Friday, October 30, 2009

Rumah Api...


Beriya-iya Mr M mengajak saya minum pagi itu. Saya menolak dengan baik, sebab agak sibuk menyiapkan satu proposal.

"Cepatlah...jomlah..." Dia mengajak berkali-kali. Mukanya tidak menunjukkan sebarang riak, jadi saya ingatkan hanya pelawaan biasa. Bila dia semakin beriya-iya, kesian pulak jadinya.

"Ok-lah, you turun dulu. Nanti I datang lepas save ni...."

Tak perasan...saya terleka menyambung kerja bila tiba-tiba bunyi sms masuk, "Bila nak turun ni? Bihun you dah siap."

Saya bergegas turun, alamak, terlupa...

"I tengah runsing ni, risau yang amat sangat. Dalam kepala macam banyak je benda yang tak settle..." Mr M terus meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Saya jadi rasa bersalah kerana melambat-lambatkan turun minum.

"Ok, apasal? Citer...citerlah..." Sedap pulak bihun goreng ni, sempat jugak saya terdetik di hati.

"Ada 3 perkara yang membuatkan I runsing semalam..." Saya mendengar satu persatu perkara yang merunsingkan Mr M. Tapi cerita yang terakhir, membuat saya berderau....lemah hati dibuatnya.

"Semalam, I dah terlambat nak ke surau untuk solat maghrib, jadi kelam-kabut sikit. Dalam I terkocoh-kocoh tu, tiba-tiba phone I berdering...." Saya mengangguk-angguk sambil menghirup teh tarik...mmm...pedas pulak bihun ni...

"My daughter yang call...tengah menangis teresak-esak..." Saya mengangkat muka yang dari tadi tunduk mengadap bihun goreng, sambil membetulkan duduk.

"Kenapa?" Soal saya. Anak Mr M yang ini sedang menjalani praktikal di sebuah hospital di Pantai Timur.

"Dia cerita...I terlalu terperanjat, sampai tak tahu nak respon apa, cepat-cepat I pass kat wife I dan pergi ke surau. Sepanjang jalan sampai habis maghrib, kepala I rasa berat...." Sambung Mr M.

"Kenapa?" Soal saya kali kedua.

"Dia mencucuk orang, lepas tu bekas jarum tu tercucuk kat dia pulak sampai berdarah......so, apa agaknya dalam fikiran you...sampai dia menangis-nangis macam tu..."

"Orang yang dicucuknya tu ada AIDS.....??" Jawab saya perlahan. Saya lihat Mr M mengangguk. Aduhai...hilang terus selera saya. Lemah lutut, sedih, kesian dan segala macam naluri keibuan datang melanda...membayangkan kalau perkara tersebut terjadi pada anak saya sendiri...

"Astaghafirullah....Ya Allah Mr M? Kesiannya anak you...Masa tu tak pakai glove ke?"

"Tak, sebab hospital tu nak jimatkan kos...." Jawab Mr M. Saya jadi bertambah terkilan.

"Memang lah nak jimatkan kos, tapi bila menyuntik pesakit yang berisiko macam tu, patutnya pakai glove is not an option, mestilah kena pakai...." Hati saya sangat simpati, terkilan, geram dan macam-macam lagi. Bihun kemana...teh tarik kemana....

"I tak tahu nak respon apa masa dia beritahu, otak I blank tak tahu nak cakap apa...." Jelas Mr M sangat runsing. Saya yang mendengar pun naik bimbang, apatah lagi Mr M, sebagai bapanya.

"I respek laa you boleh datang kerja lagi hari ni, handle meeting macam biasa je...kalau I, habis semua dah shutdown..." Komen saya. Sememangnya pagi tadi, airmuka Mr M memang tidak kelihatan risau. Baru sekarang di depan saya, Mr M nampak depressed teramat sangat.

"Kalau you, apa you buat?" Soal Mr M kepada saya spontan.

"Kalau I....mmm...kalau I ye...."

"Ni kalau I lah kan...tapi you pun tahu, bab-bab anak-anak ni, selalunya I ni Drama Queen sikit....ok, kalau I, hari ni mesti I tak ada mood kerja langsung, ambik EL, terus pergi ke tempat anak I tu. I hate biarkan dia alone bila dia tengah sedih, dan for me, ini bukan sebarang kes..macam kena death penalty....mungkin dia dah hilang semangat ke...so, I tak nak biarkan dia sorang-sorang sedih..." Jawab saya panjang lebar.

"Kalau pegi sanapun bukan boleh buat apa Nija, perkara dah berlaku..." Kata Mr M.

"Memang...perkara dah berlaku...I pun memang tak boleh buat apa-apa...tapi I nak juga kesana untuk menenangkan dia, support dia, mungkin I pun akan menangis, diapun akan menangis...takpelah, kitorang menangis sama-sama...." Saya bercakap penuh emosi, penuh perasaan.

"Mr M, you pergilah ke sana. Wife you tak risau ke?" Soal saya lagi.

"Risau...esok memangpun I cuti, tapi I cuti tu sebab ada hal lain yang I nak uruskan." Saya tahu, Mr M sangat aktif dalam kegiatan masyarakat. Dan dia bercuti esoknya juga kerana tugas-tugas persatuannya. Hati saya sangat simpati pada anak Mr M.

"Mr M, you kan dah selalu attend meeting tu, memang aktiviti mingguan you...tapi...anak you punya kes ni...bukan hari-hari dia kena musibah macam ni...nilah baru sekali dia call mengadu dan menangis-nangis. Kalau pesakit tu tak de AIDS, you risau tak...macam sekarang ni?" Saya menasihati dengan baik. Saya lihat Mr M mengangguk-angguk.

"Esok, boleh la you temankan dia jumpa doktor ke...minta opinion ke....dalam hal ni, takkan you nak biarkan anak you handle sorang-sorang...Entahkan dia tengah lembik lemah semangat...ni AIDS tau...macam baru dapat death penalty tau..." Saya menyambung. Mr M terdiam dan berfikir panjang selepas itu.

"Oklah...I nak call my wife..."

Kisah Mr M, membuatkan saya berfikir panjang sepanjang memandu balik ke rumah petang itu. Kelalaian, short cut, tidak mengambil berat keselamatan diri dan prosedur dan mengabaikan apa yang penting demi tujuan wang ringgit, akibatnya sangat memberi kesan...bukan pada diri orang lain....tetapi diri sendiri...
Untuk pengajaran kita, banyak perkara sebenarnya yang boleh dilakukan oleh anak Mr M demi keselamatan dirinya...dia tahu risiko mengendalikan jarum dengan pesakit AIDS...mengapa tidak memberi perhatian pada langkah-langkah keselamatan...mengapa prinsip utama itu diambil ringan...mengapa tidak memakai sarun tangan? Mengapa ikut arahan management tanpa mempersoalkannya? Menapa tidak memperjuangkan keselamatan sendiri?
Usahlah bermain-main dengan prinsip....Melanggar prinsip, kesannya sangat signifikan, adakalanya membawa maut. Lebih-lebih lagi prinsip dan hukum alam, selalunya tidak akan memberikan kita peluang kedua.

Prinsip bagaikan rumah api. Kapal yang perlu mengubah laluannya....bukan rumah api yang perlu bergerak. Kita yang perlu melaraskan diri dengan prinsip - prinsip fizik, prinsip sains, hukum semulajadi....terpenting....prinsip agama dan hukum Tuhan....
Teringat kisah jambatan yang roboh sehingga meragut 3 nyawa anak-anak yang mungkin sebaya anak-anak kita.....berapa banyak lagi prinsip yang kita mahu abaikan?

Thursday, October 29, 2009

Menajamkan gergaji...

Nak tahu rahsia? Ok...sebenarnya bukan rahsia, cuma amalan. Dan untuk mendapatkan hasil, dan kerana ianya dinamakan amalan, sudah tentu mesti dibuat selalu, dan sebati menjadi tabiat - your second nature!

Apa amalan saya tu? Saya mula mengamalkan minum jus tomato setiap pagi, sememangnya tidak ingat sejak bila, tapi memang dah lama....bertahun....

Mengapa tomato? Waktu itu, saya sendiri tidak tahu maklumat terperinci tentang tomato, maklumlah, ketika itu, ilmu hanya daripada bacaan - membaca buku dan membaca majalah. Ketika itu, kebiasaan men-google untuk mendapatkan maklumat dihujung jari belum lagi menjadi satu cara hidup. Saya hanya mengagak mengikut pemikiran yang belum meluas - minum jus carrot, nanti gemuk pulak sebab ubi based, minum jus buah, nanti gemuk pulak sebab manis, so, tomato ni macam tak merbahaya je... Itulah asal mulanya... Ngok-ngek betul kan saya dulu....Sekarang ni, selepas bertahun-tahun, dan bila ramai sangat yang bertanya, saya membuat kesimpulan sendiri, mungkin sebab jus tomato inilah...dan saya pun mula men-google bagi mendapatkan maklumat yang lebih saintifik.

Wah!!! Tidak saya sangka, jus yang saya minum saja-saja dan suka-suka selama bertahun-tahun rupanya mengandungi khasiat yang saya sendiri tak menjangkakan... Selama ini, saya beramal tanpa ilmu...nasib baik mendatangkan manfaat. Jadi selepas ini, saya mengamalkannya dengan prinsip yang betul, iaitu berdasarkan ilmu....

Rupa-rupanya tomato ni kaya dengan antioksidan dan lycopene, sumber yang baik untuk mencegah kanser. Ia dapat memperbaiki aliran darah dan menurunkan tekanan darah. Ia juga fat-soluble...bagus ni untuk menurunkan berat badan....Ia juga tinggi dengan potassium, mineral yang bagus untuk kecergasan dan mengurangkan penat, dan juga vitamin C. Semua ini baru saya tahu....alhamdulillah.

JUS TOMATO

Apa yang saya buat? Setiap pagi, blend 2 biji tomato, kebiasaannya dapatlah dalam 1 gelas kecil seperti dalam gambar. Rutin saya, bangun pagi, blend tomato, simpan dalam tupperware kecil, masukkan balik dalam peti sejuk, naik atas balik, dan mandi. Kemudian, saya akan minum jus ini dalam perjalanan, spot kegemaran saya ialah bila di Tol Sunway. Di sini terlalu jam, dan barisan untuk membayar tol sememangnya panjang. Saya akan minum sedikit demi sedikit tanpa meneguknya, tapi hirup perlahan, agar asid tomato bercampur dengan alkali dari air liur. Kebanyakan khasiat jus tomato akan mula dicerna dari mulut lagi, jadi ambil masa untuk menghirup dan menikmatinya.

Kalau sekadar meneguk dan menelannya, khasiatnya berkurangan, kerana proses percernaan diperut melibatkan enzim lain, tidak sepert enzim yang terdapat di air liur kita. (Penting: Minum jus ini ketika perut kosong, dan makan sarapan seperti biasa hanya selepas 30 minit. Sebab itu saya minum dalam perjalanan, bila sampai ofis, dah boleh bersarapan).

Penyerapan khasiat jus atau buah-buahan akan terhasil secara optimum bila perut kosong. Keasidan jus tomata juga dapat dineutralkan bila sudah bercampur dengan air liur yang bersifat alkali. Ini saya tahu dari belajar Biologi ketika sekolah dulu...

PENCUCI MUKA TOMATO

Saya suka menggunakan blender khusus untuk jus, sebab hampas tomato ditapis terus(dan juga sebab malas menapisnya...he..he..). Jangan buang hampas ini. Ambil, dan sapukan ke muka ketika mandi (sebab itu saya blend dulu, baru pergi mandi). Saya amalkan ni, sebab mulanya kerana sayang nak buang. Kemudian baru tahu rupanya, asid dari tomato boleh menghilangkan jeragat dan pemutih asli. Ia juga baik untuk merawat sunburn (guna sebagai mask).

SET RAWATAN MUKA TOMATO

Bila terlebih rajin, saya blend dengan almond (jangan lupa...saya ada advantage ini, kerana stok almond selalu ada memandangkan ianya bahan penting dalam pembuatan coklat...). Jadilah scrub muka...buat seminggu sekali. Sebelum scrub muka, rebus air panas, letakkan dalam mangkuk besar, kelubungkan keseluruhan kepala dan muka dengan tuala, agar terkena wap panas tadi (jangan terlalu panas ye...). Stimkan muka selama 10 minit, untuk membuka pori-pori kulit muka, lepas tu pakai scrub tadi. Bila dah stim dan scrub muka, wajib pakai mask ye, kalau tak nanti kulit muka kendur.

Untuk mask, saya buat yang senang je...guna yogurt (tak kisah le perasa apa, gaul dengan putih telur sikit, dan tempel kat muka...pas tu releks sampai rasa sejuknyer hilang, cuci ngan air sejuk macam biasa. Pakai toner, dan krim pelembab. Tak kisahlah jenama apapun. Sayapun tak rajin... stim muka dan mask ni saya buat sebulan sekali, tapi kalau malas sangat, dua bulan sekali. Rule-nya, kalau stim muka, wajib pakai mask! Kalau pakai mask, tak stim dulupun tak pe. Kemudian, krim pelembab mesti pakai tiap pagi, sekarang saya pakai yang ada anti-wrinkle dan sun-block.

BAB PEMAKANAN

Ok, bab makan. Ini saya amal sejak baca buku Anthony Robbins. Bertahun-tahun yang lepas.... Badan kita ni rupanya ada 3 fungsi, merawat, mencuci dan menghadam. Waktu badan merawat sel-sel badan kita ialah waktu kita tidur iaitu waktu malam dari pukul 8pm hingga 4am. Sebab itu tidur kena cukup, kerana banyak sel badan kita rosak ketika siang dengan pencemaran udara, bahan toksik yang kita makan seperti perasa makanan dsb. Dan kerana itu jugalah, sekiranya kita terluka atau terbakar, tidur kena cukup agar proses penyembuhan berlaku dengan baik.

Apa jadi selepas pukul 4am? Antara 4am hinggalah 12 tengahari ialah proses pencucian untuk badan kita. Waktu ini, semua toksik dari proses rawatan sel-sel badan perlu dibuang. Sebab itulah, waktu pagi elok bersenam, agar peluh keluar dan toksik dapat dibuang melaluinya. Kita juga disarankan mengambil banyak serat, minum banyak air, supaya toksik ini dapat dicuci keluar dan tidak bertakung dalam buah pinggang.

Selepas 12 tengahari hinggalah 8pm merupakan waktu penghadaman. Sebab itulah secara semulajadinya bila tengahari, kita mula rasa mengantuk, kerana semua darah sudah turun ke bahagian perut dan bersedia untuk proses penghadaman. Jadi bila darah sudah kurang mengalir ke otak, oksigen juga sudah mula berkurangan diserap oleh otak dan menjadikan kita mengantuk.

Proses ini berlaku secara automatik setiap hari. Inilah prinsip badan kita yang kita perlu tahu. Kenapa mesti tahu? Sebab proses-proses ini akan berhenti bila kita makan karbohidrat. Contoh, waktu pagi, sebaik saja kita makan nasi lemak, proses pencucian akan berhenti dan bertukar kepada proses penghadaman. Jadi, toksik tidak habis dicuci keluar, bertakung di buah pinggang.

Sama juga bila pukul 11 malam kita makan nasi, proses penyembuhan akan berhenti dan bertukar kepada proses penghadaman. Jadi sel-sel kita tidak diperbaiki dengan sempurna. Hati-hati agar tidak makan nasi selepas pukul 8 malam. Bila sel-sel badan tidak dirawat dengan sempurna, adakalanya sel-sel ini bertukar menjadi sel-sel kanser.

Jadi, pagi tak boleh makan nasi lemak dan canai ke? Heh...heh....jangan la gitu. Boleh....Cuma bila kita sudah tahu prinsip badan beroperasi, lebih senang kita menjaganya. Contoh, bila dah 3 hari makan nasi lemak/canai/mee goreng waktu pagi, jadi 3 hari berikutnya, berilah peluang untuk badan kita menjalankan operasi mencuci dengan sepenuhnya. Ambillah pulak roti wholemeal, buah-buahan, baked beans atau makanan yang mengandungi serat tinggi. Janganlah sampai badan kita 24 jam menjalankan proses penghadaman memanjang....sian badan kita...

Dan bila tahu prinsip badan ni, senang jugaklah nak berdiet....lebih berkesan...lebih senang nak kurus...(betul ni tau CM...eh...mana Noor ni? Lama sangat kat estet tu...gi tengok dia jap Mas...)

(Harapan akak, N3 ni tak memboringkan korang sume ye....ingat tau...fasa yang susah nak buat tu pada minggu pertama je, sebab belum jadi tabiat, alah...pakai jam kat tangan lain pun susah...kan.... Tapi masuk minggu kedua dah boleh biasakan diri...ingat tau, yang penting ialah amalan berterusan....barulah dapat kulit kemerah-merahan macam tomato....)

AMARAN KERAS: Lepas ni jangan pulak panggil akak Datin Tomato....Cik Lie...siap...jangan arr....

Wednesday, October 28, 2009

Things that I Iearned from my PAs...

Ini la Fasra...akak punya first PA...
(thanks to Shamien sebab kasik akak pinjam dia dekat 2 tahun jugak noh....)











Yang tudung kuning nilah Nurul..
PA sekarang nih...
sebelah dia tu kitorang panggil Kak Chik (aka Kak Juta)...memang kecik je, tapi top performer nih...kalau masuk je....bawak juta-jutaan je...kalau bawak Beemers dia....tak nampak orang nyer tenggelam...

(2-2 masing single, but not available...sorry arr Pijal & Apiz...)

Saya sudah mula terlibat dengan kerja-kerja di FranklinCovey sejak 1998 lagi, kemudian perhubungan itu menjadi rapat, walaupun masih lagi sebagai “orang luar” bermula dari tahun 2001. Saya berhenti dari syarikat lama (satu syarikat GLC tersohor) dengan impian untuk menjadi suri rumahtangga sepenuh masa, fokus dengan suami dan anak-anak. 2 tahun lamanya saya membuat perancangan untuk berhenti kerja yang saya bahagikan kepada 5 fasa (itu saya mungkin akan ceritakan kemudian). Saya menjawat jawatan “Home Director” secara rasmi dengan pakej yang lumayan, ada PA (aka bibik), kereta yang dibayar penuh oleh majikan (aka hubby) dan masa lapang yang teramat panjang…waktu itu, seawal 8 pagi sudah ke kelas yoga, kemudian breakfast dengan rakan-rakan (yang masih bekerja....kesian diorang), tengahari lunch dengan rakan-rakan, petang window shopping. Rutinnya begitulah… Rakan-rakan baik yang saya “harassed” untuk menemankan saya breakfast dan lunch menggelar saya “Lady of Leisure”. Bila menghabiskan masa di rumah, saya akan memasak complete set, dan “harassed” suami untuk balik makan lunch. Minggu pertama, mahulah dia melayan saya, masuk minggu kedua, saya pulak yang pergi lunch di pejabatnya, sebab dia penat melayan saya pulak. Masuk bulan ke-6, saya mulai bosan dengan keadaan sedemikian. Ketika itu, jemputan menyertai FranklinCovey Malaysia saya terima bagai “orang mengantuk disorongkan bantal”. Seronoknya dapat bekerja semula.

Di FranklinCovey, budaya kerja sangat berbeza dari syarikat saya yang lama. Tahap kepercayaan (trust level) antara pekerja dan bos amat tinggi. Pekerja dilepas untuk melakukan apa saja yang mereka putuskan sebagai perkara yang betul untuk dilakukan demi kepentingan pelanggan. Mottonya mudah, what’s right for the client, not... what’s right for the boss. Syaratnya, apapun yang kita buat, mestilah principally right. Apabila diberi kebebasan penuh, saya betul-betul “culture shock”. 9 Tahun bekerja dengan acuan yang sangat berbeza, saya tidak perasan, kebebasan membuat keputusan yang ada dalam diri saya rupanya sudah hilang.... Jenuh jugak untuk menghidupkannya semula. Rule yang sangat mudah dan simple – what’s right for the client? Then, if it is principally right…do it! As simple as that. Rule No.1: Inspire Trust.

Awalnya saya bekerja dengan Fasra dari unit lain. Sangat mudah bekerja dengannya. Fasra mudah belajar, cepat faham apa yang saya inginkan dan perlukan ketika program. Adakalanya saya baru terfikir tentang sesuatu, dan Fasra sudahpun melakukannya. Saya melihat tahap keyakinan dirinya meningkat, ketelitiannnya juga bertambah baik. Adakalanya memeranjatkan saya. Hubungan kami memang rapat, dari masalah kerja hinggalah ke masalah peribadi. Dia menghormati saya dan saya juga menghormati dia. Paling saya suka bila Fasra amat mudah memberikan on time feedback ketika saya mengendalikan program. Dia boleh tahu apa yang client mahukan, dan saya dengan mudah memperbaikinya kerana Fasra sangat observant.

Tahun ini, saya berpeluang bekerja dengan Nurul pula. Saya sudah beberapa kali bekerja dengannya, tetapi tahun ini, Nurul secara rasmi bekerja di bawah saya. Seperti Fasra, Nurul juga sangat observant – apa yang saya suka, apa preference saya ketika program, apa keperluan saya, apa yang mencemaskan saya, apa yang saya pantang, apa yang saya beri perhatian dan 1001 macam lagi. Adakalanya saya tidak sedarpun…tapi Nurul perasan dan memberikannya kepada saya sebelum sempat saya meminta. Ayat kegemaran Nurul, “Releks kak…akak fokus kat participants je, yang lain biar saya yang fokus…”

Tabiat Nurul, menceritakan semua problem dan masalah tak kiralah masalah di hotel atau dengan client, belum sempat saya membuka mulut, dia akan terus menyambung dengan menjelaskan pula bahawa semua problem tersebut sudahpun di uruskan. “Kak saya nak update akak je, tapi semua tu dah saya settlekan….”.

Paling saya suka bila dia cakap begini, “Kak, saya tahu akak prefer macam ni kan…saya dah cakap dah dengan budak hotel…kejap lagi dia datang….” Jadi hidup saya memang tak sempat nak stress….baru nak stress…PA-PA saya ni dah ready 2-3 langkah lebih kehadapan dari saya…..Sebenarnya, budaya kerja sebegini membuatkan kami amat saling menghargai satu-sama lain.

Secara peribadi, saya merasakan apabila tahap kepercayaan diberi dan dihormati, orang mudah berasa dihargai, dan memberikan serta menyumbangkan dengan sebaik yang mereka boleh. Mereka lebih bebas mengupayakan potensi diri mereka yang sebenar ke tahap yang mereka sendiri tidak terfikir mereka berupaya melakukannya. Mereka melihat tugas dari sudut peranan mereka. Mereka dengan jelas memahami diri mereka sendiri, dan tahu 3 perkara - what's their passion, their skills and their personal values.

Kedua-dua mereka tahu apa yang mereka perlu lakukan. Saya hanyalah orang perantara sahaja...adakalanya sayalah orang suruhan mereka...yang penting ialah client…giving what clients want, in their wish list, even before they ask for it….Rule No.2: Clarify purpose.

Tergiang-ngiang selalu pesan MD kitorang, answer the clients when they call, before the phone rings!

Buat pertama kalinya bila hubby bertanya saya, "Bila you nak berhenti kerja ni?" Saya menjawab, "He..he...nanti dulu lah ye, dear!"

Wednesday, October 7, 2009

Sebab....

(Sambungan dari N3 "Pernahkah kita bertanya?")

Bila Nisha menjawab soalan saya, dia menjawab dengan teragak-agak. Saya tanya kenapa teragak-agak. Dia menjawab, sebab tak pernah fikirpun, dan tak pasti jawapannya.

“Betul ke jawapan tu, Bu?” Tanya Nisha bila saya hanya mengangguk-angguk. Saya biarkan lama soalannya tidak berjawab dan Nisha jadi tak senang duduk. Dia bertanya semula ingin tahu.

"Betul tak, Bu?"

“Salah…”. Saya menjawab perlahan.

“Habis sebab apa?” Soalnya dalam nada merengek. Keningnya terangkat.

“Sebab ibadah…” Jawab saya.

“Haa? Kita belajar sebab ibadah?” Soal Nisha kehairanan. Saya mengangguk-angguk.

“Kenapa pulak sebab ibadah, Bu?”

Kenapa ya?

Friday, October 2, 2009

Pernahkah kita bertanya?

Hujung tahun merupakan musim peperiksaan. UPSR baru saja berlalu, minggu depan PMR bermula. Selepas itu, peperiksaan akhir tahun dan akhir sekali, SPM dan STPM. Pelajar-pelajar yang terlibat dengan peperiksaan besar, debaran mereka semakin kencang. Yang bakal menduduki peperiksaan akhir tahun juga sudah mula memegang buku. Ibu bapa juga sudah mulai stress… Exam dah dekat!

3 orang anak…tahap pembelajaran mereka amat berbeza. Nisha anak kedua saya memang dikurnia Allah dengan kelebihan yang amat saya syukuri. Otaknya cekap menangkap, cepat faham dan mudah mengingat. Dia sangat sukakan disiplin dan peraturan. Kegiatan luar dan lasak amat digemarinya. Nisha memang cemerlang dari tadika lagi. Di sekolah rendah, ramai bertanya tips pencapaiannya yang cemerlang. Bagaimana belajar? Hantar tusyen di mana? Buku latihan apa yang digunakan? Setiap kali itulah, saya tidak tahu untuk menjawabnya. Malupun ada…

Sebab? Hakikatnya, setiap kali menjelang peperiksaan, Nisha memang tidak membaca buku dengan sepatutnya. Dia bersekolah pagi dan petang pula bersekolah agama. Bila malam, seawal pukul 8.00, mengadap kerja sekolahpun Nisha sudah terlentuk tertidur. Memang belum sempat membaca buku, dia sudah tersengguk-sengguk. Jika dapat menghabiskan kerja rumah pun dikira cukup baik. Selalunya, Nisha tertidur lebih dulu. Buku kemana, pensil kemana… Jadi bagaimana saya boleh berkongsi tips?

Menjelang UPSR, Nisha masih lagi belajar ‘biasa-biasa’ saja. Tusyen pun tiada. Sekadar kelas Kumon, itupun kerana saya mahu dia mempunyai kemahiran ‘speed & accuracy’ dalam Matematik. Saya selalu mengusiknya, Nisha ni kalau belajar sikit je mesti boleh dapat 6A kot… Sebulan menghampiri UPSR, saya ‘disiplinkan’ dia untuk belajar. Saya beritahu dia, berusaha perlu sebaik mungkin, semaksimum yang kita terdaya. Itu yang saya mahu lihat. Result? Saya tak kisah sangat berapa A dia perlu dapat. Saya tahu dia pandai, kejayaan boleh dalam bentuk yang berbeza-beza. Sebab itu saya tidak menekankan sangat tentang result. Apa yang saya mahu Nisha faham ialah untuk sentiasa fokus pada usaha, kerana itu di dalam kawalannya. Usaha mesti bersungguh-sungguh!

Saya juga berpesan, "Rezeki Allah bukan dalam kuasa kita. Adakalanya kita berusaha, kita dapat. Adakalanya kita berusaha jenuh, tapi tak dapat-dapat. Kalau nanti Nisha tak dapat 5A, that’s not the end of the world tau… Ibu tak melahirkan Nisha semata-mata untuk dapat 5A dalam UPSR. Bila tak dapat, tak bermaksud Nisha dah tak ada sebab untuk hidup…” Mata Nisha bulat mendengar apa yang saya katakan. Saya perlu menekankan perkara ini, maklumlah, banyak pula cerita budak darjah 6 sudah pandai membunuh diri hanya kerana gagal mendapat 5A.

“Ibu lahirkan Nisha untuk jadi orang yang boleh memberi balik. Kalau kaya boleh memberi pada yang miskin. Kalau pandai boleh mengajar ilmu dengan orang yang tak tahu. Share apa yang Nisha tahu dengan kawan-kawan. Jangan kedekut ilmu. Itu akan jadikan Nisha lebih pandai, bukan lebih bodoh."

"Nak memberi balik, adakalanya kita kena berjaya dalam akademik, tapi kalau tak berjaya dalam akademik pun ada banyak cara yang lain. Cuma, kalau Nisha pandai dalam akademik, itu boleh membuka banyak pintu peluang."

"So, Nisha kena sediakan diri kalau dapat 5A dan kalau tak dapat 5A…” Saya menyambung. Sukanya saya bila berkhutbah dengan Nisha, dia akan duduk diam dan tekun mendengar sebiji-sebiji apa yang saya katakan.

“Tanggungjawab kita, mesti berusaha. Kejayaan itu hak Allah nak beri atau tidak…” Sambung saya lagi.

“Kalau tak dapat 5A, ibu marah tak?” Soal Nisha.

“Of course ibu marah kalau itu disebabkan Nisha cuai, kalau Nisha leka, dan kalau Nisha malas berusaha. 5A ke tak 5A ke, it doesn’t matter kalau Nisha dah berusaha bersungguh-sungguh. Deep inside, ibu memang tahu Nisha pandai orangnya. Bagi ibu, itu yang paling penting.” Nisha mengangguk tanda faham.

Dan, alhamdulillah, Nisha memperolehi 5A, seperti yang kami semua doakan. Seminggu selepas keputusan diumumkan, saya duduk-duduk dengannya berbual-bual.

“Ibu nak tanya soalan ni, dan Nisha jawab macam kita sembang-sembang as friend ok…” Kalau tak silap, kami duduk di tepi katil sambil menunggu masuk solat Isya’.

“Nisha belajar masa nak ambik UPSR hari tu sebab apa ye?” Soal saya. Nisha mengangkat kening kehairanan. Lama dia mengambil masa untuk menjawabnya.

“Jawab je apa yang Nisha rasa dalam hati, share dengan ibu.” Pujuk saya.

Saya benar-benar mahu memastikan Nisha tahu dan faham mengapa dia perlu belajar. Apa prinsip yang dia perlu pegang dalam konteks belajar. Dan saya tidak pernah bertanya pada Nisha sehinggalah sekarang. Bagi saya penting saya memahaminya memandangkan dia akan menginjak ke sekolah menengah tahun depan.

“Mmmm….mmmm….” Nisha berkerut-kerut memikirkan jawapannya. Nampak dia seperti takut-takut untuk menjawab.

“I’m open you know…very open….Ibu nak Nisha share…then we can discuss…” Pujuk saya lagi.

“Kenapa Nisha belajar?” Tanya saya sekali lagi dengan nada yang lebih lembut dan memujuk.

“Emm…sebab…kena…” Saya terperanjat dengan jawapan Nisha. Sebab, kena? Sebab, kena belajar? Maka sebab itulah dia belajar?

“Kalau tak belajar, nanti tak dapatlah 5A….” Sambung Nisha lagi. Saya sungguh terketuk dengan jawapannya…betapa selama ini Nisha yang pandai, juga tidak memahami sebab sebenar dia perlu belajar…

Pernahkah kita bertanya pada anak-anak, kenapa mereka pergi sekolah? Kenapa perlu belajar? Kenapa kita kena study? Untuk exam? Untuk result?

Cubalah tanyakan pada mereka. Dengar baik-baik jawapan yang mereka berikan…


(Di keluaran lain, saya akan kongsikan jawapan saya pada Nisha….paradigma lain yang Nisha tidak pernah terfikirkan….)