Wednesday, August 3, 2011

Tangan yang ingin memberi...

Saya berpendapat, anak-anak perlu disiapkan dari segi mental dan fizikal bila perlu berhadapan dengan sesuatu yang baru, termasuklah untuk menyambut Ramadhan.  Amalan-amalan biasa ada yang tidak lagi boleh dilakukan ketika berpuasa.  Dan, amalan-amalan yang tidak biasa, kini perlu dilakukan setiap hari dengan penuh sabar dan tekun.  Jadi mereka perlu bersiap dari segi mental - apa yang perlu ditinggalkan, apa yang perlu dimulakan, apa yang perlu diteruskan, apa yang perlu diamalkan dan apa yang perlu diperbaiki.

Jadi, sebelum mula Ramadhan, saya “berucap” kepada anak-anak mengingatkan semula prinsip sebenar berpuasa, hikmah bersahur, berterawih dan bertadarus.

“Sebulan ini saja untuk kita berkorban tidur dan berkorban rehat di waktu malam.  Bila ibu kejutkan sahur jangan marah-marah, bila ibu ingatkan ke surau berterawih jangan berkeluh-kesah.  Semoga hati kita terus lembut walau sudah habis Ramadhan.”  Mata saya mengerling ke abang sulong, sebab dialah yang paling liat bangun sahur.

 “Kalau mengantuk sangat, dan tak selera makan....bangunlah sekejap, minum milo sajapun jadilah untuk mengambil berkat.”  Pesan saya lagi, sebenarnya pesanan yang ini spesifik buat si abang sulong.  Mungkin kerana “terasa”, Zaid tergelak kecil.

Kemudian mereka 3 beradik bercerita sesama sendiri.

“Dulu bila Kak Nisha mula puasa, abah dan ibu beri duit raya RM100....bestkan, abang!”  Nisha memberitahu Amni.  Tahun lepas Amni berjaya puasa penuh.  Jadi, tahun ini kami memberikannya lebih galakan.

 “Ya...tiap tahun kita dapat RM100...”  Zaid mengiyakan.

 “Puasa ni bukan sebab nak dapatkan duit raya...puasa ni supaya kita dapat rasa bagaimana orang yang susah terpaksa berlapar kerana tiada makanan.  Duit raya hanyalah bonus dunia kerana kamu semua telah berusaha menyempurnakan puasa.  Bonus akhirat lebih banyak lagi berganda-ganda.”  Saya cuba menasihati.

“Bila kita lapar, kita lebih bersyukur dengan nikmat makanan yang kita ada.  Kita akan lebih mudah memahami kesusahan orang miskin dan lebih mudah membantu mereka.”  Sambung saya lagi.

 "Kenapa Allah tak jadikan kita semua orang kaya?”  Tiba-tiba Amni bertanya.  Fikiran budak-budaknya cuba mencari logik akal.

“Sebab, Allah nak beri kita peluang bersedekah dan membantu orang yang lebih susah dari kita.” 

Alhamdulillah Allah beri saya idea untuk menjawab begitu.  Adakalanya soalan Amni boleh membuatkan saya buntu untuk menjawab.

 Muka Amni jadi murung...kemudian bersuara perlahan...

 “Amni memang nak beri sedekah kat orang miskin, tapi Amni tak tahu nak cari orang miskin kat mana...”

Nadanya sangat jujur dan tulus.  Luahan hati anak kecil yang jelas “innocent” dan "naive".  Kakak dan abangnya tergelak kecil. 

Dalam hati saya marahkan diri sendiri.  Silap saya kerana tidak memperkenalkan Amni kepada “orang miskin”, hinggakan dia tidak "mengenalinya".

Mungkin sudah tiba masanya untuk membawa Amni melawat ke rumah anak-anak yatim...menjengok golongan yang kurang bernasib baik...mentarbiahnya menderma dan bersedekah...

Bukannya susah...cuma saya yang bertangguh...
Sedangkan tangan si kecil sudah terlalu ingin memberi...

Biarlah walau mungkin hanya bermula dengan 30 sen...

4 comments:

Anonymous said...

Teringinnya nak jumpa Auni. =)

Lama dah rasa tak jumpa insan-insan yang auntie sebut.

atuk said...

Assalamualaikum Asnija

saya selalu tonton tv3 rancangan bersama mu...kadang2 berlinang air mata

SELAMAT BERPUASA

Wassalam

Asnija said...

Salam Raihan,

Alhamdulillah...beruntungnya dapat kunjungan dari Raihan...di Malaysia ke di Jordan?

The last time Raihan dan semua "anak-anak" geng KPP berkumpul hampir juga 10 tahun yang lepas...
Sekarang semua dah jadi anak dara dan teruna...

Autie doakan balik nanti jadi doktor yang solehah....

Selamat berpuasa dan berhari raya di perantauan.

Asnija said...

Salam Rozali,

Anak-anak pun menonton Bersamamu...
Cuma mereka tak pernah berjumpa depan mata orang-orang ini...

Tetapi, program Bersamamu memang membuka mata...berapa ramai orang yang lebih susah dari kita...