Monday, November 29, 2010

Guide Book To Hong Kong - Part 4

Travelling with kids – face your fear factor!

Day 4
Itinerary
Ocean Park
Ladies’ Market
Sport Street
Milan Station
Parklane Plaza

Itinerari utama hari ini ialah untuk ke Ocean Park. Pada awalnya, saya tidak tahupun tentang Ocean Park, dan ianya tiada dalam senarai lawatan. Dalam meng-google banyak kali tentang Hong Kong, terjumpa pulak tentang Ocean Park dan saya masukkan dalam senarai “either or”....iaitu either Victoria Bay/Wanchai or Ocean Park. Malam tadi semasa berehat-rehat, anak-anak sempat meng-google tentang Ocean Park dan Victoria Bay, dan mereka memilih Ocean Park...... Ok! Ocean Park we go!








Dah sampai pun...








Seperti biasa, kami menaiki MTR dari Jordan Station dan berhenti di Admiralty Station. Dari situ, kami menaiki bas terus ke Ocean Park. Sebenarnya, bas ini boleh dikatakan bas khas untuk ke Ocean Park. Perjalanan memakan masa hampir 30 minit. Sampai di Ocean Park...wahhh...kami berjumpa ramai sungguh Indonesian. Terdapat satu kumpulan anak-anak muda Indonesia, dalam lebih 20 orang yang bergaya ala-ala Hong Kong superstar, siap berambut perang. Dari gaya mereka, berkemungkinan besar mereka bekerja di Hong Kong dan sudah lama menetap di situ....dan tak mungkin mereka bekerja sebagai pembantu rumah, mungkin sektor lain.

Di depan Tai Shue Wan Entrance









Ocean Park terbahagi kepada dua bahagian, satu di atas bukit Mount Nanlang (The Summit), dan satu lagi dibawah bukit, di Huang Zhu Keng Valley (The Waterfront). Kedua-dua bahagian ini mempunyai pintu masuk masing-masing iaitu Main Entrance di Waterfront dan Tai Shue Wan Entrance di The Summit dan dihubungkan dengan cable car dan tram yang dinamakan Ocean Express. Bas 629 yang kami naiki berhenti di Tai Shue Wan Entrance di The Summit, jadi lawatan kami mulakan di bahagian tersebut dahulu. Apa yang bagus dan memudahkan, bas untuk balik ke Admiralty Station boleh diambil di kedua-dua bahagian. Ocean park ni, ada sikit seperti zoo, ada sikit seperti akuarium, ada sikit seperti amusement park, ada sikit seperti extreme park dan ada sikit macam themed park....haaa...5 dalam 1...

Dari Tai Shue Wan Entrance,
kena naik 3 escalator seperti ini untuk sampai
ke setiap rides yang berbeza.










Di The Summit, keadaannya ada persamaan seperti di Genting Theme Park dan Sunway Lagoon. Anak-anak teruja mahu menaiki semua rides yang ada. Jadi mula-mula sekali kami melihat jadual show yang ada, dan merancang semua show dan rides berselang-seli – mencabar juga kerana seboleh-bolehnya mahu melihat semuanya dan adakalanya, waktu show agak terhad dan bertembung dengan show yang lain.

Pemandangan dari The Summit








Macamana pula dengan rides? Saya takut untuk menaiki semuanya – takut dan gayat dengan tinggi, takut dengan keselamatan, takut menghadapi rasa seperti jatuh mendadak. Awal-awal lagi saya menawarkan diri untuk menjaga beg sahaja, dan menunggu di bawah sementara suami dan anak-anak menaiki rides. Tapi untuk dua rides yang pertama iaitu Space Wheel dan Raging River, suami dan anak-anak menarik saya untuk menyertai mereka. Antara takut dan berani saya cuba menguatkan hati. Sebelum naik, hampir menangis juga dibuatnya bila kena “paksa” begitu, “Dear, you must try....you must try!” Suami bersungguh-sungguh mengajak dan memberi semangat (read as: memaksa!)
Basah kuyup selepas naik Raging River...
Amni...thumb up
Ibu...thumb down!











Ok...ride yang pertama – Raging River – saya pernah menaikinya di Sunway Lagoon, dan ketika itu saya memang takut nak mati....dan untuk menaikinya sekali lagi di sini....adoiii....Berat sungguh hati saya, tapi kerana nak “sporting” punya pasal...saya pejamkan mata sepanjang ride tersebut, dan tak dapat saya nak huraikan disini rupa bentuk jeritan saya...sebab ketika itu sayapun entah melayang kemana....(Anyway...rasanya yang di Sunway Lagoon lebih mengujakan dan exciting...hah...hah...pandai pula saya beri ulasan selari selepas itu dalam lutut yang masih menggeletar...). Anak saya semakin teruja selepas Raging River, “Ok...cepat Bu...kita naik Space Wheel pulak lepas ni!!” Adoii mak! Kena naik jugak ke?

Nampak macam biasa, tapi bila
berpusing vertical, rasa macam jatuh terjunam...










Amni dan Nisha...thumbs up
Ibu...thumb down!









Ok...ride kedua – Space Wheel – berpusing dari horizontal ke vertical. Ride yang ini, kengerian saya sampai ke tahap maksimum. Rasa perut sekejap ke kepala, sekejap ke kaki. Adakalanya rasa punggung tak mencecah tempat duduk. Bila turun, anak-anak dan suami kesukaan, saya sudah pening lalat. “No more for me...no more for me...” Sporting or not sporting...tak kira....saya rela tunggu beg saja. “You kena face your fear factor...” Suami cuba untuk memberi semangat...tak makan pun pujukan dia tu....ampun maaf!

So, for the next rides...saya menjadi penunggu yang setia! Amni langsung tidak takut!! Selepas itu, mereka naik Mine Train, tahap extreme-nya sederhana. Then, naik lagi Eagle – berpusing ke semua arah dan naik sangat tinggi....seronok juga mereka, tak reti takut....kemudian naik pula Crazy Galleon – ni biasa la, ayunan kapal...di Sunway Lagoon pun ada. Akhir sekali, mereka pergi ke 2 rides yang paling extreme The Dragon – roller coaster terpanjang dan terngeri, dan The Abyss – naik tinggi di vertical tower dan jatuh mendadak...di Genting juga ada, dan baru-baru ini ketika melihat The Amazing Race Asia, nampak ianya ada juga di Gold Coast.

Mine Train...
Amni excited sungguh naik ni...









The Abyss...
tengah berbincang-bincang...nak naik ni tak?
And...the winner is abah!!!












Untuk dua ride ini, Amni tidak boleh naik kerana kurang ketinggian minimum. Zaid dan Nisha berbincang-bincang berdua dan mereka tidak berani menaikinya. Ketika ini, saya beriya-iya memberi mereka semangat (ha...ha...cakap je pandai, tapi sendiripun takut...), kalau boleh saya tidak mahu mereka melepaskan peluang ini. Nisha pernah menaiki G-Force X ketika di Sunway Lagoon, dan dia sangat berani ketika itu. Saya juga tahu Nisha sangat teruja dengan semua extreme sport, dan bila dia tidak mahu manaiki The Dragon (extreme roller coaster), saya agak terperanjat. Ketika baru sampai tadi, itulah ride yang paling dia mahu naik. Tapi mungkin bila sudah menaiki banyak rides, dia mula gerun. Zaid juga surrender...Amni masih excited untuk menaiki The Abyss, saya berat untuk melepaskannya. Tapi bila dia beriya-iya. suami pula mahu menemankan, saya seperti biasa dengan peranan saya untuk hari itu...menjadi penunggu yang setia...menunggu di bawah...Cuma kali ini saya menunggu dengan Nisha dan Zaid. Tapi kesian, Amni tidak dapat naik kerana tidak cukup tinggi. Suami turut tidak jadi naik. Tapi bila anak-anak mencabarnya, akhirnya suami naik dan kami bersorak-sorak dari bawah sambil mengambil video dan gambar. Bila dia turun kami semua sibuk bertanya, “Takut tak, abah? Kecut tak? Gayat tak? Berdebar tak?”. Kami cukup teruja, tapi jawapan suami, “Biasa je....tak rasa apapun...kejap sangat...” (Ya lah tu...takut tapi buat-buat macho...heh...heh...)

Beautiful but deadly....










Selepas semua rides, baru anak-anak terasa lapar dan kami makan bekalan nasi yang dibawa sebelum meneruskan lawatan ke Sea Jely Spectacular (memang spectacular melihat obor-obor yang sangat cantik dan nampak sangat lembut bagaikan sutera boleh jadi sangat beracun – so beautiful and yet so deadly!). Bagus jika anda masuk ke sini dengan kamera yang canggih dan pandai pula mengambil gambar, pasti dapat merakamkan gambar obor-obor yang unik dan cantik. Kemudian kami sempat melihat dolphin show di Ocean Theatre (Wow Moment!) dan memberi makan sea lion di Pacific Pier. Bayangkan, semua ini baru di The Summit, kami belum turun ke Waterfront lagi, dan hari sudah petang. Kerana berkejar untuk ke Waterfront, kami tidak sempat ke Atoll Reef – aquarium yang menempatkan lebih 400 spesies hidupan laut dari sekecil-kecil ikan hinggalah ke ikan jerung. Terkilan juga rasanya.

The Pacific Pier

















Ocean Theatre - menonton Dolphin Show








Penat berjalan...
Rehat dulu dan makan...









Untuk turun ke Waterfront, kami memilih untuk menaiki tram – The Ocean Express. Lagipun ketika itu, hujan turun renyai-renyai dan agak berangin, jadi saya memilih jalan selamat... Anyway...no more cable car, please!

Sekadar bergambar dengan latar belakang
cable car...








Di Waterfront, lawatan kami ala-ala Touch N Go....tapi sempat juga melawat panda village (tapi semua panda sedang tidur dan tidak aktif ketika itu), Goldfish Treasure (akuarium penuh dengan bermacam jenis ikan emas – amazingly beautiful – tak sangka ada terlalu banyak spesies yang tak pernah saya lihat sebelum ini, dan saya mendengar anak-anak saya asyik terjerit kecil...wow...wow....wow!). Di sini, ada 2 show lagi menunggu, satu di Bird Theater dan satu lagi di Whiskers Theater. Boleh dikatakan, aktiviti sangat padat di sini....dan dengan harga tiket yang dibayar...memang berbaloi-baloi...

Nampak tak kat belakang tu....
Cik Panda tengah tidur...









Di Gold Fish Village
Nampak apa yang Amni tulis?








Dalam perjalanan balik, baru terasa kaki lenguh dan penat. Tapi perjalanan terasa sekejap dan tak sempatpun tertidur. Sampai di hotel, seperti biasa, selepas solat jamak takhir, kami berehat-rehat menunggu maghrib. Malam ini merupakan malam terakhir kami di BP International. Esok tengahari, kami akan berpindah ke Holywood Hotel di Disneyland. Jadi, malam ini kami mengambil peluang untuk ke Lady’s Market dan Sport Street. Dalam hati, ada satu tempat yang amat sangat ingin saya pergi...malam ini saja peluang yang ada...itupun kalau sempat...kalau tidak....that’s it! Harap-harap sempat....

Ladies Temple Market...nak brand yang mana satu?







Selepas maghrib, kami terus ke Jordan Station dan mengambil MRT untuk ke Mongkok Station. Dari Mongkok Station, lebih kurang 5 minit berjalan kaki ke Lady’s Market yang terletak di Tung Choi Street (sama seperti China Town di Petaling Street). Berbanding dengan Temple Night Market, saya dapati barang-barang di sini lebih murah. Jika di Temple Night Market, t-shirt "I Love Hongkong" boleh dibeli dengan harga HKD100 untuk 3 helai (tak boleh tawar langsung!) tetapi di Lady’s Market, anda boleh dapat dengan harga yang sama untuk 4 helai, malahan ada yang menawarkan untuk 5 helai – kualiti yang sama! Di sini, anda boleh jumpa ramai Bangladeshi yang duduk di meja-meja kecil dengan buku katalog. Apa yang dijual dalam katalog tu? Sudah tentu berbagai jenis hand bag berjenama mahal, kebanyakannya jenama Hermes. Mereka akan mempelawa kita melihat katalog tersebut dan ada yang mahu membawa kita melihat stor mereka....bahaya betul! Dan mereka mendakwa beg-beg tersebut merupakan jenama yang tulen! Bayangkan beg tangan Hermes yang puluhan ribu (dalam RM) boleh didapati dalam ratusan ringgit sahaja (dalam RM). Hmmm...tak mungkin...tak mungkin... Apatah lagi handbag “cap ayam”, memang bersepah-sepah...dan bermacam-macam gred hingga AAAAA. Tapi designnya pelik-pelik, design yang tiada langsung pada jenama sebenar, pastinya nampak sangat “cap ayam”. Ada juga yang sangat serupa dengan yang original!  Dari sudut inovatif...ada bermacam-macam benda pelik yang dijual...permainan elektronik, accessories wanita, alat perhiasan rumah, pakaian kanak-kanak hinggalah ke dewasa, t-shirt pelbagai “jenama” dan 1001 macam lagi. Kami tidak membeli apa-apa di sini kerana sudah bershopping ketika di Temple Night Market.


Siapa yang tengah khusyu' bershopping tu?








Bersebelahan dengan Tung Choi Street / Ladies Market ialah Fa Yuen Street. Di sini, juga dikenali dengan Sport Street dan deretan kedai menjual barang-barang sports – racket badminton, tennis pelbagai jenama, kasut, pakaian, track suit, jaket dan semuanya....pastinya inilah syurga membeli belah buat suami...shopping time buat dia! Sepanjang jalan...dari satu kedai ke satu kedai...pilihan yang terlalu banyak! Puas hatilah dia bila dapat racket idaman...

Kemudian, kami naik MTR dari Mongkok Station dan turun di Tsim Sha Tsui Station untuk ke Parklane Plaza buat kali terakhir untuk melihat sport shoe yang ingin suami beli. Selepas habis bershopping di situ, kini giliran saya pula. Sudah 2 hari saya mencari di peta...jalan mana yang perlu diambil, dan saya tahu jalan tersebut berdekatan dengan Parklane Plaza.  It is now my turn...“Jom, cari Milan Station pulak jom...”

Nak tahu apa jawapan suami? “Jom!” Apalagi, bila dia menjawab begitu, dengan confident-nya saya menuju jalan yang saya telah hafal dalam kepala...hampir 15 minit juga berjalan...kami akhirnya sampai ke Milan Station. Milan Station ialah kedai yang menjual beg tangan berjenama....tetapi terpakai...namun masih dalam keadaan yang sangat baik (saya tahu pasal kedai ni tentulah ketika menonton rancangan Giuliana & Bill...sejak tu sudah berangan...jika ke Hong Kong mesti cari kedai ni...). Masuk saja ke dalam kedai, mata saya terus terarah ke jenama yang satu ini....haaaa...itupun dia! Wahh...design yang saya mahukan! Wow...warna yang saya idam-idamkan!! Harus kena beli ni! Harus...harus....harus.....

Suami mengusik, “Coach tak nak ke?”. Dia tahu saya mengidam jenama yang satu ini, dan sudah menyebut-nyebut Milan Station dari Malaysia lagi. “Heh...heh...alang-alang dah sampai Milan Station, fokus I tentulah yang ini, buat apa Coach pulak!” Suami mengeluarkan handphone untuk mengira harga beg tangan tersebut dalam RM, kemudian saya mencongak harganya jika brand new. Ok...ok..hampir separuh harga lebih murah. Kemudian suami tolong melihat-lihat pula, beg tersebut memang nampak baru, bersih dan tidak ada cacat celanya...”Are you sure you don’t want the brand new?” Dia bertanya berulang kali. Walaupun pasti saya lebih suka menerima tawaran untuk membeli yang “brand new” daripada suami, tapi rasanya tak perlu berhabis-habisan...dapat yang inipun sudah lebih dari bagus! Dalam banyak-banyak shopping....di Milan Station...merupakan rekod terpantas...tak sampai 20 minit...the business was sealed! The credit goes to my dear husband....thank you for making it happen! Zaid mengusik-ngusik dalam perjalanan balik...”Wah! Ibu senyum-senyum...esok pakai handbag baru le tu....”. Well....sekarang barulah boleh claim...I come...I see...I conquer! Heh...heh.... (Hmmm....mission accomplished!)

I come...I see...I conquer...








Dalam perjalanan balik, ternampak pula kedai Lin-Ning, apalagi, suami pula menyinggah di situ...kali ni, saya pulak melayan dia bershopping! Anak-anak? Mungkin mengantuk...mungkin penat ber-walkathon....muka boring je melayan kerenah emak dan bapa mereka! Nasiblah tu....turn kitoranglah pulak!

Sampai di hotel...belum boleh tidur lagi! Saya dan suami ke bilik laundry untuk membasuh baju, sekadar untuk apa yang perlu dipakai di Disneyland pula. Kemudian, kami mengemas beg dan barang-barang untuk check-out esok. Anak-anak tidur lebih awal dari kami yang berkemas-kemas, maklumlah, esok merupakan sesuatu yang paling mereka nanti-nantikan.

Malam itu saya tidur sambil tersengih. Suami pula tidur sambil tersenyum. Saya ada handbag baru...dia pula ada racket baru....hullallaaa...


TIPS:

Perlukah Visa untuk ke Hong Kong? Jawapan: Tidak perlu.
Maaflah, sepatutnya saya beritahu di Part 1 lagi, tapi terlupa. Ada pulak yang bertanya dan terima kasih kepada yang mengingatkan. Jadi, tak perlu risau, hingga setakat ini, anda tidak perlu visa untuk ke Hong Kong. So, buy your ticket today, pack your things, and you can just fly to Hong Kong the next morning!

Cuaca di Hong Kong.
Hong Kong Weather - [Check Hong Kong weather]
Untuk memastikan pakaian yang dibawa bersesuaian, pastikan terlebih dahulu keadaan cuaca dan musim di Hong Kong ketika anda berada di sana.  [Lihat suhu dan cuaca Hong Kong]



Bagaimana untuk ke Ocean Park:
Dari BP International, pergi ke Jordan Station dan ambil MTR ke Admiralty Station. Sampai di Admiralty Station, keluar di Exit B2. Dari situ anda boleh nampak anak panah ke Ocean Park, sebenarnya menunjukkan ke arah stesen bas untuk ke Ocean Park . Ambil Bas nombor 629 untuk ke Ocean Park. Anda tidak perlu risau kerana ada ramai staf Ocean Park di sini dan mereka akan memberi arahan yang sepatutnya. Di stesen bas ini, anda boleh membeli tiket pergi balik di kaunter khas Ocean Park. Jika ingin membeli tiket masuk ke Ocean Park di sini pun boleh. Anda tidak menunggu lama di sini. Bas bergerak setiap 5-10 minit. Dari Jordan Station ke Admiralty Station memakan masa lebih kurang 15 minit. Manakala perjalanan dengan bas ke Ocean Park pula mengambil masa lebih kurang 30 minit.

Tambang bas pergi balik:
Dewasa – HKD 21.20 seorang
Kanak-kanak (3-11 tahun) – HKD 10.60 seorang

Tiket masuk ke Ocean Park:
Dewasa – HKD 250 seorang
Kanak-kanak (3-11 tahun) – HKD 125 seorang


Bagaimana untuk ke Ladies Market:
Dari Jordan Station, ambil MTR ke Mongkok Station. Di Mongkok Station, ambil Exit menuju ke Tung Choi Street. Apabila keluar di Exit tersebut, berjalan saja terus ke hadapan menuju ke Tung Choi Street hingga berjumpa dengan deretan kedai seperti pasar malam/Petaling Street. Itulah Ladies Market. Perjalanan dari Jordan Station Ke Mongkok Station tidak sampai 15 minit.


Bagaimana untuk ke Sport Street:
Sport Street terletak di Fa Yuen Street. Fa Yuen Street adalah selari dengan Tung Choi Street/Ladies Market. Dari Mongkok Station, anda akan berjumpa dengan Tung Choi Street dahulu, dan jika anda terus saja ke depan selepas Tung Choi Street ialah Fa Yuen Street. Dari situ sudah kelihatan dengan jelas deretan kedai-kedai yang menjual sport goods. Jenama Yonex murah di sini (tips ini dibawakan khas oleh suami saya!).


Bagaimana untuk ke Milan Station:
Ambil MTR (samada dari Mongkok Station ataupun Jordan Station) untuk ke Tsim Sha Tsui Station. Keluar menggunakan Exit ke Nathan Road ataupun Kowloon Park. Kemudian berjalan ke arah Kowloon Mosque. Di depan Kowloon Mosque ialah simpang 4 yang mempunyai traffic light. Pagar hadapan Kowloon Mosque berhadapan dengan Nathan Road. Anda perlu melintas Nathan Road di traffic light ini. Sampai di seberang, dan anda masih lagi di Nathan Road pusing ke kiri (seperti mahu berjalan balik ke arah Jordan Station), anda perlu berjalan ke arah Burlington House. Sebelum sampai ke Burlington House, anda akan nampak Cameron Road di sebelah kanan. Masuk Ke Cameron Road dan jalan menyusuri Cameron Road hingga ke hujung dan anda akan sampai ke simpang tiga. Jalan di depan anda ialah Chatham Road. Pusing ke kiri dan jalan terus menyusuri Chatham Road lebih kurang 500 meter sehingga anda berjumpa kedai Milan Station di sebelah kiri.

(Cameron Road boleh dikatakan agak bersetentang dengan Kowloon Mosque).

Bagaimana untuk ke kedai Lin-Ning:
Kedai Lin-Ning berada di Cameron Road. Dari Nathan Road, masuk ke Cameron Road, jalan lebih kurang 300 meter, dan anda akan nampak kedai Lin-Ning di sebelah kanan. Jika anda peminat badminton, pasti tidak mahu melepaskan peluang ini. Tapi menurut kata suami, tidak banyak perbezaan harga. So, you have a choice...to buy or not to buy...

The best thing about today’s trip – when you’re in fear, go direct to it – face to face! And, when you have a dream, go direct to it – make it real!

[Baca Part 1]
[Baca Part 2]
[Baca Part 3]
[Baca Part 5]

Thursday, November 25, 2010

Guide Book To Hong Kong - Part 3

Travelling with kids – brave the height and see things differently!

Day 3
Itinerary
Ngong Ping 360
Central Hong Kong
Toy Zone 16
Temple Night Market

Bangun pagi hari ni, saya agak teruja kerana hari ini kami akan berjalan sendiri, exploring MTR station dan bergantung sepenuhnya dengan peta dan direction yang saya dapat dari Mr Google. Seperti biasa, husband bangun terlebih dahulu, kemudian saya dan diikuti dengan anak-anak. Bilik air cuma satu, jadi kena ikut giliran dan turutan.

Tugas “tukang masak” berterusan walaupun dalam vacation. Saya menyediakan breakfast dan bekalan untuk makan tengahari. Alhamdulillah, mungkin kerana anak-anak faham susah untuk mendapatkan makanan halal, mereka belum lagi merungut pasal makan dan belum lagi komen jemu makan lauk pauk segera yang dipanaskan. Buat masa ini, bajet untuk makan masih belum diusik....saya dan suami memberitahu mereka, “If we can save on food budget, we can then use it all for shopping!!” Agaknya pesanan itu juga membuatkan mereka tidak banyak komen (bermotivasi untuk makan saja bekalan yang ada) ...heh...heh....anda boleh guna tips ini...it works!

Bau kurma ayam yang saya panaskan memenuhi ruang bilik, dan ditambah dengan sejuknya air-cond, bila Amni keluar saja dari bilik air terus dia bersuara, “Mmmm...sedapnya bau....laparlah...nak makan....”. Saya perasan, selera Amni cukup baik di Hong Kong. Dia berselera menghabiskan nasi dan adakalanya minta tambah (di rumah, nak menghabiskan sepinggan kecil nasi pun susah). Mungkin kerana tiada pilihan lain, atau mungkin kerana rasa seronok, atau mungkin kerana penat berjalan menyebabkan sistem badannya mahukan tenaga lebih, dan mahukan makanan lebih dari biasa. Tak kisahlah, seronok sebenarnya tengok dia termasuklah kakak dan abangnya berselera walaupun dengan juadah yang simple dan ala kadar.

Pukul 9.30 pagi kami keluar menuju ke Jordan Station. Kad Airport Express berada di tangan masing-masing, dan berulang kali saya berpesan kepada anak-anak untuk menjaganya. Maklumlah, itulah benda terpenting yang kami akan gunakan untuk kesana kemari selama 3 hari yang akan datang.

(Tips: Ada baiknya anda sediakan lanyard untuk card ini agar mereka boleh gantungkan dileher dan tidak misplaced...jimat sikit tenaga anda berleter jika mereka lupa simpan dimana....)

Dari Jordan Station kami terus ke Central Station dan bertukar keretapi di situ untuk ke Tung Chung. Tung Chung merupakan destinasi terakhir jadi anda tidak akan sesat. Sampai di Tung Chung Station, anda pasti akan ternampak anak panah untuk Exit ke Ngong Ping 360. Sebenarnya, jika anda sudah sampai ke Tung Chung, bermakna anda sudah sampailah ke Ngong Ping 360.

...to infinity and beyond...





















Ngong Ping 360 terletak di Lantau Island dan terkenal dengan cable car-nya.  Dan 360 bermaksud, anda berpeluang melihat pemandangan Lantau Island secara 360 darjah dari cable car. Terdapat dua jenis cable car, cable car biasa dan cable car crystal. Di cable car crystal, lantainya juga daripada kaca, jadi anda dapat melihat pemandangan bawah semasa menaiki cable car. Kalau anda gayat, pilihan crystal cable car bukanlah pilihan yang baik....naik saja cable car biasa, dan harganya jauh lebih murah.

Perjalanan cable car ini sejauh 5.7Km dari Pekan Tung Chung ke Ngong Ping. Sepanjang perjalanan itu, anda dapat melihat Hong Kong International Airport dan pemandangan Lantau Island. Anda akan melalui kawasan berbukit-bukit, flora dan fauna yang cantik dan bukit bukau yang menghijau. Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang 25 minit dan akhirnya anda dapat melihat Patung Budha Tian Tan atau juga dikenali The Sitting Budha. Ini bermakna anda sudah menghampiri Ngong Ping.

Sebenarnya, saya pernah menaiki cable car untuk sampai ke puncak Genting Highland, dan ianya merupakan pengalaman paling menakutkan buat saya. Saya berpeluh-peluh dan memejamkan mata sepanjang perjalanan. Selepas pengalaman itu, saya tidak berkeinginan langsung untuk ke Genting Highland lagi...tak tahan menahan rasa gayat. Atas sebab yang sama juga, saya mulanya ragu-ragu untuk ke Ngong Ping. Tapi disebabkan anak-anak, saya teruskan juga dan melihatnya sebagai satu cabaran melawan rasa gayat saya. Dari Malaysia lagi, saya sudah menguatkan hati – this one is for the kids. Sebenarnya, jika saya drop Ngong Ping dari senarai lawatan, mereka juga tidak tahu what they’re missing...cuma naluri keibuan mahukan mereka explore semua tempat menarik di Hong Kong...jadi pilihan yang saya ada hanyalah...to just do it...brave the height...lupakan rasa takut dan enjoy the panorama...I think I’ll be fine...

And, true enough, the journey was not bad at all... rasa gayat memang ada, tapi saya bawa berbual-bual dengan anak-anak, cuba menceriakan diri dengan mengambil gambar pemandangan. Tanpa disedari, rasa gayat hilang sedikit demi sedikit. I’m glad I didn’t drop it from the list!

Sampai di Ngong Ping, seperti biasa anak-anak aktif dengan sessi berfoto dan berposing. Lawatan hari ni memang lebih santai dari semalam kerana kami tidak terikat dengan jadual tourist guide. So, we took our own sweet time. Pemandangan memang cukup cantik, bukit bukau yang menghijau memberikan pemandangan yang amat cantik, betapa sempurnanya ciptaan Tuhan. Kami berjalan sepanjang Ngong Ping Village (cultural themed village), dan kebanyakannya merupakan kedai-kedai yang menjual souvenir. Attraction di sini ialah Monkey’s Tale Theatre dan Walking with Buddha. Walking with Buddha merupakan multimedia show yang menceritakan bagaimana Sidharta Gautama menjadi Buddha. Kami tidak melihat kedua-dua show ini dan menghabiskan masa berjalan-jalan sekitar Ngong Ping village sahaja sambil bercerita sedikit tentang Buddha kepada anak-anak termasuk Chinese culture. Rasanya penting untuk mereka tahu agama dan budaya yang berbeza, dan dalam masa yang sama mengukuhkan pula kefahaman mereka tentang agama sendiri.

The Cultural Themed Village


















Dalam jalan punya jalan, tiba-tiba anak-anak yang sudah mendahului kami jauh di depan, memanggil-manggil kami. Amni pula berlari mendapatkan saya dan suami yang sedang berjalan berdua-duaan (pantang betul orang nak romantik-romantik, si kecik ni mesti tak kasi peluang...).

Ala-ala winter sonata gitu....


















“Bu, cepat Bu! Mesti ibu surprise...” Amni menarik tangan saya ke arah kakak dan abangnya yang melambai-lambai kami dengan excited!
















“Bu...tengok Bu! Halal, Bu!!” Zaid memberitahu saya.

Anak-anak teruja sungguh melihat kedai makan halal. Saya dan suami juga agak terperanjat kerana tidak menyangka ada pula kedai makan halal di Ngong Ping! Dalam bercerita pasal tempat yang menjadi tumpuan penganut Buddha, ada pulak tempat makan untuk orang Islam....mana tidak terperanjatnya....padanlah anak-anak saya terlalu excited....”Ok, lepas habis jalan nanti, kita makan kat sini.” Suami saya pula bersuara. Apa lagi, anak-anak sayapun senyum melebar....

Kalau tak dapat pegi di Ngong Ping...
boleh makan di outlet yang lain.




























Puas berjalan dan berposing-posing, kami terus masuk ke restoran halal tersebut – Ebeneezer’s Kebabs and Pizzas. Pekerja restoran terus memberitahu saya semua makanan adalah halal dan terus menunjukkan sijil halal yang tertera di kaunter pesanan. Di sebelah sijil halal tersebut, ada pula surat pengesahan dimana bahan-bahan mentah dan ramuan masakan di beli. Semua daging dibekalkan oleh kedai sembelihan Islam dan Masjid-masjid di Hong Kong, dan bahan-bahan masakan yang lain dibekalkan oleh lebih 10 kedai muslim. Berbeza dengan di Malaysia, kita hanya nampak sijil halal sahaja. Tidak saya nafikan, surat yang mengesahkan pembekal makanan halal membuatkan saya yakin status halal kedai restoran tersebut.

Chicken Tikka Piza...marbelesss...















Fish N Chips pilihan si kecik...















Fragrant Rice and Chicken Makhani















Gyros Chicken Kebab



















Apalagi...anak-anak memesan makanan idaman mereka dan enjoying their food so much. Kami menghabiskan masa agak lama di situ, berehat dan makan dengan santai....Dengan HKD 325...Menu yang kami pilih? Nisha – Chicken Tikka Kebab; Zaid – Gyros Chicken Kebab; Amni – Fish N Chips; saya dan suami – Chicken Makhani and Fragrant Rice dan Chicken Tikka Pizza. Sedap....memang sedap...memang kenyang...chicken tikka lebih kurang macam tandoori chicken....dan sedapnya pizza tu sampai sekarang terasa-rasa. Amni pula terlalu sukakan Fish N Chips-nya....payah ni....kalau terlalu teringin...tak kan kena cari sampai ke Hong Kong semula?

Kenyang makan....kami duduk-duduk, bersembang dan mengambil peluang kemudahan WIFI yang ada. Apalagi, anak-anak terus mengemaskini facebook masing-masing.  Apa jadi dengan bekalan kami? Nampaknya untuk makan malam lah tu.....

...seeing things differently....


















Setelah hampir satu jam di situ, kami kemudian turun semula ke Tung Chung dengan cable car, dan perjalanan balik lebih menyeronokkan. Perut sudah kenyang dan anak-anak saya berbual tanpa henti antara satu sama lain sambil membuka bungkusan cenderamata yang mereka beli. Dalam cable car tu...berposing-posing lagi....masa ni, gayat saya sudah hilang sepenuhnya....santai dan releks menikmati pemandangan....

Sampai di Tung Chung, kami terus mengambil MTR ke Central Station. Kali ini, kami mengambil kesempatan untuk turun di Central Station dan meninjau-ninjau down town Hong Kong. Di central, kira macam Bukit Bintang area....semua butik-butik terkenal dan jenama terkenal bersepah-sepah disini. Berlainan dengan sekitar Kowloon, di central keadaannya memang cosmopolitan dengan kelas tersendiri. Di sini merupakan pusat membeli belah dengan fesyen dan gaya terkini....cukup hebat....Di tengah-tengah bandarnya, terdapat laluan tram dan mall bersambung-sambung dengan laluan jejantas berbumbung dan escalator. Yang kami sempat melaluinya ialah Chater House, Prince Building, Jardine House dan ifc Mall. Kami jalan-jalan...tengok-tengok....survey-survey....window-window shopping.....

Laluan berbumbung menyambungkan satu mall
dengan mall yang lain...
kalau hujan ributpun masih boleh terus sambung shopping.


















Tempat ni famous dengan minum-minum
ala "English Tea"...
Waktu ni memang tea time, jadi penuh orang...


















Laluan tram di tengah-tengah jalan.


















Sebenarnya, saya cuba juga mencari H&M dan Mid Level Escalator (escalator berbumbung yang terpanjang di dunia – 800 meter dan naik setinggi 135m). Tapi kerana kesuntukan masa, kami tak berkesempatan untuk berjalan di sekitar Queen’s Road Central.


Haaa.....jumpa pun...
"Dear, jom...masuk sini kejap...."



















Akhir sekali, kami mencari Toy Zone di Sugar Street. Ingatkan satu mall penuh dengan toys, rupanya kedai ini merupakan kedai yang menjual figurines terutamanya figurines dari cerita-cerita anime Jepun. Walaubagaimanapun, disebabkan secara kebetulannya Nisha dan Amni meminati cerita-cerita anime Jepun, mereka cukup teruja melihat figurines yang susah dijumpai di Malaysia. Mereka bercakap-cakap sesama sendiri dan kenal kebanyakan dari figurines yang tersimpan kemas di almari-almari kaca....nama-nama yang saya tak tahu langsung, dari karakter-karakter siri anime yang saya tak tengok langsung...tak kisahlah....asalkan 2 beradik tu enjoy. Both of them appreciate it dan...Amni akhirnya membeli figurine Sango dan Kirara dari cerita Inuyasha. Harganya berpatutan dan lebih murah dari di Malaysia.

Yang paling ketara, disebabkan hari itu merupakan hari Ahad, rasanya hari dimana semua Indonesian maid keluar bersantai. Di sekitar Sugar Street anda akan nampak ramai sungguh Indonesian ladies, yang bertudung dan tidak bertudung, duduk-duduk dalam kumpulan masing-masing. Di situ banyak kedai-kedai makan Indonesia, mee bakso pun ada, ayam penyet pun ada (siap bertulis “Sedap dan Gurih” – gurih maksudnya garing).  Beberapa kali juga ditegur dengan minah Indon, "Libur ya, Bu!".   Saya dan anak-anak senyum-senyum dengan sapaan mereka yang ramah.

Selepas berposing-posing, kamipun balik ke Central Station dan mengambil keretapi ke Jordan Station. Hari ini, tidak sepenat semalam dan jadual malam ini hanya ke Temple Night Market. Kami mengambil masa untuk berehat selepas jamak Asar dan Zohor, malah sempat tertidur sebelum solat jamak Maghrib dan Isyak. Anak-anak memilih untuk makan selepas balik dari night market, jadi kami terus keluar selepas itu.

Temple Night Market


















Jalan ke Temple Street betul-betul di depan BP International (adjacent to Austin Road), jadi berjalan kaki ke sana sangat hampir, tak sampaipun 10 minit kami sudah berada di tengah-tengah Temple Night Market. Di sini kami membeli banyak souvenir terutama untuk kawan-kawan Nisha dan Amni, dan cikgu sekolah mereka. Anda perlu pandai menawar harga, mula dengan harga yang terendah dulu, kemudian naik sedikit demi sedikit. Jika bernasib baik, anda boleh mendapatkannya pada harga terendah. Ketika saya tawar menawar, anak-anak dan suami menjauhkan diri, kononnya malu kerana saya menawar pada harga yang sangat ridiculous...tapi itu menurut pendapat mereka...Namun, bila penjual bersetuju memberi harga yang saya minta, pasti harga tersebut adalah berpatutan, siapa yang mahu rugi bila berniaga?

Sampai di hotel, anak-anak terus membahagi-bahagikan souvenir dan mengemasnya dalam beg masing-masing. Lawatan hari ini – a successful one – terima kasih dengan sistem MTR yang sangat baik - systematic and integrated. Lawatan esok...pastinya kami lebih teruja dan yakin!


TIPS:

Bagaimana untuk ke Ngong Ping 360:
Dari BP International, pergi ke Jordan Station. Ambil MTR ke Central Station. Turun di Central Station dan ambil MTR Tung Chung Line untuk ke Tung Chung. Sampai di Tung Chung Station, ambil Exit B untuk ke Tung Chung Cable Car Terminal. Dapatkan tiket untuk menaiki cable car ke Ngong Ping.

Cable Car biasa:
Harga tiket round trip (dewasa) – HKD 107 seorang
Harga tiket round trip (kanak-kanak) – HKD 54 seorang

Crystal Cable Car (berlantai kaca):
Harga tiket round trip (dewasa) – HKD 157 seorang
Harga tiket round trip (kanak-kanak) – HKD 104 seorang


Bagaimana untuk ke Toy Zone:
Alamat:
Room 1601, 16 th Floor, Causeway Bay Commercial Building,
No.3, Sugar Street, Causeway Bay, Hong Kong.

Turun di Central Station, keluar menggunakan Exit D2, dan jalan kea rah Yee Wo Street sehingga berjumpa Sugar Street. Causeway Bay Commercial Building berada di sebelah kiri sebaik anda masuk ke Sugar Street.

(Nota: Jika anda bukan peminat Anime, anda tidak perlu ke Toy Zone).


Bagaimana untuk ke shopping complex di sekitar Central Station:
Keluar dari Central Station, dan anda boleh nampak berhampiran dengan Central Station butik-butik dengan jenama terkenal berada di sepanjang jalan. Paling meudah, keluar ke arah Exchange Square Bus Station.  Pilihan yang lain ialah untuk keluar menggunakan Exit ke arah Queen’s Road Central.


Bagaimana untuk ke Temple Night Market:
Keluar dari BP International, di depannya ialah Austin Road, lintas jalan ini. Cari simpang ke Temple Street (anda boleh nampak tanda jalan dengan mudah). Jalan terus di sepanjang Temple Street melepasi 2 blok kedai, sehingga anda berjumpa night market. Keadaannya seperti Petaling Street waktu malam.


The best thing from today’s trip – take time to see things differently,
...do things differently...enjoy it...

...and get different results...


[Sambungan di Part 4 - Ocean Park]

[Baca Part 4 - Ocean Park]

[Baca Part 1 - Arriving in Hong Kong]

[Baca Part 2 - The Peak & Madame Tussauds]

Thursday, November 18, 2010

Guide Book To Hong Kong - Part 2

Traveling with kids - unleash their true character!

Day 2
Itinerary

Aberdeen Fishing Village
Jewellery Factory
The Peak
Madame Tussaud
Avenue of Star
Hong Kong Museum of Art
Symphony of Light

Menu:
Pagi – Roti kaya & tuna sandwich
Tengahari – Nasi goreng cina
Malam – Nasi putih dan kari ayam

Hari kedua, semua bangun awal kerana teruja untuk memulakan lawatan. Sambil menunggu anak-anak bersiap, saya menyediakan bekalan nasi goreng cina dan bilis goreng, 5 pek. Arahan saya mudah – setiap seorang perlu membawa beg galas masing-masing dan makanan masing-masing. Mineral water, chips, chocolate dan cookies semuanya saya siapkan untuk 5 beg.

Tepat 9.00 pagi kami menunggu Patrick yang akan membantu kami dalam lawatan hari ini. “1/2 day City Tour” memang termasuk dalam pakej Airport Transfer AirAsia yang kami tempah.

Di jeti, sebelum menaiki bot kecil
menyusuri the fishing village.


















Destinasi pertama pagi itu ialah Aberdeen Fishing Village. Di Aberdeen, kami mengambil kesempatan menyusuri fishing village dengan bot kecil. Bayaran yang dikenakan ialah HKD 55 untuk seorang. Harga ini sama saja untuk kanak-kanak dan dewasa. Sekiranya anda melawat Aberdeen Fishing Village, jangan lepaskan peluang menaiki bot ini kerana ianya merupakan pengalaman yang amat berbeza sekali. Selalunya di Malaysia, kampong nelayan di pinggir pantai, tetapi di sini, nelayan-nelayan tinggal di dalam bot. Ada bot yang terlalu usang dan kecil, ada juga yang nampak kukuh dan besar. Mereka ini bekerja adakalanya sehingga 16 jam sehari mencari ikan, dan dijual di restoran-restoran yang berdekatan. Ada juga yang mengusahakan bot kecil membawa pelancong menyusuri perkampungan ini.

Amni excited sangat naik bot...first time...
















Rumah & Fishing boat.... 2 + 1 ...


















Saya ternampak dalam salah satu rumah/bot nelayan ini dilengkapi dengan TV dan sofa, seperti rumah biasa. Kehidupan mereka turun temurun terapong di air. Kebanyakan dari anak-anak mereka tidak bersekolah kerana ketika mencari ikan, bot/rumah itu dibawa bersama, dan balik pula lewat malam, adakalanya berhari-hari tidak balik. Bagaimana pula anak mereka mahu bersekolah, jika balik dari sekolah, “rumah” sudah tiada. Jadi, jalan paling senang, tidak bersekolah, supaya anak-anak mereka boleh mengikut mereka ke mana saja. Pekerjaan ini dan “rumah” mereka menjadi satu tugas dan harta turun menurun.

The famous Jumbo Restaurant
Tapi tak dapatlah menjamah juadah sea food nyer...
Katanya restaurant ni terfamous di Hong Kong....



















Namun sekarang ini, kerajaan Hong Kong telah menyediakan asrama khas buat anak-anak nelayan ini supaya mereka boleh bersekolah dan mempunyai tempat tinggal sementara ibu dan ayah mereka ke laut bersama “rumah” mereka. Apabila ramai anak-anak nelayan ini mempunyai pendidikan, mereka juga mula berpeluang mempunyai pekerjaan yang berbeza dan meninggalkan “rumah” mereka. Kerajaan Hong Kong berharap dengan cara ini jumlah nelayan muda menjadi berkurangan dan fishing village ini pupus dengan sendirinya. Jadi usah terkejut jika 10 tahun akan datang bila anda ke Hong Kong, anda mungkin tidak berpeluang melawat fishing village kerana ianya sudah tidak wujud lagi. Ataupun, jika anda sudah berpeluang ke sini, gambar yang anda rakamkan boleh dijual di muzium mereka dengan harga beribu-ribu.....(heh..heh...manalah tahu kan...)

Boleh ambil gambar di luar je, kat dalam tak dibenarkan...

















Selepas hampir 1 jam setengah di sini, kami kemudiannya ke jewellery factory. Ketika di dalam van, saya sudah membulatkan hati untuk tidak membeli apa-apa (hmmm...itu pandangan sebelum melihat “keadaan” di dalam factory itu...). Tapi setelah berada di dalam bilik yang dipenuhi dengan barang kemas bertatahkan berlian dan batu permata, dengan design yang bermacam-macam, unik dan halus pula, mata jadi rabun dan otak jadi tidak waras. Saya hanya melihat-lihat, kemudian mencuba-cuba...tetapi di racun oleh si penjual, di racun oleh suami, dan diracun oleh anak-anak, “Cantik, Bu...yang ini cantik design-nya....” mana boleh menahan godaan. Akhirnya, “terbeli” juga...(boleh tak kalau saya katakan....saya “terbeli” dengan tidak sengaja....). Kemudian Amni mahukan rantai emas putih berloketkan kristal bentuk buah epal yang comel....bila dia meminta, memang senang sangat saya kalah dan menurutinya...anyway...ini untuk hadiah harijadinya...

Kesimpulan: Melawat jewellery factory perlukan kekuatan jiwa, kalau tidak, lebih baik jangan ke sini....hmmm...

Pemandangan dari The Peak.
















Masa ni dah berposing sakan....




















Posing lagi...

















Destinasi kami seterusnya ialah The Peak (dikenali juga sebagai Victoria Peak). Van kami membawa kami terus ke The Peak Tower. Semestinya, kami terus saja ke Madame Tussauds. Kebanyakan masa kami habiskan disini. Apa taknya, bila dengan semua patung lilin nak bergambar, memang 2 jam pun tak cukup. Pada peringkat awal, anak-anak bergambar dengan gaya formal, paling bergaya hanyalah berdiri di sebelah patung, dan senyum. Tapi lama kelamaan, mereka mula berani berposing dengan pelbagai aksi yang melucukan dan sessi ini cukup santai dan ceria. Karakter setiap seorang anak-anak saya menyerlah ketika ini. Mereka ketawa, usik mengusik dan mengarahkan satu sama lain cara bergaya yang menarik. Adakalanya melucukan dan kami ketawa terbahak-bahak. Suami juga cukup sporting dengan menuruti kehendak anak-anak untuk berposing mengikut arahan mereka, “Macam ni abah...bergaya macam ni....”. Jerit Amni dan Nisha sambil terkekek-kekek ketawa mengarahkan suami berposing lagak kung fu di sebelah Bruce Lee dan bergaya sakan dengan David Beckham. Kalaulah filem kamera macam dulu-dulu...agaknya di Madame Tussauds saja habis lebih 10 gulung filem...


Dengan Pablo Picasso...
pelukis yang diminatinya...























Posing mahal punya...


















Selepas itu, kami mengambil kesempatan ke Hard Rock Cafe untuk membeli t-shirt kenangan dan 3 beradik tu memborong sakan. Puas ber-shoping, dan disebabkan kami ingin mencuba tram, kami menaiki tram untuk turun ke Tram Station di Garden Road dan menunggu van datang menjemput kami di situ. Sambil menunggu Patrick, kami mengambil peluang menjamah bekal nasi goreng cina.

Dalam tram menuruni The Peak.

















Destinasi seterusnya ialah Kedai Ginseng. Pemilik kedai pernah menetap di Indonesia dan beliau bercakap bahasa Melayu dengan fasih, sehingga terlupa kami berada di Hong Kong, bagaikan di Indonesia pulak. Kami tidak membeli apa-apa di sini kerana tidak tahu tentang ginseng.

Yang mana satu "the star"???


















Kemudian, sebahagian ahli rombongan trip hari itu kemudiannya menuju ke restoran berdekatan untuk makan tengahari, dan kami sekeluarga meneruskan lawatan kami ke Avenue of Star. Di sini, kami semua sudah kepenatan dan menyusuri Avenue of Star perlahan-lahan sambil menik mati pemandangan Tsim Sha Tsui Waterfront dan Victoria Harbour. Selepas 500 meter berjalan barulah kami jumpa plaque dan hand print Jackie Chan, kemudian plaque Bruce Lee. Dua nama ni saja yang kami tahu, plaque yang lain semuanya membawa nama artis-artis China dan Hong Kong yang langsung kami tidak kenal. Jadi bila dah jumpa dan bergambar dengan “Jackie Chan” dan “Bruce Lee”, kami berpatah balik untuk melawat Hong Kong Museum of Art pula. Lawatan ke museum ini semata-mata memenuhi permintaan Amni. She is very much into art, jadi dia ingin sangat melihat-lihat lukisan dan arca yang ada. Walaupun boleh dikatakan hampir semua lukisan yang ada adalah lukisan berus cina, tapi Amni menunjukkan rasa teruja melihat dari satu lukisan ke satu lukisan. Walau rasa kaki sudah tidak mampu berjalan lagi, saya berjalan perlahan-lahan mengikut keletahnya.


Jeki Chan...


Destinasi pilihan Amni...
Ikut kan jelah...


















Kami balik ke hotel dengan teksi untuk solat jama’ takhir zohor dan asar. Lega rasanya dapat merehatkan kaki dan baring sebentar. Selepas maghrib, sebelum 8 malam, kami akan keluar semula ke sekitar Hong Kong Museum of Art untuk menyaksikan Symphony of Light pula.

Malam itu, disebabkan belum biasa dengan MTR, kami cuba menahan teksi untuk membawa kami ke sana tetapi gagal. Mungkin kerana jarak yang terlalu hampir, tetapi teksi perlu berpusing jauh menyebabkan hampir semua teksi enggan membawa kami ke sana. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki saja, dan mengambil masa lebih kurang 25 minit. Laluan subway untuk menyeberangi Salisbury Road membawa kami masuk terus ke Sogo sebelum keluar balik ke arah Museum of Art. Dan betul-betul di sebelah kanan laluan keluar itu, ialah kedai Coach....sempat juga mata saya melilau ke situ, “Lepas ni nak singgah kejap ye...” Kata saya pada suami. “Bab ni...peka betul mata you...” Usik suami.

Cantikkan....
















Symphony of Light memang mengagumkan. Orang sudah ramai membanjiri kawasan tersebut dan kami mencari lokasi yang strategik untuk merakamnya dengan video. Muzik yang kuat dan lampu yang bercahaya dan berkerlipan mengikut rentak lagu membuatkan persembahan itu cukup hebat...spectacular...padanlah ia diperakui oleh Guinness World Records sebagai the "World's Largest Permanent Light and Sound Show”. Sebanyak lebih 40 bangunan di kedua-dua belah Victoria Harbour menyertainmya, silih berganti memancarkan lampu sportlight dan laser beam beraneka warna mengikut tema dan rentak lagu. Rasanya ada lima lagu yang dimainkan – Awakening, Energy, Heritage, Partnership dan akhir sekali Celebration.

Symphony of Light ini berakhir lebih kurang 30 minit, dan kami terus masuk ke Sogo, dan apalagi...sayapun mengambil kesempatan ke kedai Coach. Saya dapati, harga beg tangan jika dibandingkan dengan harganya di Malaysia adalah jauh lebih murah. Untuk perbandingan, jika di Malaysia harganya mencecah RM2,200, di Hong Kong baru RM1,200 (perbandingan ini saya buat dengan design dan model yang sama....). Design yang ada juga design terkini. (I’m proud of myself....saya berjaya menahan sabar walau dicucuk-cucuk oleh suami...). Di Sogo kemudiannya, Nisha dan Amni bershopping kasut Skechers...kelakar cara mereka meminta, “Kasut ni kalau jalan banyak pun tak penat tau...” (Read as: Kitorang nak beli kasut ni, berjalan-jalan di Hong Kong mesti bergaya. A very good investment.....hmmm...ya lah tu....).

Kami balik ke hotel berjalan kaki dan menyusuri Nathan Road dan pastinya melalui Parklane Plaza sekali lagi. Kali ini, Zaid pula bershopping T-Shirt di salah satu sport shop di situ...Sampai di hotel lebih kurang 10.00 malam. Apa lagi, penat dan kelaparan, kami pun pulun makan nasi panas berlaukkan sambal sadin yang telah saya siapkan sebelum ke Symphony of Light tadi. Sambil berehat kekenyangan dan merehatkan kaki, saya membuat briefing dengan anak-anak tentang lawatan esok. Bermula esok, kami akan berjalan sendiri menggunakan MTR. Anak-anak teruja untuk berkasut dan berbaju baru esok...

Tidak perlu saya nyatakan lagi....malam itu kami tidur nyenyak dan lena...kekenyangan dan kepenatan!!

TIPS:

Periuk Nasi dan bekalan lauk.
Boleh ke bawa rice cooker ke Hong Kong? Jawapannya...Boleh!
Ramai yang bertanya tentang cerita periuk nasi letrik kepada saya. Di Hong Kong, kita boleh menggunakan semua peralatan letrik dari Malaysia tanpa menggunakan adaptor, pasang terus saja seperti biasa. Jadi untuk menggunakan rice cooker, atau handphone charger atau laptop, memang tiada masalah.

Ada berbagai jenis peket lauk siap untuk dimakan yang anda boleh jumpa di Giant. Saya membawa lauk-lauk ini dan memanaskannya dengan rice cooker sebelum menanak nasi. Untuk memudahkan, beli rice cooker kecil yang boleh dimuatkan ke beg luggage anda. Cari periuk yang non-stick, jadi di bilik hotel tak perlu bersusah payah menyental kerak nasi. Saya meletakkan semua makanan kering seperti maggi mee, lauk segera, serunding, semuanya dalam satu beg, dan Alhamdulillah di airport lepas dengan mudah dan tidak dibuka langsung. Sebagai cadangan, bawa perencah masak lemak cili padi, jadi bolehlah masak lemak cili padi telur di sana nanti. Anda juga boleh bawa minyak masak jika mahu menggoreng telur dengan rice cooker. Minyak masak di sana dijual dalam botol besar, jadi bawa sedikit dari Malaysia lebih menjimatkan.

Bagaimana untuk ke Aberdeen Fishing Village:
Naik MTR (keretapi seperti LRT di Malaysia) ke Hong Kong Station. Kemudian keluar menggunakan Exit B1 dan pergi ke Central Exchange Square bus terminus yang berdekatan. Ambil bus nombor 70 dan turun di Aberdeen Promenede. Gunakan Octopus Card untuk memudahkan membayar tiket. [Baca Tips tentang Octopus Card di Part 1]

Bagaimana untuk ke The Peak:
Naik MTR ke Central Station, kemudian keluar menggunakan Exit J2, dan naik tangga ke ground level. Pusing ke kanan ke Chater Garden. Kemudian anda perlu melintas Queen’s Road Central dan jalan terus menuju Garden road. Anda akan melepasi Bank of China Tower dan Citibank Plaza di sebelah kiri anda. Kemudian berjalan terus ke The Peak Tram Station dan amnbil tram untuk naik ke The Peak.

Dari Aberdeen ke The Peak pula, ambil bas 37A, dan turun di Bank of China Tower, kemudian berjalan ke The Peak Tram Station.

Bagaimana untuk ke Avenue of Star:
Dari BP International, pergi ke Jordan Station, ambil MTR ke Tsim Sha Tsui Station. Gunakan exit menghala ke Sogo, dan ikut anak panah untuk exit ke Avenue of Star.

Dari The Peak, berjalan balik ke MTR Central Station, ambil MTR ke Tsim Sha Tsui dengan menggunakan Tsuen Wan Lane. Ambil Exit ke Sogo dan anda akan nampak anak panah yang menunjukkan arah ke Avenue of Star. Di sebelah kanan exit ini anda boleh lihat kedai handbag Coach.

Bagaimana untuk ke Symphony of Light:
Dari BP International, pergi ke Jordan Station, ambil MTR ke Tsim Sha Tsui Station. Ambil Exit ke Sogo, ikut anak panah ke Avenue of Star/Hong Kong Museum of Art/Symphony of Light. Dari Jordan Station ke Tsim Sha Tsui Station mengambil masa kurang 10 minit.

Nota:
Saya berpendapat, tidak perlu membeli pakej “Day Tour” dengan Air Asia. Pakej ini hanya RM 62 seorang tetapi perlu pula membayar tips HKD50 (RM 20) seorang. Rasanya lebih jimat jika pergi sendiri. Untuk sekeluarga 5 orang, anda boleh berjimat sebanyak RM100 (lebih kurang HKD 240 – duit ni boleh digunakan untuk beli souvenir di Disneyland, atau cukup untuk lunch satu keluarga di Ngong Ping 360). Pergerakan juga lebih bebas dan tidak tergesa-gesa kerana terikat dengan masa.

Best thing about today's trip - as parents, being silly for the sake of fun....is really fun!
...just let you hair down...

[Bersambung di Part 3]


Baca Part 3

Baca Part 1