Sunday, January 8, 2012

Pandai.

Hari pertama sekolah, alhamdulillah anak-anak sudah mula belajar dan ada homework. Ianya satu perubahan. Positif...sangat positif.

 
Dan Nisha bertanya banyak soalan tentang aliran Sains, SPM, hala tuju, potensi diri, kepandaian akademik dan 1001 soalan kritikal dan analitikal. Saya suka melayan namun dalam hati terfikir juga...alahai...baru hari pertama masuk tingkatan 4 sudah fikir pasal SPM. Tapi rupanya di sebalik semua soalan itu ada yang tersirat di hati Nisha, dan akhirnya dia luahkan.

 
"Bila kita pandai dan belajar di luar negara, senang sangatkah kita berubah?"

 
"Sebab itu kita kena faham mahu jadi pandai sebab apa?" Jawab saya.
"Dan kita kena faham kepandaian itu pemberian Allah. Bukan kita yang jadikan diri kita pandai."

 
Saya bertanya lebih lanjut kerana melihat dia risau. Dan saya tidak tahu puncanya.

 
"Macamana boleh jadi macam kes Amalina tu?" Soal Nisha tiba-tiba.

 
Akhirnya saya tahu apa yang bermain di fikiran Nisha. Saya pula tidak tahu hujung pangkal, yang saya tahu cerita Amalina dan kejayaan luarbiasanya dalam SPM. Kisahnya yang terkini saya tidak tahu langsung.

 
"Ibu tak tahu ke? Dah heboh kat facebook lama dah..."

 
Oppss... Memang saya tidak tahu. Esok paginya, heboh juga di radio. Jadi saya pun mula meng-google.  Saya mahu tahu kisah yang sebenarnya.  Video tentangnya di YouTube paling menyentuh perasaan. Hati saya hanya mampu terdetik, "Sayang nyerrr....."

Akhirnya, menung saya berpanjangan ke petang. Saya menung memikir jawapan yang saya perlu berikan pada Nisha. 
 
Harap inilah nasihat terbaik untuknya...for now...

 
15 Nasihat buat Nisha:
  1. Jaga solat dan baca Al-Quran.  Tiada alasan!
  2. Hati manusia berubah-ubah. Sentiasa berdoa agar Allah tetapkan hati dan iman pada Allah.
  3. Sentiasa berdoa agar Allah sentiasa pimpin dan berikan petunjuk hidayah. Sentiasa berdoa agar Allah jauhkan dari kelalaian dan fitnah dunia dan fitnah akhirat.
  4. Sentiasa belajar dan menuntut ilmu hanya kerana Allah.
  5. Fahami konsep aurat dengan sepenuhnya. Bertudung bukan uniform sekolah semata-mata.
  6. Tidak perlu mewarnakan rambut kerana ditakuti tidak sah bila mandi wajib. Boleh menginaikan rambut bila beruban.
  7. Tidak ada masalah untuk solat walau di manapun kita berada, walau di USA walau di UK. Bijak susun jadual dan masa dengan menjadualkan waktu solat terlebih dahulu. Solat di mana saja tempat yang suci jika tiada surau.  Tak perlu rasa malu...kita bersolat bukan kita lakukan kesalahan...Orang yang rasa susah hanya mereka-reka alasan.
  8. Sentiasa pentingkan makanan yang halal. Mencari makanan halal bukan satu masalah langsung bila di luar negara. Adakalanya lebih mudah dan lebih yakin berbanding di negara sendiri.
  9. Bergaul dengan jamaah muslim dan saling ingat mengingati.
  10. Pandai akademik perlu di sertakan dengan kebijaksanaan dalam hidup yang berpandukan prinsip Islam. Jika tidak, kepandaian jadi sia-sia.
  11. Memang salah bila menfitnah orang.  Tetapi kita juga bertanggungjawab untuk memelihara diri dari malakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah.  Jauhkan pergaulan dan perhubungan yang mendatangkan fitnah, jauhkan dari berpakaian yang boleh mendatangkan fitnah, jauhkan dari bergambar yang boleh mendatangkan fitnah, jauhkan dari bertingkahlaku yang boleh mendatangkan fitnah.
  12. Pelihara kehormatan diri.  Sentiasa miliki rasa malu, malu pada Allah terutamanya.
  13. Usah sekali-kali rasa bangga dengan perkara yang jelas salah di sisi Allah.
  14. Berhati-hati dalam menghulur persahabatan di FaceBook.
  15. Pelihara aurat dan kehormatan diri bila menulis entri di FaceBook dan berkongsi gambar di FaceBook.

  

 Saya juga perlu dan mesti sentiasa ingat...

 
12 Nasihat untuk diri sendiri:
  1. Doakan anak-anak untuk berjaya dunia dan akhirat.
  2. Doakan anak-anak agar di tetapkan iman dan sentiasa dalam rahmat Allah.
  3. Tegur anak bila nyata salah dari sudut agama. Tegas dan jelas dalam teguran. Mana yang tidak sekali-kali boleh dilakukan tanpa kompromi perlu dijelaskan dari awal, contohnya tentang membuka aurat.
  4. Bila orang lain menegur anak kita, jangan defensif, mana yang salah perlu diakui sebagai salah dan cepat-cepat perbaiki dan bertaubat.
  5. Jangan sekali-kali berhenti berdoa untuk anak.
  6. Beri tumpuan untuk bangunkan kebijaksanaan anak-anak dalam hidup dan agama, bukan sekadar kepandaian akademik.
  7. Sentiasa mendorong, mendidik dan membangunkan diri anak-anak dalam sudut kemahiran dan kecekapan rohani dan jasmani, bukan mengongkong, memaksa dan mengawal.
  8. Sentiasa mendengar dan memahami sepenuh hati dan perasaan.
  9. Sentiasa didik anak untuk berupaya mengawal dirinya sendiri berteraskan prinsip Islam, bukan kita yang mengawal mereka.
  10. Sentiasa ingatkan mereka bahawa semua perkara perlu dilakukan kerana Allah bukan kerana ibubapa.
  11. Sentiasa bersedia untuk membantu bukan untuk menentu dan membelenggu.
  12. Berikan perhatian kepada keperluan emosi, bukan sekadar keperluan fizikal.

 
Nota:

Bagus juga ada cerita ini di facebook, membuka jalan untuk saya mengupas isu-isu yang berkaitan dan menerangkannya dengan anak-anak sendiri.

 
Namun, manusia sentiasa ada salah silapnya. Ada pintu taubatNya. Dalam diri kita sentiasa tahu mana yang salah dan mana yang betul. Cuma kekuatan yang mungkin sudah hilang.

 
Sebagai ibu, saya doakan Amalina memperolehi kekuatannya semula. Dia boleh pergi lebih luarbiasa dari cara hidupnya sekarang...jika dia memahami maksud sebenar luarbiasa itu...

 
Saya juga berharap bila anak-anak saya terlupa, ramai yang mahu menegurnya...

 
Sayang jika bijak pandai Islam tidak perasan tanggungjawab dirinya sebagai khalifah...
Pasti ada sebab mengapa Allah jadikan kita pandai. Ianya bukan sekadar kebetulan. Semuanya bersebab.

 
Menjadi pandai rupanya satu ujian yang besar...

8 comments:

shami2 said...

Salam kak nija

Komunikasi hari ini sangat pantas, semoga kes amalina menjadi satu impak perubahan besar dan contoh tauladan kepada anak2 kita hari ini. Sebagai ibubapa, mari sama2 kita berdoa agar anak2 kita sentiasa dalam perlindunganNya, begitu juga kes Amalina, semoga apa yang terjadi ini adalah hikmah baik dari Allah untuk keluarganya dan juga kita sekeluarga..amnya...

Asnija said...

Salam Shami,
Memang sekarang ni maklumat senang dan pantas. Ada banyak yg baik dan ada banyak yg buruk. Ada yg beri manfaat dan ada yg boleh dijadikan tauladan. Moga anak kita akan sentiasa merujuk pd kita dan rasa selesa utk bertanya.
Semoga Allah sentiasa memimpin kita dgn ilmu dan rahmatNya.
Terima kasih atas nilai tambah.
Wassalam.

Mieza said...

Assalamualaikum Puan Asnija, alhamdullilah jawapan Puan menyejukkan hati. Saya sedang gulana memikirkan keputusan saya menghantar anakanda pulang ke tanah air bersendirian untuk menghadapi PMR - sedang saya masih di sini kerana pejuangan suami yang belum selesai. Keyakinan anakanda untuk melakukan yang sebaik mungkin dengan izin Allah buat hati saya sayu. Saya tekad menyerahkan semuanya pada Allah s.w.t dan doa saya sebagai seorang ibu untuk anakanda tidak akan ada penghujung.

Naz Mohamed said...

As salam nija,

Saya mohon izin utk copy & paste entri Nija nie dgn anak saya.

T.kasih

Asnija said...

Salam Mieza,
Ibu mana tak risau bila anak bersendirian jauh dari mata, lagi bila masih di bawah umur. Tapi saya pasti dia dgn keluarga Mieza di sini kan...insyaAllah akan dijaga dgn baik. Sentiasalah berskype agar komunikasi berjalan secara face to face. Anak selalunya rindu dengan ibu dan bapa, mudah rasa sunyi dan lonely, masa tulah ada saja yg ambil peluang untuk isi kekosongan...jika kekosongan itu diisi dgn perkara positif insyaAllah selamat.
Buatlah komunikasi seperti biasa dgn skype, macam dia di rumah yg sama cuma kaedah berbeza. Masih boleh tolong dia buat homework dll. Selalunya keprihatinan kita dapat menyentuh hati anak-anak.
Usah risau, Allah lebih baik menjaga dia berbanding kita. Nanti dia akan lebih dewasa.
Tahniah kerana berjaya melepaskan anak mengharungi realiti hidup yg sebenar...mungkin saya sendiri tidak kuat sebegitu.
Wassalam.

Asnija said...

Salam K.Ummi,
Boleh saja apa salahnya. Yg baik datang dari Allah jua, yg tak baik kelemahan ilmu saya ye. Semoga kita saling dapat ingat mengingati.
Wassalam

Asnija said...

Salam K.Ummi,
Saya ada buat update sikit dalam entri ni. Sila copy mana yang boleh dimanfaatkan.
Wassalam.

Al-Manar said...

Dua perkara terpenting yang Pakcik selalu tekan kepada murid Almanar ialah:
1. Ukuran kejayaan kita ialah tahap tenaga dan usaha yang kita habiskan. Samaada kita mendapat semua A atau tidak bukan ukuran pencapaian. Kalau usaha seratus peratus, itulah kejatyaan kita , seratus peratus. Kejayaan mendapat semua A adalah pemberian Allah. Kalau usaha sudah 100% terimalah apa yang ditentukan Dia - bukan hak kita.Dengan itu terima apa saja keputusan selagi usaha sudah tahap kemuncak.

2. Jangan sia siakan masa.

Itulah ajaran AlQuran yang terpenting kepada saya.

Selamat membentuk usaha anak anak. Kejayaan ditangan DIA.