Boleh atau tak boleh sebenarnya sangat subjektif. Ianya berada dalam pemikiran.
Saya tahu dan saya percaya – semua perkara sebenarnya dikuasai oleh
pemikiran saya sendiri. Ianya sesuatu
yang perlu diingatkan berulang-ulang kali.
Semangat boleh naik dan turun.
Kemahuan juga boleh naik dan turun.
Sebab itu jugalah saya percaya, perlu ada satu sebab yang sangat jelas
dan kukuh mengapa saya mahukan sesuatu.
Ianya akan menjelaskan tujuan dan niat.
Bila berdoa, tujuan dan niat inilah yang akan membuatkan airmata
berjurai-jurai mengharapkan Allah memberikan apa yang diminta. Semangat dan kemahuan inginkan sesuatu akan
terus meluap-luap bila saya faham sebabnya mengapa. Tujuan inilah yang akan membezakan samada saya mempunyai kemahuan yang tinggi atau kemahuan yang kuat.
Ketika program, ada satu video yang amat saya gemari bertajuk “Everest”. Ianya sangat memberikan inspirasi. Airmata saya akan sentiasa tergenang di
kelopak mata setiapkali menontonnya, walau sudah menontonnya beratus kali
bersama peserta. Ianya menyentuh
perasaan dan menegur saya dengan lembut, mengingatkan saya berkali-kali – kalau
hendak seribu daya... (dalam kata lain, jika betul berkehendak, tak cukup hanya dengan satu daya saja).
[Klik untuk menonton Everest]
Pengalaman Eric sentiasa mengingatkan saya – orang yang buta tetapi
mempunyai visi, adalah jauh lebih baik berbanding orang yang boleh melihat
tetapi tiada visi. [Baca Blog Eric]
“The only thing worse than being blind is having sight but no vision.” Helen Keller
Dua minggu lepas, saya ternampak Eric lagi dalam
rancangan Expedition Impossible.
Rancangan ini lebih kurang seperti The Amazing Race, malahan producer
yang sama. Kumpulan Eric bernama No Limits, dan Eric
masih ditemani rakan baiknya Jeff.
Dalam video Everest, Eric takut-takut mendaki
Everest. Tapi dalam No Limits, dia sudah
tiada beza dengan orang yang celik. Dia
mampu berkayak melepasi air yang deras dan berpusing-pusing, dia berlari bagai
boleh melihat, melompat, berenang, mendaki bukit, menuruni curam, menaiki unta dan membuat terjunan udara. Dalam kekurangannya, kumpulan Eric menjadi
pesaing hebat, sentiasa dalam tempat ketiga teratas, dan kumpulan yang kekal dalam pertandingan, sehinggalah menjadi salah satu 4 kumpulan ke finale.
Dalam No Limits, saya melihat kekuatan kita sebagai
manusia – tolong menolong, bersatu hati, berlemah lembut, sabar, cekal,
mengawal emosi, memahami, mempunyai matlamat dan visi, bercita-cita tinggi dan
1001 kekuatan yang lain. Dalam No
Limits, saya juga melihat kelemahan diri sendiri. Dan saya tahu, kelemahan diri jika diperbaiki akan menjadi satu kekuatan dan kelebihan.
Melihat Eric, saya bermuhasabah... apa lagi yang saya rungutkan?
Melihat Eric dan Jeff, saya melihat diri... saya mahu
menjadi sahabat yang sedemikian.
Boleh atau tak boleh?
Benarlah ianya sangat subjektif!
_________________________________
Kepada anak-anak, Selamat Bercuti Sekolah.
Jangan lupa siapkan homework!
_________________________________
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
- Surah Ar-Ra’d (ayat 11)
When we can no longer change a situation, we are challenged to change ourselves.
- Viktor Frankl
__________________________________
Nota:
Video Everest merupakan salah satu video dalam program Leadership Greatness - Great Leaders, Great Teams, Great Results. Video Everest yang terdapat di YouTube hanya sedutan ringkas sahaja. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang program, klik Leadership.
No comments:
Post a Comment