengan kita dan kita boleh mengubahnya....satu anak dalam satu masa...one child at a time...
Esok pagi, saya akan berangkat pulang setelah 2 minggu di Chicago berkursus, excited, tak sabar dan terlalu gembira untuk balik berjumpa anak-anak dan keluarga...terlalu bersyukur dengan sokongan suami yang terlalu amat memahami...
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri...