Thursday, September 30, 2010

What are you passionate about?

Bila sudah terlalu suka, keterujaan tidak perlu dibuat-buat, ianya terserlah di mata, pada wajah, pada gerak badan, pada cara bekerja. Keinginan sentiasa meluap-luap. Semangat dan tenaga yang ada boleh membuatkan diri terlupa rasa penat dan mengantuk. Daya kreativiti dan imaginasi berkembang dan bercabang-cabang, idea datang mencurah-curah. Setiap kesusahan, menjadi pemangkin kepada penyelesaian.

Pelaburan masa, wang ringgit, tenaga berlaku secara spontan tanpa dipaksa-paksa...dengan rela dan tidak berkira.

Minggu ini, saya berpeluang mengendalikan program The 7 Habits of Highly Effective People dalam Bahasa Malaysia untuk 37 orang Top Agent Prudential. Semangat dan keterujaan mereka memang 200%. “Passion” mereka dengan kerjaya yang mereka pilih memang amat mengagumkan. Bravo! Bravo!

Sepanjang program, rasanya sayalah yang paling banyak belajar daripada mereka. Sayalah yang paling bertuah dan beruntung. Sayalah yang melalui terlalu banyak "Aha! Moment".

Terasa kecil melihat kreativiti yang amat tinggi yang ditunjukkan Sabrina, sokongan dan semangat Latifah, Joe dan Amin.  Syabas dan terima kasih. 

(Gambar-gambar berikut merupakan ehsan daripada Sabrina, terima kasih...)

See things differently, do things differently,
and...get different results...


If we hold on together...

Bangga dan teruja dengan Vision Board masing-masing.




Teach To Learn.


Fokus dan sepenuh hati menyiapkan Gratitude Stone
untuk yang tersayang.














Deposit untuk siapa tu?


KHABAR BAIK...SANGAT BAIK...AMAT BAIK!!!
Jeritan ini akan sentiasa tergiang-ngiang di telinga...







Yeay! Kami berjaya senaraikan 20...
Hmmm....kalau dapat 65 lagi bagus....

Cepat...cepat...masa tidak menunggu kita...

Thank you....thank you...sayapun dapat juga!


















Thank you for your participation!
 




















Saya belajar, things which are important to you will always make you passionate about it. Dalam kelesuan, dalam keserabutan, dalam kepeningan, perkara-perkara inilah yang sering menyuntik tenaga dan semangat.  Kita tidak mahu bertangguh untuk melakukannya, semangat mengalir, kekuatan menyerap ke seluruh minda dan anggota. Bila melihat hasil yang dicapai, diri tersenyum kepuasan.

Saya juga belajar, tak ada gunanya memaksa diri melakukan perkara yang kita sememangnya tidak suka. Penatnya lebih terasa, belum lagi termasuk stress dan tension yang dirasai.

Bila semakin berumur, harapannya....I can always do things which I have true passion in...

So, what are you passionate about?


Thursday, September 23, 2010

Cabut je lah...

Perkataan cabut sememangnya memberi impak tersendiri.

“Cabutttt....” Dengan nada jeritan, biasanya dirujuk sebagai lari sepantas yang boleh kerana rasa takut, gerun atau rasa bersalah. Kita boleh bayangkan gaya mereka yang cabut lari...lariannya lintang pukang...simpang perenang...

Dan perkataan “cabut” bila di gandingkan dengan perkataan “gigi” – jadi cabut gigi....juga menggerunkan. Siapalah yang suka berjumpa dengan doktor gigi, bagai hubungan benci tapi rindu. Tak pergi...sakit berpanjangan, pergi...gerunnya juga berpanjangan. Biasanya kanak-kanak yang cukup menggeruni perkataan “cabut gigi”. Tapi, orang dewasa juga apa kurangnya.

Apalagi yang menggerunkan bila dikaitkan dengan perkataan “cabut”? Tercabut nyawa? Tercabut kepala? Tercabut ulu hati? Tercabut usus?

Dan sering kita lihat di TV, gangster Mafia akan mencabut kuku satu persatu semata-mata bertujuan untuk menyiksa, atau mendapatkan maklumat rahsia...eeiiii...gerunnya....

Seminggu sebelum Raya, ayah saya terlibat dengan kemalangan kecil, Walaupun kecil, 2 hari juga dia sukar untuk berjalan, ibu jari kakinya luka sampai hampir TERCABUT KUKU-nya...terkotak-katik kuku tersebut dan bengkak ibu jarinya. Doktor kata kuku tersebut akan tercabut sendiri, namun sehingga Hari Raya, kuku itu masih tidak juga tercabut - melekat tidak, tercabutpun tidak, hanya terkotak-katik (betul ke perkataan ni....?) Beliau tidak memberitahu kami, tapi rahsianya pecah bila kami pulang beraya dan nampak ibu jari kakinya berbungkus. Kenapa berbungkus? Sebab dia takut terlanggar cucu-cucunya yang berlari-larian. Jalannya pun terdengkut-dengkut, mukanya berkerut-kerut kerana sakitnya berdenyut-denyut. Bila saya tengok, saya syak ibu jari kakinya bernanah.

"Bah, saya bawak pergi klinik ye...cabut je lah kuku tu...cuci bersih-bersih biar tumbuh kuku baru...” Saya mencadangkan padanya. Dan pasti cadangan tersebut ditolak mentah-mentah. Kepalanya menggeleng-geleng tidak setuju.

“Kamu ni...elok tak de apa-apa, pulak main nak cabut-cabut je kuku tu. Takpelah...nanti kering la tu....” Bahunya terangkat-angkat, dan saya dapat mengesan kegerunannya bila mendengar tentang “cabut je lah kuku tu”....heh...heh...

Selepas 2 minggu, kukunya masih belum tercabut...masih terkotak-katik...dan abah masih terdengkut-dengkut...sakitnya masih berdenyut-denyut. Lukanya nampak basah dan saya berkeputusan untuk menggunakan kuasa Veto saya sebagai anak sulung...ahaaaa!!

“Bah...esok pagi saya bawak abah ke klinik, kita cabut je kuku tu...mau ke...tak mau ke...esok abah siap-siap, pukul 8.30 pagi saya datang ambik.” Malam itu saya bertegas dengannya. Kebetulan emak dan abah datang ke Puchong menjaga anak adik saya yang demam, jadi saya rasa sudah alang-alang ada di sini, elok saya “settle-kan” saja. Abah berpandangan dengan emak, dia mahu membantah, tapi tak terkeluar...tak terkata-kata...he...he...

Esok paginya, saya bawa dia ke klinik. Belum sempat doktor memberi pendapatnya, saya sudah bersuara, “Doktor, cabut je lah kuku tu...”. Doktor tersenyum, dahi abah saya berkerut, dan saya pulak tersengih. Doktor mengangguk-angguk. Yesss!!!

“Doktor bius dulu tak?” Tanya abah padanya. Nampak dia takut dan gerun. Mestilah....kalau tanpa bius, mahu terkencing menahan sakit.

“Bius....mestilah bius dulu....” Jawab doktor. Abah mengangguk-angguk kelegaan.



Abah sedang menenangkan hati...nampak benar dia ketakutan...kesian abah...saya memang tak kasi chan...(tapi saya sebenarnya kesian sangat....)







“Saya akan bius 3 kali keliling ibu jari kaki ni. Tapi bius pertama kali tu akan sakit sikit ye, pakcik...” Kata-kata doktor membuatkan abah risau kembali.

“Tak pe, Bah. Lepas ni tak sakit dah...” Pujuk saya. (Pandai le saya bercakap, kalau terkena batang hidung sendiri, agaknya lebih liat dan mengelat saya ni...mungkin kuku tu saya simpan sampai mati kerana takut dicabut....heh...heh...)

Selepas dibius, hampir 10 minit juga menunggu jari abah kebas sebelum doktor akhirnya berjaya mencabut kukunya. Walau sudah kebas, beberapa kali juga abah tersentak setiap kali doktor cuba menyentap kukunya...

Saya memegang tangan dan memeluk bahunya...walau saya sendiri sebenarnya kegerunan, rasa nyilu, tak sampai hati dan macam-macam lagi. Tapi ketika itu hanya ada saya yang menemankan abah, jadi takkan lah saya pulak yang cabut lari keluar. Terpaksalah saya memberanikan diri (dan tunjuk muka berani dan brutal) menemankan abah.

Teringat masa kecil abah memeluk saya ketika doktor mencabut gigi saya....dan teringat juga abah meriba Zaid, cucu sulungnya, ketika Zaid dicabut giginya oleh doktor gigi untuk pertama kali. Se-macho-macho abah, kali ini... saya yang memegang tangannya dan mententeramkannya bila kukunya dicabut doktor...nasib baik abah tak cabut lari sepertimana cubaan Zaid untuk cabut lari di klinik gigi dulu...kalau tidak, tak dapatlah saya bayangkan...

Ketika keluar dari klinik...air muka abah nampak benar kelegaan.

“Sakit lagi, Bah?” Tanya saya. Dia menggelengkan kepala.

“Haa...kan betul saya cakap...cabut je....” Saya tergelak kecil sambil memimpin abah masuk ke kereta.

Abah masih tak terkata-kata, tapi saya tahu dia menarik nafas lega...


(Dari perkataan cabut, saya belajar, bila buat silap, jangan cabut lari. Ambil tanggungjawab, akuilah kesilapan, mohonlah kemaafan. Usahlah baling batu....sembunyi tangan....jangan sekali-kali berkata... “kita cabut je lah...”.)

Tuesday, September 21, 2010

The last year of his teenage life...

Masa remaja hanya sekali, penuh dengan keterujaan, semangat muda remaja! Semua ingin dicuba - atas nama menambah pengalaman, mengkayakan pengetahuan. Hidup tiada masalah – “totally carefree”; bebas – “free and independent”. Tak perlu fikir pasal duit, pasal makan pakai. Semuanya tersedia. Siapa yang sediakan? Siapa lagi? Emak dan abah laa...














Zaid ketika berucap mewakili anak-anak buah di pagi raya...






Satu-satunya kerja dan tugas terbesar para remaja, tentunya semata-mata belajar. Hanya perlu belajar... Tapi tugas ini bukan pula satu tugas yang senang, apatah lagi bila diri terbelenggu rasa malas. Jadi tugas yang paling menjadi “favourite” pastinya....tidur, TV, lepak dan sekarang ini mestilah FB, MySpace....dan seumpamanya... Seronoknya zaman remaja....enjoy!

Bulan ini, anak lelaki saya menyambut ulangtahun terakhirnya sebagai remaja belasan tahun...tahun depan dia akan menyambut harijadi pertamanya dalam nilai puluhan...Sememangnya, ulangtahun ke-19 ini cukup bermakna. Dan untuk keluarga kami....terlalu amat bermakna...

Banyak yang dilaluinya, yang juga sama-sama kami lalui. Orang kata bukan mudah menjaga anak perempuan.  Tapi sebenarnya, juga bukan mudah membesarkan anak lelaki, sementelah anak sulung. Cabaran terlalu besar, adakalanya kami tersungkur, adakalanya dia tersungkur. Tapi saat yang paling kami banggakan ialah bila kami sama-sama berpegangan dan sokong-menyokong untuk bangun bertatih semula.














....tangkap syahdu di tengah-tengah ucapan...





Walau kami sering mahukan Zaid belajar dari sudut yang lebih mudah, tetapi dia kerapkali mahu belajar dari sudut yang lebih susah. And true enough....he learns more, and the learning is far more impactful...We, too, learn more than what we’d expected...

Dan pada tahun terakhir umur remajanya ini...tiada apa yang saya ingin pesan padanya, hanya...


Jadilah anak muda yang beragama...

Bacalah Al-Quran...solatlah di surau...
Jadilah imam untuk ibu, abah dan adik-adik...
Berdakwahlah pada kami dengan istiqamah...
Janganlah tinggalkan solat...
Jadilah khalifah untuk diri sendiri...


Begembiralah...La Tahzan...

Bersyukurlah pada nikmat yang ada, rahmat yang ada, kasih sayang melimpah ruah yang diterima...
Bersyukurlah dengan fizikal yang cukup sempurna, akal yang ada, kebijaksanaan yang ada, tenaga dan kesihatan yang ada.

Zaid punya potensi yang cukup banyak, tenaga dan semangat yang cukup tinggi...capailah potensi diri yang sebenar dengan semua kelebihan ini...tak perlulah Zaid bersusah payah...

Bergembiralah...bersyukurlah....nikmati semua kelebihan ini dengan penuh kesyukuran....


Jaga kesihatan diri...

Dalam tempoh remaja dan akan pula menginjak ke-20an, banyak perubahan fizikal akan berlaku dan yang telah berlaku, semakin banyak otot berkembang, perkembangan hormon adakalanya belum seimbang, fizikal pula semakin tinggi menjulang...

Jagalah kesihatan fizikal dan mental. Jaga kebersihan diri, jaga keterampilan diri, jaga pemakanan, ambil diet yang betul, dan sentiasalah cergas dan aktif. Apa yang Zaid buat hari ini, akan menjadi asas yang baik untuk kesihatan Zaid di masa akan datang. Apa yang Zaid amal, akan menentukan kesihatan fizikal dan mental Zaid di hari tua...usahlah tua sebelum waktunya...mencegah lebih baik dari mengubati...


Jadilah seorang yang bijak...

Sentiasalah berasa rapat dan akrab dengan keluarga, dengan ibu dan abah, dengan adik-adik.... Remaja memang ingin berdikari, dan membuat keputusan sendiri, dan mempunyai 1001 macam persoalan dan kemusykilan. Inilah masanya Zaid amat perlukan tunjuk ajar, bimbingan dan sokongan dari ibu, dari abah, Atuk, Pak Usu dan mereka yang lebih tua dan berpengalaman. Gunakanlah kami....cedoklah sebanyak ilmu dan usahlah Zaid lalui jalan-jalan yang pernah kami lalui dan yang telah kami sendiri buktikan salah. Nasihat rakan-rakan memang amat memahami, tetapi mereka juga kurang pengalaman seperti Zaid...Lihatlah dunia dari sudut yang lebih luas, dengan minda yang terbuka...

Jadilah seorang yang bijak...bijak membezakan yang betul dan yang salah, yang baik dan yang buruk...

Jadilah seorang yang bijak....walau tidak popular...











Berucap lagi masa majlis hari jadi...

“Terima kasih sebab susah payah celebrate birthday Zaid...”







Pilih kawan yang betul...

Sebagai manusia, tiada siapa yang mahu hidup tersisih dan bersendirian. Rasa ingin berada dalam “lingkungan satu kepala” memang cukup penting dalam tempoh ini. Bila berada “in the group” memang cukup terasa hebat.

Jadi, binalah rangkaian sahabat yang ramai dan kuat. Sahabat-sahabat yang akan susah dan senang bersama, yang saling ingat mengingatkan, tegur-menegur dalam amalan baik dan nahi munkar.

Carilah sahabat yang akan mendekatkan diri dengan Allah, bukan menjauhkan Zaid dari Allah.

Pilihlah kawan yang betul...berkawanlah dengan si penjual minyak wangi....


Tetapkan satu standard yang tinggi untuk diri sendiri...

Sekarang ini, susah untuk mencari remaja yang mempunyai definisi yang jelas tentang tingkahlakunya sendiri, yang boleh menetapkan had dan batasan kepada tingkahlakunya - mana yang boleh diterima dan tidak boleh diterima... Lebih-lebih lagi dalam isu pergaulan dan sosial, teman wanita/lelaki, dadah, seks, rokok, arak, pornografi dan sebagainya... Selalunya mereka lebih mudah mengikut saja, terikut-ikut dengan tekanan dan pujukan rakan-rakan sebaya....

Keseronokan itu hanya sementara, ramai yang kecundang dan terbelit dengan lebih banyak masalah, kesan dan akibat yang lebih menekan jiwa, merosakkan kewarasan, menipiskan iman...

Tidak ramai remaja yang mempunyai misi dan hala tuju hidup yang jelas dan tersusun. Akhirnya, hidup sekadar mengikut arah angin...

Jadi, Zaid tetapkanlah satu standard diri yang tinggi, kualiti hidup yang tinggi, kualiti kejayaan yang tinggi dan dan standard kualiti solat yang tinggi...

Ilmu yang ditimba bukan sekadar untuk masa depan sendiri, jadikanlah ianya sebagai satu bentuk khidmat dan sumbangan, yang dapat meninggalkan legasi....

Tahu solat...usahlah sekadar tahu solat bersendirian...tuntutlah ilmu dan keyakinan untuk berdiri menjadi imam di depan isteri dan anak-anak nanti...

Tahu mengaji...usahlah sekadar boleh khatam Quran sendiri....tapi dalamilah ilmu Tajweed agar anak-anak khatam Quran di tangan sendiri...

Usahlah sekadar jadi yang terbaik di dunia, tapi sentiasalah berusaha menjadi yang terbaik untuk dunia...

Apabila masa remaja ini berlalu, dan masa pastinya akan terus berlalu....jangan sampai Zaid menyesali masa yang sudah lepas...tempuhilah hidup ini dengan kepuasan...kegembiraan...keimanan....

















Selamat ulang tahun ke-19...

Kami semua sayangkan Zaid!