
Isnin ini masuk minggu keempat persekolahan sessi 2010. Amni ke Tahun 2, Nisha ke Tingkatan 2. Tiada cabaran yang terlalu besar berbanding tahun lepas, namun cabaran masih tetap ada. Kelas baru, guru baru, rakan-rakan yang baru berbanding tahun lepas. Tahun ini, kedua-dua mereka bersekolah sessi petang. Nisha sudah biasa, tetapi Amni perlukan penyesuaian.
Saya merasakan usaha untuk menyesuaikan diri di sekolah dapat membangunkan karakter dan nilai diri mereka. Semakin susah cabarannya, semakin kuat karakter yang dapat dibangunkan. Bagaimana mereka menghadapinya, menyelesaikanya, menempuhnya akan semakin menyerlahkan sifat semulajadi mereka. Adakalanya mencabar mereka untuk mengeluarkan sikap yang mereka sembunyikan. Mereka mula memahami, apa yang mereka yakin, apa yang mereka tidak yakin. Apa yang mereka suka, dan apa yang mereka tidak suka. Mereka mula belajar menilai, apa yang membuatkan seseorang guru itu mereka gemari, dan apa pula yang membuatkan mereka geruni. Mereka juga mula menyemai rasa sukakan sesuatu matapelajaran berbanding yang lain. Mula menanam minat dalam persatuan dan kegiatan luar. Mula memilih jenis sukan dan permainan yang bersesuaian dengan personaliti mereka.
Sebolehnya, saya mahu membimbing mereka memahami semua pengalaman tersebut dari sudut nilai dan prinsip yang sebenar. Saya berharap, tahun ini mereka berbual tentang sekolah dari persoalan dan perbualan yang berbeza dari tahun lepas, buka sekadar bila saya bertanya, “Sekolah macamana hari ni?” Dan mereka sekadar menjawab dan bercerita perkara-perkara yang membosankan, “Hari ni Cikgu marah sebab….” Atau, “Kerja rumah ada 3…” Atau, “Minggu depan ada ujian..” Atau, “Cikgu suruh bawak kertas warna…” Atau, “Cikgu ajar tak faham…” Atau, “Pensil hilang….”
Tahun ini saya mahu mereka menjawab dengan perkara-perkara yang lebih menyeronokkan. What did you learn today, sayang?
“Nisha belajar, kalau kita nakkan sesuatu, tak boleh malu, kena pandai volunteer.”
“Ustazah cakap, bila sekolah petang, tak boleh lupa solat zohor, nanti belajar tak berkat, asyik lupa je.”
“Cikgu nak kertas warna minggu depan, tapi Nisha cakap awal supaya ibu boleh plan bila nak beli.”
“I know that living things need water, food and oxygen.”
Menjana pemikiran mereka memang susah jika tidak biasa. Tetapi, sebagai ibu dan bapa, apa yang perlu dirisaukan bukanlah bagaimana untuk menjawab persoalan mereka. Tetapi paling utama ialah bagaimana untuk bertanya pada mereka soalan-soalan yang boleh membuatkan mereka berfikir dan menjana jawapan yang hebat.
“Apa yang Nisha belajar bila cikgu tanya siapa mahu volunteer jadi Naib Presiden persatuan Taekwondo?
“What surprise you when you learn about living things and non-living things?
“Apa yang Amni suka sangat bila ada subjek ni?”
“Apa yang Nisha suka sangat tentang cikgu ni?”
"Kenapa pilih badminton, dan tak masuk netball?"
“Next time, apa agaknya yang boleh Amni buat supaya cikgu tak marah?”
“Apa yang paling kelakar hari ni?”
“Apa lagi yang Amni nak tahu pasal living things?”
“Apa yang Amni share dengan kawan hari ni?”
“Apa yang Nisha ajar pada kawan hari ni?”
“Macamana nak buat benda simple ni jadi extraordinary?”
Saya suka mendengar jawapan mereka. Adakalanya mereka tidak pandai meluahkan apa sebenarnya yang mereka inginkan katakan. Dan saya cuba membuka pemikiran mereka kepada sudut yang mereka belum pernah terfikirkan. Saya mahu tahun ini, mereka mula pandai berfikir tentang persekitaran mereka, dapat berfikir secara kritikal dan analitikal. Saya mahu mereka mula melihat sekolah merupakan tempat yang amat menyeronokkan untuk mereka mempelajari kehidupan. Saya mahu mereka dapat mengenalpasti keseronokkan disebalik pengalaman dan pembelajaran. Saya mahu mereka berani membuka pintu-pintu peluang kepada pembelajaran. Saya mahu mereka melihat setiap yang mereka lalui adalah satu bentuk ilmu. Bertanya soalan yang cerdik, bukan soalan yang rutin.
Kenapa? Kerana di situlah kehidupan mereka… Masa mereka banyak di situ, dan saya mahu masa itu digunakan dengan lebih signifikan. Kelas baru, rakan-rakan baru, cikgu-cikgu baru, pengalaman baru… Barulah kaya ilmu! Saya juga mempunyai harapan yang baru…kita lihat bagaimana hasilnya nanti…